Tak Minta Kemewahan Tapi Cukuplah Bawa Pulang Rezeki Yang Barakah – Deep ‘Permintaan’ Isteri Imam Muda Asyraf

Share

Semua pasangan inginkan rumahtangga bahagia seperti yang dipaparkan di filem-filem cinta. Namun setiap perkahwinan yang dibina tentunya pernah melalui cabaran dan dugaan. Sebenarnya pengalaman itulah yang menjadikan rumah tangga pernuh barakah.

Seperti perkongsian bermakna IMAM MUDA Asyraf

Teringat sewaktu saya mula berkahwin dulu. Masih belajar di UM. Tiada pekerjaan tetap. Apa pun terima kasih kepada mertua yang sudi menerima insan yang serba dhaif ini menjadi menantu. Walaupun ketika itu merek tahu saya tak mempunyai sumber kewangan yang utuh.

Saya buat partime sebagai imam ratib di masjid sebab nak sara anak orang sbg isteri. Dgn gaji RM350 sebulan di Kuala Lumpur apalah sangat yg mampu dinikmati. Sedangkan sewa rumah ketika itu RM450 sebulan. Terpaksa berniaga cari duit tambahan jual kitab. Buat home tuition. Basah kuyup bersama isteri menaiki motorsikal EX5. Menunggu bas di Pudu bersama utk pulang ke kampung.

Apa yang saya kagum dan saya akan ingat selamanya ialah pesanan dari seorang isteri: “Abang.. Ayang tak minta abang bawa balik kemewahan. Tapi cukuplah dengan bawa pulang kepada keluarga rezeki yg barakah”…

RUMAH SEMPIT TAPI LAPANG

Beliau langsung tak pernah minta wang untuk beli pakaian melainkan apa yang saya belikan. Beg tangan dan kasut seadanya. Kadang terusik di dalam hati seorang suami untuk membeli sesuatu untuk menggembirakan isteri. Tapi si suami tak mampu.

Rumah flat yang tiada katilnya beralas toto. Lantai simen tanpa tikar getah. Tiada meja makan, kotak sebagai alas pinggan. Almari zip yang terkoyak di sisinya. Tapi saat itulah saat yang paling bahagia. Detik itulah yang paling sakinah. Payah namun indah. Rumah sempit namun hati lapang.

SYUKURI NIKMAT SEBELUM IA TIADA

Perit dahulu menekan keangkuhan. Sakit dahulu mengingatkan kesombongan. Semua yang kita dapat sekarang adalah pemberian Tuhan. Dia beri pinjam hari ini, maka tak sukar untuk Dia ambil semula esok hari. Beringat wahai si tuan badan.

Saya kongsi kisah ini bukan untuk khabarkan sejarah diri semata. Kerana saya tahu rasa saya ini pernah juga dirasai kebanyakan pasangan. Saya tidak berseorangan dalam merasai pengalaman ini. Ramai yang turut melalui. Bersyukurlah apa yang ada. Sebelum menangis bila dah tiada.

Mereka menerima kita saat kita bukan siapa-siapa. Mereka terima kita saat kita tiada apa-apa. Mereka di sisi saat tiada siapa mengenali. Mereka bangga dengan kita walau kita tiada nama. Mereka sudi di sisi kita walau kita tidak berharta.

Semoga Allah mengabadikan bahagia ini hingga ke syurga.

Kredit: IMAM MUDA Asyraf

Published by
wan erni