Bajet kahwin yang rendah diperlukan supaya dapat penjimatan yang lebih dan berbaloi serta dapat meringan beban. Betul kata sesetengah orang, ‘majlis bukan kewajipan, akad nikah yang merupakan kewajipan’. Walau bagaimanapun tidak bermakna sebuah perkahwinan itu perlu ditangguhkan lantaran tidak cukup bajet untuk berkahwin.
Bagi pasangan Mohd Zizi Azram dan pasangannya Nabila Akma Azman, oleh kerana tidak mampu mengadakan majlis kenduri kahwin, pasangan pengantin baharu ini telah menggantikan kenduri dengan menaiki Bukit Harimau Menangis di Kemasik, Terengganu. Pendakian ke bukit tersebut juga bertujuan untuk merakam gambar perkahwinan.
Idea unik pasangan pengantin baharu ini tidak disangka-sangka menjadi viral. Pasangan Mohd Zizi dan Nabila menjadi popular sekelip mata apabila gambar perkahwinan mereka tular di media sosial.
Kata Mohd Zizi, penangan gambar perkahwinan mereka yang tular menjadikan permulaan fasa alam rumah tangga mereka berdua yang berusia 21 tahun sangat manis. Momen indah itu akan terus kekal dalam ingatan hingga akhir hayat.
“Saya tak ada bajet untuk buat kenduri dan memang niat nak kahwin ringkas sahaja. Namun pada masa yang sama saya nak gambar perkahwinan yang ‘rare’ atau lain dari yang lain.
“Sebab itulah saya dan isteri nekad panjat Bukit Harimau Menangis dengan pakai busana pengantin dan hasilnya sangat menakjubkan bagi kami,”kata Mohd Zizi.
Mohd Zizi yang juga mekanik diijabkabulkan dengan pasangannya di Masjid Bukit Kuburan pada 25 Januari lalu sebelum keesokan mereka berdua melakukan pendakian di bukit itu. Ketika pendakian, pasangan dua sejoli ini ditemani ahli keluarga, kawan-kawan dan ahli Badan Amal Trbiah Sejagat (Batas) Kemaman kerana Mohd Zizi adalah ahli badan tersebut.
Menurut Zizi, mereka mengambil masa selama 45 minit untuk tiba di atas ‘check point’ ketiga Bukit Harimau Menangis tersebut yang berketinggian 202 meter.
“Kami rakam lebih 100 keping gambar macam-macam gaya dan ahli keluarga yang tolong ambil gambar kami menggunakan kamera telefon bimbit. Tak sangka, gambar itulah yang tular di media sosial walaupun hanya menggunakan telefon bimbit. kami tiada bajet untuk mengupah khidmat juru gambar serendah RM400.
Kata Mohd Zizi lagi, untuk majlis perkahwinannya, dia hanya mengeluarkan belanja sebanyak RM3000 untuk majlis akad nikah.
Sementara itu, Nabila Akma yang juga merupakan juru wang di sebuah pasar raya di Kemasik berkata, untuk sesi fotografi di atas bukit itu, dia dan suaminya hanya mengeluarkan belanja sebanyak RM350 untuk bayaran sewa busana pengantin.
“Solekan saya percuma sebab adik ipar yang solekkan. Memang kami dapat jimat banyak duit bila ahli keluarga banyak bantu kami ketika ambil gambar. Paling kami puas hati bila gambar kami tular. Secara tidak langsung, ramai orang sudah tahu adanya bukit ini sebab bukit ini baharu dibuka untuk ‘hiking’ awal tahun ini,” katanya.
Sebenarnya tidak salah pun kalau buat majlis perkahwinan yang ringkas-ringkas sahaja. Yang paling penting kita buat perkara yang wajib dahulu. Tidak berdosa pun kita buat majlis yang serba ringkas. Matlamat utama ialah kehidupan untuk memulakan hidup sebagai suami isteri.
Sumber kredit: Sinar Harian, FB: Mohd Abdul Hadi