‘Syukur alhamdulillah, ramai mendoakan saya.’ Tahniah Neelofa, hamil anak kedua. Akhirnya teka-teki tentang selebriti terkenal Neelofa yang didakwa hamil anak kedua terjawab.
Sebelum ini, teka-teki tentang kehamilan bekas pemenang Dewi Remaja 2009/2010 itu tercetus selepas tular video menunjukkan perubahan pada bahagian perutnya yang kelihatan bentuk ‘baby bump’ dalam media sosial baru-baru ini.
Dalam video tersebut, Neelofa memegang perutnya yang kelihatan semakin membesar sewaktu memberikan ucapan sempena ulang tahun kelahiran Bilal yang pertama pada 29 Januari lalu.
Artikel Berkaitan:
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 34, mengiyakan dakwaan dirinya hamil anak kedua selepas berkongsi cabaran menunaikan ibadah umrah bersama keluarga baru-baru ini.
“Ya, half way to go (pertengahan jalan). Jadi faham-fahamlah. Orang pun sudah nampak kan? (perutnya). Ramai yang mendoakan saya sihat dan selamat.
“Ramai mendoakan saya perkara yang baik-baik, menghantar mesej dalam Instagram (DM) ucapan yang baik-baik. Syukur alhamdulillah,” kata Neelofa.
Menurut isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail itu lagi, dia bersyukur apabila urusannya dipermudahkan walaupun aktif bergerak ke sana sini untuk bekerja.
“Saya pun aktif pergi sana sini, dengan anak kecil lagi (Muhammad Bilal). Bukan mudah sebenarnya tapi urusan saya dipermudahkan,” ujarnya.
Di samping itu, tambah Neelofa, untuk kehamilan kali kedua ini, dia tidak kisah tentang jantina anak yang bakal dikurniakan asalkan bayi yang dilahirkan dalam keadaan sihat dan urusannya dipermudahkan.
“Dari kehamilan pertama lagi saya tidak memilih (jantina). Saya okey sahaja. Alahan pun tidak teruk, alhamdulillah. Kalau dibandingkan dengan kenalan saya, ada yang tidak boleh bangun dari katil.
“Jadi saya sangat bersyukur. Dari segi perubahan bentuk badan, rasa, hormon berubah dan banyak lagi. Mereka yang banyak kali hamil sudah biasa dengan semua itu,” ulasnya.
Dalam masa yang sama, Neelofa berkongsi cerita mengenai kelakuan Bilal yang bakal menerima adik, Neelofa bersyukur anak sulungnya itu tidak banyak meragam.
“Bilal okey sahaja sebab dia pun sudah besar dan makin kenal orang. Saya rasa itu hanya mitos bila orang kata anak pertama akan meragam apabila bakal ada adik. Alhamdulillah semuanya okey sahaja,” ujarnya.
Untuk rekod, Neelofa mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Muhammad Haris Ismail pada 27 Mac 2021 di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Pasangan itu dikurniakan anak sulung, Bilal berusia setahun yang dilahirkan pada 29 Januari 2022.
Kashoorga: Semoga Neelofa dipermudahkan urusan dan dapat melalui fasa kehamilan dengan baik.
Sumber: Kosmo Online
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.