Suami Minta Izin Kahwin Lain, Ini Hukumnya Isteri Halang Keinginan Suami Tambah Cawangan

Share

Suami minta izin kahwin lain, ini hukumnya isteri halang keinginan suami tambah cawangan. Sebelum berpoligami, sebaiknya suami berbincang terlebih dahulu agar tidak mendatangkan mudarat kepada hubungan suami, isteri.

Benarlah tidak semua wanita menolak poligami dan perlu diingat tidak semua wanita mampu berkongsi. Islam sendiri menganjurkan cara yang betul sebelum suami berkahwin lain, bukannya diam-diam tambah cawangan.

Artikel Berkaitan:

‘Pernah Usaha Selamatkan Rumah Tangga.’ Puteri Sarah Hubungi Ustazah Asma’ Harun Minta Nasihat

Ikuti kemusykilan berkaitan poligami ini:

Soalan:
Apakah hukumnya jika isteri melarang suami untuk berpoligami?

Jawapan:
Tidak berdosa hukum ke atas seorang isteri untuk melarang suaminya untuk berpoligami apabila terdapat keperluan untuk membantahnya.

Hanya sanya perkara yang dilarang oleh Hukum Syarak adalah mengharamkan apa yang Allah Taala telah halalkan dan menghalang suami daripada berkahwin lain dengan tindak tanduk yang tidak mematuhi Syarak seperti mengugut mencederakan diri sendiri atau orang lain.

Adapun jika melarang dengan menjustifikasikan dengan perkara-perkara yang disyariatkan maka adalah dibenarkan dan dianjurkan.

Suami Minta Izin Kahwin Lain

Misalnya, jika berpoligami akan menyebabkan kezaliman pada nafkah dan qismah (pembahagian hari antara isteri) isteri-isteri, atau nafkah anak-anak dan ibu bapa, maka perbuatan melarang serta menghalang itu adalah adalah suatu nasihat yang terpuji dalam agama.

Ini termasuklah untuk mencegah daripada menyakiti hati isteri dan mengakibatkan gangguan berlebihan apabila isteri itu ditimpa penyakit cemburu.

Suami Minta Izin Kahwin Lain

Ini berdalilkan sebuah hadis daripada al-Miswar bin Makhramah RA bahawa Rasulullah ﷺ berkhutbah di atas minbar:

إِنَّ بَنِي هِشَامِ بْنِ المُغِيرَةِ اسْتَأْذَنُوا فِي أَنْ يُنْكِحُوا ابْنَتَهُمْ عَلِيَّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ، فَلاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، ثُمَّ لاَ آذَنُ، إِلَّا أَنْ يُرِيدَ ابْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنْ يُطَلِّقَ ابْنَتِي وَيَنْكِحَ ابْنَتَهُمْ، فَإِنَّمَا هِيَ بَضْعَةٌ مِنِّي، يُرِيبُنِي مَا أَرَابَهَا، وَيُؤْذِينِي مَا آذَاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya Bani Hisyam bin al-Mughirah meminta izin kepadaku agar aku menikahkan anak wanita mereka dengan Ali bin Abu Thalib, namun aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka, aku tidak mengizinkan kepada mereka!

Kecuali jika Ali bin Abu Tolib menceraikan anakku lalu menikahi anak wanita mereka. Sesungguhnya anakku (Fatimah) adalah bahagian dariku, aku merasa senang dengan apa sagaja yang menyenangkannya dan aku merasa sakit atas semua yang menyakitinya.” – Riwayat al-Bukhari (5320) dan Muslim (2449)

Ini Hukumnya

Jika kita melihat daripada sudut fiqh, ternyata poligami pada hukum asalnya adalah diharuskan sahaja. Namun begitu dalam beberapa hal yang mendatang, hukumnya boleh berubah kepada tiga. (

Disunatkan: Ini sekiranya lelaki itu mempunyai keperluan untuk berkahwin lain jika beristeri satu tidak dapat menjadikan dirinya afif (menjaga syahwatnya daripada zina dan maksiat), atau isteri itu sakit, atau mandul tidak dapat mengandung, sedangkan suami itu inginkan anak, dalam keadaan suami itu memiliki keyakinan untuk berlaku adil antara isteri-isterinya.

Ini kerana terdapat keperluan yang diraikan Syarak seperti meramaikan anak, dan inilah yang menjadi pedoman ramai Sahabat Rasulullah ﷺ, Para Tabi’ie dan generasi selepas mereka.

Dimakruhkan: Jika semata-mata untuk berlazat-lazat dan berhibur, atau syak terhadap kemampuannya untuk berlaku adil antara isteri-isteri. Ini kerana tidak ada keperluan untuknya.

Isteri Halang Keinginan

Diharamkan: Jika diyakini bahawa lelaki tidak mampu berlaku adil lantaran kelemahannya, atau kerana hilangnya kepercayaan terhadap dirinya daripada bertindak bias dan pilih kasih, atau kerana keadaannya yang fakir. Ini kerana poligami itu akan mengakibatkan mudarat kepada orang lain.

Kembali kepada perbincangan asal, apabila hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi mubah, sunat dan haram, maka tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

Justeru, ia bukan sahaja masuk dalam bab nasihat yang baik antara Muslim, tetapi juga adalah sebahagian perlaksanaan konsep Syura yang dituntut oleh Syarak.

Ini kerana seorang wanita apabila mengetahui suaminya ingin memadukannya, perlu memastikan hak-hak dirinya seperti nafkah yang telah ditentukan mengikut uruf dan persetujuan bersama, tidak dilanggar atau ditindas apabila berlakunya poligami.

Dalam erti kata lain, seorang isteri ada hak menyuara pendapat yang berbeza dalam sesi syura bersama suami untuk berkahwin lain.

Suami Tambah Cawangan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa hukum isteri melarang suaminya untuk berpoligami tidak berdosa, sekiranya dibuat atas dasar nasihat, Syura demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap haknya.

Kami mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan masyarakat agar sentiasa mendidik wanita dengan keperibadian Muslimah dan menjaga hak-hak mereka daripada ditindas atau dilanggar.

Baca Di Sini:

Bukan Semua Tolak Poligami, Wanita Ini Akui Rasa Gembira Suami Kahwin Lain Kerana Ada Kawan Berbual

Inilah Isteri Bijak. Lantik Peguam Tuntut Hak Di Saluran Tepat Bila Suami Ingin Poligami & Hasilnya Hidup Berharta

Kashoorga : Isu poligami ini cukup sensitif bagi golongan wanita, ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Oleh sebab itu konflik yang melanda Puteri Sarah dan Syamsul Yusof menjadi perhatian ramai wanita.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Published by
Syazwani Mehat