Banyak kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan bagi ibu-ibu mengandung sejak kebelakangan ini. Terbaru melibatkan penyanyi arwah Siti Sarah yang turut dijemput Ilahi selepas bayinya selamat dilahirkan. Bukan arwah sahaja tetapi ada beberapa kes turut dilaporkan di mana kebanyakan dari ibu mengandung ini belum divaksin atau mempunyai satu dos sahaja.
Dalam pada itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkongsi pandangan mengenai vaksin kepada ibu mengandung.
Dalam satu kenyataan semalam di FB, Datuk Dr Zulkifli menjelaskan vaksin COVID-19 adalah selamat. Adalah menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan melalui program vaksinasi yang disediakan oleh Kerajaan di sebalik ada kes suami tidak memberikan kebenaran mengambil vaksin.
Baca perkongsian dari Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama.
Saya mengambil maklum kenyataan Tan Sri Dato’ Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia tentang peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan ibu hamil.
Sepanjang Jun 2021, 17 kes kematian direkodkan di mana 15 kes belum divaksin dan 2 kes menerima 1 dos vaksin. Alhamdulillah, daripada 146, 759 orang ibu hamil yang mendaftar di MySejahtera, 20% daripadanya telah lengkap menerima 2 dos vaksin.
Saya juga menerima beberapa aduan berkenaan para suami yang tidak mengizinkan isterinya yang hamil untuk menerima vaksin. Ingin saya jelaskan bahawa vaksin COVID-19 adalah selamat. Adalah menjadi hak setiap wanita untuk mendapatkan ikhtiar perlindungan melalui program vaksinasi yang disediakan oleh Kerajaan.
Berbincanglah dengan baik dan saya pasti ramai pakar di Pusat Pemberian Vaksin sudi membantu untuk meleraikan pertanyaan dan kekeliruan berkenaan vaksin COVID-19.
Hasil maklumat dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta perbincangan oleh ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang terdiri daripada para Mufti dan Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja pada 12 Ogos 2021M bersamaan 3 Muharam 1443H dalam aplikasi WhatsApp, maka Muzakarah telah mengambil ketetapan seperti berikut:
- Bersetuju memperakukan keputusan terdahulu dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-10 Tahun 2020, iaitu; Hukum Penggunaan Vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia; dan
- Sebagaimana yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, adalah amat penting pengambilan vaksin COVID-19 bagi ibu hamil dengan mengikut nasihat pegawai perubatan bagi mengurangkan risiko komplikasi sekiranya dijangkiti COVID-19.
Muzakarah juga menasihatkan kepada semua Umat Islam untuk mematuhi arahan pihak berkuasa berhubung hal ini.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Kahwin Kutu Jalanan Disangka Kena Guna-Guna, Tapi Rupanya Kehidupan Lepas Tu Berubah Jadi Lebih Baik
Urusan jodoh itu memang terletak di tangan Allah. Hanya Dia yang mengetahui siapa jodoh terbaik buat diri kita.
Dan sebagai hamnaNya jangan putus berdoa agar Tuhan mengurniakan Imam yang mampu bimbing diri kita hingga ke jannah.
Namun begitu, kita juga tidak terlepas dari menghadapi dugaan dalam setiap perkahwinan. Dan ujian yang datang ini menguji sejauh mana kita mampu menerima segala yang telah ditakdirkan.
Seperti perkongsian di laman sosial Facebook seorang pengguna yang juga bergelar doktor Ahmad Zakimi Abdullah yang menceritakan semula kisah seorang kenalannya telah melalui kehidupan sangat tidak dijangkakan.
Menurutnya kenalan yang juga merupakan kakak angkatnya itu telah mengahwini seorang lelaki yang dianggap sebagai ‘kutu jalanan’ dan berusia jauh lebih muda daripada wanita itu.
Tambahnya lagi ia merupakan perkahwinan kedua kakak angkatnya selepas gagal dalam perkahwinan pertama sebelum ini.
Walau bagaimanapun apa yang mengejutkan, selepas beberapa tahun mengahwini lelaki berkenaan yang dianggap sebagai ‘kutu jalanan’ kehidupan mereka mulai berubah malah ia juga sangat di luar jangkaan.
Ayuh ikuti perkongsiannya di sini.
Sebelum itu berkahwin dengan seorang ustaz dan mereka tinggal berjauhan. Perkahwinan ini diatur oleh keluarga. Namun jodoh mereka tak panjang.
Aku ada seorang kakak angkat. Dia seorang doktor pakar. Aku mengenali dia sejak aku di universiti lagi. Ketika itu dia tengah buat kepakaran.
Dia baru berkahwin dengan seorang ustaz. Suami kerja dan tinggal berjauhan. Perkahwinan jarak jauh ini diatur oleh keluarga tanpa kerelaan. Kira kahwin paksa.
Nasib tak menyebelahi mereka kerana jodoh mereka tak panjang. Akhirnya bercerai. Tak perlu aku ceritakan sebabnya.
Ada juga beberapa peristiwa pergaduhan antara dia dengan ibubapanya unjuran dari masalah rumahtangganya.
“Itulah ayah, mak! Dulu paksa Fizah (bukan nama sebenar) kahwin dengan si Khairul (bukan nama sebenar) tu. Konon ustaz ni baik dan anak orang kaya. Tengok apa dah jadi. Lepas ni biarkan Fizah dari calon suami sendiri.”
Sejak itu keluarganya risau dengan keadaan kakak angkatnya itu. Selalu pulang lewat dari kerja dan kena kacau dnegan budak-budak kutu jalanan.
Itu yang selalu dia diluahkan kepada ibubapanya, maksu dan paksu.
“Mie, nanti tengok kak Fizah tu ye. Takut pulak dia jumpa calon suami yang tak tentu. Risau maksu dan paksu ni,” ujar maksu.
“Baik maksu.”
Kak Fizah ni selalu balik kerja agak lambat. Setiap kali dia balik dari kerja mesti kena kacau dengan budak-budak kutu jalanan melepak. Budak-budak ni tak kira petang malam. Selalu melepak sambil berbusking. Masing-masing rokok di tangan.
Ada sekali aku bersama Kak Fizah. Mereka kacau, “Kaklong manis, baru balik kerja ka?”
Alah, biasalah. Kak Fizah ni janda. Janda berhias ni bukan biasa-biasa, dia seorang bakal doktor pakar.
Hari-hari kena kacau dan kami terpaksa menemani hingga ke rumah paksu dan maksu. Budak-budak kutu jalanan memang selalu mengacaunya dan salah seorangnya bernama Ilham
Hari-hari Kak Fizah kena kacau dengan budak-budak muda tu.
Ada satu peristiwa. Semasa aku bersama-sama Kak Fizah dan seorang lagi kawan aku ikut balik ke rumah maksu dan paksu, sekali lagi Kak Fizah di usik.
“Hai Kaklong manis, lambat balik harini? Saya sakit ni kaklong. Bedahlah dada saya,” ujar salah seorang dari mereka. Budak ni namanya Ilham (bukan nama sebenar).
Budak Ilham ni sebaya aku saja. Berambut panjang. Pandai main gitar. Suara dia boleh tahan. Dia ni memang nombor satu suka usik Kak Fizah.
Satu hari kakak angkat panggil budak bernama Ilham dan tanpa disangka-sangka, kakak angkat ajak dia berkahwin
Sekali Kak Fizah berhenti dan panggil dia, “Dik ke sini jap.”
Lalu Ilham menghampiri Kak Fizah.
Tentu kena budak Ilham ni – aku bermonolog.
“Apa Kaklong?” Ilham kelihatan ketakutan.
Sekali tanpa diduga Kak Fizah bersuara, “siapa nama awak?”
“Saya Ilham Kak.”
“Kalau saya tanya sesuatu awak boleh jawab tak?” Tanya Kak Fizah.
“Boleh Kaklong. Apa dia.”
“Awak nak kawin dengan saya tak?”
Terkejut dengan permintaan kakak angkat dan Ilham seperti agak blur dan ketakutan serta kehairanan. Tapi tetap menjawa ya atas permintaan berkenaan.
Terkejut aku mendengar apa yang Kak Fizah lafazkan. Aku dan rakanku di sebelah Kak Fizah rasa sangat pelik. Biar betul kak Fizah ni.
“Awak dengar tak ni? Boleh awak kawin dengan saya?” Sekali lagi kak Fizah tanya si budak Ilham tu.
“Hmmm… tapi… hmmm” bergamam.
Aku lihat Ilham macam blurr. Mulut terkumat kamit seperti orang nak berkhatan. Ketakutan dan kehairanan.
Aku pasti dia terkejut dengan apa yang kak Fizah katakan. Apa taknya, Kak Fizah seorang doktor. Dia hanya kutu jalanan. Dah la jauh lagi muda dari kak Fizah.
“Ok kaklong,” balas Ilham. Muka kehairanan.
“Ok. Baik. Nanti bulan depan kita kawin. Esok saya kita jumpa sini. Kita bincang balik.”
Ya, aku terkejut.
Kemudian maksu dan paksu tahu tentang rancangan kakak angkat dan agak marah dengan keputusan berkenaan. Perkahwinan kemudiannya dilangsungkan
Selepas seminggu, maksu dan paksu tahu tentang hal ini. Mereka bertanya kepadaku untuk kepastian. Maksu dan paksu agak marah.
“Macamana si Fizah ni suka kat budak kutu tepi jalan tu. Pelik. Ni mesti budak Ilham pakai ayat guna-guna.” Itu yang paksu bagitau kepadaku.
Beberapa siri pertengkaran antara kak Fizah dengan paksu. Kak Fizah ada pernah ceritakan.
Akhirnya, mereka melangsungkan perkahwinan. Paksu dan maksu tak mampu menahan kemahuan kak Fizah. Itu pilihan dia setelah perkahwinan pertama dia gagal atas dasar pilihan keluarga. Bukan cinta. Paksu dan maksu akur.
Aku sendiri tak yakin Kak Fizah dan suami barunya mampu bertahan lama. Ia seolah-olah perkahwinan untuk balas dendam kepada ibubapanya. Atau dia sengaja nak sakitkan hati orang tuanya.
Aku sendiri pun tak faham. Biarlah.
Beberapa tahun kemudian, kedua-duanya sudah bergelar doktor. Hubungan terputus. Tetapi satu hari dia menghubungi ajak datang rumah. Terkejut lihat ada seorang lelaki budiman
Setelah beberapa tahun lamanya. Aku pun dah jadi doktor. Kak Fizah pun dah jadi doktor pakar. Mereka pun dah berpindah. Kami lama tak jumpa. Hubungan terputus.
“Adik Mie, kak Fizah ni. Nanti datang rumah akak ye. Akak ada buat makan sikit.” Aneh. Sudah sekian lama kak Fizah menghilang, dia hubungi aku.
Aku pergi ke rumah kak Fizah dan ada seorang lelaki yang aku tak kenali mengangkat tangan untuk bersalaman dan menjemput aku masuk.
Lelaki itu segak. Kemas.
“Eh! Sapa ni? Takkan si Ilham kutu tu?” Bermain-main dalam fikiranku.
“Salam Mie. Masuk Mie. Jemput Mie.”
Eh siapalah ni agaknya. Suami baru Kak Fizah pula ke?
Ada seorang lagi tetamu masuk sambil berkata, “salam prof. Ilham.”
Terkejut aku. Adakah Prof Ilham yang aku kenali budak kutu dulu?
Rupa-rupanya budak kutu jalanan yang berkahwin dengan kakak angkat itu sudah jauh berubah menjadi insan lebih baik. Selepas berkahwin, mereka menyambung pengajian di luar negara dan kini bergelar dokor di sebuah universiti
Akhirnya aku bertanya kepada kak Fizah sendiri siapakah Prof Ilham. Prof Ilham itu sebenarnya budak kutu jalanan yang sering mengacau Kak Fizah. Kak Fizah bercerita panjang kepada aku.
Setelah mereka kahwin, Ilham menyambung pengajiannya di luar negara. Dia beroleh degree dan kemudian PhD. Kini Ilham bertugas sebagai pensyarah di sebuah Universiti terkemuka di Malaysia.
MasyaAllah.
Itulah kawan-kawan. Jangan memandang rendah kepada sesiapapun. Kejayaan, kebahagiaan itu hanya dari Allah. Yakinlah.
Dr Zek
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Mufti Perlis Jelaskan Penebang Balak Akan Dilaknat Dan Direndam Dalam Api Neraka
Negara diuji dengan musibah banjir. Boleh dikatakan kerugian dialami mencecah hingga billion ringgit berikutan kemusnahan besar dialami.
Jika di Selangor kecoh dengan isu kawasan tadahan banjir yang ditukar kepada projek perumahan, di belah Pantai Timur khususnya di negeri Pahang pula kecoh dengan isu pembalakan tidak terkawal.
Namun kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tiada penerokaan dilakukan di kawasan Hutan Simpan negeri terbabit walau jelas sisa-sisa balak elok terpotong rapi.
Apa kebenarannya, biarlah ia dijawap di hadapan Allah azzawajalla di akhirat kelak. Di dunia kita mungkin boleh berbicara apa saja tapi di akhirat, mulut kita akan dikunci dan anggota tubuh lain yang akan menjawab di hadapan Allah kelak.
Sisa balak yang bukan sedikit sebaliknya umpama lautan hingga memusnahkan banyak rumah penduduk bukanlah satu isu terpencil hingga ia mendapat perhatian dari Mufti Negeri Perlis iaitu Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin yang menulis di entrinya bahawa pekerjaan pembalak dilaknat dan direndam dalam api neraka.
Baca penjelasan dari Mufti ini.
1. Dalam hadis, Nabi s.a.w memberikan amaran kepada sesiapa yang menebang pokok bidara yang menjadi teduhan orangramai. Baginda memberitahu bahawa sesiapa yang melakukan hal itu maka Allah akan merendahkan atau merendam kepalanya ke dalam neraka. Daripada ‘Aishah r.ha, sabda baginda s.a.w:
مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ
“Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya dalam neraka” (Riwayat Abu Daud, al-Nasai dalam al-Kubra, al-Baihaqi dll. Hadis sahih).
2.Al-Imam Abu Daud al-Sijistani (meninggal 275H) empunya Sunan Abi Daud, ketika ditanya tentang maksud hadis ini, beliau berkata:
هَذَا الْحَدِيثُ مُخْتَصَرٌ، يَعْنِي مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً فِي فَلَاةٍ يَسْتَظِلُّ بِهَا ابْنُ السَّبِيلِ، وَالْبَهَائِمُ عَبَثًا، وَظُلْمًا بِغَيْرِ حَقٍّ يَكُونُ لَهُ فِيهَا صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ
(Hadis ini diriwayatkan secara ringkas, ia bermaksud sesiapa dengan sia-sia (tiada alasan yang sah) dan zalim tanpa alasan yang benar memotong pokok bidara di tanah lapang yang mana pengembara dan binatang selalu berteduh di bawahnya, maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya ke dalam neraka. (Abu Daud, Sunan Abi Daud, Bab Fi Qat’i al-Sidr).
3. Ertinya, hadis memberikan amaran sesiapa yang merosakkan tumbuh-tumbuhan yang dapat menjadi teduhan orangramai ataupun haiwan maka Allah akan merendahkan atau menekan atau merendamkan kepalanya dalam neraka. Hadis-hadis yang memberikan amaran yang dahsyat sebegini menunjuk perbuatan yang dilarang tersebut termasuk al-Kabair iaitu dosa-dosa besar.
4. Para ulama dahulu berbincang tentang maksud hadis ini. Ada yang kehairanan mengapa pula diharamkan memotong pokok bidara? Ada yang berpendapat ia khas untuk Mekah. Ada yang berpendapat hukum ini telah dimansuhkan. Namun, jawapan al-Imam Abu Daud itu memberikan makna yang dapat difahami tentang maksud hadis ini. Ia berkaitan mereka yang memusnah tempat berehat atau berteduh para musafir atau haiwan. Keadaan panas mendesak manusia dan haiwan mencari perlindungan. Pokok dan pohon yang rendang memayungi manusia dan haiwan dari kepanasan.
5. Pokok bidara dapat tumbuh di padang pasir. Ia mampu menghadapi cuaca kering dan panas. Maka di bawah pohonnya manusia berteduh. Buahnya pula boleh dimakan apabila memerlukan. Memelihara pohon bidara yang berfungsi dengan fungsi tersebut adalah menjaga keseimbangan dan peranan antara ciptaan Allah. Merosakkannya merosakkan anasir penting dalam keselamatan hidup manusia. (sila lihat: al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifah wa al-Hadarah, 142. Kaherah: Dar al-Syuruq 1998).
6. Maka, sesiapa yang memusnahkan tempat perlindungan panas manusia dan haiwan ketika sangat memerlukan tanpa alasan yang benar pastilah termasuk dalam kalangan mereka yang sangat jahat. Tidak hairan jika kepalanya direndam ke dalam neraka.
7. Jika memusnah pokok tempat berteduh semasa manusia kepanasan ketika berada dalam perjalananan atau luar rumah, direndam atau direndahkan kepala dalam neraka, bagaimanakah bagi yang menebang pokok-pokok secara rakus sehingga berlaku bencana yang menyebabkan manusia kehilangan dan kemusnahan rumah dan tempat tinggal?!
Ia bukan sekadar manusia hilang tempat berteduh di luar rumah, ini menyebabkan manusia hilang rumah tempat menetap diri dan keluarga, sekolah, tempat kerja, masjid, rumah ibadah dan pelbagai. Bukan sekadar musafir yang melakukan perjalanan, bahkan manusia yang tinggal tetap di situ sejak sekian lama kehilangan segalanya. Apakah lagi kedajalan dan kejahatan yang lebih besar daripada itu?!
8. Jika memotong pokok bidara disembamkan kepala ke dalam neraka, bayangkan jika memotong balak sehingga ribuan manusia menderita dan berlaku kematian!! Potong pokok bidara yang menyebabkan musafir kehilangan tempat berteduh yang bukan milik peribadi sudah dihukum demikian rupa di akhirat. Apatahlagi jika menebang hutan dengan cara yang rakus yang menghilangkan harta peribadi manusia, bahkan membunuh nyawa dan kehidupan insan.
9. Golongan yang memotong pokok sehingga manusia musnah tempat tinggal layak menerima laknat manusia dan kelaknatan itu akan menimpa mereka. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda:
اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ قَالُوا: وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الَّذِي يَتَخَلَّى فِي طَرِيقِ النَّاسِ، أَوْ فِي ظِلِّهِمْ
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Sabda baginda: “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. (Riwayat Muslim).
Hadis ini menyebut tentang kelaknatan yang bakal menimpa seseorang disebabkan tindakannya sehingga mengganggu laluan manusia atau mengotorkan tempat teduhan orangramai. Menebang hutan secara tidak bertanggungjawab jauh lebih buruk kesannya daripada itu.
10. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang lain:
مَنْ آذَى الْمُسْلِمِينَ فِي طُرُقِهِمْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ لَعْنَتُهُمْ
“Sesiapa yang menyakiti kaum muslimin pada jalan-jalan mereka dia pasti mendapat laknat mereka” (Riwayat al-Tabarani dengan sanad yang hasan).
