Tular di media sosial artis Fathia Latiff menyuntik cecair di rahangnya. Ia mendatangkan kecaman di pihak netizen yang mengatakan perbuatannya itu adalah haram. Di sebalik perbuatan sebegini yang jelas hukumnya adalah haram jika ia bertujuan untuk menarik perhatian bukan muhrim, sebenarnya ada lima lagi perbuatan haram wanita lakukan terutama jika perbuatan itu dilakukan ketika single.
Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan ada lagi lima perbuatan haram wanita lakukan terutama bagi belum berkahwin namun hukumnya berubah menjadi harus jika mendapat izin suami. Semoga kita semua muhasabah diri kerana kehidupan dunia hanya sementara kerana akhirat kekal selamanya.
Di bawah ini Mufti menjawap persoalan diajukan oleh individu mengenai hukum menyuntik kolagen di tubuh terutama bagi yang sudah ada suami.
Assalamualaikum. Apa hukumnya menyuntik cecair filler (soy based collagen) ke dalam anggota tubuh badan bagi wanita, untuk tujuan perhiasan pada suaminya?
Jawapan:-
Waalaikumussalam wrm. wbt,
Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.
Mukadimah
“Kolagen” daripada sudut Bahasa ialah: “protein utama yang terdapat pada tisu penghubung, kulit, tulang dan tulang rawan, yang menghasilkan gelatin apabila direbus.” Rujuk Kamus Pelajar Edisi Kedua.[1]
Menurut laman web perubatan, WebMD, suntikan kolagen memberikan kulit struktur yang lebih montel, dan halus. Suntikan kolagen berfungsi dengan replenish (mengganti semula) kolagen semulajadi yang ada dalam kulit. Kecantikan semula jadi yang ada pada kulit akan bertambah apabila kontur pada support structure (struktur penampung) diperbaharui. Suntikan kolagen juga bergantung kepada jenis kulit, kesensitifan, dan sejarah rawatan. Bukan semua jenis kulit boleh mendapat suntikan kolagen. [2]
Isu suntikan kolagen pada anggota badan untuk tujuan kecantikan dibahaskan oleh para ulama zaman kontemporari. Ia tidak dibincangkan oleh ulama silam kerana perbezaan teknologi yang ada padan zaman itu. Pun begitu, ini tidak menghalang para ulama kontemporari untuk mengambil manfaat daripada fatwa ulama silam apabila illah yang sama ditemui dalam perkara-perkara yang diperselisihkan.
Dr. Soleh bin Muhamad al-Fawzan menetapkan tiga syarat untuk mengharuskan penggunaan suntikan kolagen pada bahagian-bahagian tubuh badan:
Hendaklah kolagen tersebut diambil daripada bahan yang suci seperti lembu yang disembelih.
Hendaklah doktor telah memastikan bahawa tiada mudarat pada suntikan tersebut.
Hendaklah tujuan suntikan itu adalah untuk merawat keaiban yang bukan asli dan menghilangkan kehodohan, seperti membuang kedutan yang luar biasa. Adapun jika kesan rawatan itu membawa kepada tadlis (penipuan) atau mengubah ciptaan Allah, maka tidak harus, seperti membuang kedutan yang biasa muncul bagi orang-orang yang sudah tua.
Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah (hlm. 351)
Syarat Pertama
Bagi syarat pertama; ada kelonggaran untuk menggunakan najis sebagai ubat. Kelonggaran itu tertakluk kepada situasi darurat yang merujuk kepada keadaan sangat mendesak yang jika diabaikan akan membawa kepada kebinasaan, penderitaan dan kesakitan yang berpanjangan. Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut: “Keadaan darurat ialah suatu keadaan apabila seseorang takut sekiranya dia tidak memakan benda haram maka ke atas dirinya bahaya kematian, penyakit yang ditakuti, bertambah lagi penyakit, bertambah lagi tempoh penyakit, terputus hubungan dengan peneman (ketika musafir), atau ditakuti lemah untuk berjalan atau menunggang kenderaan, dan tidak ditemui barang halal untuk dimakan melainkan terdapat barang haram seperti bangkai, daging khinzir, dan makanan orang lain, maka harus mengambil (makan) barang haram itu.”
