Tak dinafikan ada yang menyimpan rasa dendam sebegini kepada seseorang akibat konflik, terasa hati, perbalahan dan sebagainya.
Apa yang terlalu sukar untuk dimaafkan dan ada juga yang dimulut berkata maaf tapi dalam hati masih menyimpan dendam.
Bagaimana mahu merungkai perasaan begini kerana agar dapat menjernihkan kembali silaturahim. Perkongsian Ustazah Asni Mansor mungkin boleh memberi panduan kita.
Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat ke-10 bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka perbaikilah hubungan persaudaraan di antara saudara-saudaramu.“
Ada dua hubungan dalam kehidupan iaitu hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.
Hubungan dengan Allah dipanggil iman dan hubungan dengan manusia dipanggil ukhuwah. Ada kalanya hubungan sesama manusia diuji seperti hubungan dalam berkeluarga, jiran-jiran dan persahabatan.
Ada yang mengambil jalan pintas dengan menurut rasa dan gelora amarah. Tidak mahu memaafkan, tidak mahu bersua muka malah mendengar nama pun dijauhkan. Setiap kebaikan dan keburukan itu ada pintunya. Jika tidak mahu memaafkan, apa akan terjadi jika Allah SWT juga tidak mahu mengampunkan hamba-Nya?
Mengapa perlu kita membesarkan diri dengan tidak mahu memaafkan kesalahan insan? Carilah pintu silaturrahim. Pada pintu silaturrahim itulah ada kemaafan, pemberian, hadiah, doa dan ziarah yang akhirnya pintu itu membawa terus ke pintu syurga.
Kebaikan yang dicari maka syurga menanti dengan rahmat Allah. Tetapi andainya kita terus mengagungkan rasa kecewa, sakit hati, dendam dan tidak berpuas hati maka di situlah pintu kemusnahan silaturrahim.
Pada pintu kemusnahan silaturahim itu ada dendam, tidak puas hati, mengungkit, menang dan tidak mahu kalah dan rasa sentiasa benar.
Maka jika itu yang kita agungkan, maka suburlah dendam dan berbuahlah kebencian seterusnya tumbuhlah permusuhan. Sabda Nabi SAW yang membawa maksud, “Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan silaturrahim.”
Mungkin kita kurang amalan, maka Allah uji dengan ujian ukhuwah untuk kita tambah dan kaut pahala dengan sabar dan reda. Allah Maha Pengampun. Kemaafan itu adalah kebahagiaan.
Firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah maksudnya, “Dan kalau kau memaafkan itu adalah lebih dekat kepada taqwa.”