Suami bergurau mengatakan perut isterinya sama seperti perut ibunya. Di mana hendak maksudkan buncit seperti ibunya yang sudah tua. Kadang-kadang suami juga sering bergurau mengatakan perut isterinya sama besar seperti perut suaminya. Adakah situasi di mana suami mengatakan perut isterinya sama seperti perut ibunya dianggap lafaz zihar juga.
Isteri cuba mendapatkan penjelasan yang jelas apakah yang dimaksudkan sama seperti ibunya, lalu suami menjelaskan buncit seperti ibunya yang sudah tua atau makna kata lain suami ingin mengatakan isterinya sudah buncit seperti orang tua tetapi mengambil contoh orang terdekat seperti ibunya. Sedangkan isterinya mengetahui akan zihar tetapi suaminya tidak tahu akan zihar. Setelah isterinya menceritakan maksudnya, suami tidak lagi bergurau. Akan tetapi, isteri keliru akan lafaznya yang lalu. Minta tolong perjelaskan.
Terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam keatas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan keatas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Definisi Zihar
Zihar dari segi bahasa adalah az-Zohr (belakang) kerana gambaran zihar yang asal adalah bilamana seorang lelaki berkata kepada isterinya: “Engkau ke atasku ibarat az-Zohr ummi (belakang ibuku).
Pada zaman Jahiliyyah zihar digunakan oleh suami yang membenci isterinya tetapi enggan menceraikannya lalu dia melakukan zihar. Mereka menganggap status Perempuan yang telah dizaharkan itu sudah tak bersuami lagi tapi masih tidak boleh berkahwin dengan suami yang baru (bukan bersuami dan bukan juga bujang).
Manakala dari sudut syarak bermaksud: “Suami menyamakan isterinya yang bukan dalam talak bain dengan seseorang wanita yang haram berkahwin selama lamanya dengannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, jld. 3 hlm. 352)
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, zihar ialah perbuatan suami melafazkan kata-kata yang menyamakan salah satu anggota isterinya dengan ibunya atau mahramnya sehingga haram suami tersebut menyetubuhi isterinya dalam keadaan demikian, si suami wajib membayar kifarat zihar. Ia juga memberi maksud; perkataan suami menyamakan isteri dengan anggota belakang ibunya bagi menggambarkan seolah-olah isterinya haram disetubuhi seperti mana haramnya ia menyetubuhi ibu kandungnya sendiri atau mahramnya yang lain.
Rukun rukun Zihar
Zihar mempuyai empat rukun iaitu;
Pertama: Muzahir iaitu suami.
Kedua: Muzahar Minha iaitu isteri
Ketiga: Sighah iaitu lafaz zihar
Keempat: Mushabbah bihi seperti ibu kandung.
Hukum Melakukan Zihar
Berkenaan hukum melakukan zihar, Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka daripada kalangan kamu bahawanya mereka itu (para isteri) diserupakan sebagai ibu-ibu mereka (dari sudut keharaman). Sesungguhnya ibu-ibu mereka itu tidaklah melainkan yang mengandungkan mereka. Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta. Sesungguhnya Allah itu Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.
(Surah al-Mujadalah: 2)
Merujuk kepada ayat di atas, zihar disifatkan sebagai ucapan yang mungkar lagi dusta. Keduanya itu merupakan suatu bentuk keharaman yang menjadikan zihar dalam maksudnya yang sebenar hukumnya adalah haram dan termasuk dalam dosa-dosa besar. Imam Ibnu Hajar al-Asqalani berkata: “Sesungguhnya telah diistidlalkan (dijadikan dalil untuk mengeluarkan hukum) firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya mereka mengatakan sesuatu yang mungkar dan juga dusta, bahawa zihar adalah haram.”
(Surah al-Mujadalah: 2)
(Lihat Fath al Bari Syarh Sahih al-Bukhari, jld. 10 hlm. 542)
Manakala Syeikh Syamsuddin Ibnu Syihab ad-Din ar-Ramli menyebut: “Ia (zihar) haram, bahkan (termasuk) dosa besar, kerana menukar hukum Allah SWT dan menggantikannya (iaitu mengubah status isteri yang halal dinikahi dan disetubuhi kepada status haram melakukannya sepertimana haram mengahwini ibu). Ini perkara yang lebih bahaya daripada kebanyakan dosa-dosa besar kerana melibatkan isu kekufuran, jikalau tidak kerana (pelaku zihar) tidak beriktikad (untuk mengubah hukum Allah SWT, sudah tentu dikira kufur), dan (perlakuan zihar ini) menyerupai perbuatan kufur dan perkara lain, kerana itu Allah SWT mengatakannya sebagai sesuatu yang mungkar dan dusta.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, jld. 7 hlm. 82)
Ads
Implikasi Zihar
Imam al-Nawawi menerangkan mengenai dua hukum yang terkait (implikasi) daripada zihar:
Pertama: Haram menyetubuhi isterinya sehingga si suami itu membayar kaffarah zihar.
Kedua: Wajib membayar kaffarah sekiranya si suami itu melakukan al-‘aud pengertian Al-‘Aud ialah perbuatan (si suami) mengekalkan pernikahan dengan isteri yang dizihar pada tempoh yang memungkinkan beliau menceraikan isterinya itu tetapi beliau tidak melakukannya. (Lihat: Raudhah at-Tholibin, jld. 6, hlm. 244-245, Mughni al Muhtaj, jld. 3 hlm.357)
Manakala kaffarah zihar adalah seperti berikut:
Pertama: Bebaskan seorang hamba yang Islam. Sekiranya tiada; maka
Kedua: perlu berpuasa dua bulan secara berturutan. Sekiranya tidak mampu berpuasa atas sebab sakit yang berlarutan atau terlalu tua; maka
Ads
Ketiga: perlu beri makan kepada 60 orang fakir miskin. Setiap seorang satu cupak makanan.
Mesyuarat jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang telah memutuskan bahawa nilaian kaffarah satu cupak makanan bagi Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak RM 10.00. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Dan mereka yang menziharkan isteri-isteri mereka, kemudian ingin menarik semula apa yang telah mereka katakan maka (kaffarah ke atas mereka) dengan memerdekakan seorang hamba sebelum keduanya (suami isteri) itu bercampur. Dan sesiapa yang tidak mendapatinya hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama. Sesiapa yang tidak mampu (untuk berpuasa dalam tempoh itu) hendaklah dia memberi makan kepada 60 orang miskin. Yang demikian itu supaya kamu beriman kepada Allah dan juga RasulNya. Dan itulah hudud (batasan) Allah. Dan buat orang kafir itu azab yang pedih.
[Surah al-Mujadalah: 3-4]
Kesimpulan
Para Ulama Mazhab Syafei membincangkan perkataan suami; “perut awak seperti perut ibu saya”, dan ungkapan tersebut dihukumkan sebagai zihar jika dia berkata; “Awak adalah haram keatas saya seperti haramya perut ibuku”. Ini kerana perkataan tersebut secara jelas bertujuan mengharamkan isterinya ke atas dirinya sendiri.
Namun sekiranya perkataan itu adalah untuk memuji kecantikan isteri atau tujuan hanya untuk bergurau seperti apa yang terjadi kepada puan yang bertanya atau tanpa ada apa-apa tujuan, maka perkataan itu tidaklah termasuk dalam kes zihar yang diharamkan syarak.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Tinggal berjauhan, hukum suami minta gambar isteri tidak berpakaian untuk ubati rindu. Maklumlah bila perhubungan jarak jauh (PJJ) ini, perasaan saling merindu itu lain macam.
Berjumpa hanya sekali-sekala atas tuntutan kerja dan mencari rezeki untuk keluarga tercinta, pasti ada masanya suami akan meminta menghantar gambar sang isteri apalagi dalam dunia serba moden ini.
Gambar atau video dengan mudah dapat dikirim hanya melalui telefon pintar. Gambar biasa yang menutup aurat mungkin tidak datangkan masalah, namun bagaimana hukumnya jika suami minta gambar isteri tidak memakai baju.
Adakah dibenarkan? Ikuti penjelasan panjang lebar daripada Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang dalam berdepan isu ini:
Selepas berlakunya akad nikah yang sah antara seorang lelaki dan wanita, maka tiada lagi aurat antara mereka berdasarkan hadis:
“Jagalah aurat kamu kecuali daripada isteri kamu atau hamba yang kamu miliki”.
Ulama bersepakat bahawa tidak haram suami melihat seluruh tubuh isterinya dan begitu juga sebaliknya.
Bagaimanapun, tindakan berkongsi gambar yang mendedahkan aurat antara suami isteri di dalam WhatsApp dan media sosial dibimbangi akan membuka ruang terdedahnya gambar tersebut kepada orang lain.
Ini seterusnya boleh menyebabkan kemudaratan lebih besar. Maka, perkara tersebut lebih baik untuk dielakkan dan ini bertepatan dengan beberapa kaedah fiqh iaitu: Menutup pintu-pintu yang boleh membawa kemudaratan.
Hukum Suami Minta Gambar
Namun, melihat kepada pasangan (yang halal) sambil masing-masing menimbulkan keghairahan kemudian diikuti dengan perbuatan onani pula mempunyai hukumnya yang tersendiri.
Hukum onani bagi mereka yang tidak mampu bernikah dan takut terjatuh ke dalam maksiat adalah harus dan tidak berdosa. Bahkan, kaedah fiqhiyah juga menyebut: “Kemudaratan itu membolehkan apa yang terlarang”.
Ini merupakan pendapat yang diriwayatkan daripada Imam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim serta pendapat daripada Ibn Aqil.
Bahkan, pendapat ini diperkuatkan oleh Imam Ahmad dengan riwayat bahawa para sahabat terdahulu beronani dalam perang dan ketika musafir sebagai keharusan melakukannya apabila terdesak dan perlu. (Lihat: Al-Bada’I Wal Fawa’id, jilid 2, halaman 870).
Adapun apabila melakukan onani itu hanya kerana mencari keseronokan dan berhibur dengannya, maka hukumnya adalah haram dan ditegah.
Ia termasuk dalam perbuatan yang keji dan kotor serta memudaratkan akal serta jiwa sehingga menjadikan dirinya dikuasai oleh syahwat dan dibimbangi akan terjebak kepada perzinaan.
Namun, apabila syahwat itu terlalu mendesak dan menggoda, maka beronani dengan tangan atau apa jua alatan asalkan sekadar mencukupi untuk memuaskan syahwat demi mencegah zina.
Isteri Tidak Berpakaian
Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan dalam beronani iaitu:
a) Hukum onani akan menjadi haram apabila seorang lelaki itu menggunakan gambar lucah atau bayangan di otaknya akan perkara kotor atau berkhayal wanita kerana ini bukan lagi beronani demi mencegah zina, sebaliknya ia sudah bertujuan mencari kepuasan dan berseronok dan perbuatan seperti itu diharamkan.
Oleh demikian tidak digalakkan memuaskan nafsu secara online, walaupun dengan pasangan yang halal, sebab ia akan menimbulkan ketagihan dan kemungkinan akan terjebak melakukan perkara lebih jauh lagi hingga membawa kepada perkara diharamkan oleh syarak. Perlu diingat, tidak boleh berseronok dengan jalan yang haram.
b) Adapun sebaliknya, mereka yang terdesak cukup sahaja beronani tanpa perlu bayangan dan khayalan atau apa-apa modal yang halal atau haram kerana niatnya sekadar untuk mengurangkan tekanan seksual. Ini dibolehkan.
Begitu juga wanita yang tidak mampu menahan desakan batin maka tidak mengapa mereka beronani dengan menggunakan tangan atau apa alatan yang tidak merbahaya asalkan dibuat setelah terdesak bukan dengan sengaja atau berniat mencari keseronokan.
Firman Allah SWT: “Dan bertakwalah kamu kepada Allah semampu kamu.”- (Surah al-Taghabun: 16).
Untuk Ubati Rindu
Kesimpulannya, apabila terdesak dan perlu untuk menurunkan tekanan syahwat dengan cara beronani, namun begitu tidak digalakkan menggairahkannya melalui online, panggilan video dan sebagainya.
Adalah dianjurkan supaya pasangan tersebut berusaha menjaga syahwat mereka dengan berpuasa serta berusaha menghindarkan diri daripada membayangkan kelazatan berjimak bersama pasangan.
Oleh demikian, hendaklah mereka berikhtiar untuk dapat berkumpul semula dan tidak tinggal berjauhan supaya tercapai matlamat perkahwinan yang telah dibina dengan ikatan diredhai Allah SWT.
Ingatlah pesanan Allah SWT ini dan jadikanlah ia sebagai motivasi. Firman Allah SWT;
“Adapun orang yang takut kepada kebesaran tuhannya dan menahan diri daripada hawa nafsunya maka syurgalah tempatnya.” (Surah Al-Nazi’at: 40-41).
Tawaf sambil sentuh kaabah atau kiswah, jangan sampai terbatal tawaf? Tidak dinafikan tatkala dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci, perasaan teruja dan kagum bercampur-baur bila melihat Kaabah di depan mata.
Namun begitu, bab hukum jangan diambil ringan kerana dilihat ramai jemaah teruja menyentuh kaabah setiap kali melakukan tawaf jika berpeluang.
Ikuti perkongsian Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil berkaitan persoalan ini.
Apa hukum pegang kaabah atau kiswah ketika tawaf? Saya dengar hukumnya batal tawaf. Mohon penjelasan alfadhil ustaz.
Jawapan:
Menurut mazhab Syafi’i antara syarat sah tawaf samaada haji mahupun umrah ialah seluruh badan orang yang bertawaf berada di luar binaan asal Kaabah. Perkara ini dijelaskan di dalam kitab Busyra al-Karim:
التاسع: كونه خارج البيت والشاذروان والجحر بجميع بدنه
Maksudnya: Syarat kesembilan (sah tawaf): hendaklah seluruh tubuh badan orang yang bertawaf di luar binaan Kaabah, Syazarwan dan Hijr (Ismail).
Sebagai maklumat tambahan, bentuk binaan Kaabah yang wujud sekarang ini bukan saiz Kaabah yang sebenar sepertimana yang dibina pada zaman Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam, iaitu saiz yang ada sekarang lebih kecil daripada saiz Kaabah pada zaman dahulu.
Atau Kiswah
Kisah pembinaan dan penstrukturan semula Kaabah telah melalui sejarah yang panjang.
Syazarwan lebih dikenali sebagai bingkai Kaabah yang menggambarkan Saiz panjang dan lebar Kaabah yang sebenar.
Manakala Hijir Ismail juga termasuk dalam binaan Kaabah yang asal. Oleh itu, sesiapa yang bersolat di dalam Hijir Ismail bermakna dia mendirikan solat di dalam Kaabah.
Oleh yang demikian, sesiapa sahaja yang bertawaf sambil menyentuh Kaabah, Rukun Yamani atau masuk ke dalam Hijr Ismail bermakna sebahagian tubuhnya telah masuk ke dalam bangunan Kaabah.
Jangan Sampai
Perkara ini dijelaskan dalam kitab Busyra al-Karim:
من قبل الحجر الأسود أو استلم اليماني فإنه يدخل في جزء من البيت
Maksudnya: “Sesiapa yang mencium Hajar Aswad atau menyentuh Rukun Yamani, sesungguhnya tubuhnya telah masuk dalam bahagian Kaabah”.
Untuk menjawab persoalan di atas, sesiapa yang sedang bertawaf sambil menyentuh Kaabah atau Rukun Yamani bermakna sebahagian tubuhnya telah masuk dalam Kaabah, maka perbuataan ini boleh menjejaskan keabsahan tawaf yang merupakan salah satu daripada rukun-rukun haji dan umrah.
Walaubagaimana pun perbuatan ini tidaklah membatalkan keseluruhan tawaf atau sesuatu pusingan itu, iaitu tidak perlu mengulangi tawaf semula dari awal.
Apa yang perlu dilakukan menurut ulama Syafi’iyyah ialah kembali semula pada tempat dia mula menyentuh Kaabah, Hajar Aswad atau Hijir Ismail, kemudian berdiri tetap pada tempat itu, berdiri tegak, menjadi bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah dan menyambung kembali tawaf. Ini telah dinyatakan juga dalam rujukan yang sama:
فليقر قدميه حتى يفرغ منهما ويعتدل قائما ثم يجعل البيت عن يساره ويسير
Maksudnya: “…maka hendaklah dia menetapkan kedua-dua kakinya sehingga selesai kedua-duanya(cium Hajar Aswad dan sentuh Rukun Yamani), dan berdiri tegak, kemudian mengarahkan bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah, lalu berjalan (sambung tawaf)”.
Berdasarkan kenyataan di atas, menyentuh Kaabah ketika tawaf tidak membatalkan tawaf secara mutlak, iaitu orang yang bertawaf tidak perlu mengulangi pusingan itu atau mengulangi pusingan-pusingan sebelum ini.
Dia hanya perlu kembali berdiri tetap pada posisi dia menyentuh Kaabah atau berundur sedikit dan bahagian kiri tubuhnya ke arah Kaabah, kemudian menyambung semula pusingan tawaf itu.
Jika dia menerus tawaf setelah menyentuh Kaabah atau seumpamanya tanpa kembali di posisi asal ketika sentuhan berlaku, maka pusingan tawaf itu sahaja yang tidak sah dan perlu diulangi.
Wallahu A’lam
Kashoorga: Teruja biarlah berpada-pada, jangan sampai ibadah terbatal.
Ada kala dalam keadaan tertentu kita terpaksa lalu atau melintas di hadapan orang sedang solat namun ada juga yang melakukannya tanpa sebab kerana merasakan tiada salahnya Apakah sebenarnya hukum jika kita melintas atau lalu di hadapan orang yang sedang sembahyang itu?
Hakikatnya, di dalam Islam, melintas di hadapan orang sedang bersembahyang adalah dilarang. Dalilnya adalah hadis muttafaqun ‘alaihi berikut ini:
Rasulllah SAW bersabda,
“Seandainya orang yang melintas (lalu) di hadapan orang solat dan dia mengetahui tentang dosanya, maka pastilah menunggu selama 40 lebih baginya daripada lewat di depannya. (HR Bukhari dan Muslim)
Salah seorang perawi hadis, Abu An-Nadhr, berkata, “Aku tidak tahu apakah maksudnya itu 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.
Maka bagi mengelakkan ada orang melintas di hadapan sewaktu kita bersolat, ada baiknya kita memilih ruang yang tidak memungkin orang lalu-lalang di hadapan kita.
Letak penghalang
Cara penyelesaiannya ialah dengan meletakkan pembatas seperti barang atau benda-benda tertentu di hadapan kita. Misalnya batas sejadah, atau buku, beg tangan, tongkat, pensil atau apapun.
Dengan adanya batasan itu, maka orang-orang akan tahu bahawa mereka tidak boleh berjalan di situ. Kalau mahu melintas, maka dibolehkan melintas batasan yang diletakkan tadi.
Kita selalu nampak beberapa jemaah yang sedang sembahyang meletakkan beg mereka di hadapan. Usaha ini adalah untuk mengelakkan orang ramai melintas di hadapan jemaah yang sedang solat sesuka hati. Jika ada tembok atau tiang di surau atau masjid, maka boleh lah solat berhampirannya kerana itu juga merupakan batasan yang tidak dapat dilalui orang lain.
Ada dalil dari sunnah nabawiyah yang menganjurkan hal ini, sebagaimana diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim.
Janganlah kalian solat kecuali menghadap sutrah (pembatas) dan jangan benarkan seseorang melintasi di depanmu (HR Muslim)
Dari Abi Said Al-Khudri r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kalian solat maka gunakan sutrah (pembatas) dan hendaklah mendekat dan jangan membiarkan seseorang lalu di tengahnya. (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan hadis ini hasan)
Dari Sahal r.a bahwa nabi SAW bersabda, “Apabila kamu solat dengan menggunakan sutrah maka mendekatlah dan jangan sampai dipotong syaitan. (HR Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dan Al-Hakim. Hadis sahih)
Para ulama’ menuliskan dalam banyak kitab fiqh bahawa batas jarak itu adalah 3 zira’ (hasta). Sehingga bila jarak antara orang solat dengan pembatas itu lebih dari sehasta, maka dianggap boleh dilalui dan tidak ada dosa buat yang lalu di depannya.
Ukuran jarak 3 hasta ini oleh para ulama’ dianggap berlaku juga bila tidak ada pembatas. Sehingga lewat di depan orang shalat asalkan sudah berjarak 3 hasta dianggap tidak melanggar larangan.