Subhanallah, Cinta Till Jannah Bersemadi Di Madinah. Rezeki Suami Isteri Ini Meninggal Dunia Ketika Kerjakan Umrah!

Share

Setiap jodoh, rezeki dan ajal maut kita terletak di tangan Allah. Hanya Dia yang mengetahui di mana dan bila kita akan bertemu Sang Pencipta. Kalau boleh memang mahu bersama pasangan sehidup semati hingga ke jannah.

Namun begitu, ramai antara kita berhajat kalau boleh mahu meninggal dan di kebumikan bersama para syuhada di Madinah.

Ini juga menjadi impian bagi setiap jemaah yang mengerjakan ibadah haji atau umrah di Tanah Suci.

Seperti yang berlaku bagi pasangan warga tua, Ismail Latiff, 66 tahun dan isterinya Rohani Dollah, 60 tahun apabila kedua-duanya meninggal dunia ketika bersama-sama mengerjakan umrah.

Pasangan suami isteri ini sama-sama meninggal dunia & dikebumikan di Madinah.

Menurut laporan Harian Metro

, suami pasangan ini meninggal dunia terlebih dahulu pada jam 11 pagi waktu tempatan Isnin lalu, manakala selang sehari kemudian isterinya pula menyusul pada jam 2 petang kelmarin ketika bersiap untuk pulang ke tanah air.

Sementara itu menurut anak pasangan yang diibarat merpati dua sejoli, Nor Shuhada Ismail, 38, berkata, berita pemergian ibu bapa mereka itu disampaikan oleh sepupunya, Noranito Taib, 50, yang turut sama-sama menunaikan umrah.

Katanya, mereka sekeluarga terkejut dengan berita itu, namun reda dengan pemergian kedua-dua ibu bapa kerana meninggal selepas menunaikan umrah dan di tempat suci idaman umat Islam di seluruh dunia.

Ketika menghantar keduanya untuk mengerjakan umrah.

“Ayah dan mak sangat rapat kerana mereka sering bersama-sama pergi ke mana-mana sahaja termasuk di dapur rumah. Mungkin keakraban mereka itu menyebabkan arwah ma (emak) terlalu sedih sehingga darahnya naik dan meninggal dunia semalam.

“Sebelum itu, arwah ayah meninggal dunia Isnin lalu di hotel kerana demam selama lima hari. Ayah tiada sebarang penyakit dan sihat sebelum berangkat ke Makkah.

“Arwah mak hanya ada penyakit darah tinggi sahaja dan mungkin dia risau nak meninggalkan ayah jauh di Makkah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tunjung, Kota Bharu, hari ini.

Pasangan ini dikatakan sangat rapat dan ini kali pertama mengerjakan umrah bersama-sama.

Nor Shuhada yang juga anak ketiga daripada 10 beradik berkata, kedua-dua ibu bapanya itu gembira kerana dapat menunaikan umrah bersama-sama buat pertama kali.

Katanya, sebelum berangkat ke Makkah, ibunya berpesan kepada anak-anak supaya menjaga diri dan rumah dengan baik.

“Manakala setiap kali WhatsApp, ayah berpesan supaya kami 10 beradik duduk dengan baik sepanjang ketiadaan mereka dan menjaga rumah dengan elok. Rupanya itu amanat ayah yang terakhir buat kami.

“Mak juga sempat mengucapkan selamat tinggal kepada jemaah masjid seolah-olah dia tidak akan kembali selepas ini. Kami adik beradik sedih dengan kehilangan ibu bapa, tetapi kami gembira kerana mereka meninggal dunia di Makkah,” katanya.

Walaupun bersedih, tetapi 10 adik beradik ini reda dengan pemergian kedua ibu bapa di Madinah.

Menurutnya, sepatutnya mereka menyambut kepulangan ayah dan ibunya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, namun yang pulang hanya barang-barang mereka.

Artikel Berkaitan: Impian Wanita Ini Meninggal Di Baqi’ Terlaksana

Published by
Siti Zurina