
Konflik suami isteri sering saja berlaku, ada masa ia menjadi cukup serius sehingga suami melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.
Antaranya mengharamkan duit digunakan untuk isteri sendiri walaupun satu sen. Dalam hal begini apa yang perlu dilakukan oleh isteri? Perlukah isteri mencari duit lain untuk makan dan minum sedangkan menjadi kewajipan suami untuk memberi nafkah.
Persoalan ini dirungkai dalam satu soal jawab di laman web Mufti Selangor dan berikut adalah jawapan yang diberikan sebagai panduan wanita lain yang dalam situasi ini.
Suami sepatutnya memberi nafkah keluarga
Merujuk kepada persoalan ini, seorang suami itu wajib memberi nafkah kepada isteri dan orang di bawah tanggungannya. Firman Allah yang bermaksud :
“…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.”
(Al-Baqarah : 233)
Apabila seorang suami gagal menunaikan tanggungjawabnya memberi nafkah zahir atau batin, maka isteri berhak membuat pengaduan tentang perkara tersebut kepada pihak Mahkamah Syariah.
Puan juga boleh mendapatkan nasihat dan pandangan dengan merujuk kepada Unit Undang-undang Keluarga di Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan.
Tidaklah menjadi kesalahan kepada puan jika telah menggunakan duit suami pada kadar yang sepatutnya bagi keperluan harian sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, katanya :
“Hindun binti ‘Utbah, isteri Abu Sufyan, pernah datang kepada Rasulullah SAW., lalu katanya: “Ya, Rasulullah! Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang bakhil. Dia tidak pernah memberi ku nafkah yang mencukupi bagi keperluanku dan keperluan anak-anakku, kecuali bila kuambil hartanya tanpa pengetahuannya. Berdosakah aku berbuat seperti itu?”

Jawab Rasulullah SAW, “Boleh kamu ambil sekadar perlu untuk mencukupi keperluanmu dan anak-anakmu.” (Riwayat Muslim)
والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.
Sumber: Mufti Selangor
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tak Jadi Puasa Nazar Sebab Datang Haid, Adakah Wajib Qada?

Isi Kandungan
ToggleTak jadi puasa nazar sebab datang haid, adakah wajib qada? Ada di antara kita memasang niat untuk berpuasa nazar apabila doa dan permintaan mereka dimakbulkan Allah.
Sesetengah orang mungkin bernazar secara umum dan ada pula bernazar secara spesifik pada sekian hari dan tarikh. Jadi apabila dia bernazar untuk berpuasa tetapi datang haid adakah seseorang itu perlu mengqada puasanya?
Ikuti penjelasan panjang lebar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.
Artikel Berkaitan:
Saya Memang Bernazar.’ Mona Allen Berhijab Selepas Dikurniakan Anak Pertama
Tak Jadi Puasa Nazar
Definisi nazar menurut fiqh adalah keterikatan atau kewajipan yang ditetapkan seorang muslim mukalaf yang rasyid (bijak melaksanakan) untuk melakukan ibadat yang mendekatkan diri dengan Allah SWT, selagi mana ibadat tersebut bukan fardu ain dan termasuk dalam kategori ibadat sunat atau fardu kifayah.
Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya:
“Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan mentaati Allah SWT, hendaklah dia taat kepada-Nya. Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan melakukan maksiat kepada-Nya, janganlah dia menderhakai-Nya.- (Riwayat al-Bukhari)
Sebab Datang Haid
Merujuk kepada persoalan di atas, seorang wanita telah niat untuk berpuasa nazar pada hari yang ditentukan namun apabila tiba pada hari berkenaan dia telah didatangi haid.
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya seseorang telah bernazar untuk berpuasa, maka dia disunatkan bersegera untuk melakukan nazarnya.
Akan tetapi, perbuatan menyegerakan puasa tersebut tidaklah diwajibkan bahkan dia bebas untuk memilih mana-mana hari yang diinginkan kecuali ketika bulan Ramadan.
Jika seseorang itu telah bernazar untuk berpuasa pada hari-hari tertentu namun tidak dinyatakan secara tepat, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari seperti yang dinazarkan.
Contohnya, sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari khamis namun tidak dinyatakan dengan terperinci sama ada pada hari khamis minggu ini atau minggu hadapan, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari khamis yang diinginkan.
Malahan jika telah berlalu hari khamis pada minggu ini dan dia masih belum menunaikan nazarnya, tuntutan kewajipan puasa itu masih kekal dalam tanggungannya sehinggalah dia meninggal dunia.
Adakah Wajib Qada?
Berbeza pula keadaannya apabila puasa nazar itu telah ditentukan harinya secara tepat. Menurut jumhur ulama, tidak sah puasanya sebelum sampai pada hari yang dinazarkan seperti mana tidak sah solat sebelum masuk waktunya.
Begitu juga diharamkan jika dia sengaja melewatkan puasanya tanpa sebarang keuzuran syar’ie seperti musafir atau sakit. Puasanya setelah daripada waktu yang ditentukan adalah sah dan dianggap sebagai puasa qadha.
Kesimpulan
Wanita yang bernazar untuk melakukan puasa pada hari tertentu perlu merujuk kembali pada niatnya. Jika dia bernazar puasa pada hari tertentu tanpa memperincikan tarikhnya, maka dia bebas untuk memilih mana-mana hari seperti yang dinazarkan.

Manakala, jika wanita tersebut bernazar puasa dengan menyatakan secara tepat hari dan tarikhnya, maka dia wajib berpuasa pada hari berkenaan tanpa diawal atau dilewatkan.
Akan tetapi, sekiranya dia tidak mampu berpuasa disebabkan kedatangan haid justeru ia dimaafkan dan puasanya wajib diqada selepas ia suci daripada haid.
Baca Di Sini:
Perlu Ke Tunaikan Nazar Begini? Ketua Penolong Mufti Wilayah Ulas Isu Nazar Poligami
Kashoorga : Semoga pencerahan ini membantu kita memahami soal puasa nazar dengan lebih mendalam.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Tak Salah Pun Air Mata Kena Jenazah, Banyak Khilaf Dalam Masyarakat Konon Jenazah Terseksa

“JAGA-JAGA AIR MATA TU, JANGAN SAMPAI TERKENA JENAZAH DAN KAIN KAFAN NYA.SEKSA JENAZAH TU.BERAT DIA NAK PERGI”
.
Sorang makcik ‘sound’ pada si suami jenazah. Jenazah isteri telah selesai dikafankan.
Giliran suami nak cium. Dia mencium dahi isterinya. Air mata mengalir ke pipi jenazah. Di peluk isteri lama. Mengalir air matanya terkena kain kafan jenazah.
Seorang makcik bersuara.
“Angkat suami dia tu. Jangan peluk lama-lama arwah isteri awak tu. Jangan sampai air mata ni menitik kena jenazah. Kesian dia. Berat dia nak pergi….”. Maka si suami dipapah oleh anak lelakinya keluar rumah.
Inilah khilaf yang sering berlaku dalam masyarakat Melayu Islam kita. Sebenarnya biarkan sahaja contohnya jika si suami ingin mencium dan memeluk isterinya lama buat kali terakhir.
Kalau pun dia menangis dan air matanya terkena kain kafan tak mengapa. Tiada hadis atau nas yang mengatakan tak boleh. Di saat itulah si suami mungkin sedang berbisik memaafkan dan menghalalkan segala makan minum kepada isterinya.
Ingat yang tak boleh itu jika kamu meratap atau meraung di hadapan jenazah atau sewaktu kematian nya. Dilarang keras oleh Rasulullah SAW.
Kekhilafan yang ramai lakukan dan masih berlaku hingga hari ini.
Sedikit petikan dari pejabat Mufti Wilayah ialah larangan meratap terhadap jenazah
Diharamkan atas keluarga si mati meratap (menangis dengan suara yang kuat/meraung, mengoyak baju, menampar pipi, memukul badan, menarik rambut). Tegahan ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:-
اثْنَتَانِ فِي النَّاسِ هُمَا بِهِمْ كُفْرٌ الطَّعْنُ فِي النَّسَبِ وَالنِّيَاحَةُ عَلَى الْمَيِّتِ
Maksudnya: “Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah dari perbuatan orang kafir: mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat.” Riwayat Muslim (67)
Keterangan: Dibolehkan menangis/mengalirkan air mata tanpa mengeluarkan suara sebagai tanda sedih atas kematian orang yang disayangi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalirkan air mata pada hari kematian anaknya Ibrahim sebagaimana di dalam hadith riwayat Al-Bukhari, Muslim dan lain-lain.
Bahkan dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:-
إِنَّ المَيِّتَ لَيُعَذَّبُ بِبُكَاءِ أَهْلِهِ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya mayat diazab dengan tangisan keluarganya terhadapnya.”
Riwayat al-Bukhari (1286), Muslim (928)

Mengikut Imam al-Nawawi, hadith ini diberi beberapa takwilan antaranya:-
-Ia ditanggung dengan maksud jika si mati mewasiatkan kepada keluarga dan yang hidup untuk meratap dan meraung atas kematiannya.
– Ia memberi maksud kaum keluarga menangis pada tahap ratapan
– Ia bermaksud ia diazab dengan sebab memperdengarkan tangisan keluarganya untuk menjadikan hati mereka mengasihani berlebihan. Inilah pendapat Ibn Jarir al-Tabari. Hal ini juga dipilih oleh al-Qadhi ‘Iyadh.
Sekadar tangisan biasa atau kesedihan tidaklah menjadi kesalahan.
Ia berdasarkan sabda Rasulullah SAW.
العَيْنُ تَدْمَع، وَالْقَلْبُ يَحْزَنُ، ولا نَقُولُ إِلَّا مَا يُرْضِى الرَّبُّ، وَإْنَّا عَلَيْكَ يَا إِبْرَاهِيم لَمَحْزُونُون
Maksudnya: “Mata mengalirkan airnya, hati begitu sedih dan kami tidak kata kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan. Dan sesungguhnya kami atas perpisahanmu hai Ibrahim begitu sedih.”
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapa Perlu Jaga Adik Perempuan OKU Selepas Ibu Bapa Tiada, Adik Beradik Lelaki Atau Perempuan?

Isi Kandungan
ToggleSoalan
Saya ada persoalan dan kemusykilan berkenaan tanggungjawab menjaga adik perempuan yang OKU dari sudut hukum. Saya mempunyai adik perempuan OKU (cacat mental sejak lahir) yang dijaga abang kedua sejak kematian ibu.
Abang sulung tinggal jauh namun mengeluarkan belanja setiap bulan untuk abang kedua menampung kehidupan memandangkan dia bekerja secara freelance. Saya satu-satunya kakak yang ada, sudah berkahwin dan tinggal jauh. Saya hanya boleh balik ke kampung ketika cuti sekolah untuk bergilir menjaga adik yang OKU.
Masalah timbul apabila isteri abang kedua persoalkan tanggungjawab itu sepatutnya jatuh kepada saya kerana saya anak perempuan dan adik OKU saya itu juga perempuan. Hal ini menyebabkan rasa tidak puas hati dalam diri isteri abang kedua dan boleh menyebabkan pergaduhan dalam keluarga sekiranya tidak diselesaikan dengan baik.
Persoalan saya, dari sudut hukum siapa sebenarnya perlu memikul tanggungjawab tersebut, Adakah anak perempuan atau lelaki?
Apa nasihat yang terbaik untuk isteri abang sekiranya abang sanggup ambil alih tanggungjawab tersebut? Mohon pencerahan.
Jawapan
Wa’alaikumussalam.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Golongan OKU yang cacat mental sejak lahir dikategorikan sebagai al-mahjur ‘alaih telah ditetapkan syarak bahawa terdapat wali yang telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan urusan berkaitan diri dan harta mereka.
Tertib susunan golongan wali yang ditetapkan untuk menguruskan harta golongan al-mahjur ‘alaih di dalam wilayahnya menurut mazhab Syafie ialah bapa, kemudian datuk, kemudian sesiapa yang dilantik sebagai pemegang amanah bagi kedua-duanya, kemudian qadi atau sesiapa yang dilantik oleh hakim.
Tertib susunan pengurusan golongan al-mahjur ‘alaih
Manakala, bagi tertib susunan wali bagi pengurusan diri golongan al-mahjur ‘alaih pula ialah bapa, kemudian datuk dan bapa kepada datuk, kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lain mengikut turutan pewarisan.
Wali yang bertanggungjawab wajib untuk menjaga diri atau harta orang yang di dalam wilayahnya sama ada daripada segi pendidikan, kebajikan, nafkah, kesihatan, pengurusan harta dan lain-lain dengan sebaiknya seperti yang telah digariskan syarak, sehinggalah tergugurnya sifat-sifat al-mahjur ‘alaih yang secara tidak langsung menggugurkan hak wilayah wali tersebut.
Berbalik kepada isu persoalan yang telah diajukan, berdasarkan dalil dan perbahasan ulama difahami dengan jelas bahawa tanggungjawab menjaga pengurusan diri adik OKU perempuan itu merupakan tanggungjawab wali iaitu saudara kandung lelaki.
Saudara kandung lelaki perlu menjaga keperluan adik perempuan
Justeru, saudara kandung lelaki perlu memastikan keperluan adik perempuan tersebut terjaga sama ada daripada segi keperluan makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain yang berkaitan dengan pengurusan dirinya serta menjaga dan mengawasi keselamatan adik perempuan itu agar jauh daripada sebarang keburukan atau kecelakaan.
Namun begitu, suka kami menasihatkan agar ahli keluarga lain juga turut membantu dalam hal ehwal penjagaan adik perempuan tersebut. Ini sepertimana yang dianjurkan dalam Islam iaitu untuk membantu dalam melakukan kebaikan dan membantu menyantuni golongan OKU ini termasuk dalam kebaikan yang digalakkan. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).
[Surah al-Maidah: 2]
Anggap peluang menuai pahala
Tambahan, sebagai seorang Muslim yang beriman kita seharusnya menganggap bahawa menjaga orang yang kurang berkemampuan ini bukanlah merupakan suatu beban, bahkan ia merupakan satu jalan dan peluang yang Allah SWT berikan kepada kita dalam menuai pahala dan dijadikan saham kita di akhirat kelak. Menjaga silaturrahim dan kebajikan ahli keluarga juga telah dijanjikan Allah SWT ganjaran yang baik, antaranya seperti yang telah disabdakan Rasulullah SAW:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُبْسَطَ لَهُ فِي رِزْقِهِ، وَيُنْسَأَ لَهُ فِي أَثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.”
[Riwayat al-Bukhari (5986) dan Muslim (2557)]
Penerangan dan hujah jawapan
Penerangan dan hujah di atas berdasarkan huraian di bawah yang menyimpulkan beberapa perkara, iaitu:
Wilayah dalam Islam
Wilayah daripada segi bahasa bermaksud kasih sayang dan pertolongan. Allah SWT berfirman:
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ
Maksudnya: Dan barangsiapa mengambil Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman menjadi penolongnya, maka sesungguhnya pengikut (agama) Allah itulah yang pasti menang.
[Surah al-Maidah: 56]
Manakala daripada segi istilah, wilayah bermaksud melaksanakan kekuasaan atas orang lain serta mengawasinya. Sebahagian para ulama juga telah mendefinisikan wilayah kepada pelaksanaan kuasanya atau pengawasan ke atas orang lain sama ada orang itu suka atau tidak. Orang yang diberi hak wilayah oleh syarak ini dinamakan wali.
Hikmah daripada pensyariatan wali ke atas kanak-kanak dan orang yang tidak mampu mengurus diri sendiri adalah untuk menjaga hak mengatur urusan dan menjaga kemaslahatan mereka agar tidak terbiar. [Lihat al-Fiqh al-Manhaji, jld. 4, hlm. 60-61]
Golongan yang Disabitkan ke Atasnya Wilayah (Perwalian)
Disabitkan wilayah -bukan wakalah – menurut syarak ke atas golongan al-mahjur ‘alaih, iaitu:
-Kanak-kanak (al-saghir)
-Orang gila (al-majnun)
-Orang kurang akal (al-ma’tuh)
-Orang yang bodoh (al-safih)
-Orang yang melampau (zu al-ghaflah)
Sabitan wilayah ke atas golongan-golongan ini akan berterusan selagi mana golongan-golongan ini mempunyai sifat-sifat al-mahjur ‘alaih. Namun, sekiranya tiada lagi sifat-sifat yang mensabitkan mereka sebagai al-mahjur ‘alaih, maka pensabitan wilayah akan terputus. [Lihat al-Mausu’ah al- Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, jld. 45, hlm. 160]
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan dalam kitabnya mengenai al-ma’tuh;
“al-Ma’tuh ialah seseorang yang kurang kefahamannya, kurang jelas pertuturannya, dan lemah pentadbirannya disebabkan gangguan akalnya sama ada sejak lahir atau disebabkan penyakit secara tiba-tiba.
Sekiranya kelemahan akalnya itu teruk, dan dia tidak mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti orang gila dan kanak-kanak yang tidak mumayyiz; iaitu setiap tasarruf hartanya dianggap terbatal. Manakala, sekiranya kelemahan akalnya itu ringan, dan dia merupakan seorang yang mumayyiz, maka dihukumkan dia seperti kanak-kanak mumayyiz; setiap perkara yang memanfaatkan dan memudaratkan tertakluk kepada keizinan walinya”. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 5, hlm. 438]
Golongan yang Mempunyai Hak Kekuasaan Sebagai Wali
Bagi golongan al-mahjur ‘alaih, pengurusan mereka ini diletakkan di bawah wilayah seorang wali. Para ulama mempunyai beberapa pendapat dalam penetapan wali dan tertib susunannya yang mempunyai hak wilayah ke atas golongan-golongan tersebut berdasarkan pembahagian wilayah.
Wilayah terbahagi kepada dua iaitu wilayah ke atas diri dan wilayah ke atas harta.
Wilayah ke atas harta
Wilayah ke atas harta ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan orang yang tidak mempunyai kelayakan mentadbir dalam urusan hartanya seperti menjaga harta, menanam modal, mengadakan kontrak dan mengambil tindakan yang berkaitan dengan harta. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa:
“Siapakah yang akan menjadi wali kepada kanak-kanak dan orang gila? Maka yang menjadi wali ialah ayah, kemudian datuk, kemudian orang yang dilantik menjadi pemegang amanah kedua-duanya (diwasiatkan), kemudian hakim atau sesiapa sahaja yang dilantik oleh hakim.
Ayah mempunyai hak wali ini menurut pendapat ijmak sepertimana yang dinukilkan oleh al-Mutawalli dan lain-lain, manakala datuk dan ke atas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama; mazhab Syafie mengatakan bahawa datuk mempunyai hak wali berdasarkan dalil bahawa dia sepertimana seorang ayah dalam urusan perkahwinan.” [Lihat Raudhah al-Thalibin, jld. 3, hlm. 421]
Imam Khatib al-Syirbini menjelaskan mengenai hak wilayah ke atas harta:
“Tiada hak wilayah ke atas seorang ibu menurut pendapat yang asah. Ini adalah seperti tiadanya hak ibu sebagai wali dalam pernikahan. Dan diutamakan datuk sebelum pemegang amanah keduanya (ayah dan datuk) disebabkan datuk ini seperti seorang ayah dari sudut kasih sayangnya terhadap anak tersebut. Begitu juga bahawa tiada hak wilayah yang diberikan kepada abang kandung dan bapa saudara” [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 2, hlm. 174]

Wilayah ke atas diri
Wilayah ke atas diri individu ialah mengambil perhatian dan menyelenggarakan urusan peribadi yang tidak sempurna kelayakannya untuk menjalankan tugas. Contohnya, urusan perkahwinannya, pelajaran, disiplin, perubatan, pekerjaan dan sebagainya. [Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jld. 4, hlm. 141]
Para fuqaha telah menetapkan bahawa terdapat tiga perkara yang menyebabkan hak wilayah ke atas diri seseorang iaitu: kanak-kanak, orang gila – terkait juga dengannya orang yang kurang akal – orang perempuan. [Lihat al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah al-Fiqhiyyah, jld.45, hlm. 168]
Menurut ulama mazhab Syafie, tertib wali ke atas diri individu bermula dengan ayah, kemudian datuk dan ayah kepada datuk (moyang), kemudian saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian anak lelaki kepada saudara lelaki kandung atau sebapa, kemudian pakcik daripada sebelah bapa, kemudian anak lelaki kepada pakcik daripada sebelah bapa, kemudian ‘asobah yang lainnya menurut turutan perwarisan. [Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 249]
Justeru, sekiranya seorang wanita itu tidak mempunyai ayah atau datuk, hak wali dipegang oleh saudara lelaki seibu sebapa atau sebapa sama ada abang atau adik.
Menjaga Hubungan Silaturahim Sesama Keluarga
Islam mensyariatkan ke atas umatnya untuk menjaga hubungan silaturrahim sesama manusia, khususnya dengan kaum kerabat. Firman Allah SWT:
وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيۡكُمۡ رَقِيبٗا
Maksudnya: Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.
[Surah al-Nisa’: 1]
Abu Ayyub al-Ansari r.a telah meriwayatkan hadis bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan yang membolehkan seseorang masuk ke syurga, maka Baginda SAW bersabda:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik kepada-Nya dengan sesuatu pun, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan hubungkanlah silaturahim.
[Sahih al-Bukhari (5983)]
Bahkan terdapat kecaman daripada Allah SWT bagi orang-orang yang memutuskan silaturrahim, sepertimana yang telah disebutkan melalui firmanNya:
فَهَلۡ عَسَيۡتُمۡ إِن تَوَلَّيۡتُمۡ أَن تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَتُقَطِّعُوٓاْ أَرۡحَامَكُمۡ أُوْلَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَعَنَهُمُ ٱللَّهُ فَأَصَمَّهُمۡ وَأَعۡمَىٰٓ أَبۡصَٰرَهُمۡ
Maksudnya: “(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa- kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”
[Surah Muhammad: 22-23]
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan segala titah perintahNya. Amin.
Wallahu’aklam.
Sumber: Mufti Penang
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI