Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau sengaja melewatkan puasa ganti (qada) Ramadan.
Tapi dalam keadaan sekarang ada juga antara kita yang hidup dalam serba kekurangan dan tidak mampu membayar fidyah malah tidak mampu juga menggantikan puasa akibat sakit kronik atau sakit tua.
Ustazah Asma’ Harun memberikan penjelasan bagi mereka tidak mampu membayar fidyah ini. Bagi golongan seperti ini terang Ustazah Asma’, ulama telah membahaskan kepada 2 pendapat.
1. Pendapat Pertama: Sebahagian mazhab Syafieah dan Hanabilah.
Pendapat ini mengatakan tidak gugur kewajipan fidyah.
2. Pendapat Kedua : Mazhab Hanafiah, sebahagian Syafieah, dan Hanabilah
Pendapat ini mengatakan gugur fidyah bagi orang yang tidak berkemampuan.
Walaubagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar fidyah pada awalnya, kemudian setelah itu berkemampuan, adakah menggugurkan kewajipan tersebut?
Maka, Imam al-Nawawi menyebutkan di dalam al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab
“Jika kita mengatakan wajib fidyah ke atas orang tua, pesakit yang putus asa daripada sembuh, tetapi jika dia itu mu`sir (orang susah) adakah dia masih wajib membayar fidyah apabila dia kembali senang atau sudah gugur apa-apa kewajiban daripadanya?
Dalam isu ini ada dua qoul (pendapat Imam al-Syafie) seperti hukum kaffarah. Pendapat yang asoh (lebih sahih) dalam isu kaffarah ialah kekal liabiliti untuk membayarnya apabila sudah senang kerana fidyah itu wajib sebagai timbal balas akibat jenayah yang dia lakukan (seperti zihar atau jimak waktu siang Ramadhan) seperti hukum balasan bagi orang yang melanggar larangan buruan.
Tetapi sewajarnya di sini hukum yang asal ialah bahawa liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu`sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang, sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberikan tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa timbal balas kerana suatu perbuatan jenayah, atau seumpamanya,”jelas beliau dalam satu perkongsian di Facebook.
Kesimpulan
1. Bagi golongan yang tidak berkemampuan untuk membayar fidyah kerana susah dan miskin maka tidak diwajibkan untuk membayar fidyah puasa sekalipun jika akan datang dia ditakdirkan sembuh atau sudah senang.
2. Hal ini kerana, kewajiban fidyah yang dikenakan bukan kerana kaffarah dosa. Ia adalah kerana keadaan dia yang tidak mampu pada saat wujud sebab taklif.
3. Golongan ini diperbolehkan untuk menqada’ puasa yang telah ditinggalkan.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun