Solat menyedarkan manusia tentang hakikat sebenar diri kita sebagai hamba kepunyaan Allah SWT. Dengan bersolat manusia dapat mengambil kesempatan menjadikannya sebagai waktu untuk bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya.
Keistimewaan solat juga kerana ia merupakan santapan bagi akidah keimanan kepada Allah yang berterusan dalam hati manusia. Kita sememangnya sentiasa terdedah kepada banyak maksiat pada setiap waktu, sama ada disedarinya atau tidak.
Namun ada juga yang meremehkan soal menunaikan kewajipan solat ini sedangkan ia wajib untuk ditunaikan.
Apabila engkau anggap solat itu hanya sebagai kewajiban, maka kau akan terburu-buru mengerjakannya dan tak akan menikmati hadirnya Allah saat kau mengerjakannya. Anggaplah solat itu pertemuan yang kau nanti dengan Tuhanmu.
Allahuakbar. Anggaplah solat itu sebagai cara terbaik kau bercerita dengan Allah. Allahuakbar. Anggaplah solat itu sebagai kondisi terbaik untuk kau mengadu segala keluh kesah dengan Allah SWT. Allahuakbar. Anggaplah solat itu sebagai seperti mana seriusnya kau dalam bermimpi.
Allahuakbar. Bayangkan ketika ‘Azan berkumandang’, Allah melambai-lambai kepadamu untuk mengajak kau lebih dekat denganNya … Allahuakbar. … Bayangkan ketika kau “Takbir,” Allah melihatmu, Allah tersenyum untukmu dan Allah berbangga denganmu …
Allahuakbar…Bayangkanlah ketika “Rukuk,” Allah menampung badanmu hingga kau tak terjatuh, hingga kau merasakan damai dalam sentuhan-Nya … Allahuakbar. … Bayangkan ketika “Sujud,” Allah mengalas kepalamu. Lalu DIA berbisik lembut di kedua-dua telingamu: “Aku mencintaimu wahai hamba-Ku.” … Allahuakbar. …
Bayangkan ketika kau “Duduk di antara 2 sujud,” Allah berdiri gagah di depanmu, lalu mengatakan: “Aku tak akan diam apabila orang mengusikmu.” … Allahuakbar. … Bayangkan ketika kau memberi “Salam,” Allah menjawabnya, lalu kau jadi manusia berhati bersih … Subhanallah.
Masya Allah … sungguh nikmat solat yang kita lakukan. Tak akan sia-sia orang yang menyebarkannya.
Maka sebarkanlah wahai teman-temanku. Allahuma, saksikanlah … #Ingatan dan muhasabah buat diriku sendiri, saudara-saudaraku dan sahabat-sahabatku. Kita insan biasa yg sering terleka dek urusan dunia yg sentiasa menghambat kita…??? ☝Dapat drp seorang hamba Allah yg sgt mulia hatinya. Oleh itu mari kita muliakan hati kita pula dgn menyebarknnya kpd insan yang kita sayangi. Aamin Ya Rabbal Alamin. Allahuakbar…
Sumber kredit: @Skuad Pengurusan Jenazah
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Meninggalkan Solat Dengan Sengaja, Apakah Hukumnya? Perlukah Diqada’
Solat wajib didirikan oleh setiap umat Islam. Merupakan rukun Islam yang kedua, ia jelas menunjukkan betapa pentingnya kita sebagai hambaNYA menunaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Namun bagaimana pula dengan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, malas dan cuai?
Mungkin ada yang tertanya-tanya, adakah perlu kita mengqada’ solat yang tertinggal dengan sengaja atau adakah kita hanya dituntut supaya bertaubat dan tidak perlu mengqada’nya?
Firman Allah SWT:
Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
(Surah al-Nisa: 103)
Ayat ini menunjukkan bahawa solat fardhu menjadi kewajipan orang Islam dan mempunyai waktunya yang telah ditetapkan.
Sebelum saya menjawab permasalahan ini, suka dinyatakan berkenaan dengan hukum meninggalkan solat. Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.
Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak boleh membiarkannya demikian sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Jika dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak boleh dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan. Juga tidak harus dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia bukan lagi di kalangan mereka.
Sementara orang yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukum wajibnya, pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqada’kan solat dan bertaubat daripada kesalahan meninggalkannya. Jika masih ingkar untuk mengqada’nya, maka dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat.
Hal ini kerana hukuman ke atas orang yang meninggalkan perkara fardhu adalah wajib diperangi tetapi selepas dibunuh dia masih dianggap seorang Islam. Oleh itu, jenazahnya, pengebumian dan pembahagian hartanya hendaklah diuruskan menurut syariat Islam.
Menurut Mazhab Syafie, hendaklah diqada’kan solat yang telah ditinggalkan walaupun bukan dengan sebab tertidur atau lupa. Ini kerana hutang Allah SWT lebih utama dibayar.
Berkenaan dengan solat yang ditinggalkan semenjak aqil baligh, maka hendaklah diqada’ semampu yang mungkin walaupun secara beransur-ansur sehingga selesai, di samping bertaubat kepada Allah SWT. Mereka hendaklah menghitung solat yang ditinggalkan dengan ghalib zan atau yakin supaya dapat diqada’kan semua solat yang pernah ditinggalkan.
Walaupun begitu kita yakin dengan sifat keampunan Tuhan dan penerimaan taubatnya di samping beriman dengan firman Allah SWT:
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
(Surah al-Baqarah: 286)
Berkenaan dengan qada’ amalan sunat hukumnya sunat seperti yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Adapun taubat juga perlu tetapi tidak memadai dengannya sahaja, mesti diqada’ juga berdasarkan arahan Rasulullah SAW.
Sumber: Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Kosmetik Mesra Wuduk, Ketahui Hukumnya Dari Sudut Islam
Sebahagian pengeluar produk kosmetik mesra wuduk mendefinisikan bahawa produk mesra wuduk sebagai produk yang mudah untuk ditanggalkan. Caranya ialah hanya membasuh muka dengan air sahaja serta tidak perlu kepada sabun khusus untuk menghilangkan solekan di muka bagi tujuan untuk mengambil wuduk.
Adapun kebanyakan produk kosmetik yang tidak mesra wuduk adalah sebaliknya iaitu susah untuk ditanggalkan dan memerlukan sabun khusus untuk ditanggalkan. Dan ada jenis produk yang bukan mesra wuduk teramat susah untuk ditanggalkan sehingga perlu dibasuh berkali-kali untuk menghilangkan solekan di muka. Sebahagian lain pula hanya menggunakan kapas dan peluntur solekan.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian, dapatlah dirumuskan definisi produk kosmetik mesra wuduk adalah produk mudah dihilangkan agar tidak menghalang air wuduk sampai ke kulit.
Walaupun begitu produk yang diiktiraf sebagai mesra wuduk oleh syarikat berkenaan tidaklah menjamin ketelapan air wuduk untuk sampai ke kulit. Ini memerlukan perbincangan yang khusus.
KETELAPAN AIR
Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ berkata: “Apabila adanya di atas sebahagian anggota lilin atau tepung atau inai dan seumpama dengannya. Yang mana ianya menghalang air ke anggota maka tidak sah taharahnya, sama ada banyak atau sedikit. Jika berbaki di atas tangan dan selainnya kesan inai dan warnanya tanpa ‘ainnya (zatnya) atau kesan lemak cair yang mana air akan menyentuhi kulit anggota dan air juga mengalir di atasnya akan tetapi ianya tidak melekat (iaitu air tidak melekat pada kesan minyak di atas tangan). Maka sah taharahnya.” Lihat al-Majmu’ (1/467).
Begitu juga yang disebut di dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj (1/187) di dalam bab wuduk. Dan inilah pandangan jumhur ulama kecuali Mazhab Hanafi.
Jumhur ulama menetapkan syarat sah wuduk ialah empat kecuali mazhab Hanafi, antara salah satu syaratnya ialah syaratnya:
Menghilangkan apa-apa yang menghalang air daripada menyentuhi anggota wuduk. Iaitu hendaklah tidak ada di atas anggota yang wajib wuduk sesuatu yang menghalang daripada sampainya air menyentuhi kulit seperti lilin, lemak, dan sebagainya. Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (1/329).
Fatwa Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi berkaitan dengan soalan hukum menghilangkan cat di kuku ketika berwuduk.
Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi ditanya: “Adakah wajib bagi saya menghilangkan cat kuku ketika berwuduk? Maka Syeikh menjawab: “Ya! Sesungguhnya engkau telah pun menjawab dengan sendirinya! Selagi mana engkau mengatakan ia adalah cat yang menghalang air daripada sampai ke kulit maka wajib engkau menghilangkan ketika mengangkat hadas kecil atau besar. Adapun inai tidak mengapa. Wallahu’alam.” Lihat Fatawa al-Mar’ah al-Muslimah (198).
Maka berdasarkan pandangan-pandangan para ulama di atas maka dapatlah disimpulkan bahawa sekiranya produk kosmetik mesra wuduk tersebut merupakan satu produk yang menyebabkan air wuduk tidak menyentuhi kulit dan mengalir maka tidak sah wuduknya. Adapun jika produk tersebut ialah produk yang mudah dihilangkan zatnya pada mana-mana anggota wuduk dan air dapat menyentuhi kulit serta mengalir maka sah wuduknya. Walaupun ianya meninggalkan sedikit kesan dan warnanya.
SEJAUH MANAKAH PRODUK YANG DIIKTIRAF HALAL DAPAT MENJAMIN KESEMPURNAAN IBADAH?
Jika betul dan sahih bahawa sekiranya produk kosmetik mesra wuduk yang diiktiraf halal tersebut tidak menganggu proses ibadat dan tidak menyusahkan jalan ke arah perlaksanaan ibadat maka ianya sama sekali tidak memberi kesan kepada ibadat. Bahkan jika orang yang memakai produk tersebut dengan tujuan untuk bercantik-cantik dalam menunaikan beribadat dan merasa selesa dengan pemakaian produk tersebut sepertimana galakan agama yang menyuruh berhias untuk menunaikan solat dengan memakai pakaian yang cantik, bersih, suci serta menyelesakan tubuh badan maka ianya adalah perkara yang terpuji. Adapun sekiranya pemakaian produk tersebut menjadikan keadaan tubuh tidak selesa khususnya sehingga membawa kepada terjejasnya hal ehwal solat maka ini adalah kesan yang negatif kepada kesempurnaan ibadat.
Justeru itu, jika ianya diiktiraf halal maka secara asasnya ianya adalah baik. Persoalan berkenaan produk tersebut dan kaitannya dengan kesempurnaan ibadat, ianya lebih kepada keadaan dan kondisi orang yang memakainya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dalam Keadaan Tertentu, Solat Perlu Dilakukan Secara Duduk Atau Pun Bersandar, Persoalannya, Sahkah Solat?
Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.
Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.
Riwayat Muslim (16)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.
Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi
Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir. Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.
Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).
Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.
Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).
Pendapat Para Fuqaha
Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran.
Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.
Riwayat al-Bukhari (2774)
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk. Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara Duduk
Di dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya:
*Tidak mampu untuk berdiri
*Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
*Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
*Seseorang yang berasa pening kepala.
*Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
*Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
*Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
*Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.
Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).
Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).
Dibolehuga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.
Tatacara Solat Duduk Di Atas Kerusi
Bagi sesiapa yang mempunyai kepayahan untuk solat secara berdiri disebabkan oleh penyakit ataupun perkara selainnya, berikut kami nyatakan beberapa tatacara yang boleh dilakukan untuk solat dalam keadaan tersebut:
Secara asasnya, jika seseorang itu mampu berdiri untuk solat dan tidak mampu untuk rukuk dan sujud, hendaklah dia berdiri terlebih dahulu. Kemudian baru dia duduk dan melakukan rukuk dan sujud.
Pada asasnya, yang paling utama adalah solat duduk di atas lantai. Sekiranya tidak mampu, maka dibolehkan untuk solat secara duduk di atas kerusi.
Sekiranya seseorang solat duduk di atas kerusi dan tidak mampu untuk berdiri ketika takbiratul ihram, maka dia boleh untuk melakukannya secara duduk.
Sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri maka dibolehkan untuknya duduk atas kerusi. Manakala rukuk dan sujud dilakukan sebagaimana biasa.
Sekiranya dia mampu untuk berdiri, namun berasa payah untuk rukuk dan sujud, maka hendaklah dia solat secara berdiri kemudian dia rukuk dan sujud di atas kerusi.
Dalam kes ini, perbuatan rukuk dan juga sujud dilakukan secara isyarat sahaja. Iaitu seseorang itu mengisyaratkan kepalanya dengan tunduk sedikit semasa rukuk dan juga menundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar tunduknya semasa rukuk apabila beliau bersujud.
Imam Nawawi Rahimahullah menyatakan: “Dan jikalau lemah seseorang itu (yakni musalli) daripada berdiri, maka (bolehlah) dia duduk seperti mana yang dia ingini.” Ertinya, seseorang yang solat duduk dalam apa kaedah duduk pun maka solatnya sah dan tidak batal. Yang berbeza hanyalah dari segi afdaliyyah (kelebihan). Berkata Imam al-Nawawi lagi: “Dan duduk secara iftirasy itu lebih afdal berbanding duduk bersila menurut pendapat yang azhar dan dimakruhkan duduk al-Iq`a’. Rujuk Minhaj al-Thalibin, Imam al-Nawawi (Hlm. 45).
Berdasarkan kepada kata-kata al-Nawawi di atas, kami berpandangan apabila dikatakan yang kita boleh solat duduk dalam apa keadaan sekalipun maka ia termasuklah solat duduk di atas kerusi bagi yang mempunyai keuzuran. Solatnya dikira sebagai sah dan tidak batal.
Hukum Bersandar Ketika Menunaikan Solat
Di dalam mazhab Imam al-Syafie, seseorang yang bersolat secara berdiri tetapi bersandar atau bergantung pada sesuatu seperti dinding, manusia atau tongkat, maka hukum solatnya adalah sah dengan hukum makruh. Ini jika tiada keuzuran yang membolehkan bersandar. Jika terdapat keuzuran maka tidak ada hukum makruh di situ. Lihat al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie, al-Zuhaili (1/243).
Kata Imam al-Khatib al-Syarbini: Sekiranya seseorang itu bersandar kepada sesuatu seperti dinding solatnya sah berserta karahah (makruh). Beliau berkata lagi: Sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk berdiri disebabkan masyaqqah yang berat maka dia boleh duduk sebagaimana yang dia mahu. Rujuk al-Iqna’, al-Khatib al-Syarbini (Hlm. 184).
Sekiranya seseorang yang solat bersandar juga dikira sebagai sah solatnya, maka begitulah juga solat seorang yang duduk dalam keadaan bersandar. Lebih-lebih lagi bersandarnya dia itu disebabkan keuzuran yang diambil kira oleh syarak. Ini kerana, duduk apabila tidak mampu mengambil maqam berdiri dalam solat bagi yang mampu. Jika bersandar semasa berdiri tidak membatalkan solat, demikian jugalah bersandar semasa duduk ketika menunaikan solat.
Beberapa Cadangan Atau Dhawabit
Berikut eberapa dhawabit dan juga cadangan bagi sesiapa yang ingin melaksanakan solat secara duduk di atas kerusi seperti berikut:
*Hendaklah kedudukan kerusi yang digunakan oleh para jemaah yang uzur atau tidak mampu berdiri itu berada di hujung saf.
*Bahagian belakang kaki kerusi perlulah selari dengan kedudukan kaki jemaah yang berada di sebelah.
*Kedudukan kaki mereka yang solat duduk di atas kerusi hendaklah tidak melebihi kedudukan imam.
*Kami juga mencadangkan bahawa kerusi yang digunakan hendaklah bersaiz kecil dan tidak terlalu besar, ini supaya keseragaman saf dapat dijaga serta memberikan keselesaan bagi jemaah yang lain.
*Ketika seorang itu solat secara duduk, kedudukan belakang badannya hendaklah selari dengan orang yang solat di sebelahnya.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Setelah kami melihat dan menekuni permasalahan ini, kami yakin dan percaya bahawa Islam merupakan suatu agama yang memberi rahmat kepada sekalian alam. Demikian juga Islam itu bersifat dengan قلة التكاليف (sedikit taklif) serta عدم الحرج (tidak menyusahkan). Ini berbetulan dengan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْر
Maksudnya: Allah mahukan kemudahan untuk kamu dan Dia tidak mahukan kepayahan buat kamu.
Surah Al-Baqarah (185)
Begitu juga firman-Nya:
وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ
Maksudnya: Dan tidaklah Allah menjadikan ke atas kalian kepayahan di dalam agama.
Surah Al-Hajj (78)
Imam al-Thabari Rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas ini, beliau menukilkan beberapa pendapat ulama tafsir seperti Ibn Abbas, A’isyah, Abu al-‘Aliyah, serta Al-Hasan bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah: Tidak Allah jadikan kesempitan dalam beragama kepada umat Muhammad S.A.W. Rujuk Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir (18/690).
Maka solat secara duduk di atas kerusi hukumnya adalah sah. Demikian juga solat duduk yang dilakukan secara bersandar, maka hukumnya sah seperti yang kami jelaskan di atas. Akan tetapi ianya perlulah menepati syarat-syarat serta dhawabit yang telah disebutkan.
Yang penting adalah perlaksanaan solat mengikut apa yang telah dinyatakan oleh syarak serta apa yang telah diajarkan oleh para fuqaha dan ulama dalam memberikan solusi yang berkaitan dengan isu ini. Solat yang menjadi tiang agama perlulah dilaksanakan dengan sebaiknya dengan meraikan segala rukun dan juga syarat-syaratnya.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI