Tak Jadi Puasa Nazar Sebab Datang Haid, Adakah Wajib Qada?

Share

Tak jadi puasa nazar sebab datang haid, adakah wajib qada? Ada di antara kita memasang niat untuk berpuasa nazar apabila doa dan permintaan mereka dimakbulkan Allah.

Sesetengah orang mungkin bernazar secara umum dan ada pula bernazar secara spesifik pada sekian hari dan tarikh. Jadi apabila dia bernazar untuk berpuasa tetapi datang haid adakah seseorang itu perlu mengqada puasanya?

Ikuti penjelasan panjang lebar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan isu ini.

Artikel Berkaitan:

Saya Memang Bernazar.’ Mona Allen Berhijab Selepas Dikurniakan Anak Pertama

Tak Jadi Puasa Nazar

Definisi nazar menurut fiqh adalah keterikatan atau kewajipan yang ditetapkan seorang muslim mukalaf yang rasyid (bijak melaksanakan) untuk melakukan ibadat yang mendekatkan diri dengan Allah SWT, selagi mana ibadat tersebut bukan fardu ain dan termasuk dalam kategori ibadat sunat atau fardu kifayah.

Sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya:
“Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan mentaati Allah SWT, hendaklah dia taat kepada-Nya. Sesiapa yang bernazar bahawa dia akan melakukan maksiat kepada-Nya, janganlah dia menderhakai-Nya.- (Riwayat al-Bukhari)

Sebab Datang Haid

Merujuk kepada persoalan di atas, seorang wanita telah niat untuk berpuasa nazar pada hari yang ditentukan namun apabila tiba pada hari berkenaan dia telah didatangi haid.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sekiranya seseorang telah bernazar untuk berpuasa, maka dia disunatkan bersegera untuk melakukan nazarnya.

Akan tetapi, perbuatan menyegerakan puasa tersebut tidaklah diwajibkan bahkan dia bebas untuk memilih mana-mana hari yang diinginkan kecuali ketika bulan Ramadan.

Jika seseorang itu telah bernazar untuk berpuasa pada hari-hari tertentu namun tidak dinyatakan secara tepat, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari seperti yang dinazarkan.

Contohnya, sekiranya seseorang bernazar untuk berpuasa pada hari khamis namun tidak dinyatakan dengan terperinci sama ada pada hari khamis minggu ini atau minggu hadapan, maka dia boleh memilih untuk berpuasa pada mana-mana hari khamis yang diinginkan.

Malahan jika telah berlalu hari khamis pada minggu ini dan dia masih belum menunaikan nazarnya, tuntutan kewajipan puasa itu masih kekal dalam tanggungannya sehinggalah dia meninggal dunia.

Adakah Wajib Qada?

Berbeza pula keadaannya apabila puasa nazar itu telah ditentukan harinya secara tepat. Menurut jumhur ulama, tidak sah puasanya sebelum sampai pada hari yang dinazarkan seperti mana tidak sah solat sebelum masuk waktunya.

Begitu juga diharamkan jika dia sengaja melewatkan puasanya tanpa sebarang keuzuran syar’ie seperti musafir atau sakit. Puasanya setelah daripada waktu yang ditentukan adalah sah dan dianggap sebagai puasa qadha.

Kesimpulan

Wanita yang bernazar untuk melakukan puasa pada hari tertentu perlu merujuk kembali pada niatnya. Jika dia bernazar puasa pada hari tertentu tanpa memperincikan tarikhnya, maka dia bebas untuk memilih mana-mana hari seperti yang dinazarkan.

Manakala, jika wanita tersebut bernazar puasa dengan menyatakan secara tepat hari dan tarikhnya, maka dia wajib berpuasa pada hari berkenaan tanpa diawal atau dilewatkan.

Akan tetapi, sekiranya dia tidak mampu berpuasa disebabkan kedatangan haid justeru ia dimaafkan dan puasanya wajib diqada selepas ia suci daripada haid.

Baca Di Sini:

Perlu Ke Tunaikan Nazar Begini? Ketua Penolong Mufti Wilayah Ulas Isu Nazar Poligami

Kashoorga : Semoga pencerahan ini membantu kita memahami soal puasa nazar dengan lebih mendalam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.

Published by
Syazwani Mehat