
Buat pasangan yang berkahwin, masing-masing akan memanggil pasangan dengan gelaran yang mereka sukai. Namun ada pasangan yang gemar memanggil pasangan masing-masing dengan panggilan mama, baba, abah dan ibu.
Persoalannya bolehkah panggilan itu digunakan untuk pasangan masing-masing. Ini penjelasannya.
SOALAN:
Saya baru melangsungkan perkahwinan sebulan yang lalu, di sini saya ingin bertanya adakah benar haram hukumnya jika suami isteri memanggil pasangan masing-masing dengan gelaran mama dan baba. Jika benar haram hukumnya, bagaimanakah caranya untuk bertaubat bagi membetulkan kembali kesalahan ini.
JAWAPAN:
Tidak berdosa memanggil pasangan masing-masing dengan gelaran mama dan baba. Ini adalah kerana Islam tidak meletakkan satu panggilan khusus bagi pasangan suami dan isteri ketika berinteraksi antara satu sama lain.
Walau bagaimanapun Islam menggalakkan suami isteri memanggil dengan panggilan yang paling disukai oleh pasangan masing-masing. Dengan cara yang demikian, hubungan antara suami isteri akan menjadi mesra dan kehidupan akan bertambah harmonis.
Sumber: Jabatan Mufti Negeri Selangor
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Haram Hukum Warnakan Rambut & Kuku. Tapi Bagaimana Nak Uruskan Jenazah Bila Meninggal Dunia, Ini Penjelasan Ustaz!

Sudah menjadi trend hari ini kita melihat anak-anak muda atau yang digelar Budak-Budak Baru Nak UP (BBNU) tidak malu mewarnakan rambut dan juga kuku.
Perbuatan ini kerana mahu tampil cantik dan berbeza dari orang lain. Ada yang mewarnakan rambut dengan warna putih, hijau, merah ataupun kuning keemasan.
Bukan sahaja rambut, malah bahagian kuku juga turut diwarnakan. Tidakkah mereka ini terfikir bagaimana jika tiba-tiba meninggal dunia sedangkan rambut dan kuku masih lagi diwarnakan.
Apakah hukumnya dan bagaimana menguruskan jenazah mereka yang tidak sempat menukar kembali angota badan kepada keadaan asal.
Dalam persoalan ini, apabila ditanya kepada Pendakwah Bebas, Ustaz Riza Kamaruddin menjelaskan hukum asas mewarnakan rambut atau kuku itu adalah haram bagi lelaki dan perempuan.
Dan jika mereka ini ditakdirkan meninggal dunia dalam kedaaan belum sempat menukar kepada keadaan asal, jenazahnya tetap diuruskan seperti jenazah Muslim lain.
“Warna yang lekat pada rambut ataupun kuku jenazah akan tetap dibiarkan begitu sahaja. Tidak boleh dipotong, dibuang atau digunting pada mana-mana anggota badan mayat.
“Jadi saya mahu ingatkan kepada generasi muda hari ini terutama kaum Muslimin yang sering mewarnakan rambut itu sentiasalah mengingati mati.
“Persembahan yang kalian akan bawa bertemu dengan Allah itu merupakan suatu bentuk larangan dan tegahan dari Allah SWT yang kamu akan bawa sampai mati depan Allah nanti.
“Alangkah azabnya bila kita mati dalam keadaan begitu rupa. Jadi kepada yang mewarnakan rambut atau kuku itu hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” ujar Ustaz Riza.

Menurutnya bersihkan semula kuku dan hilangkan warna pada rambut berkenaan. Namun begitu lain pula hukumnya bagi wanita yang sudah berkahwin.
“Untuk wanita bujang memang tidak ada alasan untuk mewarnakan rambut. Hukumnya tetap haram. Tapi bagi wanita yang sudah berkahwin berbuat begitu dengan niat berhias untuk menarik perhatian suami, hukumnya adalah diharuskan.
“Dan bagi kaum lelaki pula, jika mahu mewarnakan rambut hanya dibenarkan guna warna merah seperti inai dan hanya untuk mereka yang ada uban sahaja,” tambahnya lagi.
Wallahualam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Nak Tinggal Bersama Mertua Atau Berasingan Lepas Kahwin

Apabila telah berkahwin, seeloknya tinggallah berasingan. Perkahwinan sebenarnya mengajar kita untuk hidup berdikari. Namun akan berlaku konflik apabila suami belum mampu lagi untuk menyediakan tempat tinggal buat si isteri.
SOALAN:
Saya sudah dua tahun lebih berkahwin namun suami masih gagal menyediakan tempat tinggal. Kami tinggal di rumah ibu mertua (ibu tunggal), bersama adik ipar perempuan dan suaminya. Saya sentiasa kena menutup aurat kecuali dalam bilik saya. Isunya kami cuba mencari rumah sewa tapi tak dapat. Apakah boleh kami keluar rumah untuk tinggal berasingan dari ibu?
JAWAPAN:
Apabila pasangan sudah berkahwin dan mempunyai kemampuan untuk hidup bersama selain daripada ibubapa dan keluarga, maka inilah yang terbaiknya. Ini kerana dengan hanya berpasangan, hak privasi dan membina kehidupan dengan lebih selesa akan terwujud. Tambahan pula, tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Antara makna kemampuan itu adalah mampu menyediakan tempat tinggal khusus bagi isteri seperti mana yang difirmankan oleh Allah SWT:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ
Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). (Surah al-Talaq: 6)
Pepatah Melayu menyebut: “Biar banyak rumah daripada banyak orang dalam rumah,” dengan maksud dengan ramainya anggota dalam sebuah rumah, maka ragam dan juga perangai akan berbeza yang boleh membawa kepada pertelingkahan jika tidak ditangani dengan sebaiknya.
Oleh kerana ibu sudah ada anaknya yang menjaganya, maka tidak lagi menjadi masalah untuk anak yang lain keluar daripada rumah tersebut. Yang penting, sentiasa memberi perhatian dan kecaknaan sama ada dari segi nafkah atau kasih sayang melalui ziarah serta hadiah dan juga nafkah. Bahkan dengan cara ini, perasaan kasih sayang dan penghormatan akan jadi lebih tinggi berbanding tinggal sebumbung di rumah.
Suami sewajarnya memahami hak isteri untuk ditempatkan, yang munasabah dengan status keisterian agar peranan masing-masing dapat dijelmakan dengan lebih baik dan jelas. Ini akan menatijahkan bahtera rumahtangga lebih bahagia.
Layanilah isteri dengan seterbaik mungkin. Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” (Surah al-Nisa’: 19)
Syeikh a-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga.
Kepada isteri hendaklah patuh dan berkhidmatlah kepada suami dengan seterbaik mungkin kerana dengan sifat isteri solehah dan pelaksanaan ibadat kepada Allah akan menatijahkan syurga buat isteri. Benarlah hadis daripada Abdul Rahman bin ‘Auf, Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا، قِيلَ لَهَا: ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ
Maksudnya: “Jika seorang wanita solat lima waktu, puasa Ramadhan, menjaga kemaluannya dan mentaati suaminya maka dikatakan kepadanya: “Masuklah syurga dari mana-mana pintu yang kamu mahu.” Riwayat Ahmad (1661), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (4598) dan Ibn Hibban (4237)
Elakkan daripada menjadi nusyuz kerana akibatnya amat buruk. Sebuah hadis Nabi SAW menyebut:
وَالَّذِى نَفْسِى بِيَدِهِ لاَ تُؤَدِّى الْمَرْأَةُ حَقَّ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَلَيْهَا كُلَّهُ حَتَّى تُؤَدِّىَ حَقَّ زَوْجِهَا
Maksudnya: “Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaan-Nya, seorang perempuan yang belum menunaikan hak Tuhannya sehinggalah dia menyempurnakan hak suaminya.” Riwayat Ahmad (4/381) dan Ibn Majah (1853)
Sentiasalah bermesyuarat dan berbincang antara suami isteri dalam membuat sebarang keputusan. Ini akan menatijahkan ketenangan dan rasa puas hati dari kedua belah pihak. Bermesyuaratlah dengan cara yang baik.
Benarlah firman Allah SWT:
وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ
Maksudnya: “Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.” (Surah Ali-Imran: 159)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Berbincang itu mengandungi banyak faedah, antaranya memperlihatkan bahawa adanya kesatuan hati dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Penyatuan hati ini yang akan menolong mencapai sesuatu tujuan.
Akhir kalam, sentiasalah berdoa antara satu sama lain agar rumah tangga harmon. Elakkan daripada memberi tekanan kepada suami sehingga akhirnya niat yang baik boleh membawa akibat yang buruk.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Mengambil Wuduk Dalam Keadaan Tak Berpakaian, Sah Atau Tidak?

SOALAN:
Apakah hukum kita mengambil wuduk dalam keadaan tidak berpakaian?
JAWAPAN:
Suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan.
Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat.
Namun begitu, ia berlainan pada keadaan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awam, maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:
لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ
Maksudnya: Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.
Hadis riwayat Muslim (no. 388)
قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi Allah, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”.
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulamak dari kalangan Hanafi dan Hanbali.
Adapun begitu, dari kalangan Ulamak mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan ditempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)
Namun begitu, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).
Justeru dalam keadaan tidak memakai pakaian ketika wuduk adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.
Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduknya tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.
Bahkan Rasulullah SAW bersabda:
الحَيَاءُ مِن الإِيمَان
Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”
Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)
فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ
Maksudnya: “Allah lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”
Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)
Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI