Siapa tidak gembira apabila dapat mendirikan masjid dengan insan tersayang yang menjadi pilihan hati selama ini.
Pastinya tanggungjawab akan berubah dari kehidupan seorang yang single kepada cara hidup berdua dan kemudiannya berkeluarga. Sebaik sah ijab kabul, seorang isteri itu perlu patuh pada arahan insan bergelar suami.
Malah dikatakan juga syurga itu di bawa telapak kaki suami. Lantas menjadi tanggungjawab seorang isteri itu untuk berusaha menjadi seorang kekasih hati yang baik dan solehah.
Namun ketika ini, ungkapan itu mula dimainkan oleh orang sekeliling. Walaupun ia sekadar ungkapan untuk mengingatkan diri bahawa kita tidak lagi hidup sebagai orang bujang tetapi tanggungjawab yang sudah semakin besar sebaik bergelar isteri.
Ketahuilah sebenarnya ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki suami’ itu mempunyai maksud yang tersendiri.
Ia seperti mana yang dijelaskan oleh pendakwah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.
Para suami tidak boleh menggunakan kenyataan di atas untuk memperlakukan sesuka hati terhadap isteri. Kenyataan di atas bukan hadis sebagaimana dinyatakan oleh seorang alim besar Syria Syeikh Doktor Ahmad Al Hajji Al Kurdiy.
Benar, salah satu kunci syurga isteri ialah taat pada suami. Hadis sohih riwayat Ibnu Hibban.
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ.
Maksud :”Jika seorang wanita solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), jaga maruah dan taat suaminya, masuklah dia ke dalam Syurga melalui mana-mana pintu yang dia mahu”.
Satu lagi hadis sohih menunjukkan besarnya hak suami ke atas isteri.
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا.
Maksudnya :“Jika aku boleh perintahkan seseorang untuk sujud kepada seseorang, maka aku perintahkan isteri untuk sujud pada suaminya”.
Hadis ini disohihkan oleh Imam Tirmizi dan Al Hakim dan dipersetujui oleh Imam Az-Zahabi.
Tapi taat isteri pada suami, bersyarat. Isteri bukan hamba suami. Mereka ialah rakan kongsi pejalanan hidup. Suami bukan raja yang pegang kuasa veto. Bahkan suami bertanggungjawab melorongkan syurga isteri.
Ketaatan seorang isteri, mesti dibayar dengan tanggungjawab yang sangat besar daripada seorang suami.
Suami memang tak wajib taat kepada isteri. Tapi suami wajib taat kepada Allah dalam urusan isteri. Bukan perkara memain beb.
Dalam hal ini baik suami atau isteri perlu tahu tanggungjawan sebenar yang dipikul di bahu masing-masing. Perlulah hidup dalam suasana yang harmoni, berkasih sayang dan saling bantu membantu sama lain agar rumahtangga dibina kekal hingga ke jannah.
Artikel Berkaitan: Syawal Paling Bermakna Buat Petinju Austria Wilhelm Ott, Lepas Sebulan Masuk Islam Pilih Mualaf Sebagai isteri