Syukur kasih sayang berbalas. ‘lelaki ini sanggup berhenti kerja jaga mak, ayah angkat.’ Begitulah kasih sayang seorang anak angkat kepada kedua ibu bapa angkat menjaganya sejak kecil.
Biarpun bukan darah daging, namun keikhlasan anak ini harus dipuji kerana mengorbankan masa mudanya untuk menjaga orang tua yang sedang diuji kesihatannya.
Artikel Berkaitan:
Berhajat Ambil Anak Angkat? No.4 Perkara Yang Ramai Tak Ambil Kisah
Sepasang suami isteri bersyukur apabila kasih sayang yang dicurahkan selama ini ‘berbalas’ apabila anak angkatnya sanggup menjaga mereka yang menghidapi pelbagai penyakit sejak 2020.
Menurut Kamri Doryat, 64, kesihatannya terjejas selepas disahkan mengalami masalah paru-paru tersumbat kronik (COPD) dan tulang belakang sejak tiga tahun lalu.
Katanya, isterinya, Faridah Jamal, 65, pula menghidap penyakit kencing manis dan kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga paras lutut.
“Sebelum ini, kami mempunyai seorang cahaya mata, namun telah meninggal dunia pada usia empat tahun.
“Tidak lama selepas pemergiannya, kami telah menjadikan Nur Ikmal sebagai anak angkat,” katanya.
Katanya, kini hidup mereka bergantung kepada Nur Ikmal, 24, dan pemuda itulah yang akan menyediakan segala kelengkapan mereka suami isteri sebelum keluar bekerja.
“Alhamdulillah, dia sentiasa ada di sisi memberi perhatian terhadap kami dan banyak membantu ketika proses penyembuhan secara berperingkat sehinggalah kami mampu mengurus diri sendiri termasuk membersihkan diri.
“Sebelum keluar bekerja dia akan pastikan segala-galanya sudah siap tersedia seperti ubat, lampin pakai buang dan keperluan lain. Ketika dia sedang bekerja, anak saudara kami yang tinggal berhampiran akan menghantar makanan,” ujarnya.
Sementara itu, jelas Nur Ikmal, keadaan kesihatan bapa dan ibu angkatnya yang merosot menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sejak Ogos tahun lalu.
Katanya, dia baru kembali bekerja minggu lalu sebagai penjaga parkir dengan gaji RM1,500 sebulan.
“Pasangan suami isteri membesarkan saya sejak kecil dan kasih sayang yang dicurahkan tak berbelah bahagi, saya tak akan lupakan jasa mereka berdua.
“Bapa pernah mengalami lumpuh, manakala ibu pula terlantar sakit, saya tak mampu membiarkan mereka dalam keadaan seperti itu lalu mengambil keputusan untuk berhenti kerja selama setahun untuk menjaga mereka di rumah,” ujarnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menghubungi di talian 011-2755 7646 atau menghulurkan bantuan ke akaun Kamri Doryat, 0110029853370199 (Bank Simpanan Nasional).
Baca Di Sini:
Hukum Berwalikan Adik Angkat Tanpa Sengaja. ‘Lepas 3 Tahun Nikah Baru Tahu, Bimbang Status Anak.’
Kashoorga: Semoga urusan pemuda ini dipermudahkan Allah SWT.
Sumber: Kosmo Online
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.