Suntik Ilmu Kerohanian Sambil Jamu Selera, PU Riz Anjur Ceramah Agama Di Restoran Khas Untuk Pelanggan

Share

Pendakwah bebas yang juga pelakon, Riz Ismail kini bangkit dengan semangat baru. Apa yang berlaku baru-baru ini cukup mematangkan dirinya mengenai selok belok dunia seni seterusnya mengorak langkah alam perniagaan.

Riz, 24, yang mula dikenali menerusi program realiti, Pencetus Ummah (PU) musim keempat ini memilih untuk mempromosikan restoran miliknya, Food Station yang beroperasi di Jalan Tun Sambanthan, KL (berhadapan dengan Nu Sentral) yang sudah sudah beroperasi sejak dua tahun lalu.

SAMBUNG LEGASI BAPA

Hakikatnya juga Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd. Ismail meneruskan legasi bapanya yang lebih dahulu menceburi dunia perniagaan.

“Bapa menjadi mentor saya dalam apa yang dilakukan termasuk selok belok dunia perniagaan. Saya percaya dalam hidup ini, kita perlu lakukan sesuatu yang dapat memberi jaminan masa depan. Ada juga pendapatan tetap saya setiap bulan.

“Dunia seni masih saya cintai dan berjalan macam biasa. Cuma saya melihat prospek perniagaan makanan ini khususnya boleh dikembangkan dengan baik. Kalau sebut fasal makan ini semua orang perlukan makanan. Pilihan makanan di luar sana memang macam-macam.

“Saya rasa sudah tiba masanya untuk restoran ini dipromosikan dengan lebih meluas,” katanya dalam satu pertemuan santai secara ‘private’ membabitkan sekumpulan teman media dan blogger.

SAMBUNG BELAJAR

Riz pada masa sama juga kini meneruskan kembali rutin sebagai pelajar undang undang peringkat Ijazah Sarjana Muda di sebuah universiti.

“Dalam hal sambung belajar ini saya mahu penuhi permintaan ibu. Saya masuk dunia seni pun atas restunya. Jadi apa salahnya saya penuhi hasratnya yang mahu saya berjaya dalam akademik.

“Ikutkan apabila sudah ada duit di tangan hasil menjadi penceramah dan bergelar anak seni, saya memang rasa berat hati nak sambung belajar lagi. Tapi saya kena realistik kerana hal menuntut ilmu ini takkan pernah rugi,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir pada 2012 selama setahun dan kembali ke Malaysia kerana pergolakan di negara berkenaan.

DAHULUKAN MANA YANG LEBIH UTAMA

Melakukan banyak perkara dalam satu juga menuntut Riz membahagikan masa sebaik mungkin.

“Ikutkan ketika membulatkan hati nak sambung pengajian, tawaran berlakon itu memang datang dengan banyak. Memang menguji diri sungguh.

“Tapi saya kena pilih apa yang perlu diutamakan. Macam sekarang pun nak terima tawaran berlakon saya kena pilih yang tak makan masa panjang dan ganggu jadual kuliah.

“Pada masa sama, saya juga kena utamakan tanggungjawab untuk perniagaan restoran yang diuruskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Riz juga berdebar menanti tayangan filem sulungnya berjudul Ada Apa Dengan Dosa. Filem terbitan Pencil Pictures itu menggandingkannya dengan Wanna Ali.

Penggambaran dilakukan hujung tahun lalu dan turut mengambil latar lokasi di Scotland.

“Agak gementar… Takut bercampur teruja dapat menggalas watak utama dalam filem sulung ini.

“Insya-Allah, saya sudah cuba melunaskan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberi sebaik mungkin,” katanya

Selain Pencetus Ummah, Riz juga pernah menyertai program pencarian pendakwah, Akademi Sahur Asia atau AKSI Asia 2017 di Jakarta yang membabitkan penyertaan peserta dari Singapura, Indonesia dan Brunei Darussalam.

Biarpun tidak meraih kemenangan dalam program itu, Riz bersyukur apabila kehadirannya disedari beberapa produser yang menghulurkan peluang berlakon.

“Selepas tamat perjuangan di AKSI Asia 2017, saya ditawarkan berlakon empat telefilem di sana. Saya turut diberikan peranan utama dalam telefilem, Permintaan Suami Terakhir Di Bulan Ramadan,” kata pelakon telefilem Jatuh Cinta Buta itu.

ANJUR CERAMAH AGAMA 

Bercerita lanjut mengenai restoran miliknya, premis makanan itu menyediakan lebih 500 lauk pauk Melayu, Thailand dan Barat.

“Sejak dari awal lagi, saya memang tak lepas tangan menguruskannya. Sibuk mana pun, saya akan cuba bahagi masa untuk restoran ini. Dari awal mendaftar di Suruhanjaya Syarikat Malaysia hinggalah beroperasi sampai sekarang, saya akan ambil bahagian.

“Saya turut berusaha mencari tukang masak terbaik sampai pergi ke Kelantan. Banyak juga kos yang dilaburkan termasuk mengubah suai semula restoran ini kerana ia diambil dari sebuah kedai lama yang diuruskan pihak lain,” katanya.

Malah Riz turut menganjurkan ceramah agama di premis berkenaan dalam menyuntik elemen kerohanian sambil menjamu selera.

VIDEO KASHOORGA:

Published by
wan erni