Namun, kadar yang dimakan itu mestilah hanyalah untuk menyambung hidup sahaja dan bukan untuk berlazat-lazat dan kenyang, melainkan jika seseorang itu berada di kawasan yang jauh yang ditakuti akan membinasakannya jika gagal pergi ke tempat selamat maka boleh makan sehingga kenyang.
“Adapun untuk tujuan pengubatan menggunakan najis-najis, ia dibenarkan sekiranya tiada bahan suci yang memiliki kesan mujarab yang sama atau lebih baik daripada najis itu mengikut pendapat yang sahih. Maka jika ditemui penggantinya, maka diharamkan menggunakan najis.”
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/562-565)
Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh:
Ads
مَا أُبِيحَ لِلضَّرُورُةِ يُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا
Maksudnya: Apa yang diharuskan kerana darurat itu diharuskan mengikut kadar daruratnya sahaja.
Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hal. 172) oleh Imam al-Suyuti .
Namun jika kolagen itu diambil daripada produk soya, maka tidak ada masalah bagi syarat pertama ini.
Syarat Kedua
Syarat ini penting kerana kaedah fiqh menyatakan:
الضَّرَرَ لَا يُزَالُ بِالضَّرَرِ
Maksudnya: “Suatu kemudaratan itu tidak dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.”
Contohnya, tidak boleh orang yang berada dalam keadaan darurat untuk makan makanan yang akan membuatnya berada dalam keadaan darurat juga (seperti minum racun kerana dahaga dan memakan makanan yang sudah rosak kerana lapar).
Rujuk al-Asybah wa al-Nazha’ir (hlm. 86)
Justeru, pastikan bahan yang digunakan untuk suntikan itu juga bebas daripada kesan sampingan yang mendatangkan keburukan ketara kepada kesihatan. Ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan dan bukan hanya berdasarkan andaian semata-mata.
Syarat Ketiga
Ini berdasarkan firman Allah Taala tentang perkataan Iblis:
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”
(Surah al-Nisa’: 119)
Berkata Syeikh Muhammad Tahir ibn Asyur:
“Ayat ini mendedahkan tentang perbuatan orang Jahiliyyah yang mengubah ciptaan Allah atas motif yang merepek. Contohnya perkara yang dilakukan oleh pengikut ajaran berhala seperti mengorek mata al-hami, yakni unta yang terpelihara belakangnya daripada ditunggangi akibat banyak memberikan keturunan, dan membiarkannya untuk para taghut (berhala-berhala). Termasuk juga dalam (celaan ini) ialah tujuan yang tercela seperti membuat tatu untuk tujuan berhias, sedangkan itu memburukkan, begitu juga menoreh muka dengan api…Tetapi bukanlah daripada mengubah ciptaan Allah akan menggunakan makhluk-makhluk yang diizinkan oleh Allah untuk digunakan (untuk dimakan dan dikasi bagi menambahkan daging). Bukanlah juga mengubah ciptaan apabila melakukan perkara tahsiniyyah (mengelokkan) maka berkhitan itu adalah mengubah ciptaan Allah tetapi padanya ada faedah kesihatan. Begitu juga mencukur rambut kerana faedah menolak sebahagian kemudaratan, memotong kuku untuk memudahkan amalan yang dilakukan oleh tangan, begitu juga mencucuk telinga bagi perempuan untuk memasang anting-anting dan berhias.”
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta ditatu, wanita-wanita yang mencukur alis, demi mencari keindahan dan mengubah ciptaan Allah.”
Riwayat al-Tirmidhi (no. 2706). Beliau mengatakan hadis ini hasan sahih.
Berkata Syeikh Dr. Soleh bin Muhammad al-Fauzan:
“Diikat dengan perkataan “lil husn” dalam hadis tadi menunjukkan bahawa larangan itu bersifat khusus dengan apa yang jika dilakukan untuk mendapatkan kecantikan tambahan pada khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard). Jika dilakukan untuk merawat (suatu cela) atau kerana aib maka harus hukumnya, seperti mana yang telah disebut sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa itu bukanlah bentuk perubahan yang diharamkan. Maka sabda baginda yang menyebut “lil husn” itu, huruf Lam itu adalah Lam Ta`lil (yang menunjukkan alasan pengharaman) yang mengecualikan larangan itu pada perkara yang melibatkan rawatan dan seumpama dengannya.”
Ads
Rujuk al-Jarahah al-Tajmiliyyah (hlm.73)
Justeru, jika suntikan kolagen soya itu menyebabkan perubahan ketara para ciptaan Allah, maka ia diharamkan. Jika tidak, maka dibenarkan.
Dandanan Yang Dibenarkan Syarak di Hadapan Suami
Kami sebutkan di sini beberapa pendapat ulama tentang kaedah kecantikan yang diharamkan dan diharuskan oleh Syarak.
Maksudnya: “Dan diharamkan juga mengerintingkan rambut, melakukan nasyr pada gigi yakni mengasah, dan menghaluskan hujung gigi, mewarnakan (rambut dan anggota badan) dengan warna hitam, memerahkan wajnah (bahagian atas pipi) dengan inai,[3] dan seumpamanya, mewarnakan hujung jari dengan warna hitam, melakukan tanmis yakni mencabut bulu-bulu di muka dan bulu kening yang berlebihan[4]. Namun jika diizinkan oleh suaminya, atau tuannya, maka diharuskan baginya.”
Hukum menyambung rambut juga adalah diharamkan, melainkan jika menggunakan rambut sintentik dan dengan kebenaran suaminya, maka diharuskan. Rujuk Rujuk al-Wasit (2/168-170) oleh Imam al-Ghazali; Busyra al-Karim (hlm. 90) oleh Habib Saied Ba`isyn; Nail al-Autor (6/22) oleh Imam al-Syaukani.
Pandangan Hukum
Berdasarkan kenyataan di atas, jelaslah bahawa hukum menyuntik kolagen pada anggota-anggota badan adalah bergantung kepada keadaan:
Haram menyuntik kolagen pada tubuh badan dengan tujuan menunjukkan kecantikan kepada lelaki asing, menggunakan bahan yang bernajis, atau berbahaya untuk kesihatan, tanpa kebenaran suami, dan mengubah ciptaan Allah.
Hukumnya menjadi harus jika bertujuan untuk mengembalikan kecantikan yang hilang, bukan akibat penuaan yang normal, tetapi berdasarkan pemakanan yang tidak sihat, penyakit, kemalangan, kecuaian menjaga kesihatan dan seumpamanya. Ini berdalilkan hadis sahabat Nabi SAW yang bernama Arfajah yang kehilangan hidungnya akibat peperangan lalu dibenarkan Rasulullah SAW untuk dipasang hidung buatan daripada emas.
Harus juga hukumnya jika tujuan suntikan kolagen adalah tujuan kecantikan dengan izin suami. Suntikan itu sendiri tidak berdosa kerana Syarak membenarkan bekam dan fasdu (venesectomy – pemotongan pada salur darah) untuk mengeluarkan darah yang berlebihan, yang menggunakan kaedah cucuk dan torehan, atas alasan hajat (seperti rawatan penyakit dan pencegahan). Begitu juga Syarak mengharuskan tusukan pada telinga bagi tujuan memasang anting-anting, atas alasan kecantikan. Syarak juga mengharuskan pengambilan makanan dan supplement tambahan yang berkhasiat untuk kesihatan dan kecantikan. Namun suntikan kolagen tersebut mestilah tidak begitu ketara, melebihi khilqah ma`hudah (ciptaan atau rupa paras yang standard), sehingga boleh dianggap mengubah ciptaan Allah.
Semoga penjelasan ini akan memberikan manfaat kepada penanya dan menambahkankan kemesraan antara suami isteri yang menghasilkan tujuan berkelurga yang ditetapkan oleh Islam untuk saling berkasih-sayang. Wallahua’lam.
[3] Maka dikiaskan dengan hukum gincu dan alat-alat solekan yang lain, jika dibenarkan oleh suaminya.
[4] Di dalam al-Tahqiq, Imam al-Nawawi menyatakan hukumnya adalah makruh. Berkata pentahqiq kitab al-Tahqiq, Syeikh Qosim Muhammad Agha al-Nuri: erti mencabut itu ialah pada lebar dan tingginya sehingga menjadi melengkung (seperti anak bulan) bak tulisan pena. Wallahua’lam. Rujuk al-Tahqiq, Maktabah Dar al-Fajr (hlm.58) .
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Ramai suka menggunakan android box kerana ia membolehkan kita mengakses siaran berbayar secara percuma. Biar dilihat perbuatan ini seperti tiada apa tapi sebenarnya jadi haram jika kita menonton siaran berbayar itu seperti percuma melalui android box tersebut.
Baca penjelasan hukum dikongsikan oleh pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan, hukum kita beli android box? Contoh, kita boleh tengok siaran astro tapi tak bayar pada astro. Mohon pencerahan pejabat mufti.
Jawapan Ringkas
Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Huraian Jawapan
Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.[1]
Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.
Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma. Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang.
Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut. Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.
Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:
وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ Maksudnya:Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. Surah al-Baqarah (188)
Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak.
Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak.
Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]; Fiqh Nawazil 165/2[3])
Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:
Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60) Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:
الْأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا Maksudnya:Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.8)
Kesimpulan
Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.
Wallahualam. [1]https://www.radiotimes.com/technology/technology-guides/what-is-android-tv-box/ [2] أولا: الاسم التجاري، والعنوان التجاري، والعلامة التجارية، وحق الترخيص، وحق التأليف، هي ملك خاص لأصحابها وقد أصبح لها في العرف المعاصر قيمة مالية معتمدة لتمول الناس بها وعنيت القوانين بتنظيمها وبيان طرق التصرف فيها، وهذه الحقوق يعتد بها شرعا [3] إن هذه الفقرات التي تعطي التأليف الحماية من العبث، والصيانة عن الدخيل عليه وتجعل للمؤلف حرمته والاحتفاظ بقيمته وجهده هي مما علم من الإسلام بالضرورة وتدل عليه بجلاء نصوص الشريعة وقواعدها وأصولها مما تجده مسطراً في (آداب المؤلفين) وكتب الاصطلاح
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Jangan kerana fesyen dan demi ikut trend sanggup memakai yang haram. Sesungguhnya, lelaki wajib tahu hukum pakai gelang dan barang perhiasan yang menyerupai wanita seperti cincin emas, rantai atau subang.
Kadang-kadang perhiasan yang dikenakan lelaki hari ini sudah persis wanita apatah lagi di kalangan anak muda yang kebanyakan terpegaruh dengan trend berfesyen dan menganggap perkara tersebut normal.
Lebih menyedihkan bila sedari kecil, ibu bapa sengaja memakaikan anak lelaki mereka gelang dan juga rantai tanpa rasa bersalah. Bila perkara ini dinormalisasikan sejak kecil. Maka tidak hairanlah bila anak lelaki ini besar kelak tidak mahu mendengar cakap.
Ikuti perkongsian Ustazah Asma’ Harun berkaitan isu ini
JANGAN KERANA FESYEN DAN IKUT TREND SANGGUP MEMAKAI YANG HARAM
Makin ramai kaum lelaki memakai rantai, artis dan influencer pun dah semakin berani tonjolkan diri di khalayak dengan gaya sebegini, mereka ini boleh mempengaruhi anak muda.
Sebenarnya kita lihat sudah lama kaum lelaki memakai rantai sama ada daripada besi, perak atau emas, seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dan makin boleh diterima.
Jangan Kerana Fesyen
Hukum yang berkaitan dengannya :
1. MEMAKAI RANTAI BAGI LELAKI
Daripada Ibnu Abbas r.a, beliau berkata:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai orang perempuan dan juga golongan perempuan yang menyerupai orang lelaki.” – (HR Bukhari, hadis sahih)
Syeikh Badruddin al-‘Aini pula mengulas hadis ini, kata beliau:
وَتُشْبِهُ الرِّجَالُ بِالنِّسَاءِ فِي اللِّبَاسِ وَالزِّينَةِ الَّتِي تَخْتَصُّ بِالنِّسَاءِ مِثْلُ لُبْسِ المَقَانِعِ وَالقَلَائِدِ وَالمَخَانِقِ وَالأَسْوِرَةِ وَالخَلَاخِلِ وَالقُرْطِ
Maksudnya:
“(Celaan ini) adalah pada perbuatan orang lelaki yang menyerupai perempuan dari sudut pakaian dan juga perhiasan yang khusus buat orang perempuan seperti memakai serkup kepala, rantai, gelang tangan, gelang kaki, dan juga anting-anting.” – (Kitab ‘Umdatul Qari, Al-‘Aini 22/41)
Ikut Trend
Jelas daripada hadis di atas bahawa HARAM bagi seseorang untuk memakai pakaian atau perhiasan yang khas bagi jantina berlawanan dengannya. Antara barang perhiasan yang tidak dibenarkan dipakai oleh lelaki adalah:
a) Rantai.
b) Gelang tangan (kecuali bagi tujuan perubatan hukumnya harus).
c) Gelang kaki.
d) Cincin (yang dibuat daripada emas).
e) Anting-anting.
Pengharaman bagi lelaki menyerupai wanita ini tiada khilaf dalam kalangan alim ulama sama ada dari sudut pergerakan badan, kelembutan kata-kata, perhiasan, pakaian dan lain-lain yang khas bagi wanita dari sudut adat dan tabiat.
Sanggup Memakai Yang Haram
2. MEMAKAI GELANG DAN CINCIN BAGI LELAKI
Imam al-Nawawi menyatakan bahawa jumhur ulama mengharamkan lelaki memakai gelang.
Syeikh Zakariyya Al-Ansari berkata bahawa diharuskan bagi seorang lelaki memakai cincin perak kerana mengikut Rasulullah SAW, bahkan hukumnya adalah sunat, namun lelaki tidak boleh memakai gelang dan tidak halal baginya, meskipun gelang tersebut diperbuat daripada perak.
Hal ini kerana memakai gelang itu mempunyai unsur kewanitaan dan ia tidak layak dan sesuai dengan sifat seorang lelaki.
(Rujuk Fatawa Hujjah al-Islam Abu Hamid al-Ghazali, hlm. 30; Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/444 dan Asna Al-Matolib 1/379).
Lelaki Wajib Tahu
3. BARANG PERHIASAN DARI EMAS UNTUK LELAKI
Kaum lelaki diharamkan untuk mengambil emas sebagai perhiasan, maka begitu juga dengan memakai cincin emas bagi lelaki juga jelas pengharamannya melalui hadis Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata:
أَنَّهُ نَهَى عَنْ خَاتَمِ الذَّهَبِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang (lelaki) dari memakai cincin emas.”- (HR Muslim, hadis sahih)
Rasulullah SAW pernah melihat seseorang memakai cincin yang diperbuat daripada emas lalu Baginda SAW mencabut cincin tersebut dari tangan lelaki tersebut lalu mencampakkannya, kemudian Baginda SAW bersabda:
Namun dalam isu ini terdapat beberapa pengecualian, antaranya ialah fatwa daripada Jabatan Mufti Negeri Melaka dan Negeri Sembilan akan keharusan pemakaian gelang atau rantai tangan bagi lelaki untuk tujuan perubatan atau rawatan berdasarkan keperluan dan hajat dengan syarat:
1. Ia bukan diperbuat daripada emas, perak, suasa atau sutera (bagi lelaki).
2. Tidak terdapat unsur najis padanya.
3. Tidak mempercayai atau meyakini bahawa pemakaian gelang tangan tersebut boleh menyembuhkan penyakit tertentu kerana ia dikhuatiri boleh menjerumuskan seseorang kepada unsur khurafat yang boleh menjejaskan aqidah.
4. Tidak menyebabkan kemudaratan kepada pemakainya.
5. Mendapat perakuan daripada pakar perubatan yang beragama Islam dan telah terbukti secara saintifik bahawa ia merupakan antara kaedah rawatan yang berkesan dalam merawat penyakit.
Bagi lelaki yang memakai gelang untuk tujuan perubatan, adalah lebih baik tidak memakainya di tempat awam secara terbuka atau menghebahkannya di media sosial supaya mengelakkan fitnah terhadap pemakai, kerana melakukan sesuatu yang mendatangkan fitnah adalah makruh.
‘Kena tutup bukan balut.’ Trend baju lengan pendek pakai handsock, kalau ketat tetap dikira nampak aurat iya. Lagi-lagi handsock jenis nipis dan nampak setiap lekuk tangan kita.
Handsock atau stokin tangan adalah sarung tangan yang dipakai pada bahagian lengan tangan bagi menutup aurat dengan sempurna.
Islam sendiri mengajar kaum wanita muslim menutup aurat seluruh anggota badan kecuali bahagian muka dan telapak tangan.
Hakikatnya, tak semua wanita mampu berpakaian mengikut garis panduan yang ditetapkan. Mungkin mereka beranggapan dah pakai lengan panjang, kenapa nak kena pakai handsock?
Ikuti perkongsian Husna Ghani ini dan hadam baik-baik perkongsiannya:
Sekarang, ramai anak muda yang pakai style baju t-shirt lengan pendek dengan handsocks ketat. Tapi boleh ke pakai macam tu?
Kalau sekali tengok, memang sudah tutup warna kulit. Kalau pakai depan mahram, memang tiada masalah.
Trend Baju Lengan Pendek
Tapi kalau hendak pakai dekat luar, di depan ajnabi pula dan kemudian pakai untuk tujuan bergaya. Hukumnya jadi haram. Sebab lengan kita ini adalah aurat.
Tidak dinafikan, iya memang kita sudah tutup. Tapi still nampak lekuk dan pelipat tangan. Itu yang jadikan seseorang wanita nampak seksi seterusnya menarik perhatian lelaki ajnabi.
Pakai Handsock
Bagi orang perempuan, setiap bahagian tubuh badan dia ada keindahan. Dan disebabkan itulah kita kena jaga betul-betul.
Ingat aurat ini bukan untuk balut, tapi kena tutup elok-elok. Kita boleh saja nak pakai handsock yang melekap elok dekat tangan macam itu, bila kita pakai baju yang lengan besar bukaan dia.
Kalau Ketat Tetap Dikira Nampak Aurat
So bila angkat tangan tinggi ataupun buat aktiviti lasak atau angkat berat, lengan itu tidak akan terselak. Handsock itulah penyelamat.
Jadi, kalau memang baju memang berlengan pendek ada solusinya, pakai atau guna handsock jenis kain tshirt macam ni. Handsock sebegini jenis tebal dan longgar, itu yang paling penting.
Syawal berbaki lebih kurang dua minggu lagi dan masih ada peluang untuk kita melaksanakan puasa enam yang ganjarannya cukup besar.Disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad...