‘Suami solat berjemaah di masjid, balik rumah solat bersama anak & isteri pula.’ Ini hukum ulang solat fardu jika berkeperluan.
Suami mengulang solat semata-mata mahu isteri dan anaknya juga mendapat pahala jemaah biarpun hanya solat di rumah dan tidak ke masjid.
Artikel Berkaitan:
Hukum Ulang-ulang Surah Sama Setiap Kali Solat
Menerusi perkongsian Husna Ghani di akaun Instagramnya, solat ulang ini, mesti berjemaah dan perlu kekal dalam jemaah mulai awal takbiratulihram sampailah salam.
Dan kalaulah kita sebagai makmum, maka boleh ulang solat dua kali saja. Contoh, tadi pada mulanya, kita dirikan solat seorang diri kemudian berjemaah dengan suami dengan tujuan untuk peroleh pahala berjemaah.
Adapun kalau bagi suami, misalnya yang pertama solat di masjid, balik rumah ajak isteri pula berjemaah. Kemudian ibu singgah datang rumah, selepas itu ajak jemaah sekali dia boleh ulang solat tu. Sebab dengan tujuan membantu orang lain mendapatkan pahala jemaah.
Tapi jangan jadikan kebiasaan, sampaikan tanpa ada keperluan saja-saja nak solat dua kali sebab sudah jadi rutin harian tak bolehlah.
Sebenarnya ramai yang tak tahu tentang solat ulang ini. Asalnya solat fardu dua kali dalam satu waktu ini, kalau tanpa ada sebarang keperluan hukumnya makruh.
Tapi kalaulah dia ulang solat itu untuk dia dapat pahala jemaah yang lebih besar daripada dia solat seorang maka sunat untuk diulang balik solat itu. Walau demikian, kalau dia tak nak ulang tiada masalah pun.
Dan solat ini kita hanya boleh buat kalaulah manfaat dia lebih baik atau lebih besar ganjarannya daripada solat yang pertama tadi.
Sebagai contoh, sebelum itu kita solat sendirian tetapi buat kali kedua ulang solat untuk solat berjemaah, jadi sudah tentu pahalanya lebih besar.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam hal ini kami bahagikan kepada dua isu:
1. Seorang telah solat jemaah, kemudian solat sekali lagi untuk membantu orang lain mendapat pahala jemaah.
2. Seorang telah solat sendirian, kemudian solat sekali lagi apabila mendapati ada solat jemaah didirikan.
Asalnya, hukum solat fardu sebanyak dua kali bagi satu waktu tanpa sebarang keperluan adalah makruh. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar RA:
لَا تُصَلُّوا صَلَاةً فِي يَوْمٍ مَرَّتَيْنِ
Maksudnya: Janganlah kamu solat fardhu sebanyak dua kali dalam sehari.- Sunan Abi Dawud (579) dan Sunan al-Nasa’ie (860)
Hukum makruh mengulangi solat fardhu tanpa sebarang sebab ini telah diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Ruwaihah dan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.
Adapun jika untuk mendapat pahala jemaah, maka disunatkan untuk diulangi semula bersama jemaah yang didapatinya. Inilah juga pandangan mazhab Maliki dan Syafi’e. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud bi Syarh Sunan Abi Dawud 2/202, Al-Fatawa al-Kubra, 2/283, Al-Mudawwanah al-Kubra 1/179 dan Raudhah al-Thalibin 1/343)
Ini berdasarkan hadith riwayat Jabir bin Yazid al-Aswadi RA:
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم صَلاَةَ الْفَجْرِ فِي مَسْجِدِ الْخَيْفِ فَلَمَّا قَضَى صَلاَتَهُ إِذَا هُوَ بِرَجُلَيْنِ فِي آخِرِ الْقَوْمِ لَمْ يُصَلِّيَا مَعَهُ قَالَ ” عَلَىَّ بِهِمَا ” . فَأُتِيَ بِهِمَا تُرْعَدُ فَرَائِصُهُمَا فَقَالَ ” مَا مَنَعَكُمَا أَنْ تُصَلِّيَا مَعَنَا ” . قَالاَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا قَدْ صَلَّيْنَا فِي رِحَالِنَا . قَالَ ” فَلاَ تَفْعَلاَ إِذَا صَلَّيْتُمَا فِي رِحَالِكُمَا ثُمَّ أَتَيْتُمَا مَسْجِدَ جَمَاعَةٍ فَصَلِّيَا مَعَهُمْ فَإِنَّهَا لَكُمَا نَافِلَةٌ ”
Maksudnya:
Aku menghadiri solat Subuh bersama Rasulullah SAW di Masjid al-Khaif. Tatkala Baginda selesai solat, Baginda melihat dua orang lelaki di bahagian belakang yang tidak solat bersama Baginda. Baginda bersabda:
“Mengapa kalian tidak solat bersama kami?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, kami telah solat di tempat permusafiran kami. “Jangan buat begitu. Jika kalian telah solat, dan kalian datang ke masjid dan mendapati solat jemaah sedang berlangsung, hendaklah kalian solat bersama mereka, dan ia akan menjadi solat sunat bagi kamu.- Sunan al-Nasa’ie (858) dan Sunan Tirmidzi (219)
Baca Di Sini:
Boleh Ke Qada Solat Fardu Pada Waktu Haram Solat Sunat?
Kashoorga: Semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua.
Sumber: Instagram Husna Ghani, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.