
Isi Kandungan
ToggleMalam-malam terakhir Ramadan ini selain mendirikan solat sunat, zikir munajat kita juga digalakkan untuk banyak membaca al-Quran.
Tapi bagaimana pula bagi mereka yang tidak lancar membaca al-quran dan tidak mampu membaca surah-surah yang panjang?
Dipetik dari Jabatan Agama Islam Perak, bagi mereka yang tidak mampu membaca surah-surah panjang, terdapat surah-surah pendek yang mempunyai kelebihan sangat besar jika dibaca pada malam terakhir Ramadan apatah lagi jika ia bersamaaan malam lailatul qadar.
1. Baca 3 kali surah al-Ikhlas
Baca sebanyak tiga kali kerana satu bacaan surah itu bersamaan membaca satu pertiga al-Quran.
Apabila seseorang membacanya sebanyak tiga kali, pahala yang diperoleh seumpama khatam satu kali al-Quran.
Sabda Nabi Muhammad SAW dari hadis Abu Darda’ RA:
“Adakah kamu tidak mampu membaca dalam satu malam satu pertiga al-Quran? Mereka (para sahabat) berkata: Bagaimana seseorang membaca satu pertiga al-Quran? Sabda Baginda: Qul huwallahu ahad (surah Al Ikhlas) menyamai satu pertiga al-Quran,” Hadis riwayat Muslim.
2. Surah al-Zalzalah ibarat khatam Quran
Baca sebanyak dua kali kerana satu bacaan surah itu bersamaan dengan satu perdua al-Quran dan jika seseorang membaca dua kali, pahala diperoleh ibarat khatam al-Quran. Umat Islam digalakkan menggandakan amalan pada 10 malam terakhir Ramadan.
3. Baca empat kali surah al-Kafirun
Baca sebanyak empat kali kerana satu bacaan surah itu bersamaan satu perempat al-Quran dan jika seseorang membaca empat kali, pahala diperoleh seperti khatam al-Quran.
Berdasarkan hadis diriwayatkan oleh al-Tirmizi:
“Iza zulzilati (surah Zalzalah) menyamai separuh al-Quran, (surah) al-Kafirun menyamai satu perempat al-Quran.”

Walaupun sebahagian ulama menilai hadis ini sebagai lemah tetapi kita tetap diharuskan untuk beramal dengannya.
4. Sekali baca Surah Yasin bersamaan 10 kali khatam Quran
Satu kali bacaan surah Yasin bersamaan dengan 10 kali khatam al-Quran.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan sesungguhnya hati al-Quran adalah surah Yasin. Barangsiapa yang membacanya maka pahalanya seumpama membaca sepuluh kali al-Quran,” Riwayat al-Tirmizi.
Sumber: Mstar
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Amalan Tambah Pahala Di Bulan Syaaban, Ambil Peluang Puasa Hari Putih & Puasa Nabi Daud. Ini Tarikhnya

Isi Kandungan
ToggleBulan Syaaban adalah mukadimah kepada bulan Ramadan. Dalam bulan ini, umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan amal soleh.
Antara keistimewaan Syaaban ialah adanya malam Nisfu Syaaban di pertengahannya. Terdapat banyak hadis tentang keistimewaannya.
Antaranya, daripada Muaz bin Jabal RA daripada Nabi SAW bersabda: “Allah akan memandang kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu Dia mengampunkan dosa semua makhluk-Nya melainkan dosa orang yang musyrik (menyekutukan Allah) dan dosa orang yang saling bermusuhan.” (Riwayat Ibn Hibban, al-Tabarani dalam al-Kabir, Abu Nu’aim dalam al-Hilyah, al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan lain-lain
Menerusi satu perkongsian Ustazah Asma’ Harun ada beberapa amalan yang boleh kita lakukan pada bulan Syaaban ini untuk menambah pahala.
7 Amalan Di Bulan Syaaban
1. Solat awal waktu
Daripada Abdullah Ibnu Mas’ud bertanya kepada Rasulullah SAW:
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ “الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا”. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ “ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ”. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ “الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ”.
Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi menjawab: “Solat pada waktunya.” Dia (perawi) bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?”, jawab Baginda: “Jihad pada jalan Allah SWT.” (HR al-Bukhari, hadis sahih)
2. Banyakkan istigfar
Daripada Syaddad bin Aus r.a., Rasulullah SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah (Tuhan) yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. (HR al-Bukhari, hadis sahih)
3. Banyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا.
Maksudnya: “Sesungguhnya barang siapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (HR Muslim, hadis sahih)
4. Perbanyakkan membaca dan mentadabur (baca terjemahan) Al Quran
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ.
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya). (HR Muslim, hadis sahih)
5. Perbanyakkan berdoa dan bermunajat (merintih) kepada Ilahi
Rasulullah SAW berpesan kepada Ibnu Abbas r.a.:
إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوِ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلاَّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ.
Maksudnya: “Apabila kamu meminta, mintalah pada Allah, dan apabila kamu meminta pertolongan, mintalah dengan Allah. Ketahuilah, jika suatu kumpulan manusia berpakat untuk memberikan kebaikan kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikan apa-apa melainkan apa yang ditulis oleh Allah SWT untukmu. Dan jika mereka berpakat untuk mengenakan keburukan kepadamu, mereka tidak akan mampu menimpakan apa-apa melainkan apa yang telah Allah tuliskan ke atasmu.” (HR Tirmizi, hadis sahih)
6. Puasa sunat Isnin & Khamis
Daripada Saidatina Aisyah r.a. Berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَالخَمِيسِ
Maksudnya: “Adapun Nabi SAW sentiasa berpuasa pada hari Isnin dan Khamis.” (HR al-Tirmizi, hadis hasan)
NIAT PUASA ISNIN KHAMIS
نَوَيْتُ صَوْمَ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ / الْخَمِيسِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari Isnin / Khamis kerana Allah Taala.”
7. Puasa Hari Putih (Ayyamul Bidh)
Puasa hari putih dikenali sebagai puasa ayyamul bidh iaitu puasa pada hari ke-13, 14 dan 15 di pertengahan setiap bulan Islam (Hijriyyah). Pahala sunnah ini seumpama berpuasa sepanjang tahun.
SubhanAllah, sungguh besar gandaan pahala yang Allah kurniakan buat umat Nabi Muhammad SAW.
Berdasarkan hadis, daripada Ibnu Milhan al-Qaisi daripada ayahnya, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ: ثَلاَثَ عَشْرَةَ، وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ، وَخَمْسَ عَشْرَةَ. وَقَالَ: هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah ﷺ memerintahkan kami agar berpuasa pada hari bidh iaitu pada 13, 14 dan 15. Baginda berkata: hari-hari tersebut umpama setahun.” (HR Abu Daud, hadis sahih)
NIAT PUASA HARI PUTIH (AYYAMUL BIDH)
نَوَيْتُ صَوْمَ اَيَّامَ الْبَيْضِ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat hari putih kerana Allah Taala.”
8. Puasa Nabi Daud A.S
Kaedah puasa Nabi Daud a.s. dilakukan secara selang-seli iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa. Ia merupakan puasa yang terbaik dan dicintai Allah SWT.
Abdullah bin Amar r.a. berkata, Rasulullah SAW berkata kepadaku:
أَحَبُّ الصِّيَامِ إِلَى اللهِ صِيَامُ دَاوُدَ كَانَ يَصُومُ يَوْمًا وَيُفْطِرُ يَوْمًا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى اللهِ صَلَاةُ دَاوُدَ كَانَ يَنَامُ نِصْفَ اللَّيْلِ وَيَقُومُ ثُلُثَهُ وَيَنَامُ سُدُسَهُ

Maksudnya: “Puasa yang paling disukai oleh Allah SWT ialah puasa Nabi Daud. Baginda berpuasa sehari dan tidak berpuasa sehari. Dan solat yang paling disukai oleh Allah SWT ialah solat Nabi Saud. Baginda tidur pada pertengahan malam, ibadah pada satu pertiga malam dan tidur pada satu perenam malam yang berbaki.” (HR Bukhari, hadis sahih)
NIAT PUASA NABI DAUD A.S.
نَوَيْتُ صَوْمَ دَاوُدَ سُنَّةً لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku puasa sunat Daud kerana Allah Taala.”
Sheikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menjelaskan berkenaan puasa Nabi Daud a.s. Bahawa:
“Jika hari yang tidak berpuasa (puasa Nabi Daud a.s.), kemudian jatuhnya pada hari itu, disunnahkan untuk berpuasa seperti hari Arafah dan Asyura, yang utama ialah melakukan juga puasa pada hari tersebut. Ia tidaklah menghalang kelebihan berpuasa cara Nabi Daud a.s.”’
Sehubungan dengan itu, kita boleh menggabungkan puasa-puasa sunat seperti yang dicadangkan berikut:
1. Rabu-14 Februari 2024 bersamaan 4 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
2. Khamis-15 Februari 2024 bersamaan 5 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis)
3. Jumaat-16 Februari 2024 bersamaan 6 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
4. Ahad-18 Februari 2024 bersamaan 8 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
5. Isnin-19 Februari 2024 bersamaan 9 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Isnin)
6. Selasa-20 Februari 2024 bersamaan 10 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
7. Khamis-22 Februari 2024 bersamaan 12 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis & Nabi Daud A.s.)
8. Jumaat-23 Februari 2024 bersamaan 13 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Hari Putih)
9. Sabtu-24 Februari 2024 bersamaan 14 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Hari Putih & Nabi Daud A.s.)
10. Ahad-25 Februari 2024 bersamaan 15 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Hari Putih)
11. Isnin-26 Februari 2024 bersamaan 16 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Isnin & Nabi Daud A.s.)
12. Rabu-28 Februari 2024 bersamaan 18 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
13. Khamis-29 Februari 2024 bersamaan 19 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis)
14. Jumaat-1 Mac 2024 bersamaan 20 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
15. Ahad-3 Mac 2024 bersamaan 22 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
16. Isnin-4 Mac 2024 bersamaan 23 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Isnin)
17. Selasa-5 Mac 2024 bersamaan 24 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
18. Khamis-7 Mac 2024 bersamaan 26 Syaaban 1445H (Puasa Sunat Khamis & Nabi Daud A.s.)
19. Sabtu-9 Mac 2024 bersamaan 27 Syaaban 1445H (Puasa Nabi Daud A.s.)
20. Isnin- 11 Mac 2024 bersamaan 30 Syaaban 1445H (HARAM PUASA HARI SYAK kecuali puasa Qadha/Nazar/Kafarah sahaja)
♦️ Hari Syak bermakna dinamakan sebagai hari yang meragukan kerana jatuh pada hari terakhir bulan Sya’ban atau hari pertama bulan Ramadan). Puasa pada hari syak diharamkan.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ، فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ
Maksudnya: “Berpuasalah kamu apabila melihatnya (anak bulan Ramadhan) dan berbukalah (berhentilah puasa) juga apabila melihatnya (anak bulan Syawal). Sekiranya ia terlindung daripada (penglihatan) kamu, maka sempurnakan jumlah bilangan bulan Syaaban tiga puluh hari.” (HR Bukhari & Muslim, hadis sahih)
Dengan perbanyakkan ibadah sebelum Ramadhan dapat membantu kita agar lebih kuat untuk hadapi Ramadan dengan lebih tenang dan sabar.
Sumber: Asma’ Binti Harun & Tim Penyelidikan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Dikatakan Bala Turun Pada Rabu Terakhir Bulan Safar, Mufti Wilayah Sangkal Dakwaan & Ini Penjelasannya

Hari ini tanggal 23 Oktober 2019 bersamaan jatuh pada hari Rabu dan Safar di bulan Islam. Ada yang mengatakan bahawa hari Rabu terakhir pada bulan Safar adalah hari diturunkan bala dan ada amalan tertentu untuk menghindarinya.
Persoalan yang dibangkitkan oleh seorang warganet di laman sosial twitter Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dan beliau telah menjawab segala kemusykilan berkenaan.
Apakah benar dakwaan berkenaan dan bagaimana pula dengan amalan yang dilakukan untuk menghindari bala yang datang nanti?
Ini jawapan dari Mufti Wilayah dalam menjelaskan persoalan berkenaan.
Soalan : Adakah amalan mandi safar digalakkan kerana disebut di dalam hadis berkaitan safar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Mandi Safar adalah satu amalan turun menurun masyarakat Melayu di mana diadakan temasya mandi-manda yang ada di adakan pada hari Rabu yang terakhir di dalam bulan Safar dengan tujuan menolak bala. Pada pagi tersebut orang ramai mandi di pantai atau sekurang-kurangnya minum air yang telah direndam kertas safar atau papan kecil yang ditulis kalimat suci. Air ini dikenal sebagai air safar.
Berdasarkan soalan dan penjelasan ringkas mengenai Mandi Safar, kami telah menerima satu pesanan ringkas melalui aplikasi whatsapp yang mengatakan bahawa amalan mandi safar disebut di dalam hadis Nabi SAW. Kami menukilkan semula terjemahan hadis yang dihantar kepada kami.Ianya berbunyi seperti berikut:
“Tidak ada penularan penyakit (dengan sendirinya),tidak ada thiyarah (sempena baik atau buruk),tidak ada kesialan (malang) kerana burung dan tidak ada kesialan (bala bencana) pada bulan safar”(Hadis riwayat Bukhari r.a, Muslim, Abu Daud dan Ahmad r.a).
Individu yang menghantar keratan terjemahan hadis ini kepada kami mendakwa bahawa inilah dalil pengharusan mandi safar yang bertujuan menolak bala dan sial.Benarkah dakwaan ini?
PENJELASAN MENGENAI HADIS
Setelah dicari dan diteliti, lafaz matan yang dimaksudkan ada asal-usulnya. Lafaz tersebut berbunyi daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ طِيرَةَ ولا صَفَرَ وَلاَ هَامَّةَ
Maksudnya:”Tidak ada penyaki yang berjangkit,tidak ada kepercayaan bahawa haiwan memberi manfaat dan mudarat, tidak ada kesialan dalam bulan safar dan tidak ada juga kepercayaan datangnya malapetaka disebabkan burung hantu.”
Riwayat al-Bukhari (5770), Muslim(2220), Abu Daud (3913) di dalam al-Sunan & Ahmad(3031) di dalam Musnad.
Di dalam lafaz yang lain menyebut: Daripada Jabir bin Abdullah r.anhuma bahawa Rasulullah bersabda:
لا عَدْوَى وَلاَ صَفَرَ وَلَا غُوْلَ
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak ada kesialan dalam bulan safar bahkan tidak ada Ghul(Syaitan yang boleh menyerupai dalam pelbagai bentuk untuk menyesatkan manusia).”[1]
Riwayat Muslim (2222),Ibnu Hibban (6128) di dalam Sohihnya,Ahmad (15103) di dalam Musnad
Disebut juga di dalam lafaz yang lain:
لَا عَدْوَى وَلَا صَفَرَ وَلَا هَامَةَ وَلَا نَوْء
Maksudnya:”Tidak ada penyebaran penyakit(secara tabi’i),tidak kesialan dalam bulan safar dan tiada ramalan bintang bulan dengan hujan.”
Riwayat Ahmad (9165) di dalam Musnad,Ibn Hibban (6133) di dalam sohihnya
Hadis ini diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat melalui jalur sanad yang berbeza antaranya:
1. Abu Hurairah
2. Ibnu ‘Abbas
3. Jabir Bin ‘Abdullah
4. Ibnu Mas’ud
Secara ringkasnya, hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sohih mereka.Bahkan ianya juga diriwayatkan juga jaguh-jaguh ahli hadis semisal Imam Ahmad, Abu Daud dan ramai lagi. Di dalam kesemua jalur sanad hadis ini, terkandung perkataan safar. Dengan wujudnya hadis ini di dalam kitab hadis yang muktabar seperti Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim tidak syak lagi bahawa hadis ini adalah hadis yang sahih. Namun yang menjadi permasalahan di sini adalah adakah hadis ini menunjukkan adanya keharusan melakukan amalan mandi safar dengan hanya berdalilkan wujudnya perkataan safar di dalam hadis ini?
MAKSUD SAFAR(صفر)
Menurut Ibnu Manzur (w.711 H) صَفَرَ bermaksud penyakit di dalam perut yang menyebabkan orang yang mengalaminya kuning mukanya. Perkataan ini juga membawa maksud ular yang suka mematuk. Ianya juga membawa maksud lapar.
Rujuk Lisan al-Arabi(8/250)
Safar juga adalah bulan kedua di dalam kalendar Hijrah selepas bulan Muharram.
Secara asasnya,untuk memahami satu perkataan yang terdapat di dalam hadis selain dari merujuk makna dari segi bahasa,perlu juga untuk merujuk pandangan para ulama yang muktabar untuk mendapatkan gambaran yang sebenar tentang apa yang disabdakan oleh Nabi SAW. Di sini kami kumpulkan pandangan dan syarahan para ulama berkenaan hadis ini:
Ibnu Hajar al-Asqalani (w.852 H) menyebut:
“Ia adalah penyakit yang menyakitkan perut.Abu ‘Ubaidah Ma’mar bin al-Muthanna menyebut di dalam kitab Gharib al-Hadith daripada Yunus bin ‘Ubaid Al-Jarami.Beliau bertanya kepada Ru’bah bin al-‘Ajjaj tentang makna safar.Beliau menjawab :”Bangsa Arab Jahiliyyah mempercayai bahawa ia adalah cacing yang berada di dalam perut manusia dan ia lebih merebak dari penyakit kulit.Kerana inilah Nabi menyebut tentang tiadanya safar di mana mereka mempercayai bahawa ia lebih berbahaya dari penyakit kulit.Inilah pandangan yang dipegang oleh Imam al-Bukhari kerana ianya dikaitkan dengan ayat tidak ada penyebaran penyakit.”
Beliau (Ibnu Hajar) menyebut lagi :Apa yang dimaksudkan dengan penafian bahawa tiadanya safar adalah menolak kepercayaan orang arab jahiliyyah yang beranggapan bahawa ianya boleh membunuh jika ia menimpa manusia.Akan tetapi,Syarak menolak kepercayaan ini kerana kematian tidak akan berlaku jika ajal belum tiba.”
Rujuk Fath al-bari Syarh Sahih al-Bukhari(3/285)
Kata Imam al-Nawawi (w.676 H) :
“Sabda Nabi SAW ‘Tidak ada safar’ ada dua tafsiran : Tafsiran yang pertama bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan berperang.Inilah yang dilakukan oleh Bangsa Arab Jahiliyyah.Ini adalah pendapat Malik dan Abu ‘Ubaidah.Tafsiran yang kedua,yang dimaksudkan dengan safar adalah binatang yang wujud di dalam perut iaitu ulat.Arab Jahiliyyah percaya bahawa di dalam perut ada satu binatang yang berlegar ketika lapar.Berkemungkinan ianya boleh membunuh tuan punya perut.Mereka mengatakan bahawa ianya lebih teruk dan berjangkit berbanding penyakit kulit.Inilah tafsiran yang betul.Pandangan ini telah dikemukakan oleh al-Mutarrif,Ibnu Wahbin,Ibnu Habib,Abu ‘Ubaid dan sebahagian besar para ulama.Pandangan ini juga disebutkan oleh Imam Muslim yang dinukilkan daripada Jabir salah seorang perawi hadis ini.”
Rujuk al-Minhaj Syarh Sohih Muslim (13/379)
Imam al-Qurtubi (w.656 H) berkata :
“Safar adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan untuk berperang. Inilah yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar. Inilah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah. Dikatakan bahawa maksud safar adalah ulat yang ada di dalam perut manusia yang berlegar ketika lapar. Arab jahiliyyah melihat bahawa ia lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Mereka mendendangkan syair yang berbunyi[2]:
لا يَتَأَرّى لمِاَ فِي القِدْرِ يَرْقُبهُ # وَلاَ يَعُضُّ على شٌرْسُوفِهِ الصَفَرُ
Maksudnya:”Dia tidak bercanggahan dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya. Tidak pula kerana tulang sum-sumnya digigit oleh ulat.”
Inilah pandangan Mutarrif, Ibnu Wahbin, Ibnu Habib dan inilah juga pandangan yang dipilih oleh Abu‘Ubaidah.”
Rujuk al-Mufhim li ma asykala min talkhis kitabi Muslim (5/622)
Kata Imam Abdul Rauf al-Munawi (w.1031 H) :
“Tidak ada safar bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram berperang dan juga bermaksud penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain mengikut kepercayaan Arab Jahiliyyah. al-Baidhawi berkata: Ia ditafsirkan sebagai satu penafian kepada kepercayaan yang mengatakan bahawa bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya fitnah.”
Rujuk Faid al-Qadir syarh al-Jami’ al-Saghir (6/433)
Kata Imam Badruddin al-‘Aini (w.855 H):
“Bangsa Arab Jahiliyyah mendakwa bahawa di dalam perut ada satu ular yang dipanggil safar. Ianya menyakitkan ketika datangnya lapar dan ia juga boleh menjangkiti orang lain.Islam menolak kepercayaan ini. Ada pandangan yang mengatakan bahawa ia adalah an-nasi’ iaitu menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang dan bulan Muharram sebagai bulan yang dibolehkan untuk berperang. Ianya dilakukan ketika zaman Jahiliyyah. Perbuatan ini telah diharamkan oleh Islam.”
Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari (21/247)
Kata al-Qadhi Iyadh (w.544 H) :
“Ada dua pandangan berkenaan maksud perkataan Safar. Yang pertama adalah menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram untuk berperang. Dan inilah yang yang dilakukan oleh Arab Jahiliyyah.Pandangan ini adalah pandangan Malik dan Abu ‘Ubaidah.Perkataan yang kedua mengatakan bahawa safar adalah penyakit yang boleh berjangkit kepada orang lain.”
Rujuk Kitab al-Mu’lim syarh Sohih Muslim (7/71)
Syaraful haq ‘Azim al-Abbadi (w.1329 H) ketika beliau mensyarahkan hadis ini menyebut:

“Ketika mana Nabi SAW menyebut tidak ada safar ianya bermaksud Nabi SAW menafikan kepercayaan yang mengatakan bahawa adanya penyakit di dalam perut yang boleh menjangkiti orang lain dan adanya ular yang menyakiti manusia ketika mana dia lapar. Arab Jahiliyyah menagatakan bahawa ianya lebih berjangkit berbanding penyakit kulit. Ia juga bermaksud bulan Safar. Di mana Arab Jahiliyyah menyangka akan berlakunya perkara buruk apabila tibanya bulan Safar.”
Rujuk ‘Aun al-Ma’bud syarh Sunan Abi Daud (10/407)
Kata Nuruddin al-Sindi (w.1138):
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan yang diharamkan berperang.Ianya adalah bentuk tegahan terhadap perbuatan tersebut.”