Al-Imam al-Son’ani menyatakan bahawa hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa pelaku perbuatan tersebut layak menerima laknat. (lihat: al-Son’ani, Subul al-Salam, 1/108. Beirut: Dar al-Hadith).
11. Jika membuang najis di laluan atau tempat teduh orangramai akan menyebabkan terkena laknat manusia, apatahlagi mereka yang melakukan perbuatan sehingga segala rumah, pejabat, tempat rehat, tempat permainan, sekolah, masjid, surau dan lain-lain dimasuki bukan sekadar najis manusia bahkan pelbagai kotoran yang lain. Mereka itu lebih layak menerima laknat.
- Firman Allah:
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
(maksudnya) “dan mereka yang menyakiti perasaan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka (yang menyakiti itu) telah memikul kesalahan secara dusta, dan berbuat dosa ang amat nyata”. (Surah al-Ahzab: 58).
13. Maka, perbuatan menebang hutan sehingga membinasakan kehidupan rakyat merupakan jenayah dunia dan akhirat. Tanpa mengira siapa pun pelakunya, samada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli peniagaan, ke atas mereka laknat rakyat. Amaran Nabi s.a.w bahawa laknat itu akan menimpa mereka nanti. Mereka akan menemui padah itu dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Didik Anak Puasa, Solat, Tapi Lain Pula Jadinya. Keluarga Ini Hilang Hak Penjagaan Anak Di Norway!
Dalam Islam memang anak-anak diwajibkan untuk bersembahyang pada usia 13 tahun apabila sudah akil baligh. Tetapi tidak salah jika menyuruh mereka bersolat seawal usia tujuh tahun.
Dan jika anak-anak tidak ikuti suruhan ini (seawal usia 10 tahun), mereka boleh dipukul. Tujuannya bukan untuk mendera, tetapi lebih kepada mendidik agar seawal usia sudah mengikuti suruhan yang wajib ini selain berpuasa dan sebagainya.
Namun lain pula cara penerimaan (dipukul) ini jika kita bermastautin di negara luar. Seperti kisah membabitkan keluarga Hairi Muhamad dan Norliha Khamis yang ditahan pihak berkuasa Norway dan telah dihadapkan ke mahkamah atas tudung memukul, memaksa, memarahi anak dalam belajar Al-Quran, berpuasa dan bersembahyang.
Kisahnya cukup viral sekitar Mei lalu hingga mendapat perhatian pihak berkuasa sana dan menyebabkan mereka sekeluarga hilang hak penjagaan ke atas lima orang anak-anaknya.
Difahamkan lima orang anak-anaknya kini dijaga oleh keluarga NON-MUSLIM di sana dan mereka hanya dibenarkan berjumpa sebulan sekali sahaja.
Dalam satu hantaran di laman sosial Facebook, adik kepada Hairi memohon rakyat Malaysia mendoakan keputusan Mahkamah akan berpihak kepada abangnya dalam perbicaraan yang berlangsung pada 4,5 dan 6 November 2019 ini.
Jika didapati kalah, mereja berdua akan hilang hak penjagaan ke atas anak-anak ini yang berusia dari empat dan 16 tahun, sehingga mereka berumur 18 tahun.
Assalamualaikum..
Mohon rakan-rakan dan semua rakyat MALAYSIA dapat mendoakan agar abang saya dapat kembali hak penjagaan keatas anak-anaknya.
Untuk makluman, abang saya Hairi Bin Muhamad dan isteri Norliha Binti Khamis kini menetap di Norway telah dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan memukul, memaksa, dan memarahi anak dalam belajar Al-Quran, berpuasa, dan bersembahyang.
Terjadinya kes apabila salah seorang anakya yang rasa tertekan dengan kewajipan tersebut terutama berpuasa (sehingga 18jam) telah mengadu kepada cikgu di sekolah. Dan aduan tersebut disampaikn kepada Badan perlindungan kanak-kanak (Child Protection). Maka pada hari yg sama iaitu awal Ramadhan yg lepas kesemua 5 orang anaknya telah diambil dan hanya diberi peluang untuk berjumpa sekali dalam sebulan. Lebih merisaukan lagi anak2 tersebut telah diletakkan dibawah jagaan keluarga NON-MUSLIM.
Sama2 kita mendoakan keputusan mahkamah berpihak kepada abang saya pada perbicaraan 4, 5, dan 6hb November 2019 (minggu hadapan) ini dan anak2nya kembali kepangkuan ibu dan ayah mereka. Sekiranya kalah, maka mereka hilang hak penjagaan keatas anak2 ini sehingga mereka berumur 18 tahun. Kes juga telah dirujuk kepada kedutaan Malaysia di Norway namun tidak dapat membantu.
Ya Allah..
Engkaulah yang Maha pengasih lagi penyayang..
Engkaulah sebaik-baik penolong..
Bukakanlah pintu-pintu pertolongan Mu kepada hamba Mu ini..
Satukan kembali ibu bapa ini dengan anak-anak nya Ya Allah..
Ameen Ya Rabb Al Alameen..
Sesiapa yang mempunyai apa-apa saluran yg dapat membantu amat dialu-alukn dan boleh menghubungi saya.
Hasrol (013-7304713) Adik kpd Hairi
Jutaan Terima Kasih atas doa dan keprihatinan semua.
Dalam pada itu, Hasrol ketika dihubungi oleh Harian Metro memberitahu mereka sangat mengenali Abang yang dipanggil Along dan Kak Long secara lebih mendalam.
“Kami sangat kenal Along dan Kak Long, mereka orang yang lembut. Cuma mereka memang tekankan soal agama pada anak-anak.
“Katanya, setiap kali bertemu, anak-anaknya akan memeluk mereka dan menangis memberitahu mahu pulang tinggal semula dengan mereka. Mereka sudah faham apa rasanya berjauhan dengan ibu bapa,” katanya.
Jika kes ini tidak berpihak pada abangnya itu, dia berharap agar semua anak-anaknya dapat dibawa balik ke Malaysia.
“Kami sekeluarga akan jaga anak mereka. Kami hormat undang-undang negara lain tetapi, biarlah anak-anak Along dibawa pulang ke Malaysia dan tidak diletak di bawah jagaan keluarga bukan Islam di sana.
“Bukan saja Along dan Kak Long, kami semua di sini risau kerana di sana tidak ramai orang Islam, kami bimbang soal pemakanan anak-anak itu, apatah lagi soal ibadat mereka.
“Along beritahu anak-anaknya sebelum ini boleh berbahasa Melayu dengan baik, namun kini lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Norway berbanding bahasa Melayu,” katanya yang ditemui di Pasir Gudang.
Ditanya lanjut mengenai kejadian itu, Hasrol berkata, pada awal Ramadan lalu, seorang daripada anak Hairi yang mungkin letih kerana berpuasa ditegur gurunya.
“Seorang anak Along kelihatan muram di sekolah menarik perhatian gurunya. Apabila ditanya guru punca dia berkelakuan sedemikian, dia tidak jawab, jadi gurunya minta dia meluahkan perasaannya dalam kertas.
“Luahan hatinya itu yang menggambarkan dia berasa tertekan dengan kehidupan di rumah apabila dipaksa bersolat dan mengaji Al-Quran, selain dihadkan daripada menggunakan media sosial.
“Selepas itulah siasatan bermula dan seterusnya semua anak Along diambil dari jagaan mereka,” katanya lagi.
Kisah ini turut mendapat perhatian warganet dan masing-masing mendoakan segala urusan keluarga ini dipermudahkan.
Amiin
KASHOORGA: Kami mendoakan agar keputusan berpihak kepada keluarga Hairi walaupun peluang dikatakan sangat tipis. Semoga keluarga ini boleh bersatu kembali dan faham bagaimana perasaannya berpisah dengan darah daging sendiri.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI