Dalam melayari kehidupan berumahtangga, tidak semua berakhir dengan manis. Adakalanya amat pahit terutama bila berlakunya perceraian selepas tiada lagi perasaan sayang selain hati yang terluka.
Dalam bibit-bibit pergaduhan sebelum terjadinya perceraian, adakalanya suami menuduh isteri nusyuz. Silap sikit dituduh nusyuz, enggan layan suami kerana penat dituduh nusyuz serta lain-lain lagi.
Dalam pada itu, peguam syarie Muhammad Amirul Akmal Ismail berkongsi bahawa suami tidak mempunyai kuasa menuduh isteri nusyuz sebaliknya kuasa ini adalah diputuskan oleh Mahkamah Syariah sahaja selepas melihat semua bukti.
Sedasarwarsa ini sering meniti dari bibir suami perkataan nusyuz yang beliau sendiri tidak mengerti akan makna mahupun implikasinya. Apabila isteri tidak mahu bersama akibat kepenatan mengurus rumah tangga, dilemparkannya perkataan nusyuz untuk menunjukkan kuasa. Jika isteri tidak masak kerana kepenatan baru balik dari pejabat dikatanya nusyuz untuk menunjukkan egonya. Oleh itu, adakah nusyuz yang diucapkan suami itu sabit ke atas isteri, atau bagaimana?
Untuk pengetahuan semua, nusyuz hanya sabit apabila suatu perintah dikeluarkan oleh mahkamah syariah yang menyatakan bahawa isteri telah nusyuz setelah melalui perbicaraan yang sewajarnya, bukanlah hanya sabit akibat pernyataan suami bahawa kamu telah nusyuz maka terjatuhnya nusyuz.
Nusyuz sering dijadikan senjata yang ampuh bagi suami untuk membuli isteri yang menuntut hak hadhanah, mutaah, fasakh kerana penganiayaan serta harta sepencarian bagi menidakkan hak mereka. Persoalan yang wajar diketegahkan elemen apakah yang menyebabkan isteri disabitkan nusyuz?
Secara asasnya elemen pensabitan nusyuz telah dinyatakan di dalam seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor telah menyatakan bahawa;
(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya; atau
(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Seperti yang dinyatakan di dalam seksyen 60(2) tersebut, nusyuz sabit keatas isteri apabila ada pengesahan mahkamah dan tertakluk kepada hukum syara’. Rangkai kata “enggan dengan tidak berpatutan” “tanpa apa-apa sebab yang munasabah mengikut hukum syara'” itu menjadi elemen yang penting dalam pensabitan nusyuz. Dalam erti kata yang lain ketaatan isteri itu bukanlah suatu yang mutlak, namun ia bersifat sementara sehingga isteri bertaubat dan kembali taat kepada suami. Kedua rangkai kata tersebut merupakan elemen penting bagi YA Hakim membuat pertimbangan yang wajar dalam mensabitkan seorang isteri itu nusyuz atau tidak.
Di samping apabila isteri melakukan mana-mana perbuatan di dalam kurungan (a), (b) atau (c) mahkamah akan meneliti dengan sewajarnya dakwaan suami di dalam pernyataan tuntutan beliau, sekiranya tiada pembelaan dan tuntutan balas oleh pihak isteri maka isteri boleh disabitkan nusyuz kerana tiada pembelaan yang dikemukakan kepada mahkamah. Kerana mahkamah bergantung kepada pembuktian yang dikemukakan oleh suami.
Lantaran itu, sekali lagi ingin saya tegaskan kepada para isteri sekalian, sekiranya anda menerima saman dan pernyataan tuntutan dari suami anda mengenai permohonan sabitan nusyuz beliau terhadap anda, saya sarankan agar anda menjawab tuduhan beliau satu-persatu di mahkamah dan kemukakan pembelaan untuk membela diri anda. Jika anda kurang arif tentang perihal ini anda boleh melantik peguam untuk membantu dalam menjawab berhujah bagi pihak anda di mahkamah.
Selain itu, timbul juga persoalan apabila isteri enggan pindah bersama suami ke rumah atau tempat yang lain, adakah perkara tersebut terus menjadikan isteri nusyuz atau bagaimana?.
Tempat tinggal atau “Maskan Syarie” dalam bahasa arab yang bermaksud tempat tinggal atau rumah yang sesuai yang wajib disediakan oleh suami kepada isterinya berdasarkan kemampuan suami dan kedudukan isteri sebagaimana yang digariskan oleh hukum syara’.
Seperti yang kita maklum menyediakan tempat tinggal atau rumah merupakan nafkah yang wajib disediakan oleh suami terhadap isterinya sebagaimana kewajipan untuk menyediakan peruntukan nafkah lain seperti: makan minum, pakaian, nafkah batin, keperluan kesihatan, pendidikan anak-anak dan sebagainya.
Dalam perbahasan “maskan syarie” saya merujuk penghakiman YAA Tan Sri Sheikh Ghazali Bin Abdul Rahman di dalam Kes Abd. Hanif v. Robiah Jld. IX Bahagian 1 JH. Di dalam kes ini YAA hakim telah menggariskan beberapa ciri “maskan syarie” iaitu:
Tempat tinggal yang disediakan adalah berasingan dan sesuai dengan taraf kewangan suami. Tempat tinggal itu sesuai dengan keadaan kedua-dua suami isteri dan dapat memberi perlindungan cukup untuk menjaga diri dan harta benda.
Cukup dengan keperluan sebagai tempat tinggal dengan hamparan dan perabot. Tempat itu lengkap dengan bahagian penting seperti bekalan air, tandas, dapur dan sebagainya.
Tempat itu tidak mendatangkan gangguan kepada dia daripada sesiapa yang turut tinggal di situ. Tempat itu diduduki oleh jiran-jiran yang seagama.
Setelah meneliti ciri-ciri “maskan syarie” yang digariskan YAA Hakim boleh difahami elemen yang penting yang mendesak ialah tempat tinggal tersebut tidak mendatangkan mudharat terhadap isteri dan mampu menjaga diri dan harta mereka. Jika elemen ini tidak dipenuhi dan isteri menolak untuk tidak mahu turut pindah bersama suami, maka ia tidak dikira nusyuz.
Kesimpulannya, apabila isu nusyuz ini ditimbulkan oleh pihak suami di mahkamah syariah, ia akan melalui proses perbicaraan dan diteliti oleh YA Hakim dengan sewajarnya. Namun begitu, pihak isteri perlulah menggunakan ruang yang diberikan oleh mahkamah untuk menafikan dakwaan tersebut dan mengemukakan pembelaan agar dakwaan tersebut boleh disangkal.
Oleh yang demikian para isteri sekalian, sekali lagi saya ingatkan nusyuz hanya sabit apabila ada perintah mahkamah bukan hanya dari kata-kata suami. Bak kata YA Hakim dalam Kes R V Sussex Justice “Not only must Justice be done; it must also be seen to be done.” yang bermaksud adalah menjadi keperluan asas bahawa keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi perlu juga dipastikan yang ianya dilaksanakan.
Semoga kita semua mendapat keadilan yang sewajarnya. Semoga penerangan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua.
Jangan takut dengan alam perkahwinan kerana ia rahsia Allah taala. Ramai yang bahagia dengan jodoh masing-masing. Jom sertai Webinar Jodoh: Suami Kiriman Ilahi kami.
WEBINAR JODOH 💖: SUAMI KIRIMAN ILAHI
✨Jom Sis semua yang masih single terutamanya sejenis yang pemalu! Kita belajar ilmu menjemput jodoh💘
Dengan ilmu menjemput jodoh, Sis akan..
✅ Tak tertanya-tanya lagi “Dimana atau ada ke bakal imamku❓❓” 🤷🏽♀
✅ Jelas ✨ dan yakin 💪🏻 dengan langkah-langkah mudah ikhtiar mencari jodoh 💘 (Tip: Islam itu Mudah dan Indah)
✅ Akan dijauhi heartbreak 💔 dan lelaki yang tak serius 👻
Yang sudah berstatus ‘Dimiliki’, ambillah manfaat ilmu ini untuk memudahkan dan percepatkan lagi jodoh Sis 💞
Daftar di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-jodoh-suami-kiriman-ilahi/