Surah Yasin Boleh Baca Bila-bila Masa Bukan Malam Jumaat Sahaja

Share

Ada kemusykilan mengenai fadhilat Surah Yassin. Ada yang mengatakan setengahnya adalah daripada dalil yang lemah malah ada yang palsu. Contohnya, Surah Yassin adalah hati bagi Al-Quran. Ada yang kata sahih, ada yang kata palsu.

Satu lagi mengenai pengamalannya. Masa kini Yasin diamalkan setiap malam Jumaat, ketika kematian dan ketika menghadapi peperiksaan. Adakah nas-nas yang membenarkannya?

ADA 83 AYAT

Surah Yasin adalah antara surah Makkiyyah (yang diturunkan di Makkah), mengandungi sebanyak 83 ayat. Secara umum, surah ini membincangkan isu-isu berkaitan ayat Makkiyyah seperti soal ketuhanan, balasan ke atas orang yang mendustakan agama dan soal hari Kiamat.

Terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihan (fadilat) surah ini, kebanyakannya adalah hadis palsu yang direkacipta. Ada juga sebahagian hadis yang bertaraf hadis dhaif. Dalam syariat Islam, kita dididik agar tidak terhad berpandukan kepada hadis sohih semata-mata, tetapi kita dibenarkan merujuk hadis dhaif dengan syarat ianya dirujuk sebagai hal berkaitan fadhilat akan sesuatu amalan dan bukan dijadikan sebagai hujah dalam hal hukum hakam.

 

HADIS BERKAITAN SURAH YASIN

Berikut adalah sebahagian hadis berkaitan Surah Yasin yang sering disampaikan namun ia merupakan hadis dhaif:

“Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu ada hati, hati bagi Al-Quran adalah Surah Yasin, barang siapa yang membacanya seolah-olah membaca Al-Quran sebanyak 10 kali.”
“Sesiapa yang membaca Surah Yasin pada waktu malam, dia akan bangun pagi dalam keadaan diampunkan dosa.”

Tidak ada dalil yang menyebut waktu-waktu tertentu untuk membaca Surah Yasin seperti malam Jumaat, ketika kematian mahupun ketika musim menghadapi peperiksaan. Begitu juga tidak ada dalil yang melarang ia dibaca pada waktu-waktu tersebut.

Maka dalam hal ini, saya lebih cenderung untuk melihatnya ianya sebagai suatu amalan ibadah yang baik kerana dalam majlis tersebut itu terhimpun palabagai amalan kebaikan seperti memupuk budaya membaca Al-Quran paling tidak seminggu sekali, memupuk semangat berukhuwah sesama muslim serta membudayakan melakukan amalan baik secara berjemaah.

TIADA WAKTU KHUSUS

Namun demikian, masyarakat kita juga perlu dididik supaya memahami bahawa amalan ini bukanlah suatu amalan ibadah yang wajib dilakukan bermaksud apabila minggu atau waktu khusus tersebut tidak dilakukan maka boleh membawa kepada dosa. Jika kesalah fahaman ini yang berlaku dalam masyarakat kita maka ianya perlu kembali diperbetulkan supaya tidak berlaku salah faham dalam menokok tambah perkara yang sedia ada dalam syariat.

Amalan membaca Surah Yasin ini hendaklah dilihat sebagai suatu amalan sunat yang apabila dilakukan akan mendapat pahala namun jika ditinggalkan tidak membawa kepada dosa.

Sumber kredit: Ustaz Mohd Firdaus Salleh Hudin, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Published by
Team Kashoorga