Ada orang dimurahkan rezeki, ada orang rezekinya sempit sedangkan usaha yang dilakukan tak jauh beza pun antara kedua-duanya. Pernah nampak atau alami keadaan ini?
Sudah macam-macam cara dilakukan, tetapi masih tidak berubah, rupa-rupanya ada tabiat buruk kita di rumah penyebab rezeki sempit atau kurang masuk.
Salah satu faktor penyebab utama ialah kurangnya kesedaran kita terhadap penjagaan kebersihan di rumah.
Rumah sebagai tempat berteduh dan berehat sekeluarga sepatutnya berada dalam keadaan tip top. Setiap ahli keluarga wajib mainkan peranan.
Sesungguhnya untuk mempermudahkan laluan rezeki, maka permudahkan juga lah malaikat Rahmat untuk masuk ke rumah. Rumah yang kotor, malaikat pun ‘segan’ hendak ziarah.
Sebagaimana hadis yang diriwatkan al-Tarmizi
Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan, Dia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi
Tandas dan bilik air kotor
Singki berdaki, lantai dan dinding berlumut apatah lagi mangkuk tandas pun kotor. Tandas adalah antara tempat yang kotor dan ia sangat digemari oleh jin dan syaitan.
Ads
Bagaimana kita hendak menjemput malaikat Rahmat masuk sekiranya banyak jin dan syaitan di rumah? Mulai hari ini, pastikan ada jadual membersih bilik air dan tandas untuk setiap ahli keluarga mengikut kesesuaian.
Tandas sepatutnya dibersihkan setiap hari.
Rumah bersawang
Bagai rumah ditinggal lama walaupun tuan rumah setiap hari ada dan malas hendak bersihkan sawang yang menari-nari di bucu siling.
Jika rumah bersawang, sekeluarga pemalas dan abaikan kebersihan rumah ini disebabkan oleh hasutan syaitan.Syaitan amat gemar bersahabat dengan manusia pengotor.
Pinggan mangkuk kotor dibiar tanpa dibersihkan
Kalau nak tahu keperibadian seseorang, lihat bagaimana dia titik beratkan kebersihan rumahnya. Tempat paling mudah ialah di singki dapur.
Jika singki penuh dengan pinggan mangkuk yang kotor, ini bermakna kita memberi jin dan syaitan makan sisa makanan berbaki dalam pinggan dan mangkuk kotor.
Ads
Sebelum tidur kena pastikan pinggan, mangkuk, periuk dan cawan semuanya di cuci bersih. Sisa makanan yang kotor akan menjadi habuan syaitan yang suka pada benda-benda kotor.
Malas buang sampah sarap
Sediakan tong sampah yang boleh ditutup rapat terutamanya di dapur. Untuk sampah sisa makanan, buang ke tong sampah di luar rumah sebelum tidur.
Tidak tutup rapat pintu tandas
Pastikan kita memutup rapat pintu tandas setiap masa. Tandas adalah tempat ‘kotor’ di rumah.
Jin serta syaitan amat menyukai tempat ini. Apabila syaitan bebas keluar masuk ke rumah kita, sukar untuk rezeki mengalir laju kerana malaikat Rahmat tidak mahu menghampiri rumah kita.
Ads
Pakaian kotor menggunung tinggi
Pakaian yang bersih adalah penting semasa kita ingin melakukan solat. Pastikan kita mencuci bersih pakaian tersebut dengan mengasingkan jenis pakaian yang dicuci.
Bersihkan dahulu secara berasingan pakaian dan seluar dalam kita sebelum dicampur dengan pakaian lain. Dan pastikan juga kita sentiasa membersihkan mesin basuh, kerana ia juga ‘sarang’ kekotoran.
Asasnya di sini ialah, kita wajib menjaga kebersihan di rumah bagi membolehkan rezeki mengalir lancar. Rumah yang kotor, akan turut dihuni oleh jin dan syaitan.
Kashoorga : Kebersihan bermula dari didikan awal ibubapa. Anak melihat contoh pertama di depan mata. Gaya hidup yang tidak bersih, tidak diredhai Allah.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Solat jamak seperti diketahui adalah untuk kemudahan mereka yang bermusafir lebih dari dua marhalah atau 82km.
Tapi situasi hari ini ramai saja yang bekerja jauh dari kediaman dan menghabiskan masa berjam-jam memandu atau menaiki pengangkutan awam. Ada yang menempuh perjalanan hampir 100km setiap hari untuk ke tempat kerja.
Dalam keadaan ini adakah mereka yang berulang alik ke tempat kerja melebihi jarak 2 marhalah dibolehkan melakukan solat jamak.
Berikut adalah penjelasan yang diberikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan tentang hal ini.
Solat qasar dan jamak adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya :
Maksudnya :” Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang.”
(Surah al-Nisa’ :101)
Jalaluddin al-Mahalli dan al-Sayuti menyatakan yang dimaksudkan dengan ayat ini apabila kalian bermusafir boleh untuk memendekkan solat iaitu daripada empat jadikan dia dua rakaat.
Rujuk Tafsir al-Jalalain (2/101)
Terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi membolehkan solat qasar dan jamak dilakukan. Antara yang disebutkan oleh para fuqaha :
Solat yang diqasarkan adalah solat fardu yang empat rakaat.
Ada tujuan walaupun dengan mana-mana arah
-Permusafirannya adalah permusafiran yang diharuskan bukan kerana maksiat
-Mempunyai tujuan yang baik seperti pergi kerana urusan perniagaan dan lain-lain.
-Jarak perjalanan adalah sejauh dua marhalah iaitu dianggarkan sejauh 82 kilometer.
-Melepasi negeri atau kawasan tempat bermukim.
-Ada pengetahuan berkenaan hukum hakam solat qasar dan jamak
Rujuk Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah (hlm 314-315)
Al-Khatib Al-Syarbini ketika menjelaskan berkenaan dengan syarat yang membolehkan untuk qasar dan jamak, beliau mengatakan permusafiran tersebut mestilah bukan dengan tujuan maksiat.
Sama ada yang wajib seperti bermusafir untik menunaikan haji ataupun yang mandub seperti menziarahi kubur Nabi SAW ataupun yang harus seperti bermusafir untuk perniagaan.
Rujuk al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’(2/384)
Imam Al-Ramli menyatakan permusafiran itu mestilah sama ada yang wajib atau mandub ataupun yang harus. Boleh jadi permusafiran itu adalah yang makruh seperti bermusafir sendirian terutamanya pada waktu malam.
Rujuk Nihayah Al-Muhtaj Syarh Al-Minhaj(2/248)
Berdasarkan pernyataan di atas, kami melihat bahawa boleh untuk menqasarkan dan menjamakkan solat pada hari bekerja kerana telah memenuhi syarat-syarat utama qasar dan jamak iaitu perjalanan melebihi 2 marhalah dan tujuan perjalanan adalah tujuan yang harus.
Harus diingatkan, solat jamak dan qasar hanya boleh dilakukan di tempat kerja ataupun ketika dalam perjalanan. Adapun ketika sampai di kawasan permukiman tidak boleh untuk mengambil rukhsah tersebut dan perlu dilakukan solat secara sempurna.
Syurga Allah itu ada lapan iaitu Firdaus, ‘And, Na’iim, Na’wa, Darussalaam, Daarul Muaqaamah, Al-Muqqamul Amin dan terakhir di sebut syurga Khuldi.
Jika syurga ada lapan, neraka juga ada lapan iaitu Jahannam, Jahiim, Hawiyah, Wail, Sa’iir, Ladhaa, Saqar dan terakhir neraka Hutomah.
Di dalam tafsir Al-Quran mengungkap lima doa penghuni neraka. Empat kali Allah menjawab doa mereka. Sedangkan, di pertanyaan kelima, Allah menjawabnya dengan sebuah perintah. Apakah lima doa penghuni neraka?
Pertamanya, dinyatakan dalam tafsir surah Ibrahim ayat 44.
“Dan berikanlah peringatan (Muhammad) kepada manusia pada hari (ketika) azab datang kepada mereka, maka orang yang zalim berkata, “Ya Tuhan kami, berilah kami kesempatan (kembali ke dunia) walaupun sebentar, nescaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti Rasul-Rasul.” (Kepada mereka dikatakan), “Bukankah dahulu (di dunia) kamu telah bersumpah bahawa sekali-kali kamu tidak akan binasa?” (QS Ibrahim: 44)
Tafsir Kementerian Agama menjelaskan pada ayat ini, Allah SWT memerintahkan agar memberi peringatan kepada orang-orang yang zalim dan orang-orang musyrik Makkah, iaitu tentang keluhan dan rintihan yang keluar dari mulut mereka ketika azab menimpa mereka di akhirat nanti sambil memohon:-
“Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kesempatan yang lain lagi, walaupun beberapa saat saja untuk menaati seruan-Mu dan mengikuti ajaran Rasul-Mu dengan mengembalikan kami ke dunia. Jika kesempatan itu benar-benar diberikan kepada kami pasti kami akan mengikuti perintah-Mu dan menghentikan larangan-Mu, kami benar-benar akan memurnikan ketaatan kepada-Mu saja, kami tidak akan menyekutukan-Mu lagi wahai Tuhan kami.”
Menurut riwayat al-Baihaqi dari Muhammad bin Kaab Al-Quradhi, ia berkata, “Penghuni neraka berdoa kepada Allah lima kali. Empat kali dijawab Allah sedang doa yang kelima dijawab Allah dengan perintah agar mereka tidak berkata lagi dan agar tetap kekal di dalam neraka.”
Doa penghuni neraka tersebut terdapat dalam firman Allah sebagai berikut:-
“Mereka (penghuni neraka) menjawab, “Ya Tuhan kami, Engkau telah mematikan kami dua kali dan telah menghidupkan kami dua kali (pula), lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka adakah jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?” (QS Ghafir: 11)
Permintaan ini dijawab Allah SWT dengan firman-Nya:-
“Yang demikian itu kerana sesungguhnya kamu mengingkari apabila diseru untuk menyembah Allah saja. Dan jika Allah dipersekutukan, kamu percaya. Maka keputusan (sekarang ini) adalah pada Allah Yang Maha Tinggi, Maha Besar.” (QS Ghafir:12)
“Dan (alangkah ngerinya), jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata), ‘Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), nescaya kami akan mengerjakan kebajikan. Sungguh, kami adalah orang-orang yang yakin’.” (QS As-Sajdah:12)
Permintaan mereka ini dijawab Allah SWT dalam firman-Nya:-
“Maka rasakanlah olehmu (azab ini) disebabkan kamu melalaikan pertemuan dengan harimu ini (hari Kiamat), sesungguhnya Kami pun melalaikan kamu dan rasakanlah azab yang kekal, atas apa yang telah kamu kerjakan.” (QS As-Sajdah: 14).
“Maka orang yang zalim berkata, ‘Ya Tuhan kami, berilah kami kesempatan (kembali ke dunia) walaupun sebentar, niscaya kami akan mematuhi seruan Engkau dan akan mengikuti Rasul-Rasul’.” (QS Ibrahim: 44)
Permintaan mereka ini dijawab oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-
“Dan mereka berteriak di dalam neraka itu, ‘Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka), niscaya kami akan mengerjakan kebajikan, yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan dahulu’.” (QS Fathir: 37)
Allah SWT menjawab permintaan mereka dalam firman-Nya:-
“Bukankah Kami telah memanjangkan umurmu untuk dapat berpikir bagi orang yang mau berpikir, pada hal telah datang kepadamu seorang pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab Kami), dan bagi orang-orang zalim tidak ada seorang penolong pun.” (QS Fathir: 37)
“Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami darinya (kembalikanlah kami ke dunia), jika kami masih juga kembali (kepada kekafiran), sungguh, kami adalah orang-orang yang zalim.” (QS Al-Muminun: 107)
Allah SWT menjawabnya dengan tegas dalam Firman-Nya:-
قَالَ اخْسَـُٔوْا فِيْهَا وَلَا تُكَلِّمُوْنِ
“Dia (Allah) berfirman, ‘Tinggallah dengan hina di dalamnya, dan janganlah kamu berbicara dengan Aku’.” (QS Al-Muminun: 108)
Setelah jawapan Allah SWT yang kelima, maka mulut penghuni neraka tertutup, tidak ada lagi doa, selain dari jeritan yang keluar dari mulut mereka kerana sangat berat azab neraka yang menimpa mereka. SUMBER: TAFSIR QURAN | QURAN HADITS
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Bab poligami memang sensitif bagi wanita, namun ia amat digemari lelaki. Isu ini melibatkan soal hati. Walaupun Islam mengenakan syarat ketat mengharuskan poligami, namun wanita tidak yakin akan jaminan yang suami mampu berlaku adil setelah berkahwin lain.
Tidak hairanlah jika ada bakal isteri meletakkan syarat tidak mahu suami berpoligami. Kita ikuti penjelasan panjang Mufti Wilayah Persekutuan akan hal ini.
Assalamualaikum. Apakah hukum jika seorang isteri meletakkan syarat dalam perkahwinan bahawa suaminya tidak boleh berpoligami?
Adakah syarat ini sah disisi syarak, dan perlukah suami mematuhinya?
Jawapan:
Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Para ulama telah membahaskan isu ini dalam karangan-karangan mereka, dan kami bawakan sebahagian nukilan pandangan mereka:
Pertama: Mazhab Hanafi
Menurut Akmal al-Din al-Babarti, syarat seumpama ini adalah fasid, kerana ia berbentuk larangan ke atas perkara yang diharuskan syara’, namun ia tidak membatalkan nikah. Jika suami mematuhi syarat itu, maka isteri perlu diberikan mahar musamma, dan jika syarat itu tidak dipatuhi, isteri perlu diberikan mahar mitsil. Menurut Imam al-Sarakhsi pula, syarat sebegini tidak perlu dituruti oleh suami.
Kedua: Mazhab Maliki
Menurut Imam Malik, syarat seumpama ini adalah batil, namun nikah itu tetap sah. Beliau menukilkan pandangan Sa’id ibn Musayyib menyatakan perkahwinan seumpama ini adalah sah dan diharuskan.
Namun menurut satu atsar yang diriwayatkan oleh Al-Laith ibn Sa’ad dimana pada zaman Umar al-Khattab, seorang lelaki telah berkahwin dengan seorang wanita yang mensyaratkannya agar tidak membawanya keluar dari negeri asalnya. Umar apabila mendengar hal ini, telah mengangkat syarat itu dari lelaki tersebut, dan perkahwinan itu tidak dibatalkan.
Menurut Khalil ibn Ishaq al-Jundi, syarat-syarat yang dikenakan oleh isteri untuk bernikah seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa mengikuti peperangan dan tidak tidak boleh dibawa keluar daripada rumah dan seumpamanya adalah makruh, dan Imam Malik berkata beliau telah meminta para hakim untuk melarang orang ramai daripada terlibat dengan syarat-syarat seumpama itu.
Ketiga: Mazhab Syafie
Menurut para fuqaha’ mazhab Syafi’e iaitu Imam al-Nawawi, Ibn Hajar al-Haitami, Imam Khathib al-Syarbini dan Syeikh Zakariyya al-Ansari, syarat jenis ini dihukum sebagai fasid dan ia turut menyebabkan mahar menjadi fasid, namun ia tidak membatalkan akad nikah itu sendiri.
Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji juga ada disebut bahawa syarat seumpama ini adalah bercanggah dengan tuntutan nikah itu sendiri, tapi ia tidak menafikan tujuan asasi nikah iaitu menghalalkan persetubuhan. Syarat seperti ini ialah fasid, namun nikah itu tetap sah.
Keempat: Mazhab Hanbali
Menurut Ibn Qudamah, syarat nikah terbahagi kepada tiga, salah satunya ialah yang wajib dipenuhi oleh suami, yang berkait dengan maslahah terhadap dirinya sendiri, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh dibawa bermusafir dan tidak dibawa menemani ke peperangan.
Jika syarat ini tidak dipenuhi, isteri berhak untuk menuntut fasakh. Pendapat ini juga diriwayatkan daripada Umar Al-Khattab, Sa’ad bin Abi Waqqas, Mu’awiyah, Amru bin Al-‘Aas R.Anhum, Syuraih, Umar bin Abdul Aziz, Thawus dan Al-Auza’ie.
Menurut beliau lagi, ini merupakan pandangan para sahabat dan beliau tidak dapati sebarang sanggahan daripada para sahabat lain pada permasalahan ini, maka ia menjadi ijma’.
Selain itu, sabda Nabi SAW juga: الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ
Maksudnya: Kaum Muslimin itu terikat dengan janji-janji mereka. Sunan Tirmidzi (1352) dan Sunan Abu Daud (3594)
Dakwaan bahawa syarat seperti ini mengharamkan yang halal juga tidak tepat, kerana syarat itu hanya berbentuk pilihan kepada isteri untuk menuntut fasakh daripada suami, jika syaratnya itu tidak dipatuhi.
Namun demikian, tidak diharuskan jika syarat itu menghendaki bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada, kerana terdapat larangan yang jelas dalam hadith:
“Janganlah seorang wanita meminta bakal suaminya untuk menceraikan isterinya yang sedia ada dan merampas haknya. Berkahwinlah (walaupun tanpa menetapkan syarat demikian), sesungguhnya dia akan memperoleh apa yang Allah SWT telah tetapkan kepadanya” Sahih Muslim (1408)
Imam al-Mardawi pula menganggapnya sebagai satu syarat yang sah dan perlu dipatuhi, dan jika suami melanggar syarat ini, isteri berhak untuk memohon fasakh. Syeikhul Islam ibn Taimiyyah juga pernah ditanya soalan ini, dan beliau menyebut bahawa syarat tersebut adalah sah, dan suami perlu mematuhinya.
Antara dalil beliau ialah kata-kata Umar al-Khattab yang dihadapkan dengan satu kes melibatkan suami isteri yang telah bersetuju sewaktu akad supaya suami tidak berpoligami, beliau mengesahkan syarat tersebut dan berkata: Pemutus-pemutus hak itu bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
Mengikut satu qaul Imam Ahmad yang diterima jumhur fuqaha’ mazhab Hanbali, mematuhi syarat ini hukumnya sunat, dan isteri berhak menuntut fasakh jika suami tidak mematuhinya.
Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah pula memilih pandangan yang mewajibkannya, dan ia adalah pendapat yang lebih sahih.
Namun demikian, jika isteri itu redha dengan pelanggaran syarat yang dilakukan oleh suami contohnya poligami ini, isteri tidak berhak lagi untuk menuntut fasakh.
Namun kedua-dua suami dan isteri tidak boleh mensyaratkan agar kedua-duanya tidak boleh berkahwin lagi setelah mereka bercerai atau salah seorang daripada mereka meninggal dunia.
Namun jika syarat seumpama ini ditetapkan setelah berlaku akad, maka syarat itu tidak lagi perlu dipatuhi. Namun kata Ibn Rajab, syarat itu tetap wajib dipatuhi meskipun ia ditetapkan setelah akad nikah, dan inilah pandangan yang azhar dalam mazhab Hanbali.
Perbahasan Pandangan Ulama dan Tarjih Imam Ibn Rusyd sewaktu memberi komentar tentang isu ini menulis: Para ulama’ berbeza pandangan pada hukum mematuhi syarat seumpama ini, seperti suami tidak boleh berpoligami, tidak boleh membawa isteri pergi berperang atau berpindah dari negerinya.
Manakala menurut al-Auza’ie dan Ibn Syubrumah, isteri berhak mengenakan syarat itu dan suami mestilah mematuhinya. Ibn Shihab juga menyatakan para ulama berpegang pada pendapat ini. Qaul mereka ini diriwayatkan daripada Ali dan Umar R.A. Adapun faktor perbezaan pandangan mereka ialah kerana percanggahan antara nas umum dan nas khusus. Nas umum ialah hadith daripada ‘Aisyah r.a:
Sesiapa yang mengenakan syarat yang tidak terdapat dalam al-Qur’an maka ia bathil, meskipun dia mengenakan seratus syarat sekalipun. Syarat Allah lebih benar dan dipercayai. Riwayat al-Bukhari (2155)
Manakala nas khusus pula ialah hadith daripada ‘Uqbah bin Amir: Sesungguhnya syarat yang lebih berhak untuk dipatuhi dan ditunaikan ialah syarat yang menghalalkan hubungan kelamin (syarat perkahwinan). Riwayat Muslim (1418)
Kedua-dua hadith ini adalah sahih, namun yang lebih masyhur dalam kalangan usuliyyun ialah mendahulukan nas khusus ke atas yang umum, dan dalam kes ini, wajib untuk mematuhi syarat yang telah dipersetujui bersama isteri.” (Rujuk Bidayah al-Mujtahid, 3/81-82)
Kesimpulan Tuntasnya, kami mentarjihkan pandangan yang mengharuskan syarat yang dikemukakan isteri sebelum akad agar suami tidak boleh berpoligami, dan para suami hendaklah mematuhi persetujuan yang telah ditetapkan bersama isteri, demi memelihara keutuhan rumah tangga yang harmoni.
Namun dalam masa yang sama, syarat-syarat yang diletakkan manusia bukanlah hukum Allah SWT yang tidak boleh dipinda dan diubah. Sikap toleransi dan berlapang dada mestilah diutamakan, dan dalam banyak keadaan, perbincangan hati ke hati pastinya akan menatijahkan hasil yang positif.
Maka, meskipun isteri memiliki hak untuk menuntut fasakh jika suami tidak mematuhi syarat yang ditetapkan, pertimbangan yang rasional dan pemikiran matang haruslah digunakan dalam membuat sebarang keputusan.
Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar oleh Allah SWT:
“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)
Makan bufet Ramadan di hotel atau kafe setiap kali bulan puasa seakan acara wajib ramai kalangan kita. Meski ada harga hidangan mencecah hampir RM100...