Syarat Bahagia Pasangan Bekerja; Sama-sama Penat Urus Rumahtangga

Share

Satu hal amat penting setelah hidup berumahtangga pasangan bekerja ialah perlu ada toleransi tinggi; belajar dan terima kekurangan masing-masing. Jangan menuntut yang bukan-bukan atau mencari kesempurnaan.

Apabila ada kekurangan, maka kedua-duanya perlu berusaha perbaiki kekurangan itu. Ini adalah ‘syarat’ wajib terima. Seringkali perceraian terjadi apabila ‘syarat’ ini gagal dihadam baik suami atau isteri.

Contoh paling jelas ialah apabila masing-masing sibuk mempertikaikan tugas dan tanggungjawab menguruskan hal ehwal rumahtangga. Masing-masing sibuk mempertahankan hak tetapi lupa nak menguruskannya.

Tak dinafikan, apabila kedua-duanya bekerja, masing-masing kepenatan apabila sampai di rumah. Dalam situasi ini, pembahagian tugas di rumah perlu dirancang bijak dan adil.

Pertengkaran amat mudah terjadi hanya kerana ada istilah kuno yang diguna pakai; “Kerja aku ini sahaja, kerja kau kena buat semua tu”

Artikel berkaitan: “Puan, Boleh Tolong Carikan Saya Calon Isteri Bekerjaya? Permintaan Lelaki Ini Terpaksa Ditolak

Artikel berkaitan: Amalkan Bacaan Ayat Kursi Ini Untuk Elakkan Gangguan Sihir Dalam Rumahtangga

Apabila ini terjadi, timbul ketidak puasan hati salah seorang. Kita ikuti nukilan Dr. Mohd Norhusni Mat Hussin, pensyarah Kanan di Jabatan Syariah & Undang-undang Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya tentang isu mempertahankan hak dan menguruskan hak suami isteri ini.

Pertikaian Tugasan Di rumah

“Viral di Facebook berkenaan berlakunya perceraian akibat suami yang berat tulang, tidak membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. Timbul pula komen-komen yang menyatakan bahawa tugas mengemas rumah, memasak, membasuh pakaian dan sebagainya bukan tugas isteri tetapi tugas suami,” ulasnya

“Malah, ada yang menambah bahawa suami wajib mencari pembantu rumah untuk meringankan beban isteri. Kalau wajib, tak buat maka berdosalah jawabnya.

“Kenyataan ini betul tapi tidak sepenuhnya tepat pada semua keadaan. Saya pernah menghuraikan isu ini dengan panjang lebar semasa forum anjuran Persatuan Peguam Muslim Malaysia pada Ramadhan yang lepas”

Tugas Urus Rumahtangga Adalah Tugas Suami Sahaja?

Meneruskan catatan, dia menyatakan bahawa, adalah sesuatu yang tidak adil andainya seorang suami yang bekerja sehingga lewat petang atau malam terpaksa pula menguruskan rumah tangga, termasuk mengemas, memasak, menyidai kain dan sebagainya apabila pulang ke rumah.

Isteri pula suri rumah tangga sepenuh masa dan tidak berpenat tanpa melakukan apa-apa tugasan hanya dengan alasan “kononnya dalam agama” tugas menguruskan rumah tangga adalah tugas suami.

Dalam sebuah hadis yang panjang, saat Fatimah pergi mengadu kepada Rasulullah (Rasulullah tiada di rumah pada waktu itu) memohon diberikan pembantu rumah kepadanya, lantaran kepenatan dan keletihan Fatimah menguruskan kerja-kerja rumah, tidak pula Rasulullah menyuruh supaya Saidina Ali yang melakukan kerja-kerja rumah tersebut atau mengarahkan Ali mencari seorang pembantu rumah buat Fatimah.

Sebaliknya baginda mengajar zikir buat ketenangan Fatimah yang sentiasa keletihan menguruskan rumah tangga (hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim). Dengan kata lain tugas-tugas dalam kehidupan berkeluarga telah disusun dengan baik oleh agama kita.

Tip Bahagia Pasangan Bekerja

Keadaan ini mungkin berbeza kalau suami dan isteri sama-sama bekerja. Di sinilah perlunya tasamuh (toleransi yang tinggi antara suami dan isteri). Kerja rumah seharusnya dikongsi bersama pasangan bekerja ini.

Kalau isteri memasak, suami uruslah anak-anak, isteri mengemas, suami membasuh baju dan sebagainya. Janganlah suami pula beraja di mata bersultan di hati meskipun suami wajar dilayani oleh isteri. Apabila sama-sama penat, maka wajarlah kepenatan itu dikongsi bersama.

Menuntut Hak & Mempertahankan Hak

Begitulah rumah tangga. Ianya bukan sekadar menuntut atau mempertahankan hak masing-masing, tetapi bagaimana kebijaksanaan menguruskan hak tersebut. Suami dan isteri adalah manusia biasa dan hidup di dunia yang sifatnya tidak sempurna.

Tentu sekali akan banyak kelemahan dan kekurangan. Perkahwinan adalah belajar menerima kekurangan dan bukannya medan menuntut kesempurnaan. Kekurangan atas sifat sebagai manusia biasa dan bukannya kesempurnaan macam dalam drama!

Itulah rumah tangga yang kekal dengan mawaddah, sakinah dan dalam barakah Allah sentiasa. Ianya bukan sekadar mempertahankan hak tetapi belajar bagaimana menguruskan hak itu.

Published by
Emma Masri