‘Tak Gosok Badan & Hanya Berendam Dalam Tab Mandi.’ Sah Atau Tidak Mandi Wajib?

Share

‘Tak gosok badan dan hanya berendam dalam tab mandi.’ Sah atau tidak mandi wajib seseorang itu? Iyalah jika ikut hukum air dalam tab mandi mencukupi dan rata ke seluruh badan.

Kadang-kadang bila berpeluang menginap di hotel, kita tak akan lepaskan peluang untuk mandi di dalam tab mandi. Maklumlah tak semua rumah ada tab mandi. Namun begitu apa hukumnya mandi wajib atau mandi junub dalam tab mandi. Sah atau tidak.

Ikuti kemusykilan yang dikongsikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.

Artikel Berkaitan

“15 Tahun Mandi Wajib Tak Sempurna.” Diri Dalam Hadas Besar, Buat Ibadah Jadi Tak Sah

Tak Gosok Badan

Soalan
Adakah boleh mandi junub dengan sekadar berendam di dalam tab mandi?

Ringkasan Jawapan

Mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.

Hanya Berendam

Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Perkara yang menyebabkan seseorang itu wajib mandi ialah keluar air mani, haid, nifas dan wiladah. Para ulama telah menjelaskan bahawa fardu bagi mandi wajib ada dua perkara sahaja iaitu niat mandi wajib dan meratakan air ke seluruh badan. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:

وَأَقَلُّهُ نِيَّةُ رَفْعِ جَنَابَةٍ أَوْ اسْتِبَاحَةِ مَفْتَقِرٍ إَلَيْهِ أَوْ أَدَاءِ فَرْضِ الْغَسْلِ مَقْرُونَةً بِأَوَّلِ فَرْضٍ وَتَعْمِيمُ شَعْرِهِ وَبَشَرِهِ.

Maksudnya:
Sekurang-kurang untuk (mandi wajib) ialah niat mengangkat hadas atau bagi memboleh ibadah yang memerlukan kepadanya atau bagi melaksanakan fardu mandi wajib yang dilakukan bersamaan dengan basuhan pertama anggota yang wajib dan meratakan air ke seluruh bulu dan badan.
[Rujuk Minhaj al-Tolibin: 1/14]

Dalam Tab Mandi

Ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.Anha, yang merujuk kepada meratakan air ke seluruh badan, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الجَنَابَةِ، بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ، ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلاَةِ، ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي المَاءِ، فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ، ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلاَثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ، ثُمَّ يُفِيضُ المَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apabila Nabi SAW mandi junub, Baginda akan memulakannya dengan mencuci kedua-dua tangannya. Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.

Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jari ke dalam air lalu meratakannya ke kulit rambutnya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepala dengan kedua-dua tangannya sebanyak tiga kali, seterusnya Baginda mengalirkan air ke seluruh kulit tubuhnya.
Riwayat Bukhari

Sah Atau Tidak

Berdasarkan penjelasan di atas mandi junub dengan cara berendam di dalam tab mandi, jika telah cukup dua rukun di atas iaitu niat dan meratai air ke seluruh badan maka ia adalah sah. Imam al-Ramli menjelaskan bahawa:

فَلَوْ انْغَمَسَ جُنُبٌ أَوْ مُحْدِثٌ فِي مَاءٍ قَلِيلٍ ثُمَّ نَوَى ارْتَفَعَ حَدَثُهُ عَنْ جَمِيعِ أَعْضَائِهِ فِي الْأُولَى، وَفِي الثَّانِيَةِ عَنْ أَعْضَاءِ وُضُوئِهِ، وَصَارَ الْمَاءُ مُسْتَعْمَلًا بِالنِّسْبَةِ إلَى غَيْرِهِ لَا إلَيْهِ

Maksudnya: Jika ada seseorang yang junub dan orang yang berhadas kecil menyelam ke dalam air yang sedikit (kurang daripada 2 kolah), kemudian berniat, maka hilang hadas dari keseluruhan anggota badan dalam permasalahan pertama (bagi orang yang junub, dan hadas hilang daripada anggota wuduk dalam permasalahan yang kedua (bagi orang berhadas).

Sementara itu, air tersebut menjadi mustakmal jika digunakan lagi oleh orang lain, bukan pada diri sendiri.
[Rujuk Nihayah al-Muhtaj: 1/73]

Mandi Wajib?

Seterusnya, Imam Ba ‘alawi menjelaskan bahawa jika terdapat seseorang yang junub menyelam ke dalam air yang banyak atau sedikit dan berniat, maka sah dan memadai meskipun tidak disertai dengan gosokan pada badannya.

Walau bagaimanapun, jika terdapat lilin, kotoran atau minyak pada anggota tubuh badannya sehingga menghalang air untuk sampai ke tubuhnya melainkan dengan cara menggosok, maka wajib menggosok sebagaimana dijelaskan di dalam bab wuduk.
[Rujuk Bughyah al-Mustarsyidin: 44]

Kesimpulan

Justeru, mandi junub atau mandi wajib yang dilakukan dengan berendam di dalam tab mandi adalah sah dan memadai sekalipun tidak menggosok tubuh badan apabila tidak terdapat sebarang kotoran yang menghalang laluan air untuk sampai ke tubuh badan.

Akan tetapi, jika terdapat kotoran tersebut, maka wajib menggosok dan menghilangkan kotoran tersebut seperti perbahasan di dalam bab wuduk.

Baca Di Sini

Apa Hukum Jirus Kaki Saja Tanpa Gosok Tapak Kaki Ketika Wuduk? Mufti WP Beri Penjelasan

Cara Mandi Wajib Setelah Haid, Apa Perkara Wajib & Sunat

Kashoorga : Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat kita semua dan merungkaikan kemusykilan yang membelenggu diri selama ini.

Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Dosa Bulanan Wanita, Sengaja Tangguh Mandi Wajib!

Published by
Syazwani Mehat