Sombong merupakan satu penyakit hati paling bahaya yang mana pengidapnya sering berasa bangga dan memandang tinggi pada keupayaan dirinya sendiri. Dalam satu hadith Nabi Muhammad SAW bersabda yang ertinya; “Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (H. R. Muslim). Sebagai suatu penyakit, sombong hanya boleh disembuhkan berdasarkan kesedaran diri penderitanya sendiri kerana sombong bertitik tolak pada hati seseorang bukan sikap sebaliknya ia satu penyakit yang susah diubati.
Allah SWT di dalam Al-Qur’an surah Al-Israa’ ayat 37 berfirman yang ertinya;
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-gunung.”
Hukum Islam Mengenai Sifat Sombong
Sebagaimana firman Allah dalam Al-Qur’an surah Al-Israa’ ayat 37, jelas disebutkan bahawa manusia tidak dipandang oleh Allah jika berlagak sombong di dunia ini. Ertinya, jelas Allah melarang jelas melarang manusia berlagak sombong di dunia ini dan jika terus memiliki sikap sombong, Allah tidak memandangnya.
Di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda yang membawa maksud;
”Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat biji sawi.” (H. R. Muslim).
Jelas sekali Allah tidak menyukai sifat sombong dan melarang manusia berlagak sombong jika tidak mahu mendapat kemurkaan Allah SWT.
Jenis-Jenis Sifat Sombong
Yang menjadikan seseorang bersikap sombong ada banyak. Misalannya memiliki harta yang banyak, wajah yang mungkin cantik dan tampan, ilmu pengetahuan, keturunan bahkan ahli ibadah. Namun, ada tiga jenis kesombongan yang perlu untuk diketahui agar kita dijauhkan daripadanya:
Sombong terhadap Allah
Merupakan keadaan atau penyakit sombong paling parah kerana seseorang yang sombong kepada Allah SWT, ertinya dia tidak mentaati Allah dan takabur dengan dirinya. Orang begini biasanya beranggapan apa saja kekayaannya adalah atas usahanya sendiri, sering melanggar perintah Allah malah melanggar semua hukum Allah tanpa rasa segan silu. Bahkan di hati mereka langsung tidak pernah merasa berdosa pun walau melakukan hal-hal dilarang Allah dan agama.
Allah SWT berfirman;
اِنَّ الَّذِيْنَ يَسْتَكْبِرُوْنَ عَنْ عِبَادَتِىْ سَيَدْخُلُوْنَ جَهَنَّمَ دَاخِرِيْنَ
Ertinya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan dimasukkan ke neraka Jahanam dalam keadaan hina. (Al-Qur’an surah Lukman, ayat 60).
Sombong terhadap Rasulullah
Seseorang yang tidak mahu mengikuti ajaran Rasulullah, merasa bahawa apa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW itu tidak benar dan langsung tidak peduli atau mahu berasa taat terhadap ajaran Baginda, bererti orang itu sombong pada Rasulullah di dalam hatinya.
Sombong terhadap sesama manusia
Jenis penyakit sombong yang paling sering terjadi ialah sering memandang remeh pada orang lain. Berasa dirinya paling baik, paling bijaksana, paling hebat, paling kaya, paling cantik dan segala yang besifat buruk lainnya. Malah orang sombong begini biasanya akan sering membandingkan dirinya dengan orang lain dan beranggapan orang itu tidak betul berbanding dirinya.
Orang yang sombong biasanya gila disanjung dan suka jika orang lain memujinya malah mereka ini sangat laparkan perhatian dan pujian. Mereka selalu mahu membangggakan diri sendiri di hadapan orang lain dengan niat mahu dirinya dipuji dan menerima pujian selain memandang rendah kepada keupayaan orang lain.
Selain itu, orang yang sombong juga tidak suka menerima teguran, kritikan, pendapat orang lain, nasihat apatah lagi kata-katanya dibangkang. Biasanya mereka merasakan diri mereka paling betul dan tidak mempedulikan pendapat atau nasihat orang lain.
Bahaya jika sombong
Sebagai penyakit hati, biasanya orang yang sombong ini memberi gangguan kepada pengidapnya. Antara bahaya memiliki sikap sombong ialah seperti berikut:-
Rasulullah SAW bersabda yang ertinya;
“Adapun amal-amal yang membinasakan adalah berperilaku kedekut, menurut hawa nafsu dan membanggakan diri.” (H. R. Thabrani)
Mereka yang memiliki sifat sombong, tidak akan pernah memiliki sifat ikhlas yang merupakan dasar kepada setiap perbuatan mahu pun ibadah yang dilakukan. Oleh itu, kesombongan menghancurkan amal ibadah kerana ia menjadi sia-sia.
Lebih buruk dari syirik
Syirik adalah dosa yang takkan pernah terampuni oleh Allah SWT kerana orang yang syirik bererti tidak mengakui ke-Esa-an Allah SWT. Jika dikatakan bahawa sombong merupakan penyakit yang lebih buruk daripada syirik tersebut, sudah pasti ganjaran azab yang diterima di akhirat akan lebih berat lagi.
Orang yang memiliki sifat sombong, seringkali menyalahkan takdir atas takdir dihadapinya atau musibah yang diuji kepada mereka. Sementara ketika diberi rezeki, mereka tidak akan pernah berasa bersyukur atas nikmat tersebut. Contoh paling nyat adalah iblis yang juga ketua para malaikat suatu ketika dahulu namun kerana sombong Azazil dicampak keluar dari syurga dan akan ke neraka selama-lamanya atas kesombongan tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam yang diciptakan Allah.
Akibat dari Sifat Sombong
Dibenci Allah SAW dan Rasulullah
Di dalam Al-Qur’an surah Luqman ayat 18, Allah SWT berfirman yang ertinya: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”
Dalam salah satu hadith sahih, Rasulullah berpesan bahawa manusia harus memiliki sikap rendah diri
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Rasulullah bersabda yang ertinya; “Sesungguhnya orang yang paling aku cintai dan duduknya paling dekat kepadaku pada hari kiamat adalah orang yang akhlaknya terbaik di antara kalian. Sedangkan orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat adalah orang-orang yang banyak bicara, suka mengumpatl dan bermulut jahat (sombong).”
Jadi jangan pernah sombong ketika di dunia kerana azabnya sangat dahsyat di akhirat.