Meskipun besar harapan vokalis Seventeen Reifan Fajarsyah yang mesra disapa Ifan untuk menemui isterinya dalam keadaan selamat namun kuasa Allah mengatasi segalanya. Mungkin juga sudah sampai ajal isterinya, Dylan Sahara, 25 bertemu dengan penciptaNya.
Walau dia hanya ‘bertemu’ dengan jasad kaku isterinya namun Ifan tetap bersyukur kerana akhirnya isterinya itu kembali jua kepada dirinya meskipun sudah tidak bernyawa. Betapa pilunya hati seorang suami tatkala melihat sekujur tubuh isterinya terbaring kaku di depan mata namun siapalah kita untuk menidakkan ketentuan Ilahi.
Tulis Ifan di laman Instagramnya, Alhamdulillah udah ketemu istriku @dylan_sahara
Makasih ya temen-temen doanya, cuma Allah yang bisa bales kebaikan temen-temen.
Minta tolong kirimin al-fatihah ya buat istriku @dylan_sahara InsyaAllah husnul khotimah. Allahumma amin
Melalui Insta Storynya juga, Ifan berkongsi detik-detik dia mengiringi jenazahnya isterinya selepas ditemui di Hospital Pandeglang. Jenazahnya dikenal pasti kira-kira jam 7 malam (waktu tempatan).
Dan ini pula perkongsian Ifan melalui Insta Storynya ketika mengiringi jenazah isterinya untuk dikebumikan. Dylan Sahara telah selamat dikebumikan di Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia,
Menurut laporan Detik.com, Ifan kelihatan sugul ketika pengebumian arwah Dylan selain dilihat enggan meninggalkan kubur isterinya itu usai pengebumian. Sambil bibirnya melantunkan doa, Ifan yang didampingi ibu mertua serta saudara Dylan kelihatan membasuh nisan isterinya yang terkena tanah.
“Sudah pulang ya sayang, sampai ketemu lagi,” kata Ifan sambil menyiram air mawar di kubur isterinya.
Menerusi laporan portal berita Indonesia itu lagi, Ifan memohon maaf bagi pihak isterinya dan meminta masyarakat mendoakan agar kematian isterinya husnul khotimah.
Selain Dylan, tiga lagi ahli kumpulan Seventeen serta pengurus band itu, Oki Wijaya, termasuk pemain bass; Bani, pemain dram; Andi dan pemain gitar; Herman turut maut dalam tragedi yang membadai persisiran pantai Banten dan Lampung.
“Bukan hanya untuk isteri dan rakan-rakan Seventeen saja, saya juga mohon doa untuk semua mangsa tsunami agar amalan mereka diterima di sisi Allah SWT dan semoga husnul khotimah,” kata Ifan.
Terdahulu, band itu dilaporkan memenuhi jemputan dalam majlis tertutup di Tanjung Lesung Beach Resort, di Pandeglang, Banten.
Satu video memaparkan detik terakhir kumpulan itu sedang mengadakan persembahan sebelum ombak tsunami datang ‘menyapu’ pentas dan penonton, tular di laman sosial.
Dalam video itu, Ifan sedang menyampaikan sebuah lagu sebelum ombak tsunami datang dari bahagian belakang pentas. Ifan satu-satunya ahli kumpulan Seventeen yang terselamat dalam kejadian itu.
Al-Fatihah untuk semua mangsa tsunami yang terkorban.
Sumber kredit: Detik.com, Harian Metro dan Instagram Ifan Seventeen