Rujuk Hasyiah al-Sindi ‘ala Sohih al-Bukhari (4/10)
Al-Qastalani(w.923 H) ketika mensyarahkan hadis ini, beliau menyebut:
“Ianya bermaksud menjadikan bulan Safar sebagai bulan haram. Disebutkan di dalam Sunan Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid Bahawa Arab Jahiliyyah menganggap akan berlakunya perkara yang buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menyangka bulan Safar adalah bulan musibah dan bulan berlakunya pelbagai fitnah.”
Rujuk Irsyad al-Sari Syarh Sohih al-Bukhari (8/373)
Ibn Rajab al-Hanbali (w.795 H) berpandangan:
“Ahli ilmu mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan safar adalah bulan Safar kemudian mereka berselisih dalam mentafsirkan maksud hadis tersebut.”
Pertama: Maksud hadis tersebut adalah menafikan apa yang dilakukan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah. Mereka berperang pada bulan Muharram dan berhenti pada bulan Safar.Ini adalah pandangan Malik.
Kedua: Masyarakat Arab Jahiliyyah menganggap bahawa akan berlaku perkara buruk apabila masuknya bulan Safar. Mereka menggelar bulan Safar sebagai bulan sial. Maka Nabi SAW menolak kepercayaan demikian. Pandangan ini dinukilkan oleh Abu Daud daripada Muhammad Bin Rashid al-Makhuli.
Pandangan yang kedua ini adalah pandangan yang paling hampir maknanya. Kebanyakan orang-orang yang jahil menyangka bahawa akan berlakunya perkara buruk di bulan lalu mereka mencelanya. Ada di antara mereka yang melarang untuk berkelana pada bulan Safar. Dan ini adalah jenis yang sama dengan perbuatan Thiyarah yang dilarang.”
Rujuk Lataif al-Ma’arif fi ma li mawasim min al-Wazaif (m/s 135-136)
Kesemua ini adalah pandangan para ulama berkenaan sabda Nabi SAW iaitu ‘tidak ada safar’. Banyak lagi ulasan ulama berkenaan perkataan ini dan kesemuanya memberikan pandangan yang hampir sama seperti yang kami nukilkan. Dapat kita simpulkan dari pandangan-pandangan ini bahawa yang dimaksudkan oleh safar itu adalah satu kepercayaan masyarakat arab Jahiliyyah yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam lalu datang Nabi SAW menolak kesemua kepercayaan tersebut. Melalui tafsiran-tafsiran ini,dapat kita fahami bahawa tiada satu pun petunjuk yang menunjukkan bahawa perkataan لا صَفَرَ itu merujuk kepada amalan mandi safar bahkan ianya tiada kena mengena dengan amalan syirik tersebut. Kalaupun ianya merujuk kepada mandi safar (walaupun tafsiran ini tidak diterima dan tiada tafsiran para ulama yang menyebut sedemikian rupa) ianya didahului dengan huruf لا النافِيَة (La yang memberi makna menafikan sesuatu). Justeru ia memberi makna larangan bukan galakan.
PENUTUP
Justeru itu, dapat kita fahami bahawa safar yang dimaksudkan dalam hadis adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyyah yang dilarang oleh Nabi SAW untuk mempercayainya. Antaranya adalah mereka mempercayai bahawa apabila tibanya bulan Safar,akan berlakulah perkara buruk. Kepercayaan ini hampir serupa dengan kepercayaan orang melayu di dalam amalan mandi safar di mana mereka melakukan upacara tersebut untuk menolak bala dan musibah dan ianya dilakukan hanya pada bulan Safar.
Tidakkah ia memberi isyarat bahawa adanya kepercayaan bahawa bulan itu adalah bulan sial dan musibah sepertimana yang dipercayai oleh masyarakat arab Jahiliyyah. Ini adalah satu perbuatan yang ditegah Nabi SAW. Ditambah pula dengan amalan karut marut yang mengiringi temasya mandi safar ini.
