Suami Meninggal Kemalangan, ‘Hadiah’ Hari Lahir Yang Paling Perit Untuk Diterima

Share

Mengharapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hanya sempat menganyam bunga-bunga cinta sebagai suami isteri selama dua tahun lima bulan, si dia dijemput sang pencipta. Meninggal dunia dalam kes kemalangan langgar lari bertarikh 6 Mac 2019, sesungguhnya pemergian suami tercinta ibarat satu mimpi.

Lebih memilukan apabila perginya seorang suami sehari sebelum sang isteri menyambut hari lahir.

Baca perkongsian Asyrafiah Sabri yang menyentuh jiwa. Kerinduan seorang isteri terhadap arwah suaminya begitu sukar untuk dibendung. Begitu tulus dan suci kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.

PERGINYA SEORANG KEKASIH HATI KE SISI KEKASIH ABADI 

Hari ini, genaplah saya berumur 29 tahun. 3 hari lepas, suami saya mintak saya pilih, nak staycation atau barang sebagai hadiah birthday saya.

Tapi minggu lepas, kami berjalan habis-habisan. Berjalan ke KLCC, esoknya tawaf Sunway Pyramid. Dan sempat beliau pilihkan travel perfume dan travel lotion Bath & Body Works yang beliau suka, untuk kami guna sama-sama dalam birthday vacation kami di Bali, 23 Mac 2019. Tapi tak kesampaian kami nak sambut, suami saya dah pergi dulu pulang ke tempat asalnya. Al-Fatihah abang.

Saya memang rapat sangat dengan arwah suami. Rapat gila-gila. Macam kembar. Kitorang mesti kena ada benda yang sama.

Baju sama. Seluar sama. Kasut travel sama. Kasut sukan. Handphone. Apa yang suami makan, dia akan tapau untuk saya. Yang saya beli travel set Bath & Body Works tu pun, suami cakap nak jugak 1 set beli lepas gaji dari company lama dia clear, tapi tak kesampaian juga. Al-Fatihah abang.

Trylah beli satu barang je, mesti sorang lagi merajuk nak benda yang sama. Memang merajuk! Sama ada saya atau pun dia. ?

Saya rasa saya macam baby dengan suami saya. Tengah malam kalau suami tidur arah lain, saya tarik dia mintak dia peluk. Kalau tak, saya merengek macam baby ? Terima kasih abang, sabarnya melayan baby tua sepanjang perkahwinan kita bang.

Sempena hari ulang tahun ke-29 saya ni, saya tak nak mintak banyak dengan Allah, tapi saya mintak Allah terima doa saya yang banyak dosa ni tanpa hijab, masukkan suami saya, Fikri Hamiz bin Hamidun ke dalam syurga-Nya tanpa hisab dan satukanlah kami berdua di syurga-Nya nanti.

Pemergian abang, meninggalkan cinta yang paling dalam.

Terima kasih abang, akulah satu-satunya isterimu hingga akhir nyawamu.

(Nukilan 7 Mac 2019)

Dari awal kahwin, arwah suami ada satu habit iaitu suruh bini potong kuku tangan dan kaki. Minggu lepas kot kalau tak salah, dia mintak saya potongkan kuku tangan dan kaki macam biasa. Saya dapat potong kuku tangan je sebab masa tu penat sangat.

Saya cakap sambung esoklah bang. Penat sangat ni. Dia pun okay je. Sudahnya saya lupa nak sambung potong kuku kaki. Dia pun lupa ingatkan.

Sampailah 6 Mac masa saya tengok mayat suami, saya cek kuku kakinya. Rasa ralat betul. Tapi masa tu kaki dia sejuk sangat. Pegang pun menggeletar.

Ya Allah alhamdulillah. Sepanjang kahwin, dapat saya berbakti potong kuku suami antaranya. Walaupun masa awal-awal dia suruh dulu rasa awkward gila.

Sampai saya pernah cakap dengan suami saya,

“Bang, nape abang malas sangat potong kuku sendiri.” ?

Rupanya, dia nak saya ingat, 2 tahun 5 bulan kahwin, sayalah yang selesaikan urusan jaga dia. 2 tahun 5 bulan je dia nak saya potong kuku dia.

Gambar sekadar hiasan

Saja kemas WhatsApp suami. Keluarkan dia dari kumpulan kerja, kumpulan sekolah. Maaf bukan apa, tak sanggup nak baca.

Tapi mesej ni, ya Allah.

Tarikh birthday saya sebagai password PC kerja beliau.

Padahal bila saya tanya beliau,

“Bang, berapa tarikh beday sayang.”

“Beday sayang? Eh mana abang ingatttt.” ?

Rupanya dia sentiasa ingat. Ni mesej dengan kawan kerjanya, bulan Ogos 2018.

Al-Fatihah abang. Cinta hati selamanya…

Selamat berehat suamiku yang tercinta.

Nanti kita staycation dekat “sana”.

Terima kasih untuk segala jasa baik abang jaga sayang 2 tahun 5 bulan.

Abang bersemadi dengan cinta yang penuh di hati. Disayangi ramai orang.

Berehatlah dengan tenang di taman syurga.

Ikhlas dari isteri yang tak pernah berhenti mencintaimu, Asyrafiah Sabri

Sumber kredit: Asyrafiah Sabri

VIDEO:

Published by
wan erni