Ada kemusykilan mengenai fadhilat Surah Yassin. Ada yang mengatakan setengahnya adalah daripada dalil yang lemah malah ada yang palsu. Contohnya, Surah Yassin adalah hati bagi Al-Quran. Ada yang kata sahih, ada yang kata palsu.
Satu lagi mengenai pengamalannya. Masa kini Yasin diamalkan setiap malam Jumaat, ketika kematian dan ketika menghadapi peperiksaan. Adakah nas-nas yang membenarkannya?
ADA 83 AYAT
Surah Yasin adalah antara surah Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), mengandungi sebanyak 83 ayat. Secara umum, surah ini membincangkan isu-isu berkaitan ayat Makkiyyah seperti soal ketuhanan, balasan ke atas orang yang mendustakan agama dan soal hari Kiamat.
Terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihan (fadilat) surah ini, kebanyakannya adalah hadis palsu yang direkacipta. Ada juga sebahagian hadis yang bertaraf hadis dhaif. Dalam syariat Islam, kita dididik agar tidak terhad berpandukan kepada hadis sohih semata-mata, tetapi kita dibenarkan merujuk hadis dhaif dengan syarat ianya dirujuk sebagai hal berkaitan fadhilat akan sesuatu amalan dan bukan dijadikan sebagai hujah dalam hal hukum hakam.
HADIS BERKAITAN SURAH YASIN
Berikut adalah sebahagian hadis berkaitan Surah Yasin yang sering disampaikan namun ia merupakan hadis dhaif:
“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, hati bagi Al-Quran adalah Surah Yasin, barang siapa yang membacanya seolah-olah membaca Al-Quran sebanyak 10 kali.”
“Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada waktu malam, dia akan bangun pagi dalam keadaan diampunkan dosa.”
Tidak ada dalil yang menyebut waktu-waktu tertentu untuk membaca Surah Yasin seperti malam Jumaat, ketika kematian mahupun ketika musim menghadapi peperiksaan. Begitu juga tidak ada dalil yang melarang ia dibaca pada waktu-waktu tersebut.
Maka dalam hal ini, saya lebih cenderung untuk melihatnya ianya sebagai suatu amalan ibadah yang baik kerana dalam majlis tersebut itu terhimpun palabagai amalan kebaikan seperti memupuk budaya membaca Al-Quran paling tidak seminggu sekali, memupuk semangat berukhuwah sesama muslim serta membudayakan melakukan amalan baik secara berjemaah.
TIADA WAKTU KHUSUS
Namun demikian, masyarakat kita juga perlu dididik supaya memahami bahawa amalan ini bukanlah suatu amalan ibadah yang wajib dilakukan bermaksud apabila minggu atau waktu khusus tersebut tidak dilakukan maka boleh membawa kepada dosa. Jika kesalah fahaman ini yang berlaku dalam masyarakat kita maka ianya perlu kembali diperbetulkan supaya tidak berlaku salah faham dalam menokok tambah perkara yang sedia ada dalam syariat.
Amalan membaca Surah Yasin ini hendaklah dilihat sebagai suatu amalan sunat yang apabila dilakukan akan mendapat pahala namun jika ditinggalkan tidak membawa kepada dosa.
Sumber kredit: Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Siapakah 7 Orang Yang Memandikan Jenazah Rasulullah? Salah Seorangnya Adalah Ali Bin Abi Talib
Antara kewajipan seorang muslim adalah mengetahui perihal berkaitan Nabi Muhammad SAW. Daripada setiap pergerakan, percakapan, akhlak ketika Baginda hidup sehinggalah kewafatan Baginda SAW.
Berikut dibentangkan kisah akhir detik kehidupan Nabi SAW seperti yang diceritakan oleh Anas Bin Malik.
Kata beliau:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ كَانَ يُصَلِّي لَهُمْ فِي وَجَعِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ حَتَّى إِذَا كَانَ يَوْمُ الاِثْنَيْنِ وَهُمْ صُفُوفٌ فِي الصَّلاَةِ كَشَفَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، سِتْرَ الْحُجْرَةِ ، فَنَظَرَ إِلَيْنَا ، وَهُوَ قَائِمٌ كَأَنَّ وَجْهَهُ وَرَقَةُ مُصْحَفٍ ، ثُمَّ تَبَسَّمَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ضَاحِكًا قَالَ : فَبُهِتْنَا وَنَحْنُ فِي الصَّلاَةِ مِنْ فَرَحٍ بِخُرُوجِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَنَكَصَ أَبُو بَكْرٍ عَلَى عَقِبَيْهِ لِيَصِلَ الصَّفَّ ، وَظَنَّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَارِجٌ لِلصَّلاَةِ ، فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ أَنْ أَتِمُّوا صَلاَتَكُمْ ، قَالَ : ثُمَّ دَخَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَرْخَى السِّتْرَ قَالَ : فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَوْمِهِ ذَلِكَ
Maksudnya: ”Sesungguhnya Abu Bakar mengetuai solat orang ramai ketika Nabi SAW sakit yang mana ia adalah kesakitan yang menyebabkan Rasulullah SAW wafat. Sehingga tiba hari isnin, orang ramai pada ketika itu berada di dalam saf. Kemudian Rasulullah SAW menyingkap tirai biliknya dan melihat kepada kami. Ketika itu, Baginda SAW sedang berdiri dan wajah Baginda seakan-akan seperti kertas mushaf. Kemudian Baginda tersenyum. Anas berkata : Maka kami pun terkejut dan berasa gembira apabila Rasulullah SAW keluar.
Pada ketika itu kami sedang dalam solat. Lalu Abu Bakar pun ke belakang sedikit untuk menyambungkan saf yang ada. Abu Bakar berbuat demikian kerana beliau menyangka Rasulullah SAW keluar untuk solat bersama. Lantas Rasulullah SAW memberi isyarat kepada orang ramai untuk menyempurnakan solat. Anas berkata lagi: Kemudian Rasulullah SAW masuk semula ke rumahnya dan menurunkan tirainya. Rasulullah SAW wafat pada hari tersebut.” Riwayat Muslim (874)
WAFAT HARI ISNIN
Menurut riwayat ini, Rasulullah SAW wafat pada hari Isnin. Kemudian berlakulah satu perbincangan di kalangan para sahabat berkenaan siapa yang bakal menggantikan Rasulullah SAW sebagai ketua yang akan menguruskan urusan umat Islam. Akhir perbincangan itu membawa satu resolusi iaitu memilih Abu Bakar sebagai khalifah bagi umat Islam.
Jenazah Rasulullah mula untuk diuruskan pada hari selasa. Ada beberapa orang para sahabat yang bertanggungjawab untuk memandikan jenazah Rasulullah SAW.
Ini berdasarkan riwayat sirah yang dinyatakan oleh Ibnu Hisyam di dalam kitab sirahnya:
قَالَ ابْنُ إسْحَاقَ : فَلَمّا بُويِعَ أَبُو بَكْر ٍ رَضِيَ اللّهُ عَنْهُ أَقْبَلَ النّاسُ عَلَى جَهَازِ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ يَوْمَ الثّلَاثَاءِ فَحَدّثَنِي عَبْدُ اللّهِ بْنُ أَبِي بَكْرٍ وَحُسَيْنُ بْنُ عَبْدِ اللّهِ وَغَيْرُهُمَا مِنْ أَصْحَابِنَا : أَنّ عَلِيّ بْنَ أَبِي طَالِبٍ ، وَالْعَبّاسَ بْنَ عَبْدِ الْمُطّلِبِ ، وَالْفَضْلَ بْنَ الْعَبّاسِ وَقُثَمَ بْنَ الْعَبّاسِ ، وَأُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ وَشُقْرَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ هُمْ الّذِينَ وُلُوا غَسْلَهُ وَأَنّ أَوْسَ بْنَ خَوْلِيّ . أَحَدَ بَنِي عَوْفِ بْنِ الْخَزْرَجِ ، قَالَ لِعَلِيّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ أَنْشُدُك اللّهَ يَا عَلِيّ وَحَظّنَا مِنْ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ وَكَانَ أَوْسُ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ وَأَهْلِ بَدْرٍ قَالَ اُدْخُلْ فَدَخَلَ فَجَلَسَ وَحَضَرَ غَسْلَ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ فَأَسْنَدَهُ عَلِيّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ إلَى صَدْرِهِ وَكَانَ الْعَبّاسُ وَالْفَضْلُ وَقُثَمُ يُقَلّبُونَهُ مَعَهُ وَكَانَ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ وَشُقْرَانُ مَوْلَاهُ هُمَا اللّذَانِ يَصُبّانِ الْمَاءَ عَلَيْهِ وَعَلِيّ يُغَسّلُهُ قَدْ أَسْنَدَهُ إلَى صَدْرِهِ وَعَلَيْهِ قَمِيصُهُ يُدَلّكُهُ بِهِ مِنْ وَرَائِهِ لَا يُفْضَى بِيَدِهِ إلَى رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ وَعَلِيّ يَقُولُ بِأَبِي أَنْتَ وَأُمّي ، مَا أَطْيَبَك حَيّا وَمَيّتًا وَلَمْ يُرَ مِنْ رَسُولِ اللّهِ صَلّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلّمَ شَيْءٌ مِمّا يُرَى مِنْ الْمَيّتِ
Maksudnya: ”Kata Ibnu Ishak: ketika mana Abu Bakar R.anhu telah dibaiah, orang ramai mula untuk menguruskan jenazah Rasulullah SAW pada hari selasa. Abdullah bin Abu Bakar,Husain bin Abdullah dan selain dari keduanya menceritakan kepada aku Ali bin Abi Talib, Abbas Bin Abdul Muttalib, Al-Fadhl Bin Abbas, Qutham Bin Abbas, Usamah Bin Zaid dan Syuqran Maula Rasulullaj adalah orang yang bertanggungjawab memandikan jenazah Nabi. Aus Bin Khauli salah seorang daripada Bani Auf Bin Khazraj berkata kepada Ali: Demi Allah wahai Ali, kami juga ada bahagian untuk menguruskan Rasulullah SAW. Aus merupakan sahabat Rasulullah dan juga di antara ahli Badar.
Kata Ali: masuklah. Maka Aus pun masuk, duduk dan turut memandikan Rasulullah SAW. Kemudian Ali menyandarkan jenazah Baginda ke dada beliau. Abbas, al-Fadhl dan Qutham memusingkan tubuh Baginda manakala Usamah Bin Zaid dan Syuqran kedua-duanya mencurahkan air. Pada masa yang sama Ali memandikan jenazah Rasulullah SAW. Beliau menyandarkan tubuh Baginda ke dadanya dan pada tubuh Baginda ada qamis yang beliau gunakan untuk menggosok bahagian belakang Baginda. Tangan beliau langsung tidak menyentuh tubuh Baginda. Lalu Ali berkata: Demi ayah dan ibuku, engkau ketika hidup mulia dan ketika wafat pun mulia. Dan tidak dilihat pada jenazah Rasulullah sesuatu (yang buruk) yang ada pada jenazah orang lain.”
TUJUH ORANG YANG TERLIBAT
Kesimpulannya, berdasarkan riwayat ini, ada 7 orang yang terlibat dalam memandikan jenazah Nabi SAW. Mereka itu ialah:
- Ali Bin Abi Talib
- Abbas Bin Abdul Muttalib
- Al-Fadhl Bin Abbas
- Qutham Bin Abbas
- Usamah Bin Zaid
- Syuqran Maula kepada Rasulullah
- Aus Bin Khauli
Semoga pencerahan yang diberikan menjawab persoalan yang dikemukakan. Semoga kita lebih mencintai Nabi SAW dengan membaca sirahnya dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mengikut sunnahnya. Wallahu’alam.
Sumber kredit: FB: Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Menyambut Tahun Baru Masihi- Apa Kata Mufti Wilayah
Ulamak berbeza pendapat dalam memberikan hukum terhadap sambutan tahun baru masihi. Secara ringkasnya, ianya terbahagi kepada dua pendapat:
Pertama: Pendapat yang mengatakan haram bagi menyambut tahun baru masihi. Dalil yang digunakan adalah berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW, dari Ibn ‘Umar R.Anhuma:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”. Riwayat Abu Daud (4031)
Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka.
Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqad, iradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat.
Kebiasaan sambutan tahun baru ini dimonopoli oleh golongan bukan Islam yang mana kita ketahui di dalam sambutan tersebut berlakunya perkara-perkara mungkar seperti pembaziran, meminum arak, ikhtilat, konsert nyanyian dan sebagainya. Ianya menjadi adat kebiasaan bagi golongan ini dan setiap hadirnya tahun baru, maka perkara-perkara mungkar ini akan berulang.
Berdasarkan hadis inilah, sebahagian ulamak mengharamkan umat Islam dari menyambut dan juga menyertai majlis-majlis sambutan tahun baru yang mana pertamanya adalah meniru golongan kuffar dan yang keduanya dengan melihat perkara-perkara mungkar yang terdapat pada sambutan tersebut.
Kedua: Pendapat yang mengatakan harus bagi menyambut tahun baru. Ianya berdasarkan bahawa kalendar Gregorian yang digunakan pada masa kini, meskipun bukan ciptaan Islam, penerimaan terhadap kalendar moden ini tiada bersangkut paut dengan agama malah masyarakat awam tidak lagi mengetahui dan mengambil endah tentang asal-usulnya dan kaitannya dengan mana-mana agama. Oleh itu, penggunaan kalendar moden ini lebih kepada adat dan kebiasaan yang berlaku.
Ianya juga melihat kepada Islam yang menerima sesuatu adat setempat yang mana jika tidak bercanggah dengan syara’, maka ianya boleh diterima dan dijadikan sebagai satu hukum. Kaedah fiqhiyyah ini disebutkan sebagai:
العَادَةُ مُحَكّمَةٌ
Maksudnya: Adat (yang tidak bercanggah dengan syara’) boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan.
Dalam satu kaedah fiqhiyyah yang lain ada menyebut:
إِنّما تُعْتَبَرُ العادَةَ إِذَا اطَّرَدَت أَو غَلَبَت
Maksudnya: Sesungguhnya (sesuatu itu) diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti.
Sambutan ini, meskipun hukumnya diharuskan, namun perlulah diberikan garis panduan yang sewajarnya agar tidak berlaku perkara-perkara kemungkaran. Antara yang perlu diberikan perhatian adalah seperti berikut:
Sambutan Tahun Baru mestilah disambut dengan asas ianya adalah uruf dan adat kebiasaan dan bukannya dianggap sebagai upacara keagamaan. Tidak berlaku percampuran di antara lelaki dan perempuan. Tidak dihidangkan arak dalam majlis sambutan tersebut. Tidak diadakan program-program yang melalaikan dan sebagai satu inisiatif yang lain, pihak penganjur perlulah memikirkan program-program yang baik dan dapat mendidik jiwa masyarakat yang menyertai sambutan tersebut. Tidak berlakunya pembaziran.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah melihat hujahan dari kedua-dua belah pihak dan pendapat mereka, kami lebih cenderung kepada keharusan untuk menyambut tahun baru namun perlu mengikut dhawabit yang telah ditetapkan.
Saya tertarik dengan satu pendapat yang telah dikemukakan oleh Syeikh Abdullah bin Bayyah Hafizahullah, antara lain menyebut:
“Memperingati hari-hari bersejarah tertentu bukanlah satu hari raya yang berbentuk keagamaan. Ia hanyalah satu sistem duniawi yang digunakan untuk tujuan memperingati dan mengambil pengajaran daripada sejarah serta bersyukur dengan nikmat Allah. Bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Tidak. Yang haram adalah menurut mereka dengan niat (al-tashabbuh) bukannya semata-mata wujud persamaan (al-mushābahah) Abū Yūsuf pernah disoal tentang pemakaian selipar yang sama dengan selipar agama orang Kristian.
Beliau menjawab: Nabi Muhammad pernah memakai selipar yang berbulu yang menyerupai golongan rahib. Maknanya al-mushābahah tidak sama dengan al-tashabbuh. Nabi tidak memakai selipar itu dengan niat untuk menyerupai mereka, bahkan ia hanyalah satu bentuk persamaan biasa sahaja,”
Justeru, dalam kita menyambut Tahun Baru, marilah sama-sama kita mengubah ke arah yang lebih baik dalam lainnya dengan menghadirkan diri ke masjid dan kelas-kelas pengajian agama untuk belajar tentang solat, berzikir bersolat dan berdoa serta bermunajat agar tahun baru yang mendatang ini lebih diberkati dan juga sebagai titik perubahan buat kita ke arah yang lebih baik.
Elakkan sama sekali aktiviti-aktiviti yang membazirkan masa, maksiat dan juga meniru cara orang-orang yang lalai ketika menyambut tahun baru. Ingatlah bahawasanya waktu yang kita miliki ini amat terhad dan terbatas. Marilah kita isikannya dengan perkara-perkara dan perbuatan-perbuatan yang akan dipahalakan oleh Allah SWT dalam mizan hasanat kita kelak.
Ingatlah juga firman Allah SWT:
يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٞ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٖ سَلِيمٖ
Maksudnya: “Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,”Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik); (Al-Syu’ara’: 88-89)
Saya berdoa kepada Allah SWT semoga tahun baru ini dapat memberikan sinar bahagia dan menghilangkan kabus kesusahan dalam kehidupan kita dan seterusnya kita sentiasa berada rahmat, taufik, hidayah dan inayahNya.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan. Sahibus Samahah Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Baca Ayat al-Kursi Sebelum Tidur, Elak Syaitan Ganggu Hingga Subuh
Islam itu cukup sempurna daripada segala sisi. Sesungguhnya agama Islam itu agama yang cukup Indah. Kesempurnaan agama Islam itu daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Pendek kata, semuanya ada adab dan ‘peraturan’ yang tersendiri termasuklah tidur.
Maka sebab itulah ada adab serta sunnah yang boleh dipraktikkan oleh muslim ketika mana ingin tidur. Antaranya:
1.Tidur dalam keadaan berwuduk
Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ
Maksudnya: Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudhu`mu untuk melakukan solat. Riwayat Al-Bukhari (247), Muslim (2710) & Abu Daud (5046)
2.Tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)
Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW:
ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الأَيْمَنِ
Maksudnya: …kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan. Riwayat Al-Bukhari (247) & Muslim (2710)
3.Membaca Ayat al-Kursi
Membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri dari gangguan syaitan sehingga subuhnya. Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya. [4] Ianya adalah sebuah hadis yang panjang dan kami sertakan sekali takhrijnya bagi rujukan para pembaca.
4.Membaca 3 Qul
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada keduanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua tapak tangannya it uke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala. Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. Riwayat al-Bukhari (5017)
5.Membersihkan Tempat Tidur
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:
إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ
Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu)… Riwayat Muslim (2714)
6.Membaca Doa
Antara doa tidur yang boleh diamalkan:
بِاسْمِكَ رَبِّ وَضَعْتُ جَنْبِي، وَبِكَ أَرْفَعُهُ، إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَا، وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ[5]
Maksudnya: Dengan nama-Mu Tuhan aku meletakkan lambungku Dan dengan Nama-Mu pula aku bangun daripadanya. Apabila Engkau menahan rohku (mati), maka berilah rahmat padanya. Tetapi apabila Engkau melepaskannya, maka peliharalah, sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.
اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ نَفْسِي إِلَيْكَ، وَوَجَّهْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ، وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ، رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنْجَا مِنْكَ إِلاَّ إِلَيْكَ، آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ، وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ[6]
Maksudnya: Ya Allah, aku menyerahkan diriku kepada-Mu, aku mengarahkan wajahku kepada-Mu, aku serahkan urusanku kepada-Mu menghadapkan wajahku kepada-Mu dan aku sandarkan belakangku kepada-Mu karena mengharap dan takut kepada-Mu, tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari (ancaman)-Mu kecuali kepada-Mu, aku beriman kepada kitab yang Engkau turunkan dan kepada Nabi yang Engkau utus.
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ[7]
Maksudnya: Ya Allah, dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati.
7.Buanglah sifat dengki dan maafkanlah orang lain sebelum tidur.
8.Membaca doa ketika bangun dari tidur
Ini berdasarkan hadis Nabi SAW, daripada Huzaifah RA:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ قَالَ ” اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ ”. وَإِذَا أَصْبَحَ قَالَ ” الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW jika mendatangi tempat tidurnya akan berdoa: “Allahumma bismika ahya wa amut”. Apabila bangun dari tidur berdoa: “Alhamdulillahillazi Ahyana ba`da Ma amatana wa ilaihi al-Nusyuur”. Riwayat al-Bukhari (7394)
Sumber kredit: S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI