SOALAN :
Jika kita datang lewat ke masjid dan kita dapati saf telah penuh sehingga kita tidak boleh lagi masuk di mana-mana saf, apakah hukumnya kita solat seorang diri di belakang?
JAWAPAN :
Siapa yang datang lewat ke tempat solat berjemaah dan saf telah penuh maka hendaklah dia mencari ruang yang ada di celah-celah saf jika ada dan masuk ia ke dalam saf tersebut kemudian bertakbir untuk solat.
Jika tidak ada ruang lagi yang boleh dia masuk maka solatlah dia di belakang saf seorang diri dan tidaklah menjadi kesalahan.
Artikel Berkaitan: Pengantin Lelaki Sunat Lakukan Solat Zifaf Lepas Akad Nikah, Mohon Perlindungan Allah Dari Segala Keburukan
Ada pun jika ada lagi tempat yang kosong di celah saf tetapi dia tidak masuk dan solat ia seorang di belakang saf maka hukumnya adalah makruh tetapi solatnya itu adalah sah.
Telah diriwayatkan dari Abi Bakrah r.a. :
أَنَّهُ انْتَهَى إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ وَهْوَ رَاكِعٌ، فَرَكَعَ قَبْلَ أَنْ يَصِلَ إِلَى الصَّفِّ، فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «زَادَكَ اللهُ حِرْصًا، وَلا تَعُدْ
Ertinya : “Sungguhnya beliau sampai kepada Nabi saw ketika Nabi saw sedang rukuk lalu beliau rukuk sebelum sampai ke dalam saf. Maka beliau telah menceritakan perkara tersebut kepada Nabi saw maka Nabi saw bersabda baginya : Semoga Allah menambahkan kamu gemar kepada taat dan jangan kamu ulangi.” Hadith Riwayat Bukhari.
Maksud hadith ini sahabat yang bernama Abi Bakrah r.a. lambat sampai ke masjid dan apabila dia masuk Nabi saw telah pun rukuk maka Abi Bakrah yang belum masuk ke dalam saf itu telah berhenti di belakang saf dan bertakbir. Kemudian setelah Nabi saw diberitahu tentang hal itu baginda telah berpesan supaya jangan mengulangi solat seorang diri di dalam saf.
Artikel Berkaitan: Sendawa Tak Batalkan Solat, Tapi Hukumnya Jadi Makruh Kalau Hasilkan Bauan Ganggu Jemaah
Ini menjadi dalil bahawa solat sendirian di dalam saf itu makruh.
Dan keadaan Nabi saw tidak menyuruh Abi Bakrah mengulangi solat tersebut menjadi dalil bahawa solat sendirian di belakang saf itu sah.
Ulamak-ulamk mazhab Hanafi dan Syafie dan Hanbali mengharuskan orang yang seorang diri itu menarik seorang yang solat di saf hadapan supaya undur ia untuk bersamanya disaf belakang.
Berkata Mufti Mesir Syeikh Ali Jum’ah :
صلاة المنفرد خلف الصف إذا كانت لعذر -كأن لم يجد من يصف معه- صحيحةٌ ولا حرج عليه، فإذا انتفى العذر تكون صحيحة مع الكراهة. وعند الحنفية والصحيح عند الشافعية فإنه يستحب أن يجذب إليه شخصًا من الصف ليصطف معه، لكن مع مراعاة أن المجرور سيوافقه، وإلا فلا يجر أحدًا منعًا للفتنة. فضيلة الأستاذ الدكتور علي جمعة محمد : دار الإفتاء المصرية
Artinya : “Solat seorang diri di belakang saf dengan sebab ada uzur seperti tidak mendapati orang lain untuk membuat saf dengannya adalah sah dan tiada ada salah atasnya. Maka apabila ternafi oleh uzur nescaya solatnya tetap sah tetapi makruh.
Dan pendapat di sisi mazhab Hanafi dan yang sahih di sisi mazhab Syafie sungguhnya dia disunatkan menarik kepadanya seorang dari saf hadapan supaya bersaf dengannya. Akan tetapi dengan memelihara bahawa orang yang ditarik itu akan undur ke tempatnya. Maka jika tidak nescaya janganlah menarik ia akan seseorang kerana mengelakkan fitnah.”(Majlis Fatwa Negeri Mesir)
Artikel Berkaitan: Lepas Solat, Duduk Jangan Bergerak & Bacalah Surah Al-Fatihah 41 Kali. InsyaAllah Dimakbulkan Doanya!
KESIMPULAN
Siapa yang seorang diri di belakang saf hendaklah mencari ruang di saf hadapan supaya solat ia di dalam saf.
Jika tiada ruang untuk masuk ke dalam saf maka sah dia solat seorang diri di belakang saf.
Jika ada ruang untuk dia masuk tetapi dia tetap solat seorang diri dibelakang saf maka solatnya sah tetapi hukumnya makruh.
Sunat selepas takbiratulihram dia menarik seseorang yang ada di saf hadapan supaya undur bersolat dengannya di belakang bersama.
Sunat orang yang ditarik itu undur untuk solat menemani orang yang seorang diri di belakang.
Jika takut berlaku fitnah maka tidak perlu dia menarik seseorang di hadapan supaya undur solat bersamanya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus
Artikel Berkaitan: Rambut Terkeluar Ketika Solat, Hukumnya Kena Ulang Semula Atau Tak? Ini Penjelasan Ustaz Azhar Idrus!