
Isi Kandungan
Toggle‘Suami wajib sediakan rumah selesa buat isteri.’ Jangan biarkan pasangan merana bila tinggal sebumbung dengan mentua.
Selepas mendirikan rumah tangga, sebaiknya tinggallah berasingan daripada keluarga. Mulakan hidup berdikari selepas bernikah, biar susah tetapi berdiri atas kaki sendiri.
Memang ramai pasangan berdepan dengan masalah dengan ibu atau ayah mentua apabila tinggal sebumbung apatah lagi menantu perempuan.
Artikel Berkaitan: ‘Dia Kerja, Tak Perlulah Aku Bagi Duit.’ Nafkah Isteri Mesti Suami Tunaikan Walau Pendapatan Dia Lebih Tinggi
Suami Wajib Sediakan
Memang tak mudah, tetapi ada juga ibu mentua yang baik, mampu menerima baik buruk menantunya seperti anak, sendiri.
Sebaik mana pun hubungan ibu mentua dan menantu, biarlah setakat itu saja. Pilihlah untuk tinggal berasingan kerana lebih privasi dan kita bebas dalam “rumah” sendiri.
Ikuti perkongsian Ustaz Rahim Azhari menerusi akaun TikToknya tentang isu ini:
Rumah Selesa Buat Isteri
Soalan:
Ustaz kalau seorang menantu tidak selesa tinggal bersama mak mentua, tetapi mak mentua tidak izinkan anak dan menantunya berpindah rumah. Apa yang harus dilakukan?
Jawapan:
Suami wajib memberi nafkah kepada isteri, nafkah terbahagi kepada tiga iaitu termasuklah:
1. Pakaian
2. Makan minum (termasuk duit belanja)
3. Tempat tinggal
Tempat tinggal bermaksud:
1. Selesa, selamat dan aman untuk isteri dan anak-anak.
2. Mudah untuk isteri buka aurat (tiada orang yang bukan mahramnya)
3. Yang mampu untuk bayar bil, sewa dan lain-lain.
Jangan Biarkan Pasangan Merana
Tempat tinggal atau rumah yang selesa buat isteri adalah yang di dalam rumah tersebut tiada orang yang tak sukakan isteri. Tidak ada orang yang tidak bertegur sapa dengan isteri, malah tiada orang menyakiti hati isteri di dalam rumah tersebut.
Jadi peringatan buat suami, begitulah tempat tinggal yang wajib kita sediakan buat isteri. Inilah juga yang dimaksudkan dengan tempat tinggal yang terbaik buat isteri.
Walau bagaimanapun, jika suami betul-betul kurang berkemampuan dan tak mampu menyewa hingga terpaksa menumpang di rumah ibu bapa. Perkara ini dibenarkan.
Bila Tinggal Sebumbung Dengan Mentua
Jika suami masih belum mampu, isteri perlu bersabar dan terus support serta doakan suami supaya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan.
Namun begitu, apabila suami telah pun mampu tapi tetap tidak mahu tunaikan nafkah tempat tinggal buat isteri, maka suami berdosa besar.
Suami tidak mahu tinggalkan rumah keluarganya atas alasan hendak berjimat dan mahu gunakan duit yang ada untuk kepentingan sendiri, itu hukumnya berdosa dan derhaka kepada Allah SWT.
Baca Di Sini:

Reject Terus Calon Suami Yang Tak Mahu Sediakan Tempat Tinggal Buat Isteri
Beli Rumah Baharu? Pilih Kediaman Patuh Syariah Islam
Cinta Sahaja Tak Cukup Kalau Nak Kahwin, Ada Banyak Perkara Yang Perlu Disediakan
Kashoorga : Mentua baik macam mana sekalipun, menantu tetap dianggap orang luar. Jadi sebelum berlaku perkara tak diingini baiklah angkat kaki tinggal berasingan. Biarlah hidup susah dan menyewa, asal hati tenang.
