Kerohanian

Sunnah Kahwin Bulan Syawal & Kisah Pernikahan Rasulullah SAW Dengan Aisyah RA

Share

Mungkin ada yang belum tahu hukum pernikahan di bulan Syawal ini adalah sunnah jika diniatkan untuk mengambil keberkatan dari perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Aisyah RA.

Namun jika seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin pada bulan Syawal maka dia boleh memilih mana-mana bulan yang sesuai untuk dia berkahwin.

Dalam pada itu ada kisah mengapa pernikahan antara Rasulullah SAW dan Aisyah berlangsung di bulan Syawal ini sekali gus menjadi sunnah.

Mengikut tradisi bangsa arab bulan Syawal dianggap sebagai bulan yang membawa malapetaka kepada rumah tangga yang dibina pada bulan tersebut. Untuk meruntuhkan tradisi ini Rasulullah SAW berkahwin dengan Aisyah RA pada bulan Syawal.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah RA berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengahwini ku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama dengan ku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW dari pada ku?” (Riwayat Muslim)

Tujuan Aisyah RA menggambarkan keberuntungan dirinya yang berkahwin dengan Rasulullah SAW di bulan Syawal sebagai menandakan bahawa perkahwinan di bulan Syawal tidak membawa apa-apa kemudaratan seperti sial yang disangka oleh masyarakat jahiliah[1]. Ini menunjukkan kepercayaan bahawa bulan Syawal boleh membawa malapetaka kepada rumah tangga adalah dan tidak benar.

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa disunatkan untuk berkahwin pada bulan Syawal. Imam al-Nawawi berkata:

فِيهِ اسْتِحْبَابُ التَّزْوِيجِ وَالتَّزَوُّجِ وَالدُّخُولِ فِي شَوَّالٍ وَقَدْ نَصَّ أَصْحَابُنَا عَلَى اسْتِحْبَابِهِ

Maksudnya: “Hadis ini menunjukkan bahawa berkahwin dan bersama pada bulan Syawal adalah sunat. Para Ashab Syafii telah menyebut dengan jelas mengenai kesunatannya[2].”

Dalam mazhab Syafii disebutkan bahawa antara perkara yang disunatkan dalam perkahwinan ialah melakukannya pada bulan Syawal. Imam al-Ramli berkata:

وَيُسَنُّ أَنْ يَتَزَوَّجَ فِي شَوَّالٍ، وَأَنْ يَدْخُلَ فِيهِ، وَأَنْ يَعْقِدَ فِي الْمَسْجِدِ، وَأَنْ يَكُونَ مَعَ جَمْعٍ وَأَوَّلَ النَّهَارِ.

Maksudnya: “Disunatkan untuk berkahwin dan bersama pada bulan Syawal, diadakan di masjid, dalam khalayak ramai dan pada waktu siang[3].”

Alasan mengapa disunatkan untuk berkahwin pada bulan tersebut ialah kerana mengikut amalan Nabi SAW[4]. Oleh itu diriwayatkan juga bahawa Aisyah gemar supaya para wanita dari keluarganya juga berkahwin pada bulan Syawal sebagai mengambil keberkatan kepada perkahwinan beliau dengan Nabi SAW[5].

Meskipun tidak ada dalil yang jelas menyebut berkenaan sunat berkahwin ketika bulan Syawal namun ulama memahami kesunatannya daripada kenyataan Aisyah RA. Selain itu, perkahwinan di bulan Syawal disunatkan ketika dia boleh memilih sama ada ingin melakukannya pada bulan Syawal ataupun pada bulan-bulan yang lain.

Kesimpulannya, hukum perkahwinan di bulan Syawal adalah disunatkan jika diniatkan untuk mengikut dan mengambil keberkatan dari perkahwinan Nabi SAW dan Aisyah RA. Namun jika seseorang itu tidak mampu untuk berkahwin pada bulan Syawal maka dia boleh memilih mana-mana bulan yang sesuai untuk dia berkahwin.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan 

 

Published by
Team Kashoorga