Hari ini ada ramai ibu bapa yang tidak “menegur”anak tentang kewajipan solat. Alasannya anak dah besar dan tahu tentang kewajipan solat. Tapi bagaimana jika ibu ayah yang tidak solat dan sangat jarang melakukan ibadah ini?
Adakah boleh anak-anak menegur mak ayah yang tak solat dan apakah keadah terbaik menegur tanpa melukakan hati mereka. Berikut adalah perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan dalam Al-Kafi #1150 mengenai persoalan ini.
Anak wajib berbuat baik kepada ibu bapa
Secara umumnya, menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik terhadap kedua ibu bapa mereka. Terdapat banyak nas yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibu bapa serta hak-hak mereka yang perlu ditunaikan, antaranya ialah:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا Maksudnya:“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya sahaja, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai ke usia tua, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “ah”, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi berkatalah dengan mereka menggunakan perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah al-Isra’: 23)
Imam Ibn Kathir berkata: “Ketika mana Allah SWT melarang untuk berkata-kata dengan perkataan yang buruk terhadap kedua ibu bapa, Dia juga telah memerintahkan untuk berbuat baik dan menggunakan perkataan yang baik terhadap mereka iaitu: dengan cara yang lembut, baik, penuh beradab, memuliakan dan menghormati mereka. Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (5/64)
Dalam Islam, anak-anak diperintahkan untuk tetap bergaul dengan cara yang baik terhadap kedua ibu bapa mereka walaupun mereka tidak beriman dan menyeru kepada kekufuran. Ini sebagaimana firman Allah SWT:
Ads
وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا Maksudnya:“Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukanKu atas sesuatu yang engkau tidak mengetahuinya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik.” (Surah Luqman: 15)
Imam Ibn Kathir berkata: “Jika kedua orang tuamu memaksa kepada agama mereka, maka janganlah kamu mengikutnya dan dalam pada masa yang sama ia tidaklah menjadi penghalang bagimu untuk berbakti kepada keduanya di dunia dengan cara yang baik. Ambillah iktibar daripada kisah Sa’ad bin Abi Waqqas yang berbakti kepada ibunya dan bagaimana cara penyelesaian yang dilakukan oleh Sa’ad yang penuh berhikmah sehingga akhirnya ia telah menyebabkan ibunya dapat menerimanya.” Lihat Tafsiral-Qur’an al-‘Azim (6/402).
Allah SWT telah berfirman: وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا Maksudnya:“Dan perintahkanlah ahli keluargamu mengerjakan solat dan hendaklah bersabar dalam menunaikannya”. (Surah Taha: 132)
Ads
Dalam ayat di atas, Allah SWT telah memerintahkan Nabi SAW untuk menyuruh ahli keluarga Baginda menunaikan solat, menunjukkan contoh (mengerjakan solat) kepada mereka dan bersabar dalam menunaikannya. Ayat ini diturunkan kepada Baginda dan secara umumnya, ia juga ditujukan kepada seluruh umatnya serta ahli keluarga Baginda secara khusus. Selepas turunnya ayat ini, Nabi SAW akan pergi ke rumah Fatimah RA dan Ali RA pada setiap pagi dan berkata: “Solatlah”.
Berdasarkan tafsiran para ulama’, perintah dalam ayat yang ke-132, surah Taha adalah merujuk kepada seluruh ahli keluarga termasuklah isteri, anak-anak, ayah, ibu, adik-beradik dan selain daripada mereka di kalangan ahli keluarga.
Meninggalkan solat fardhu secara sengaja termasuk daripada salah satu dosa besar dan perkara kemungkaran yang perlu ditegah mengikut kemampuan masing-masing sebagaimana sabda Nabi SAW:
Ads
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: “مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ”
Maksudnya: Daripada Abu Said al-Khudri RA: Aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: “Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka ubahlah ia dengan tangannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu, ubahlah dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman” Riwayat Muslim (49)
Kesimpulan Sekiranya ibu bapa tidak bersolat wajib kepada anak-anak untuk menasihati ibu bapa yang meninggalkan solat fardhu dengan cara yang baik mengikut kemampuan masing-masing berdasarkan dalil-dalil yang telah kami kemukakan di atas. Dalam pada itu lakukan juga usaha-usaha berikut;
Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar kedua ibu bapa diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk melaksanakan solat fardhu dan istiqamah menjaganya.
Memberikan penerangan tanpa jemu kepada kedua ibu bapa mengenai kepentingan solat dalam Islam, keutamaan serta kelebihannya dengan cara yang baik.
Berterusan tanpa putus asa memberikan peringatan kepada kedua ibu bapa mengenai kesan dan akibat daripada meninggalkan solat dengan cara yang baik.
Menunjukkan contoh tauladan yang baik dalam perlaksanaan solat seperti solat berjemaah di rumah, solat di awal waktu, dan solat dengan cara yang paling sempurna.
Meminta bantuan daripada individu-individu yang dihormati dan disegani oleh kedua ibu bapa seperti pakcik dan makcik yang lebih tua daripada ibu bapa untuk menasihati mereka.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Pasti ada mak ayah yang pernah bermain mesin claw. Ia meletakkan anak patung sebagai tarikan buat anak-anak di mana kita perlu memasukkan duit dan kemudian mencangkuk besi untuk mencengkam anak patung tersebut. Hasilnya, ada dapat dan tidak. Di sebalik rasa suka-suka tentang permainan mesin claw itu, ada sesuatu perlu difahami dari sudut hukumnya. Ini penjelasan mengenai hukum bermain mesin claw.
Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Saya melihat terdapat banyak mesin-mesin claw yang diusahakan di dalam pasaraya secara berleluasa. Persoalan saya ialah, apakah hukum bermain dengan mesin Claw? Mohon penjelasan. Terima kasih.
JAWAPAN:-
Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.
Setiap muslim yang mengaku beriman serta berpegang dengan syariat Islam wajib mengawasi serta memastikan setiap perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian mereka adalah selari dengan tuntutan syariat Islam. Ianya merangkumi setiap setiap amalan zahir dan juga batin. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man Bin Bashir R.A, Nabi SAW bersabda:-
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal dan haram itu jelas, manakala antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang syubhah, yang tidak jelas hukumnya”. Sunan Abi Daud (3329)
Mesin claw adalah sejenis permainan arked yang menggunakan cakar besi dalam memperolehi barangan-barangan yang dipertaruhkan di dalam mesin tersebut.[1] Secara khususnya, praktikal dalam permainan ini mempunyai unsur perjudian yang diharamkan oleh syariat agama Islam. Firman Allah SWT:-
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)
Syeikh al-Maraghi menyebut, amalan judi adalah antara punca timbul permusuhan dan kebencian dalam kalangan orang yang berjudi. Kebiasaannya, mereka memusuhi orang yang menang dan bergembira di atas kedukaan orang lain. Perbuatan ini akan menjurus kepada pelanggaran hak kedua-dua orang tua, isteri dan anak-anak. Pada akhirnya, mereka akan menjadi bahan cemuhan dan kebencian. Memang judi boleh menjadikan orang yang memerlukan menjadi kaya. Akan tetapi, amalan ini juga boleh memeras orang yang berharta kerana orang yang kalah buat kali pertama kali akan berasa tercabar untuk melakukannya buat kali kedua dengan harapan akan menang pada kesempatan-kesempatan yang lain. Kadang-kadang, kemenangan itu tidak pernah diperolehi hingga hartanya habis sama sekali. Pada saat itu, dia akan menjadi orang yang fakir lagi miskin, kemudian menjadi musuh ketat kepada mereka yang mengalahkannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/1691)
Setiap permainan yang berdasarkan nasib dan yang membantutkan akal fikiran seperti permainan dadu, daun terup (ynag mempunyai unsur pertaruhan) dan sebagainya adalah haram. Ini kerana permainan ini membiasakan diri untuk bergantung kepada nasib dalam setiap perkara yang dilakukan. Ini menjadikan mereka menyangka bahawa nasib adalah penentu segala-galanya dalam dunia ini. Permainan jenis ini sebenarnya memberi banyak kesan negatif kepada diri manusia. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/146) Menjawab kepada isu ini, konsep yang diketengahkan dalam permainan mesin claw ini adalah menafikan hak pembeli dalam memilih barangan yang dikehendakinya dan disukainya dengan harga yang setimpal dengan apa yang telah dibayar. Justeru, situasi ini adalah melanggar prinsip-prinsip jual-beli yang sepatutnya ada seperti khiar (pilihan). Dalam mengklasifikasikan sesuatu permainan sebagai judi, para ulama telah mensyaratkan ciri-ciri berikut:
Ia disertai oleh dua orang atau lebih atau dua kumpulan manusia atau lebih.
Setiap pihak mempertaruhkan sesuatu harta atau manfaat.
Mana-mana pihak yang menang akan memperolehi harta atau manfaat dari pihak yang kalah di samping menyimpan harta dan mafaat yang ia pertaruhkan. (Lihat Halal Dan Haram Dalam Islam, hlm. 427)
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, kami cenderung mengatakan bahawa hukum permainan mesin claw ini adalah haram dan dilarang. Ini kerana, permainan tersebut secara langsung dilihat sebagai menafikan serta mengabaikan hak pemain selaku pembeli untuk memilih barangan yang dikehendakinya setimpal dengan harga yang dibayar. Di samping itu, permainan seperti ini adalah lebih kepada keberuntungan nasib pemain dimana permainan seperti ini tidak dibenarkan di dalam Islam. Semoga penjelasan yang diberikan ini membuka minda dan menjarakkan diri kita semua dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat Islam. Amin.
Penampilan golongan transgender yang jauh berani daripada wanita sejati sering kali menarik perhatian. Dengan pakaian seksi, mendedahkan bahagian tubuh mereka yang nampak seperti wanita sudah tentu mengundang lirikan mata baik kaum lelaki mahupun wanita.
Timbul persoalan apakah hukumnya memandang golongan ini yang berpakaian ‘menjolok mata’? Ikuti penjelasan Ustaz Syed Shahridzan Ben Agil dalam satu perkongsiannya di laman sosial Facebook
Lihat boleh tapi tak perlu lah lama-lama
Terdapat istilah bahasa Arab yang dikenali sebagai “Amrad” atau disebut “Syab Amrad”. Apakah maksud istilah ini?
Menurut kitab “al-Qamus al-Muhit” maksud “Amrad” ialah lelaki yang tiada misai dan janggut.
Manakala menurut perbahasan fuqaha’, “Amrad” bermakna lelaki yang tiada janggut. Amrad juga termasuk lelaki tanpa misai dan janggut yang mana wajahnya cantik seperti wanita.
Jadi golongan amrad dalam istilah Alam Melayu amat sesuai dikaitkan golongan transjantina.
Apakah hukum melihat wajah dan aurat golongan transjantina? Menurut Mazhab Syafi’ie seperti yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam karangan beliau “Raudah al-Tolibin”
“Lelaki melihat lelaki hukumnya harus pada keseluruhan badan kecuali di antara pusat dan lutut. Tetapi haram melihat lelaki amrad dan selainnya dengan terbitnya rasa ‘teringin’”
Menurut penjelasan Imam Nawawi bahawa haram melihat golongan amrad samaada muka dan juga tubuh mereka dengan ada rasa seronok. Bahkan pengharaman ini tiada khilaf dalam kalangan ulama dari mana-mana mazhab sekali pun.
Perkara ini dinyatakan di dalam “Mausuah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah”: “Para ulama fiqh bersepakat ke atas pengharaman melihat wajah amrad dengan rasa ‘syok’”
Dalam rujukan yang sama dijelaskan juga: Para ulama fiqh bersepakat tentang pengharaman melihat pada amrad dengan tujuan berlazatan dan menikmati keindahannya.
Tiada beza antara amrad yang comel atau tidak. Bahkan telah dinyatakan oleh ulama Mazhab Hanafi dan Syafi’ie bahawa melihat golongan amrad dengan rasa ‘teringin’ lebih besar dosanya daripada melihat wanita kerana ia (amrad) tidak halal sama sekali (untuk golongan lelaki berbanding perempuan)
Kesimpulannya, haram lelaki melihat wajah dan tubuh badan golongan transjantina penuh keteringinan sama ada berwajah cantik atau tidak, apatah lagi wajah dan anggota badan yang mirip dengan wanita.
Bayangkan melihat wajah golongan amrad hukumnya haram apatah lagi melihat tubuh badan atau aurat mereka yang juga mirip kepada bentuk badan wanita.
Bahkan di sisi Syafi’iyyah lebih haram dan besar dosanya melihat golongan ini berbanding wanita kerana amrad sama sekali tidak boleh dinikahi oleh golongan lelaki
Dalam mengagihkan daging korban di komuniti setempat boleh jadi juga ada kalangan bukan Islam yang menerima sama ada secara sengaja atau tidak.
Dalam hal ini apakah hukumnya? Adakah daging korban ini boleh diberi kepada bukan Islam. Ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur daging korban tidak boleh diberi kepada bukan Islam kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Namun begitu di dalam isu ini ia juga hendaklah dilihat dari sudut maslahah dan juga siyasah syar’iyyah supaya ia lebih harmoni dalam masyarakat.
Sekiranya di dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka.
Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan.
Ini kerana terdapat dalil dari Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah SWT telah berfirman:
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. (Surah Al-Mumtahanah: 8)
Memberikan daging korban kepada orang bukan Islam juga adalah termasuk di dalam berbuat baik yang dibenarkan oleh Allah SWT.
Selain itu, terdapat juga hadith yang mengisyaratkan agar berbuat baik kepada jiran meskipun mereka bukan dari kalangan orang Islam.
Daripada Abdullah bin ‘Amr al-‘As R.Anhuma yang mana telah menyembelih seekor kambing buat ahli keluarganya lalu beliau berkata: Adakah kamu telah menghadiahkan (daging tersebut) kepada jiran kita Yahudi? (beliau menanyakannya sebanyak dua kali) kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksudnya: “Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran (dengan baik dan sopan) sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris.” Riwayat Abu Daud (5152) & Al-Tirmizi (1943)
Syawal berbaki lebih kurang dua minggu lagi dan masih ada peluang untuk kita melaksanakan puasa enam yang ganjarannya cukup besar.Disebutkan dalam hadis Nabi Muhammad...