Oleh itu, kami mengesyorkan agar tolaklah bala dengan doa. Seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW di dalam kebanyakan hadis. Antaranya adalah doa yang sentiasa kita ulangi di dalam solat Subuh:
وَقِنِيْ شَرَّ مَا قَضَيتَ
Maksudnya:”lindungi dan jauhkanlah aku dari kejahatan yang telah Engkau tetapkan.”
Riwayat al-Nasaie (1725),Abu Daud (1214) di dalam al-Sunan,al-Baihaqi (427) di dalam Sunan al-Sughra,Ibnu Hibban ( 950) di dalam Sohihnya,Ahmad (1625) di dalam Musnad
Wallahu’alam
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hidup Jadi Tertekan Kenangkan Dosa Silam, Amal Zikir Ini Supaya Diampunkan Dosa

Isi Kandungan
ToggleKadang-kadang hidup jadi tertekan kenangkan dosa silam, zikirlah supaya diampunkan dosa. Lumrah manusia, menyesali setiap perbuatan dosa-dosa lalu yang telah mereka lakukan.
Namun setiap penyesalan perlulah datang dengan usaha untuk berubah menjadi manusia yang lebih baik. Paling penting bertaubat dan lakukan sesuatu agar Allah ampunkan dosa-dosa kita.
Ikuti perkongsian Dai Hamidah tentang bagaimana caranya untuk memadam dosa-dosa silam.
Artikel Berkaitan:
Syeikh Zainul Asri Kongsikan Satu “Doa Mahal”, Doa Agar Kita Sempat Bertaubat Sebelum Mati
Hidup Jadi Tertekan
Moga kita sama- sama dapat amalkan zikir ini mudah-mudahan Allah padam dosa silap kita.
Amal zikir ini untuk padam dosa lalu….
Sebagai seorang hamba sudah pasti kita mahu Allah ampunkan segala kesilapan yang telah kita lakukan.
Kenangkan Dosa Silam
Jadi setiap hari pasti kita akan fikirkan apakah cara untuk kita lakukan supaya Allah ampunkan segala dosa-dosa kita yang lalu.
Ingin dikongsikan di sini, Nabi Muhammad telah pun hadiahkan kepada kita satu amalan supaya Allah ampunkan salah silap kita yang lalu.
Kata Nabi Muhammad s.a.w,

‘Siapa yang menyebut Subhanallah Wabihamdih setiap hari sebanyak 100 kali maka rasulullah memberi jaminan bahawa Allah akan ampunkan segala kesalahannya.
“Wa in kanat misla zaba dil bahri.’
Maksudnya, sekalipun dosa-dosanya sebanyak buih di lautan.’
Amal Zikir Ini
Subhanallah, ini merupakan satu berita gembira daripada nabi kita Muhammad s.a.w untuk menggalakkan kita supaya melakukan kebaikan.
Dalam masa yang sama Nabi Muhammad jamin Allah akan ampunkan dosa kita dengan jika kita baca zikir ini sebanyak 100 kali pada setiap hari.
Oleh itu, jangan lupa untuk ulang zikir tersebut, apatah lagi hadis ini merupakan daripada kitab Riyadhus Solihin iaitu hadis yang sahih.
Marilah kita sama-sama amalkan dan mudah-mudahan berkat kita berterusan dengan amalan ini.
Supaya Diampunkan Dosa
Ayuh amalkan setiap hari tanpa culas dan secara tak langsung menjadi tanda kita betul-betul minta pada Allah ampunkan dosa serta kesalahan-kesalahan yang telah kita lakukan selama ini.

Seterusnya menjadi asbab Allah kasihan pada kita ketika mana Allah ampunkan dosa silap kita dan akhirnya kita akan dijemput Allah SWT dalam keadaan yang baik.
Oleh itu, mudah-mudahan kita dihadiahkan oleh Allah husnul khotimah. Amin.
Baca Di Sini:
Kashoorga : Semoga Allah ampunkan dosa-dosa dan kesilapan kita selama ini. Amin.
Sumber: Instagram Dai Hamidah
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI