Dalam perkahwinan, setiap pasangan pasti mengimpikan kebahagiaan dan kesetiaan hingga ke akhir hayat. Namun, apabila si suami menyuarakan hasrat untuk berkahwin lagi, emosi isteri pastinya bergolak—antara rasa kecewa, marah, dan keliru.
Persoalannya, apa hukum jika isteri menghalang suami daripada bernikah lain? Adakah ia dianggap melawan syariat atau sebenarnya satu reaksi yang dibenarkan? Mari kita fahami dengan lebih mendalam dari sudut pandang agama, supaya setiap keputusan dibuat dengan ilmu dan bukan semata-mata emosi.
Penjelasan tentang perkara ini dibuat dalam AL-KAFI #1398 : HUKUM ISTERI MELARANG SUAMI BERKAHWIN LAIN melalui portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Tidak berdosa isteri melarang jika ada keperluan membantah
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya.
Perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.
Bagaimanapun jika seseorang isteri itu melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan.
Sebabkan kezaliman nafkah
Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.
Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu.
Ads
Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:
Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka!
Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” – Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)
Poligami harus tapi hukumnya boleh berubah
Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga.
Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya.
Ads
Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.
Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya.
Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.
Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak.
Ads
Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami.
Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain.
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya.
Masih banyak dearah dan negeri yang diuji dengan banjir. Ada airnya yang tidak surut lagi walau sudah masuk hari ke enam banjir melanda negara.
Dalam pada itu, kesukaran mendapatkan air bersih selain lokasi penempatan yang penuh dengan orang ramai, satu dari cabaran yang harus dihadapi oleh mangsa banjir. Masa yang sama, kewajiban kepada Allah taala iaitu solat lima kali sehari semalam wajib ditunaikan.
Satu perkongsian dari Dr Zaharuddin Abd Rahman berkaitan, solat jamak di musim banjir, adakah dibolehkan? Baca perkongsian ilmu ini.
Soalan :-
Asalamualaikum ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz. Kes dia macam ni. Kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Banjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan. Syukran jazakallah.
JAWAPAN:-
Wa’alaikumussalam,
Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)
Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)
Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas
عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.
Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.
KESIMPULAN
Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad.
Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama’kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak, ia meringankan kerana dengan sekali wudhu’ dua solat fardhu dapat diselesaikan, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan. tetapi jika batal diantara dua solat jama’ itu, wudhu tetap WAJIB diambil.
Jika terlalu terdesak dan tiada air mineral atau bersih paip, menggunakan air banjir juga masih dibenarkan namun wajar dielakkan setakat mampu.
Cuma para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalah gunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah.
Jika penempatan banjir atau rumah mangsa banjir adalah seperti gambar, iaitu turut dinaiki air dan tiada tempat yang kering sepenuhnya, maka DIHARUSKAN solat sambil duduk atas kerusi, dengan rukuk dan sujud sekadar membengkok badan ke bawah. sujud mestilah lebih ke bawah berbanding rukuk. namun tiada menyentuh air banjir.
Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :-
1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’.
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhu’.
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.
Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan. Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Tiba hari melaksanakan ibadah korban, mungkin ramai antara kita yang mendapat banyak daging korban. Dalam situasi ini timbul persoalan berapa lama daging korban ini boleh disimpan.
Ini kerana ada yang mengatakan bahawa daging korban ini tak boleh disimpan lebih dari 3 hari. Persoalan ini dijawab oleh Ustaz Syed Shahridzan dalam satu hantaran Facebook beliau.
Gambar sekadar hiasan.
Diharuskan simpan daging korban
Menurut mazhab Syafi’ie diharuskan menyimpan daging korban walaupun melebihi tiga hari asalkan daging itu tidak rosak atau busuk sehingga menyebabkan pembaziran.
Penyimpanan daging korban lebih dari 3 hari pernah dilarang oleh Rasulullah SAW namun larangan itu sudah dimansuhkan atau disebabkan situasi sudah berubah sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Nawawi di dalam kitab ‘Raudah al-Tolibin’:
يجوز أن يدخر من لحم الأضحية، وكان ادخارها فوق ثلاثة أيام قد نهى عنه رسول الله صلى الله عليه وسلم، ثم أذن فيه. قال الجمهور: كان نهي تحريم. وقال أبو علي الطبري: يحتمل التنزيه.
“Boleh/harus seseorang menyimpan sebahagian dari daging korban. Rasulullah SAW pernah melarang menyimpan (daging korban) lebih dari tiga hari kemudian Baginda mengizinkannya. Menurut majoriti ulama larangan ini bermakna haram, manakala menurut Abu Ali al-Tobari, kemungkinan larangan ini bermaksud makruh.”
Imam Nawawi menyebut kemungkinan sebab larangan tersebut di dalam rujukan yang sama:
في أن النهي كان عاما، ثم نسخ، أم كان مخصوصا بحالة الضيق الواقع في تلك السنة، فلما زالت انتهى التحريم
“Larangan tersebut berjalan selama setahun kemudian dimansuhkan, atau larangan ini dikhususkan dengan sebab keadaan yang sempit pada tahun itu, tatkala luput keadaan itu maka tiada lagi pengharaman.”
Beliau menjelaskan lagi jika keadaan yang sempit atau susah berlaku pada zaman kini, adakah diharamkan kembali menyimpan daging korban lebih dari 3 hari? Beliau ada menjelaskan juga dalam ‘Raudah al-Tolibin’:
في أنه لو حدث مثل ذلك في زماننا وبلادنا، هل يحكم به؟ والصواب المعروف: أنه لا يحرم اليوم بحال. وإذا أراد الادخار، فالمستحب أن يكون من نصيب الأكل، لا من نصيب الصدقة والهدية.
“Jika berlaku situasi sebegitu pada zaman kita atau negeri kita, adakah dihukumkan dengannya(haram)? Pendapat yang tepat lagi diketahui, ia tidak diharamkan pada hari ini walau apa situasi sekali pun. Jika seseorang ingin menyimpan maka digalakkan menyimpan daging korban dari bahagian yang dimakan (sendiri dan keluarga), bukan bahagian sedekah dan hadiah.”
Kesimpulannya, Rasulullah SAW pernah melarang daging korban disimpan lebih dari tiga hari, namun setelah itu Baginda mengizinkan kembali kerana hukum itu sudah dimansuhkan atau situasi dan keadaan sudah berubah.
Dengan ini tiada masalah jika daging korban yang akan dimakan oleh sendiri dan keluarga boleh disimpan selama mana pun. Namun tidak digalakkan daging korban yang ingin disedekahkan atau dihadiahkan disimpan dalam tempoh yang lama kerana ia sunat diagihkan secepat mungkin.
Dalam perhubungan suami isteri, perbuatan menziharkan pasangan dianggap sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana ia perbuatan masyarakat jahiliah.
Kesan zihar jika dilakukan dengan niat yang tidak baik amat buruk padahnya.
Walaupun tanpa niat apa-apa sekalipun, kadangkala perbuatan itu akan menyebabkan pasangan tersinggung kerana menyamakannya dengan mana-mana ahli keluarga.
Namun begitu kita ikuti penjelasan lanjut daripada Ustaz Syed Shahridzan berkenaan isu ini.
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Mohon penjelasan dari ustaz. Saya perlu tahu tentang hukum zihar sebab kakak saya baharu berkahwin dan suaminya ada memberitahunya bahawa dia ada melihat gambar arwah neneknya. Suaminya berkata bahawa wajah kakak saya ada iras-iras muka arwah nenek dia.
Setahu saya kalau samakan wajah isteri dengan ibu dan nenek, dianggap menziharkan isteri kan? Kalau dikira zihar, adakah jatuh talak? Mohon pencerahan ustaz secepat mungkin. Mohon maaf dan terima kasih.
JAWAPAN:
Zihar bermaksud seorang suami menyamakan isterinya dengan salah seorang mahramnya seperti ibu, kakak, nenek dan seumpamanya untuk tujuan berpisah dengan si isteri.
Zihar merupakan adat masyarakat jahiliyyah yang diamalkan untuk berpisah dengan isterinya dan menggantung isteri agar tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain. Apabila berlakunya zihar maka haram lelaki itu bersetubuh dengan isterinya sehingga kaffarah ditunai.
Amalan zihar adalah perkara yang dilarang sama sekali oleh Islam dan ia merupakan dosa yang sangat besar kerana ia berbentuk penganiayaan terhadap si isteri. Ini kerana isteri tidak boleh disentuh oleh suaminya dan juga tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain disebabkan zihar bukan lah talak atau cerai.
Memandangkan zihar ini adalah adat masyarakat jahiliah maka ulama fiqh telah menentukan lafaz-lafaz tertentu yang dianggap zihar dan seumpamanya. Oleh itu lafaz zihar terbahagi kepada dua jenis; Sarih (jelas) dan Kinayah (kiasan)
Lafaz sarih adalah lafaz si suami ditujukan pada isterinya dengan menyatakan, “Kau haram bagiku seperti haramnya belakang(zahr) ibuku”, atau “Kau seperti belakang ibuku”.
Maka lafaz sarih ini dikira sebagai zihar walaupun tidak berniat zihar kerana lafaz sarih pada zihar tidak memerlukan niat. Jadi apabila terujar lafaz sebegini maka dikira sebagai zihar.
Namun lafaz ini dikira agak mustahil berlaku dalam masyarakat Islam Melayu kerana ia tidak menjadi ujaran atau sebutan dalam adat istiadat masyarakat kita.
Tetapi jika bernar-benar terlafaz maka termeterailah hukum zihar ke atas suami dan Isteri walaupun tanpa niat zihar.
Manakala lafaz kinayah tidak dikira sebagai zihar melainkan si suami melafazkan lafaz kinayah itu dengan tujuan menziharkan isteri.
Contoh lafaz kinayah seperti, “Tangan awak seperti tangan ibu saya”, “Muka awak macam muka ibu saya lah”, “Kulit dan muka awak sebijik macam nenek saya masa muda-muda dulu”. Contoh lafaz ini biasa berlaku dalam masyarakat kita.
Namun begitu tidak perlu dirisaukan, lafaz kinayah tidak akan dikira sebagai zihar melainkan si suami benar-benar berniat untuk menziharkan isterinya.
Apa pun lafaz-lafaz kinayah seperti di atas kebiasaannya dalam adat Melayu bermaksud memuliakan si isteri sepertimana si suami memuliakan ibu dan neneknya, niat seperti ini tidak dikira sebagai zihar.
Fakta ini adalah disebut dengan jelas di dalam kitab “al-Fiqh al-Manhjai”: فإنقصدبهاالظهاركانمظاهرا, وإنكانقصدبهاتشبيهزوجتهبأمهأوأختهفيالكرامةوالتقديرلميكنمظاهراوليسعليهشيءأبدا
“Jika seorang suami bermaksud ZIHAR dengan lafaz itu maka (bermakna) dia adalah penzihar. Jika dia bermaksud menyamakan isterinya dengan ibunya atau kakaknya pada sudut kemuliaan dan penghargaan maka dia bukan lah penzihar dan tiada apa-apa kesan pun sama sekali”.
Secara umumnya zihar tidak sama dengan talak iaitu apabila zihar dengan lafaz sarih termetrai maka tidak terjatuh talak, cuma suami isteri diharamkan bersetubuh sehingga lah si suami melunaskan kafarah.
Namun jika dengan lafaz kinayah yang sesuai dilafazkan oleh si suami dengan niat untuk mentalaqkan isteri maka jatuhlah talak dan dikira sebagai talaq satu.
Dalam Islam seorang isteri dilarang untuk keluar dari rumah tanpa mendapat keizinan daripada suaminya terlebih dahulu.Bagaimanapun timbul persoalan adakah pengecualian dalam larangan itu? Sebagai...