Sungguh tak disangka apabila serangga yang dianggap selama ini sebagai ‘musuh’ telah menjadi antara ‘ikon’ utama dalam kitab suci Al-Quran! Mengapa agaknya semut (An-Naml) diangkat menjadi nama surah sedangkan kisahnya hanya setakat dua-tiga ayat sahaja?
Bukankah ada banyak lagi pilihan yang lebih menarik untuk ditonjolkan seperti surah AlBalkis, Al-Ifrit, atau untuk lebih anggun, ambil sahaja nama Nabinya, Surah Sulaiman? Nampaknya, itulah antara rahsia tersembunyi yang ingin Allah jelaskan kepada kita. Meskipun perkataan ‘Naml’ hanya sekali sahaja diulang dalam surah ini, namun banyak sekali budaya serta nilai-nilai kehidupan positif yang boleh kita pelajari dari dunia semut.
Ia merupakan serangga ber’otak’ kecil tetapi memiliki keupayaan berfikir dan bertindak yang begitu luar biasa. Seekor semut mungkin sahaja dilihat memiliki keupayaan terhad, paling hebat pun setakat mengangkat sebutir nasi sahaja, tetapi satu koloni semut boleh menghasilkan pelbagai kejutan yang tidak dapat dibayangkan. Rumah banglo agam boleh sahaja reput jika tidak berhati-hati dengan kuasa luar biasa ‘tentera semut’ ini.
Melihat kepada semua kelebihan di atas, apakah nilai positif terunggul yang boleh kita contohi dari koloni semut?
SEMUT MENGAJAR BUDAYA MEMENTINGKAN PERADABAN HIDUP
Busut kecil semut yang ‘tersergam’ di tepi pagar rumah pasti membuktikan betapa sistematik dan ‘canggih’nya dunia mereka. Komuniti semut memiliki segala ‘sistem’ yang kita miliki, bermula dari pembangunan gudang makanan, pengklasifikasian tentera, sistem aliran trafik keluar masuk canggih higga tidak memerlukan sebarang ‘traffic light’, sistem aliran alternatif kawalan banjir hinggalah sistem udara berpusat ala ‘penghawa dingin raksasa’ dalam sarang mereka.
Ads
Jika semut, haiwan yang sering kita remehkan begitu sistematik hidupnya serta amat menitikberatkan teknologi tinggi, apakah alasannya untuk kita, golongan bergelar ‘sebaik umat’ tetapi masih terpesong prioriti, saling bergaduh dan bersikap acuh tak acuh hingga membiarkan golongan bukan islam lebih terkehadapan dalam keteraturan hidup dan penguasaan teknologi?
Ads
SEMUT MENGAJAR KITA SIKAP POSITIF DALAM HIDUP YANG SEBENAR
Ayat 18 memaparkan saat genting koloni semut ketika berhadapan dengan tentera Nabi Sulaiman. Komander semut, yang walaupun sedang berada di ambang malapetaka, ia masih sempat untuk kekal tenang serta bersikap positif ketika menghadapi kesulitan. Arahan yang dikeluarkan bukanlah arahan kelam-kabut tetapi lebih kepada pertimbangan rasional. ‘Hai semut-semut, masuklah kedalam sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari’ (Naml, 18)
Betapa positifnya komander semut itu. Ia tidak kabur dalam memberikan arahan walaupun nyawanya saling tak ubah seperti ‘telur di hujung tanduk’ dari diinjak-injak tentera Sulaiman. Daya kepimpinannya yang begitu terserlah di saat krisis melalui arahan tepat itulah yang membuatkan Sulaiman memujinya. Contoh kecil ini amat indah untuk kita pelajari dari semut tentang maksud positif dalam hidup.
Ads
SEMUT MENGAJAR KITA BETAPA PENTINGNYA HUSNUZON
Husnuzon atau memandang baik sesuatu perkara amat penting untuk dijadikan antara ‘tiang seri utama’ cara kita berfikir dan bertindak. Dan komander semut tersebut telah menunjukkan teknik terbaik mengaplikasikannya melalui kata-kata akhirnya ‘sedangkan mereka tidak mengetahui’ (Naml 18).
Jika nak diikutkan, komander semut boleh sahaja berprasangka buruk dengan Sulaiman. Yelah, takkan nabi yang menguasai teknologi tercanggih ‘mengangkat bangunan beribu tan sekelip mata’ pun tidak tahu laluan tenteranya tepat menuju ke koloni semut? Sedangkan rahsia Ratu Balkis yang beribu kilometer jauhnya itupun dibongkar oleh ‘agen dan perisik’ baginda, inikan pula kedudukan komuniti semut yang berada dalam jajahan takluknya?
Cara fikir ‘suuk zonn’ sebegitu mungkin ada bagi mereka yang suka berfikiran negatif, tetapi tidak pada pandangan komander semut. Ia sangat tahu yang Nabi Sulaiman tidak mungkin sengaja menzalimi mereka, dan ia amat pasti jika itu yang Baginda putuskan (berjalan melewati koloni semut), tentu ada hikmah tersirat yang ingin Sulaiman ajarkan kepada mereka.
Sumber: Zahirahhafizan
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Antara kewajipan seorang muslim adalah mengetahui perihal berkaitan Nabi Muhammad SAW. Daripada setiap pergerakan, percakapan, akhlak ketika Baginda hidup sehinggalah kewafatan Baginda SAW.
Berikut dibentangkan kisah akhir detik kehidupan Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Anas Bin Malik.
Maksudnya: ”Sesungguhnya Abu Bakar mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari isnin, orang ramai pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf. Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata : Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar. Pada ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama. Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi: Kemudian Rasulullah SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.” Riwayat Muslim (874)
WAFAT HARI ISNIN
Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat pada hari Isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan menguruskan urusan umat Islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat Islam.
Jenazah Rasulullah mula untuk diuruskan pada hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk memandikan jenazah Rasulullah SAW.
Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya:
Maksudnya: ”Kata Ibnu Ishak: ketika mana Abu Bakar R.anhu telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib, Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula Rasulullaj adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi. Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali: Demi Allah wahai Ali, kami juga ada bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan juga di antara ahli Badar. Kata Ali: masuklah. Maka Aus pun masuk, duduk dan turut memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali memandikan jenazah Rasulullah SAW. Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu Ali berkata: Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang ada pada jenazah orang lain.”
TUJUH ORANG YANG TERLIBAT
Kesimpulannya, berdasarkan riwayat ini, ada 7 orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah:
Ali Bin Abi Talib
Abbas Bin Abdul Muttalib
Al-Fadhl Bin Abbas
Qutham Bin Abbas
Usamah Bin Zaid
Syuqran Maula kepada Rasulullah
Aus Bin Khauli
Semoga pencerahan yang diberikan menjawab persoalan yang dikemukakan. Semoga kita lebih mencintai Nabi SAW dengan membaca sirahnya dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengikut sunnahnya. Wallahu’alam.
Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Umat Islam yang ingin mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka yang beragama Kristian seringkali menimbulkan polemik dan salah faham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri.
Berikut pencerahan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan.
Melihat kepada situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan. Ini kerana,
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Maidah: 8)
Hak minoriti bukan Muslim. Ini kerana hak-hak golongan minoriti yang bukan Muslim juga perlu diraikan lebih-lebih lagi apabila mereka mengambil hak kewarganegaraan (muwatanah). Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat ada menekankan tentang keperluan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh minoriti bukan Muslim.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah
Oleh itu kesimpulannya umat Islam dibenarkan untuk mengucapkan ‘Merry Christmas.’ Perkara ini dibenarkan kerana ia disifatkan ungkapan tahniah kepada perayaan agama lain tanpa niat memuliakan agama mereka.
“Umat Islam boleh mengucapkan kepada orang Kristian (Merry Christmas), dengan syarat mereka tidak memuliakan agamanya. Adalah penting untuk mewujudkan kesedaran mengenai perkara ini supaya tidak timbul kekeliruan. Hiduplah dengan harmoni bersama orang-orang beragama lain,” katanya Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau memetik Majlis Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah dalam mesyuarat ke-78 dalam Hal Ehwal Islam pada 2007 yang menyimpulkan bahawa mengirim salam melalui kad, e-mel atau mesej teks kepada orang bukan Islam semasa musim perayaan mereka adalah dibenarkan, selagi ucapan itu tidak memuliakan agama lain atau menggunakan simbol agama.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Penyebaran hadis palsu, tidak sahih sudah menjadi satu fenomena dan trend yang biasa sejak beberapa kurun yang lalu hingga kini. Perkembangan buruk ini bertambah meluas dan pantas seiring dengan kecanggihan perkembangan teknologi maklumat serta dunia tidak bersempadan hari ini.
Hadis-hadis palsu semakin mudah tular melalui aplikasi seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan media sosial seumpamanya. Terlalu senang kita berkongsi sesuatu yang dikatakan hadis walhal kita tidak tahu kesahihannya.
Ketika hari Asyura’ berlegar-legar hadis tentang pemakaian celak di hari Asyura’.
Maksudnya: “Di antaranya hadith-hadith berkaitan penggunaan celak pada hari ‘Asyura’, mencantikkan diri, membelanja (ahli keluarga), bersolat padanya dan lain-lain yang mempunyai fadhilat maka tidak ada yang sahih mengenainya dan tidak ada satu hadith pun yang mana semua itu tidak datang daripada Nabi saw apa-apa darinya melainkan hadith-hadith berkaitan puasa padanya dan selain daripadanya adalah bathil (tidak sahih).”
Imam Ibn Rejab (795 H) berkata:
وكل ما روى في فضل الإكتحال في يوم عاشوراء والإختضاب والإغتسال فيه فموضوع لا يصح
Maksudnya: “Setiap yang diriwayatkan berkaitan hari Asyura’ ada menyatakan kelebihan bercelak, berhias dan mandi pada hari tersebut adalah tidak sahih.”
Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi turut mengkritik hadis memakai celak pada hari Asyura’ di dalam kitabnya Fiqh al-Siyam pada bab yang membicarakan berkaitan puasa pada hari Asyura’.
Walau bagaimanapun, memakai celak merupakan satu sunnah bagi lelaki dan juga wanita kerana Nabi SAW juga memakainya di mata Baginda SAW. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Bercelaklah kamu dengan ihmid (sejenis celak) kerana sesungguhnya ia boleh menguatkan pandangan mata serta menumbuhkan bulu mata.”
Memakai celak adalah sunnah bagi lelaki dan wanita dan ia boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja bukan hanya pada 10 Muharram sahaja berdasarkan umum hadis Ibn Abbas R.anhuma. Akhirnya, marilah bersama-sama kita meningkatkan amalan kita terutama pada hari Asyura’ dengan berpuasa serta ditambah dengan amalan-amalan yang lain. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan serta menerima segala amal kebajikan yang kita telah lakukan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Anak yang selalu beri duit dimanja dan disayangi, tapi anak yang jarang hulur duit kerana hidup susah dilayan kasar dan dimarah-marah. Bukan hanya dalam...