Kehadiran zuriat memang sangat didambakan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
Ada yang dikurniakan anak sebaik berkahwin dan ada juga yang diberikan rezeki oleh Allah setelah bertahun-tahun menanti.
Begitu jugalah perkongsian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah yang diuji oleh Tuhan ketika dalam usaha untuk mendapatkan cahayamata.
Tunku Azizah yang pernah mengalami keguguran sebanyak enam kali dan turut menjalani 16 kali rawatan kesuburan dalam usaha mendapatkan waris takhta negeri Pahang.
Baginda yang juga pengasas dan presiden seumur hidup TAFF mengakui bersyukur kerana tidak putus harapan selain tidak henti berdoa supaya dikurniakan zuriat yang ditunggu-tunggu.
Titah Baginda, tidak semua wanita bertuah dan ada yang diuji Allah SWT.
“Enam keguguran yang saya alami tapi kalau sudah rezeki, Allah tetap akan beri,” katanya sempena sambutan Hari Keluarga Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) 2019 di Seri Kembangan.
Dalam titahnya juga Baginda memahami bagaimana perasaan dirasai seorang ibu yang berusaha keras serta sanggup berkorban demi mendapatkan zuriat.
Dengan nada sebak, Tunku Azizah berkata, rawatan mendapatkan anak bukanlah murah dan Baginda bersyukur kerana Sultan Abdullah sentiasa ada bersamanya selain menanggung segala perbelanjaan rawatan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF).
“Hanya Tuanku yang tahu berapa kali saya menangis dan saya bersyukur kerana Tuanku sentiasa ada bersama ketika menjalani rawatan di beberapa negara.
“Tuanku, terima kasih banyak-banyak atas semua sokongan selama ini,” titah Baginda lagi di majlis berkenaan.
Dalam pada itu, Baginda juga turut mendoakan TAFF supaya dapat terus menolong lebih banyak mereka yang senasib.
SUMBER: HARIAN METRO