Surah Al-Naml Bukti Betapa Hebatnya Semut!

Share

Sungguh tak disangka apabila serangga yang dianggap selama ini sebagai ‘musuh’ telah menjadi antara ‘ikon’ utama dalam kitab suci Al-Quran! Mengapa agaknya semut (An-Naml) diangkat menjadi nama surah sedangkan kisahnya hanya setakat dua-tiga ayat sahaja?

Bukankah ada banyak lagi pilihan yang lebih menarik untuk ditonjolkan seperti surah AlBalkis, Al-Ifrit, atau untuk lebih anggun, ambil sahaja nama Nabinya, Surah Sulaiman? Nampaknya, itulah antara rahsia tersembunyi yang ingin Allah jelaskan kepada kita. Meskipun perkataan ‘Naml’ hanya sekali sahaja diulang dalam surah ini, namun banyak sekali budaya serta nilai-nilai kehidupan positif yang boleh kita pelajari dari dunia semut.

Ia merupakan serangga ber’otak’ kecil tetapi memiliki keupayaan berfikir dan bertindak yang begitu luar biasa. Seekor semut mungkin sahaja dilihat memiliki keupayaan terhad, paling hebat pun setakat mengangkat sebutir nasi sahaja, tetapi satu koloni semut boleh menghasilkan pelbagai kejutan yang tidak dapat dibayangkan. Rumah banglo agam boleh sahaja reput jika tidak berhati-hati dengan kuasa luar biasa ‘tentera semut’ ini.

Melihat kepada semua kelebihan di atas, apakah nilai positif terunggul yang boleh kita contohi dari koloni semut?

SEMUT MENGAJAR BUDAYA MEMENTINGKAN PERADABAN HIDUP

Busut kecil semut yang ‘tersergam’ di tepi pagar rumah pasti membuktikan betapa sistematik dan ‘canggih’nya dunia mereka. Komuniti semut memiliki segala ‘sistem’ yang kita miliki, bermula dari pembangunan gudang makanan, pengklasifikasian tentera, sistem aliran trafik keluar masuk canggih higga tidak memerlukan sebarang ‘traffic light’, sistem aliran alternatif kawalan banjir hinggalah sistem udara berpusat ala ‘penghawa dingin raksasa’ dalam sarang mereka.

Jika semut, haiwan yang sering kita remehkan begitu sistematik hidupnya serta amat menitikberatkan teknologi tinggi, apakah alasannya untuk kita, golongan bergelar ‘sebaik umat’ tetapi masih terpesong prioriti, saling bergaduh dan bersikap acuh tak acuh hingga membiarkan golongan bukan islam lebih terkehadapan dalam keteraturan hidup dan penguasaan teknologi?

 

SEMUT MENGAJAR KITA SIKAP POSITIF DALAM HIDUP YANG SEBENAR

Ayat 18 memaparkan saat genting koloni semut ketika berhadapan dengan tentera Nabi Sulaiman. Komander semut, yang walaupun sedang berada di ambang malapetaka, ia masih sempat untuk kekal tenang serta bersikap positif ketika menghadapi kesulitan. Arahan yang dikeluarkan bukanlah arahan kelam-kabut tetapi lebih kepada pertimbangan rasional. ‘Hai semut-semut, masuklah kedalam sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari’ (Naml, 18)

Betapa positifnya komander semut itu. Ia tidak kabur dalam memberikan arahan walaupun nyawanya saling tak ubah seperti ‘telur di hujung tanduk’ dari diinjak-injak tentera Sulaiman. Daya kepimpinannya yang begitu terserlah di saat krisis melalui arahan tepat itulah yang membuatkan Sulaiman memujinya. Contoh kecil ini amat indah untuk kita pelajari dari semut tentang maksud positif dalam hidup.

SEMUT MENGAJAR KITA BETAPA PENTINGNYA HUSNUZON

Husnuzon atau memandang baik sesuatu perkara amat penting untuk dijadikan antara ‘tiang seri utama’ cara kita berfikir dan bertindak. Dan komander semut tersebut telah menunjukkan teknik terbaik mengaplikasikannya melalui kata-kata akhirnya ‘sedangkan mereka tidak mengetahui’ (Naml 18).

Jika nak diikutkan, komander semut boleh sahaja berprasangka buruk dengan Sulaiman. Yelah, takkan nabi yang menguasai teknologi tercanggih ‘mengangkat bangunan beribu tan sekelip mata’ pun tidak tahu laluan tenteranya tepat menuju ke koloni semut? Sedangkan rahsia Ratu Balkis yang beribu kilometer jauhnya itupun dibongkar oleh ‘agen dan perisik’ baginda, inikan pula kedudukan komuniti semut yang berada dalam jajahan takluknya?

Cara fikir ‘suuk zonn’ sebegitu mungkin ada bagi mereka yang suka berfikiran negatif, tetapi tidak pada pandangan komander semut. Ia sangat tahu yang Nabi Sulaiman tidak mungkin sengaja menzalimi mereka, dan ia amat pasti jika itu yang Baginda putuskan (berjalan melewati koloni semut), tentu ada hikmah tersirat yang ingin Sulaiman ajarkan kepada mereka.

Sumber: Zahirahhafizan

Published by
wan erni