Kerohanian

Suami Larang Ziarah Ibu Bapa Sendiri, Perlukah Isteri Taat?

Share

Dalam Islam seorang isteri memang wajib taat pada suami. Namun begitu ada kala isteri berdepan dengan situasi yang membuatkan mereka dalam keadaan serba salah.

Antaranya dalam keadaan suami tidak mengizinkan isteri berhubung atau menziarahi orang tuanya sendiri. Ia sudah tentu menyebabkan isteri dalam dilema, isteri pasti tidak mahu menderhaka pada suami tapi dalam masa yang sama perlu menjaga hubungan dengan ibu bapa sendiri.

Dalam hal ini adakah isteri perlu patuh dengan larangan suami? Penjelasan daripada Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri yang juga bekas mufti ini boleh dijadikan panduan buat isteri yang berada dalam situasi ini.

Kewajipan isteri taat suami

Ulama bersepakat bahawa di antara perkara yang menjadi kewajipan isteri untuk mentaati suaminya ialah melayani suaminya dan sentiasa tinggal di rumah suaminya.

Pada asalnya isteri tidak boleh keluar dari rumah suaminya iaitu bait al-zaujiyah (rumah kehidupan suami dan isteri) tanpa sebab yang syar’ie melainkan dengan keizinan suaminya. Hal ini sebagaimana hadis Nabi SAW yang menyebutkan:

إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى المسْجِدِ، فَأْذَنُوا لَهُنَّ

Maksudnya: “Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka.”  Riwayat al-Bukhari (865) dan Muslim (442)

Justeru, isteri hendaklah memohon keizinan suaminya untuk keluar daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi kedua ibubapanya.

Hal ini sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Nabi SAW dalam peristiwa hadis al-ifk (peristiwa fitnah kepada ‘Aisyah) iaitu ketika ‘Aisyah R.anha meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibubapanya.‘Aisyah berkata kepada Nabi SAW:

أَتَأْذَنُ لِي أَنْ آتِيَ أَبَوَيَّ؟ قَالَتْ: وَأُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا، قَالَتْ: فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Adakah engkau mengizinkanku untuk mendatangi kedua ibubapaku? Lalu berkata ‘Aisyah ketika meriwayatkan peristiwa itu: Hal ini disebabkan aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua mereka”. Maka Rasulullah SAW mengizinkan daku.

Adakah wajib isteri patuh larangan jumpa ibu bapa?

Pada asasnya, para ulamak menyatakan wajib bagi isteri untuk mentaati perintah suaminya selagi mana perintah tersebut tidak bercanggah dengan syarak.

Begitu juga ketika mana suami menghalangnya untuk menziarahi kedua ibu bapanya kerana kedudukan suami lebih tinggi daripada kedua ibu bapa.

Namun begitu, sekiranya larangan tersebut boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus, atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan khidmat anak, maka sesetengah ulama’ menyatakan ia diharuskan bagi isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.

Menjawab persoalan di atas, disimpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

-Diharuskan bagi isteri untuk keluar menziarahi keluarganya sekalipun tanpa izin suaminya sekiranya ada hajat yang penting seperti menziarahi ibu bapanya yang sakit atau memberi khidmat kepada mereka sekiranya mereka sangat memerlukan dengan tujuan untuk menyelesaikan hajatnya sahaja.

Namun pada keadaan yang lain maka ia tidak diharuskan kerana kewajipan isteri kepada suami adalah lebih besar daripada kedua orang tuanya.

-Diharamkan bagi para suami melarang isteri mereka untuk menziarahi ahli keluarganya tanpa sebab-sebab yang munasabah di sisi syarak kerana hal tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan kekeluargaan.

Namun  sekiranya larangan tersebut adalah kerana khuatir akan mudarat ke atas isteri atau perkahwinan mereka maka hal tersebut diharuskan.

Sumber: Maktabah Al Bakri

 

Published by
Team Kashoorga