Sumber : TikTok Ustaz Rahim Azhari
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dosa Sengaja Tinggalkan Solat Tak Terhapus Dengan Qadha, Mufti Kongsikan Apa Perlu Buat Agar Allah Ampunkan Dosa Ini

Dalam hidup, kita tidak terlepas dengan ujian kehidupan. Ada masa kita terleka dan terlalai dengan dunia hingga mengabaikan solat lima waktu yang menjadi kewajipan melakukannya.
Adakah dosa sengaja tinggalkan solat ini cukup dengan qadha sahaja atau ap akita perlu lakukan agar Allah ampunkan dosa in? Mufti Wilayah memperjelaskan isu qadha solat ini.
Assalamualaikum ustaz, saya ada soalan, jika kita tinggal solat, kemudian kita qadha’ solat tersebut, adakah dosa solat itu terhapus ataupun tidak? Mohon jawapan daripada Datuk Mufti. Terima kasih.
Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.
Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:
إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Surah al-Nisa’ (103)
Ayat ini merupakan salah satu dalil kefardhuan solat ke atas umat Islam seluruhnya. Solat menjadi zimmah (beban) ke atas orang Muslim sehinggalah dia menunaikannya melainkan wujudnya uzur Syar’ie yang menggugurkan kewajipan atau meringankannya, maka barangsiapa yang meninggalkannya disebabkan keuzuran seperti terlupa atau tertidur, maka hendaklah dia menggantikannya sebaik sahaja tersedar ataupun terjaga. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A:
«مَنْ نَسِيَ صَلَاةً فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ»
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa solat, maka hendaklah dia menunaikannya apabila dia teringat akannya. Tidak ada kaffarah untuknya melainkan hal tersebut.
Riwayat al-Bukhari (597), Muslim (684)
Adapun bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja yakni kerana mengingkari kewajipannya, maka kafirlah dia dan terkeluar daripada agama Islam. Manakala bagi mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya, maka dia mendapat dosa dan hendaklah dia mengqadhakannya (menggantikannya) semula.
[Lihat: al-Fiqh al-Manhaji; 1/103-104]
Perkara berkenaan hukum qadha bagi seseorang yang meninggalkan solat dengan sengaja ada dibincangkan secara terperinci di dalam artikel kami yang bertajuk: Tahqiq al-Masa’il Siri-1 Hukum Qadha Bagi Seseorang yang Meninggalkan Solat dengan Sengaja. Dalam artikel tersebut, kami mentarjihkan pandangan bahawa wajib qadha bagi orang yang sengaja meninggalkannya.
Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan adakah dosa meninggalkan solat akan terangkat ataupun terhapus dengan perbuatan mengqadhakan solat. Seperti yang diketahui bahawa perbuatan meninggalkan solat dengan sengaja termasuk dalam dosa-dosa besar. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 5/160]. Maka, dosa-dosa besar tidak akan terampun atau terangkat hanya dengan menggantikan solat fardhu namun perlu disertai dengan taubat kepada Allah S.W.T. Sebaliknya solat-solat fardhu hanya boleh mengangkat dosa-dosa yang kecil sepertimana hadith Nabi Muhammad S.A.W:
«الصَّلَوَاتُ الْخَمْسُ، وَالْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ، مُكَفِّرَاتٌ مَا بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ»
Maksudnya: Solat lima waktu, dari (solat) Jumaat ke (solat) Jumaat yang lain dan dari (puasa) Ramadhan ke (puasa) Ramadhan yang lain adalah penghapus dosa-dosa kecil di antara waktu-waktu tersebut selama tidak melakukan dosa besar.
Riwayat Muslim (233)
Imam Ibn Rejab menyatakan dalam kitabnya bahawa sebahagian ulama’ berkata bahawa sesungguhnya solat menghapus dosa-dosa kecil dan dosa-dosa besar, tetapi jumhur ulama’ berkata bahawa solat tidak akan terhapus sekadar dengan menggantikan solat namun perlulah bersama-sama dengan taubat. [Lihat: Fath al-Bari; 4/221].
Perkara ini dikuatkan lagi dengan firman Allah S.W.T:
إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلاً كَرِيماً
Maksudnya: Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga).Surah al-Nisa’ (31)

Imam Ibn Kathir berkata di dalam tafsirnya bahawa jika seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar (yang telah dilarang daripadanya), maka Allah S.W.T akan menghapuskan dosa-dosa kecilnya dan memasukkannya ke dalam syurga. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 2/271]. Jelas di sini bahawa dengan menjauhi dosa besar atau secara mafhum mukhalafahnya (tidak meninggalkan solat) maka dapatlah ia menghapuskan dosa-dosa kecil.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah ada berkata:
“والذين أمروه بالقضاء من العلماء لا يقولون إنه بمجرد القضاء يسقط عنه الإثم ، بل يقولون بالقضاء يخف عنه الإثم ، وأما إثم التفويت وتأخير الصلاة عن وقتها فهو كسائر الذنوب التي تحتاج إما إلى توبة وإما إلى حسنات ماحية ، وإما غير ذلك مما يسقط به العقاب”.
Maksudnya: “Ulama’ tidak mengatakan bahawa qadha’ semata-mata boleh menggugurkan dosa, tapi mereka katakan ia boleh mengurangkan dosa, namun dosa melewatkan atau meninggalkan solat maka ia adalah seperti dosa-dosa yang memerlukan kepada taubat atau kebaikan-kebaikan yang besar atau apa-apa yang boleh menggugurkan pembalasan”.[Lihat: Minhaj al-Sunnah; 5/233]
Seterusnya, perbahasan mengenai taubat kepada Allah S.W.T dan cara-caranya ada dibentangkan dan dibincangkan dalam artikel kami bertajuk, Irsyad al-Fatwa Siri-251
Taubat Berulang-ulang Kali.
Penutup
Kesimpulannya, kami mengatakan bahawa dosa meninggalkan solat tidak akan terhapus hanya dengan menggantikannya sebaliknya perlu disertai dengan taubat, kembali kepada Allah S.W.T dengan menjauhinya, menyesal terhadap dosa yang dilakukan serta berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan tersebut. Akhir kalam, semoga Allah memberikan kepada kita kefahaman dalam memahami agama, diberikan keringanan dan keikhlasan dalam beribadah, ditetapkan keimanan kita serta diberkati segala amal perbuatan kita.
Wallahua’lam.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hati-hati Menziharkan Wajah Isteri Dengan Arwah Nenek

Isi Kandungan
ToggleDalam perhubungan suami isteri, perbuatan menziharkan pasangan dianggap sesuatu yang tidak wajar dilakukan kerana ia perbuatan masyarakat jahiliah.
Kesan zihar jika dilakukan dengan niat yang tidak baik amat buruk padahnya.
Walaupun tanpa niat apa-apa sekalipun, kadangkala perbuatan itu akan menyebabkan pasangan tersinggung kerana menyamakannya dengan mana-mana ahli keluarga.
Namun begitu kita ikuti penjelasan lanjut daripada Ustaz Syed Shahridzan berkenaan isu ini.
SOALAN:
Assalamualaikum ustaz. Mohon penjelasan dari ustaz. Saya perlu tahu tentang hukum zihar sebab kakak saya baharu berkahwin dan suaminya ada memberitahunya bahawa dia ada melihat gambar arwah neneknya. Suaminya berkata bahawa wajah kakak saya ada iras-iras muka arwah nenek dia.
Setahu saya kalau samakan wajah isteri dengan ibu dan nenek, dianggap menziharkan isteri kan? Kalau dikira zihar, adakah jatuh talak? Mohon pencerahan ustaz secepat mungkin. Mohon maaf dan terima kasih.
JAWAPAN:
Zihar bermaksud seorang suami menyamakan isterinya dengan salah seorang mahramnya seperti ibu, kakak, nenek dan seumpamanya untuk tujuan berpisah dengan si isteri.
Zihar merupakan adat masyarakat jahiliyyah yang diamalkan untuk berpisah dengan isterinya dan menggantung isteri agar tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain. Apabila berlakunya zihar maka haram lelaki itu bersetubuh dengan isterinya sehingga kaffarah ditunai.
Amalan zihar adalah perkara yang dilarang sama sekali oleh Islam dan ia merupakan dosa yang sangat besar kerana ia berbentuk penganiayaan terhadap si isteri. Ini kerana isteri tidak boleh disentuh oleh suaminya dan juga tidak boleh berkahwin dengan mana-mana lelaki lain disebabkan zihar bukan lah talak atau cerai.
Artikel berkaitan:Haram Atau Tak Suami Panggil Isteri Dengan Nama Ummi, Ibu Atau Mama. Ini Penjelasan PU Azman Wajib Ambil Tahu!
Dua Jenis Zihar
Memandangkan zihar ini adalah adat masyarakat jahiliah maka ulama fiqh telah menentukan lafaz-lafaz tertentu yang dianggap zihar dan seumpamanya. Oleh itu lafaz zihar terbahagi kepada dua jenis; Sarih (jelas) dan Kinayah (kiasan)
Lafaz sarih adalah lafaz si suami ditujukan pada isterinya dengan menyatakan, “Kau haram bagiku seperti haramnya belakang(zahr) ibuku”, atau “Kau seperti belakang ibuku”.
Maka lafaz sarih ini dikira sebagai zihar walaupun tidak berniat zihar kerana lafaz sarih pada zihar tidak memerlukan niat. Jadi apabila terujar lafaz sebegini maka dikira sebagai zihar.
Namun lafaz ini dikira agak mustahil berlaku dalam masyarakat Islam Melayu kerana ia tidak menjadi ujaran atau sebutan dalam adat istiadat masyarakat kita.
Tetapi jika bernar-benar terlafaz maka termeterailah hukum zihar ke atas suami dan Isteri walaupun tanpa niat zihar.
Manakala lafaz kinayah tidak dikira sebagai zihar melainkan si suami melafazkan lafaz kinayah itu dengan tujuan menziharkan isteri.
Contoh lafaz kinayah seperti, “Tangan awak seperti tangan ibu saya”, “Muka awak macam muka ibu saya lah”, “Kulit dan muka awak sebijik macam nenek saya masa muda-muda dulu”. Contoh lafaz ini biasa berlaku dalam masyarakat kita.

Namun begitu tidak perlu dirisaukan, lafaz kinayah tidak akan dikira sebagai zihar melainkan si suami benar-benar berniat untuk menziharkan isterinya.
Apa pun lafaz-lafaz kinayah seperti di atas kebiasaannya dalam adat Melayu bermaksud memuliakan si isteri sepertimana si suami memuliakan ibu dan neneknya, niat seperti ini tidak dikira sebagai zihar.
Fakta ini adalah disebut dengan jelas di dalam kitab “al-Fiqh al-Manhjai”:
فإن قصد بها الظهار كان مظاهرا, وإن كان قصد بها تشبيه زوجته بأمه أو أخته في الكرامة والتقدير لم يكن مظاهرا وليس عليه شيء أبدا
“Jika seorang suami bermaksud ZIHAR dengan lafaz itu maka (bermakna) dia adalah penzihar. Jika dia bermaksud menyamakan isterinya dengan ibunya atau kakaknya pada sudut kemuliaan dan penghargaan maka dia bukan lah penzihar dan tiada apa-apa kesan pun sama sekali”.
Secara umumnya zihar tidak sama dengan talak iaitu apabila zihar dengan lafaz sarih termetrai maka tidak terjatuh talak, cuma suami isteri diharamkan bersetubuh sehingga lah si suami melunaskan kafarah.
Namun jika dengan lafaz kinayah yang sesuai dilafazkan oleh si suami dengan niat untuk mentalaqkan isteri maka jatuhlah talak dan dikira sebagai talaq satu.
Artikel berkaitan: Masalah Besar Bukan Talak Semasa Hamil Tapi Bahaya Mudarat Talak Itu Kepada Bekas Ister;-PU Rahmat Ikhsan
Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ahli Keluarga Bergaduh Ketika Pengebumian. Bacaan Talkin Sunnah Atau Bidaah?

Kita sering mendengar bacaan talkin dibacakan ketika upacara pengkebumian. Ia satu ingatan untuk mereka yang masih hidup.
Ikuti perkongsian dari Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari mengenai isu bacaan talkin ini menurut mazhab-mazhab dan pandangan ulama terdahulu. Bidaah atau sunnah?
Pernah saya menghadiri sebuah pengurusan jenazah dan ketika pengebumian, para ahli keluarga inginkan agar talqin dibacakan, namun anak kepada jenazah berkeras tidak mahu talqin dibacakan kerana menurutnya ia adalah perbuatan bid’ah dan tidak ada hadith sahih yang mensabitkannya. Maka berlaku sedikit ketegangan antara sesama ahli keluarga sehinggalah akhirnya talqin tidak dibacakan.
Saya sedih melihat keadaan tersebut, bukan kerana talqin tidak dibacakan, sebab hukumnya sunat, tidak wajib dan pengebumian tetap sah tanpa talqin. Tapi apa yang menyedihkan ialah kesalahfahaman segelintir pihak terhadap status hadith da’if sehingga ia menjadi penghalang baginya untuk melakukan sunnah yang telah disepakati oleh jumhur Ulama.
Tambahan pula, dia menganggap bahawa talqin adalah bid’ah yang patut dijauhi hanya kerana ia berdasarkan hadith da’if.
Ya benar hadith mengenai talqin adalah hadith da’if yang berat. Namun ia tidak menghalang para Ulama untuk menghukumnya sebagai sunnah. Demikian adalah kerana sunnah bukan sabit hanya bersandar kepada hadith sahih semata-mata, akan tetapi juga sabit menerusi hadith da’if berat sekalipun.
Amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya adalah diriwayatkan hadithnya dari Sayyidina Abu Umamah al-Bahili. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, terdapat dua jalur riwayat Sayyidina Abu Umamah al-Bahili pada hadith talqin yang kedua-duanya adalah bertaraf da’if jiddan. (Ruj: al-Futuhat al-Rabbaniyyah Sharh al-Adhkar al-Nawawiyah li Ibni ‘Allan, 4/196).
Sungguhpun hadith talqin bertaraf da’if jiddan (da’if berat), penerimaan Ulama secara meluas (Talaqqi bi al-Qabul) terhadapnya menyebabkan statusnya naik kepada sahih dan mutawatir. Hal tersebut dijelaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Nuzhat al-Naẓar (Fasl al-Khabar al-Muhtaffu bi al-Qarā’in wa Bayānuha), beliau menyatakan bahawa dalam penilaian sesebuah hadith, selain daripada melihat kewujudan riwayatnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, serta penilaian terhadap jalur sanadnya, qarinah yang terkuat lebih dari itu semua adalah al-Talaqqi bi al-Qabul iaitu kesepakatan para Ulama untuk menerima sesuatu fakta yang terdapat dalam sesebuah hadith itu sehingga hanya dengan wujudnya al-Talaqqi bi al-Qabul itu satu sahaja sudah mencukupi untuk beramal dan mengakuinya kerana kekuatannya bahkan melebihi daripada hadith yang mempunyai jalur sanad yang banyak.
Imam al-Sakhawi dalam Fath al-Mughith berkata, “Dan demikianlah, apabila para Ulama secara Talaqqi bi al-Qabul telah menerima sesebuah hadith da’if sebagai maqbul, maka ianya diamalkan serta dianggap sahih. Sehinggakan ia boleh menjadi pada darjat mutawatir yang boleh memansukhkan hukum-hakam yang lain.
Mawlana Abd al-Hayy al-Laknawi dalam al-Ajwibah al-Fadilah (ms.228) menegaskan bahawa mana-mana hadith da’if yang telah mencapai Talaqqi bi al-Qabul adalah WAJIB untuk mengakui dan mengamalkannya sebagaimana hal tersebut ditegaskan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam al-Ifṣah ‘ala Nukat Ibni al-Ṣalah dan demikian itulah apa yang dipegang oleh para imam-imam Usul.
Seluruh mazhab yang empat menyatakan bahawa talqin adalah sunnah dibacakan. Di bawah ini adalah keterangan Ulama dari empat mazhab:-
1. Mazhab Shafi’i
Imam al-Nawawi al-Shafi’i dalam kitabnya al-Majmu’ (j.5, ms. 303) berkata:-
يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُ الْمَيِّتِ عَقِبَ دَفْنِهِ فَيَجْلِسُ عِنْدَ رَأْسِهِ إنْسَانٌ
“Disunnahkan mentalqin mayat segera setelah menguburnya, di mana seseorang duduk di depan kepala mayat, dan berkata: Wahai fulan anak fulan….sehingga akhir”.
2. Mazhab Maliki
Imam Al-Mawwaq Al-Maliki, al-Taj Wa al-Iklil li Mukhtasar al-Khalil (j.2, ms. 375) berkata:
إذَا أُدْخِلَ الْمَيِّتُ قَبْرَهُ فَإِنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَلْقِينُهُ فِي تِلْكَ السَّاعَةِ، وَهُوَ فِعْلُ أَهْلِ الْمَدِينَةِ الصَّالِحِينَ مِنَ الْأَخْيَار
“Jika mayat telah dimasukkan ke dalam kuburnya, maka sesungguhnya disunnahkan mentalqinnya pada saat itu. Hal ini merupakan perbuatan penduduk Madinah yang saleh lagi baik”.
3. Mazhab Hanafi
Imam al-Zayla’i al-Hanafi dalam kitabnya Tabyin al-Haqa’iq Sharh Kanz al-Daqa’iq (j.3, ms. 153) menyebutkan:-
أَنَّ تَلْقِينَ الْمَيِّتِ مَشْرُوعٌ، لِأَنَّهُ تُعَادُ إلَيْهِ رُوحُهُ وَعَقْلُهُ، وَيَفْهَمُ مَا يُلَقَّنُ
“Sesungguhnya mentalqin mayat itu disyariatkan, sebab ruhnya dikembalikan kepadanya, begitu pula akalnya. Dia memahami apa yang ditalqinkan (diajarkan)”.
4. Mazhab Hanbali
Imam al-Buhuti al-Hanbali dalam kitabnya Sharh Muntaha al-Iradat (j.1, ms. 374) menulis:
وَسُنَّ تَلْقِيْنُهُ أَيْ: الْمَيِّتِ بَعْدَ الدَّفْنِ عِنْدَ الْقَبْرِ؛ لِحَدِيْثِ أَبِي أُمَامَةَ البَاهِلِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ
“Dan disunnahkan mentalqin mayat setelah dikebumikan dalam kuburan, bersandar kepada hadith riwayat Abi Umamah Al-Bahili radhiyallahu anhu”.
Imam Ibnu Qayyim yang bermazhab Hanbali dalam kitabnya al-Ruh (ms.29) mengatakan bahawa amalan talqin adalah sunnah meskipun ia bersandar kepada hadith yang tidak sabit.
Ketika beliau membicarakan mengenai riwayat berkenaan kelakuan orang hidup diketahui orang-orang mati, beliau berkata, “Hal tersebut menunjukkan bahawa sesungguhnya orang-orang yang telah mati mengetahui keadaan orang-orang hidup, mengetahui kunjungan ziarah mereka, dan mendengar salam mereka ke atasnya, sebagaimana amalan yang telah berlangsung sejak awal sehingga saat ini dari pembacaan talqin ke atas mayat di kuburnya. Dan telah ditanya Imam Ahmad bin Hanbal akan hal tersebut maka beliau telah memandangnya sebagai amalan yang baik dan beliau berhujah dengan pengamalan ahli ilmu terhadapnya”.
Selanjutnya Imam Ibnu Qayyim menyebutkan sebuah hadith da’if secara penuh dari al-Mu’jam li al-Tabrani mengenai amalan talqin ke atas si mati di tepi kuburnya, lalu beliau berkomentar:-
“Sungguhpun hadith ini tidak sabit, namun pengamalannya yang berterusan secara turun temurun oleh orang ramai (ahli ilmu) di segenap tempat dan setiap era tanpa sebarang penafian, adalah cukup untuk menjadi bukti untuk diamalkan.
Demikian itu adalah kerana Allah Ta’ala tidak sekali-kali mentakdirkan sebuah kebiasaan ke atas umat yang merata di Timur dan Barat, yang mana umat ini adalah umat yang paling sempurna akalnya dan paling banyak pula pengetahuannya, untuk mengungkapkan perbicaraan kepada sesuatu yang tidak dapat mendengar atau mengerti?
Padahal seluruh umat telah menganggapnya sesuatu yang baik dan tidak ada sesiapa yang menafikannya. Bahkan ia merupakan SUNNAH yang bermula dari golongan terdahulu lalu diikuti oleh yang terkemudian. Kalaulah orang yang ditujukan perbicaraan itu tidak dapat mendengar, nescayalah ia sama seperti berbicara kepada tanah, kayu dan batu nisan atau kepada seseorang yang tiada (al-ma’dum)”.
Kesimpulan:-
Amat penting untuk membezakan apa yang dimaksudkan dengan perkataan “sunnah” dan “bukan sunnah”, adakah ianya sunnah dalam definisi Fuqaha’ atau Muhaddithin. Definisi yang sepatutnya digunakan oleh masyarakat awam ialah apa yang disebut oleh para Fuqaha’ iaitu “sunnah ialah apabila melakukannya mendapat pahala, meninggalkannya tak dapat apa-apa”, bukan definisi sunnah yang dipegang oleh Muhaddithin iaitu “Segala peninggalan Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam baik berupa perkataan, perbuatan, keputusan, mahupun sifat”.
Mengheret masyarakat awam kepada definisi Sunnah yang diguna pakai oleh para muhaddithin dengan menggesa mereka untuk semak status hadith dan mencari dalil pada setiap gerak geri ibadah adalah sebenarnya meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. al-Hafiz Ibn al-‘Arabi al-Maliki (m. 543 H) sangat keras terhadap literalis yang menuntut dalil berbentuk nas bagi setiap masalah hukum. Dalam ‘Aridah al-Ahwadhi (Abwab al-Zakat, ms.104), Syarah Sunan al-Tirmidhi, beliau menyebut sikap ini menyalahi Salaf, bahkan menyebut mereka sebagai “keldai”.
Ulama mensyariatkan amalan talqin bukanlah hanya sebagai tazkirah untuk orang yang masih hidup, akan tetapi ia turut membantu orang yang sudah meninggal dunia dalam meneguhkan dan memantapkan si mati menghadapi alam barzakh dan persoalan Munkar dan Nakir kerana pendengaran orang yang sudah meninggal itu lebih tajam berbanding orang-orang hidup yang hadir pengebumian sebagaimana hal itu sabit secara sahih dalam peristiwa Nabi Muhammad SAW berbicara di Badar yang ditujukan buat orang-orang yang telah meninggal. (al-Bukhari).
Selain amalan talqin, berdoa adalah cara orang yang masih hidup dapat membantu si mati sesuai dengan sabda RasuluLlah SAW: “Mintalah pengampunan untuk saudara kamu, dan mintalah kepada Allah supaya dia mendapat ketetapan, sesungguhnya dia (jenazah) sekarang ini sedang disoal”. (Riwayat Abu Daud).
Amalan talqin adalah SUNNAH dan status hadithnya telah naik kepada sahih dan mutawatir disebabkan faktor penerimaan Ulama secara meluas terhadapnya (Talaqqi bi al-Qabul).
Diharapkan selepas ini, tidak ada lagi isu bid’ah membid’ah dalam amalan talqin yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam.
Kita boleh berbeza pendapat, akan tetapi jauhi sikap tergesa-gesa dan gopoh dalam melabelkan ke atas orang lain dengan sesat dan bid’ah.

Jangan hanya kerana melihat status sesebuah hadith itu da’if walau berat sekalipun, terus ia menjadi harga mati untuk amalan tersebut ditolak. Demikian adalah kerana mengetahui status hadith bukanlah produk terakhir dalam pembentukan sesebuah hukum dan amalan dalam agama kita.
Sesungguhnya kaedah pendalilan disisi Ulama Muktabar bukanlah sesimple itu. Cukuplah kita mengikut apa yang telah dihidangkan oleh Ulama Muktabar kepada kita untuk mengamalkan apa yang patut diamalkan dan meninggalkan apa yang patut ditinggalkan.
HADITH TALQIN
Dibawah ini adalah hadith yang digunakan para Ulama dalam pensyari’atan talqin ketika pengebumian.
حديث أبي أمامة في التلقين . أخرجه الطبراني في ” الكبير ” عن سعيد بن عبد الله الأودي قال : ” شهدت أبا أمامة الباهلي وهو في النزع فقال : إذا أنا مت فاصنعوا بي كما أمر رسول الله ( صلى الله عليه وسلم ) فقال : أذا مات أحد من إخوانكم فسويتم التراب عليه فليقم أحدكم على رأس قبره ثم ليقل : يا فلان بن فلان بن فلانة فإنه يسمع ولا يجيب ثم يقول : يا فلان بن فلانة فإنه يستوي قاعدا ثم يقول : يا فلان بن فلانة فانه يقول : أرشدنا رحمك الله ولكن لا تشعرون فليقل : اذكر ما خرجت عليه من الدنيا شهادة : أن لا اله الا الله وأن محمدا عبده ورسوله وأنك رضيت بالله ربا وبالاسلام دينا وبمحمد نبيا وبالقرآن إماما فان منكرا ونكيرا يأخذ كل واحد منهما بيد صاحبه ويقول : انطلق بنا ما نقعد عند من لقن حجته فيكون الله حجيجه دونهما قال رجل : يا رسول الله فإن لم يعرف أمه ؟ قال : فينسبه إلى حواء : يا فلان بن حواء ”
Sayyidina Abu Umamah al-Bahili berkata “Apabila aku mati nanti, maka lakukan kepadaku seperti yang disuruh oleh Rasulullah SAW, Baginda bersabda:-
“Jika salah seorang di antara kalian mati, maka ratakanlah tanah pada kuburnya (kuburkanlah). Hendaklah salah seorang dalam kalian berdiri di pinggir kuburnya dan hendaklah berkata :-
“Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia boleh mendengarnya tetapi tidak boleh menjawabnya.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan duduk.
Kemudian berkata lagi : “Wahai fulan (sebutkan nama orang yang mati) anak fulanah (sebutkan ibu orang yang mati)” sebab dia akan berkata : “Berilah kami petunjuk –semoga Allah merahmatimu-“ dan kalian tidak akan merasakannya.
Kemudian hendaklah berkata : “Sebutlah sesuatu yang kamu bawa keluar dari dunia, iaitu persaksian bahawa tiada Tuhan kecuali Allah ﷻ, Muhammad hamba dan utusan-Nya, dan sesungguhnya kamu reda Allah menjadi Tuhanmu, Muhammad menjadi Nabimu, dan Al-Qur’an menjadi imammu”, sebab Munkar dan Nakir saling berpegangan tangan dan berkata : “Mari kita pergi. Kita tidak akan duduk (menanyakan) di sisi orang yang telah ditalqini (dipimpin) hujjahnya (jawapannya), maka Allah menjadi hajiij (yang mengalahkan dengan menampakkan hujah) baginya bukan Munkar dan Nakir”.
Kemudian seorang sahabat lelaki bertanya : “Wahai Rasulullah! Jika dia tidak tahu ibu si mati?” Maka Rasulullah ﷺ menjawab: “Nisbahkan kepada Hawa, wahai fulan bin Hawa”
(Riwayat al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir).
Semoga bermanfaat
Disediakan oleh : iqbal Zain al-jauhari
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI