
Sunat menutup bekas makanan dengan sesuatu yang menutup mulut bekas makanan pada setiap waktu terutama waktu malam. Sekiranya tiada penutup, boleh juga di lintangkan kayu, senduk dan sebagainya di mulut bekas tersebut. Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Saidina Jabir.
Kata ulamak, hikmah disuruh tutup bekas makanan kerana TIGA perkara:
1. Kerana disebutkan di dalam hadis yang sahih bahawa syaitan tidak dapat membuka bekas yang ditutup dan membuka ikatan tempat simpan air.
2. Kerana disebutkan dalam hadis riwayat Imam Muslim bahawa di dalam satu tahun, ada satu malam yang diturunkan bala padanya. Lalu bala tersebut akan melalui bekas makanan yang tidak di tutup dan turun ke dalamnya.
3. Kerana menjaga daripada terjatuh najis ke dalamnya. Sebahagian ulama beramal dengan hadis dengan hanya meletakkan ranting kayu di mulut bekas makanan. Apabila pagi, dilihatnya ular berbelit di ranting kayu tadi, tidak turun ke dalam bekas.
Kata ulamak apabila meletakkan kayu tadi,
Bacalah ( بسم الله هذا غطاؤك)

Maksudya: Dengan nama Allah, inilah penutupmu. Sekiranya diletakkan penutup yang menutupi semua mulut bekas cukup hanya dengan membaca (بسم الله) sahaja.
▪️Petikan daripada kitab Umdatur Rabih, karangan Imam ar Ramli. Boleh juga di lihat di dalam kitab as Thimar al Yani’ah karangan Syeikh Nawawi al Bantani.
Sumber kredit: Ustaz Mohd Zaki Zulkifli
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Istimewanya Bulan Rejab

SOALAN: Apakah status hadis ini?
Daripada Salman al-Farisi RA, bahawa dikatakan Nabi SAW pernah bersabda:
فِي رَجَبٍ يَوْمٌ وَلَيْلَةٌ مَنْ صَامَ ذَلِكَ الْيَوْمَ ، وَقَامَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ كَانَ كَمَنْ صَامَ مِنَ الدَّهْرِ مِائَةَ سَنَةٍ ، وَقَامَ مِائَةَ سَنَةٍ ، وَهُوَ لِثَلاثٍ بَقِينَ مِنْ رَجَبٍ ، وَفِيهِ بُعِثَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: “Dalam bulan Rejab terdapat hari dan malam yang mana berpuasa pada hari tersebut dan mendirikan malamnya (Qiyamullail) adalah seperti seseorang yang berpuasa setahun selama 100 tahun dan berqiyamullail selama 100 tahun. Hari tersebut adalah 3 hari terakhir daripada bulan Rejab dan padanya juga dibangkitkan Muhammad SAW.”
JAWAPAN:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada bulan yang istimewa buat umat Islam. Ini kerana, ia termasuk di dalam bulan-bulan Haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, bahawa Nabi SAW bersabda:
Daripada Abi Bakrah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ
Maksudnya: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.” [al-Bukhari (4054)]
Syeikh Mustafa al-Bugho mengatakan perkataan Mudhor ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain ketika menta’liqkan hadis ini di dalam Sahih al-Bukhari.
Selain itu, Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4]
Berdasarkan soalan di atas, riwayat Salman al-Farisi RA tersebut ada diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman dan Fadhail al-Awqat. Akan tetapi, Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa sanad hadis tersebut adalah dhaif.
Adapun berkaitan status hadis ini adalah munkar sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalni bahawa hadis ini teramat munkar. [Lihat: Tabyin al-‘Ajab, 31] Tambahan pula, Syeikh Ibn Arraq al-Kinani menyatakan di dalam sanad terdapat perawi yang didhaifkan oleh Ibn Ma’in dan . [Lihat: Tanzih al-Syariah, 161/2]
Untuk itu, kami katakan bahawa riwayat atau hadis ini adalah tidak sahih dan kita tidak boleh sama sekali untuk menyandarkannya kepada Nabi SAW.
Di sini kami nyatakan beberapa pendapat para ulamak berkaitan kelebihan bulan Rejab, antaranya ialah:
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Tidak ada disebut di dalam hadis yang sahih (yang boleh dibuat hujjah) akan kelebihan bulan Rejab, berpuasa padanya, berpuasa daripadanya disebabkan sesuatu perkara yang tertentu dan solat yang khusus”. [Tabyin al-‘Ajab, 9]
Imam al-Syaukani pula berkata: “Tidak ada disebut berkaitan amalan pada bulan Rejab secara khusus di dalam sunnah yang sahih, juga yang hasan dan juga yang dhaif (dhaif ringan). Bahkan, kesemua yang diriwayatkan berkaitannya secara khusus adalah palsu lagi dusta dan teramat dhaif”. [al-Sail al-Jarrar, 297]
Imam Ibn Rejab berkata: “Tidak ada yang sahih pada kelebihan berpuasa di bulan Rejab yang khusus daripada Nabi SAW dan juga tidak ada yang khusus daripada sahabat Baginda SAW”. [Faidh al-Qadhir, 210/4]

Untuk itu, bulan Rejab tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang khusus daripada hadis-hadis yang sahih seperti amal ibadat tertentu. Walaupun begitu, ini tidak menghalang seseorang itu untuk melaksanakan amalan seperti berpuasa, solat sunat, bersedekah dan lain-lain lagi dengan syarat tidak beri’tiqad (mempercayai) bahawa amalan ini mempunyai kelebihan-kelebihan yang khusus atau tertentu. Ini kerana, ia termasuk atau bulan Rejab termasuk di dalam bulan-bulan haram yang mana diketahui akan kelebihan bulan-bulan haram berbanding bulan-bulan yang lain.
Kata Abu Bakar al-Warraq:
“Bulan Rejab adalah bulan untuk bercucuk tanam, bulan Sya’ban pula adalah bulan untuk menyiram tanaman dan bulan Ramadan pula adalah bulan untuk memungut hasil.” [Lihat: Lathaif al-Ma’arif, 121/1]
PENUTUP
Sempena kemasukan bulan Rejab ini, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan baik kita dan semoga Allah SWT sentiasa memberi kita taufiq dan hidayahNya dalam setiap amalan yang kita lakukan agar ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan juga sunnah Rasulullah SAW. Amin.
Wallahua’lam
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
VIDEO:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini Rupanya RAHSIA Sharifah Khasif Hafal Al-Quran, Ayuh Cuba Amalkan!

Mendengar lemak merdu suara empunya diri mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran membuatkan jiwa seakan terusik. Lengkap dengan tajwid dan taranumnya, ramai terpesona dengan bacaan beliau seakan-akan terleka dibuai kemerduan suaranya.
Mesra dengan panggilan ustazah, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman bukan calang-calang wanita yang mampu menyampaikan bacaan Al-Quran dengan baik. Wanita berdarah Melayu-Yaman ini nyata memiliki aura tersendiri yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Sharifah Khasif menyifatkan zaman kanak-kanak yang dilaluinya tidak seindah insan lain kerana terpaksa menghafal Al-Quran setiap hari. Sikap bapanya yang agak garang membuatkan mereka adik-beradik takut untuk membantah dan hanya menurut perintah. Bagaimanapun, dia amat bersyukur kerana berkat didikan tersebut dia mampu menikmati kesenangan pada hari ini, selain dapat berbakti kepada masyarakat.
“Waktu malam kalau tak hafal kena tidur di luar. Memang 24 jam telinga mendengar bacaan Al-Quran dan boleh dikatakan sepenuh masa saya dengan kitab ini saja. Sekarang, saya banyak berlatih dalam kelas. Mengajar dalam kelas bukan kerana saya hendak duit atau sebagainya tapi sebab saya takut tak ada masa hendak berlatih lagi,” jelasnya yang mengadakan kelas membaca Al-Quran pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat yang mana ia terbuka untuk kelas umum dan secara tertutup untuk golongan VIP.
Dicungkil tentang rahsia beliau mudah mengingat ayat-ayat Al-Quran yang ingin dihafal, Sharifah Khasif tidak lokek berkongsi tip.
“Tinggalkan segala masalah dan kekusutan fikiran. Kosongkan fikiran dan serah pada ALLAH bulat-bulat untuk mengizinkan kita menghafal ayat-ayat Al-Quran. Jangan merasakan diri kita ini sudah cukup ilmu. Sentiasa merendah diri dan teruskan belajar.
“Al-Quran ialah mukjizat jadi kita kena minta pada ALLAH supaya mudahkan hafalan kita. Sentiasa jadi orang yang sibuk dengan membaca Al-Quran. Jika selalu santai sahaja maka kita tidak akan berjaya menghafal dan mengimarah Al-Quran. Tiada jalan singkat dalam soal menghafal ayat-ayat Al-Quran.
“Makan minum memang saya jaga. Saya amalkan makan kurma kerana tahu akan khasiatnya untuk tenaga manakala air suam untuk penjagaan suara. Walau bagaimanapun untuk menghafal, perlu sentiasa ‘berdamping’ dengan Al-Quran.

“Pendek kata, 24 jam sehari. Memang perlu lebih kurang 12 jam sehari untuk menghafal dan ulang betul-betul ayat yang dibaca. Jika mahu menghafal Al-Quran, letakkan tempoh sasaran. Paling lama tiga tahun. Selepas itu belajar pula untuk menghafal ilmu tafsir,” tegas Sharifah Khasif.
Kata pepatah, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Untuk mencapai kejayaan, perlulah ada usaha dan pengorbanan.
Sumber: Sisipan Wanita Oh Wanita, Sinar Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Wanita Ini Terima ‘Jawapan’ Tentang Kehidupan Dalam Al-Quran Bila Baca Terjemahan Ayat 18-21 Surah Al-Isra’

Al-Quran bukan hanya sekadar sebuah kitab suci, tetapi juga petunjuk hidup manusia dalam kehidupan ini. Di dalamnya terdapat hikmah-hikmah yang sangat luar biasa untuk solusi permasalahan kita.
Kehebatan Al-Quran juga mampu memberikan kebaikan bagi mereka yang rutin membacanya. Luar biasanya, orang yang berusaha membaca Al-Quran mendapat dua kebaikan, iaitu pahala membaca dan pahala usahanya dalam membaca Al-Quran.
Al-Quran merangkumi semua aspek kehidupan. Ikuti perkongsian Azlia Ajid hikmah membaca Al-Quran dengan memahami sekali maksudnya.
Sungguh saya rasa umpama Allah menjawab dengan jelas doa saya. Sungguh saya rasa sebak sekali. Umur 32 tahun ini banyak sekali perkara yang meruntun jiwa saya. Ya Allah. Syukur. Banyak rahmat dan rezekiMu yang tidak disangka hadir.
Ini bukan kali pertama saya mendapat jawapan tepat tentang persoalan-persoalan saya mengenai kehidupan dalam Al-Quran.
Banyak kali sangat ia berlaku dan saya yakin memang bukan kebetulan. Saya sedar dengan jelas mengapa amat digalakkan mengaji dan membaca terjemahan sebaiknya setiap hari.
TEMUI JAWAPAN
Saya dah rasa banyak nikmat dan kekuatan luar biasa hadir bila mendapat jawapan begini. Ada ketika saat saya sedih, buntu, terjemahan Al-Quran yang saya baca seolah memujuk saya. Ia umpama Allah memberi ketenangan pada saya melalui ayat suciNya. Subhanallah.
Antara yang paling dekat situasi seperti ini berlaku ialah minggu ini. Tempoh hari, sesudah saya selesai bacaan saya pada muka surat 283 dan 284 , Surah Al-Isra’, saya membaca terjemahan.
Alangkah syahdunya hati saya membaca Ayat 18 hingga 21 surah tersebut di mana ia menyentuh tentang hambaNya yang memilih mengejar dunia atau mengejar akhirat dan mendapat kebaikan dunia sebagai bonus.
Selalunya saya hanya membacanya di dalam buku mahupun mendengar ceramah dan kata-kata hikmah. Tapi ini, saat saya benar-benar nak berusaha mengejar akhirat, ayat ini saya temui. Ayat ini saya baca.
Ia di dalam Al-Quran dan ia jelas dan nyata. Jadi apa lagi petunjuk yang saya cari? Kejarlah akhirat dulu wahai diri yang kerdil, dunia akan datang padamu. Allahuakbar.
KOMPAS KEHIDUPAN

Ya, sahabat. Yakinlah. Segala jawapan persoalan kehidupan ini ada dalam Al-Quran. Salah satu kompas hidup ini adalah Al-Quran.
Bacalah biar satu muka sehari. Mulakanlah hari ini. Kalian akan rasakan nikmat dunia luar biasa mula hadir dalam hidup. Kalian akan rasai ketenangan paling agung kalian pernah rasa. Kalian akan jumpa kunci kebahagiaan kalian. Kalian akan mula lihat rezeki mengalir sederas air terjun Niagara.
Percayalah.
Sumber kredit: Azlia Ajid
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI