“Sentiasa Baca Al-Fatihah, Kursi & 3 Qul…” – Puan Sri Normala Kongsi Amalan ‘Kerohanian’ Kekal Sihat Diusia 56 tahun

Share

Siapa yang tidak mengenali personaliti TV ini, Puan Sri Normala Samsudin yang cukup popular dalam dunia pengacaraan sekitar tahun 90-an.

Bukan sahaja dianugerahkan seraut wajah yang cantik, jelita, tetapi juga keperibadian yang sangat menarik.

Artikel Berkaitan: Baca Doa Ini Bila Dipuji, Untuk Elak Diri Rasa Riak, Ujub & Takabbur

Setiap kali melontarkan kata-kata ketika mengacara sangat yakin, malah beliau antara pengacara yang dianggap evergreen dan menjadi lagenda dalam dunia penyiaran.

Ramai dalam kalangan penyampai radio atau televisyen masa kini menjadikan dirinya sebagai idola.

Namun setelah berkahwin, beliau tidak lagi aktif dalam dunia pengacaraan dan memberikan sepenuh tumpuan pada keluarga. Tetapi aura personaliti ini memang sangat kuat.

Siapa sangka setelah lama tidak beraksi di kaca televisyen, kini beliau bakal muncul sebagai juri tetap untuk pencarian ikon wanita moden, Ratu Hijabista.

Rancangan ini yang julung kali mencari wanita berhijab yang berinspirasi serta boleh dijadikan contoh pada masyarakat.

Muncul sebagai tetamu dalam sidang media Ratu Hijabista semalam sempat bertanya perkembangan terkini beliau dan bagaimana rahsianya mengekalkan kesihan serta kecantikan walaupun sudah berusia 56 tahun.

Ternyata wanita kelahiran Segamat, Johor ini tidak lokek memberitahu aktiviti terkini dilakukan selain fokus sebagai juri tetap dalam program Ratu Hijabista ini.

Menurut Normala kemunculan semula dalam dunia penyiaran setelah sekian lama menyepi adalah dengan keizinan suaminya, Tan Sri Azmi Khalid.

“Sebaik terima tawaran ini (juri tetap), saya berbincang dengan suami untuk mendapatkan pandangannya. Namun, beliau memberi saya ‘lampu hijau’ untuk membabitkan diri .

“Ini kerana kata suami pembabitan saya dalam program itu atas tanggungjawab sebagai juri yang umpama seorang ibu juga.

“Apatah lagi, saya berpeluang berkongsi pengalaman bersama peserta,” katanya banyak mengisi masa senggang bersama keluarga di Perlis.

Artikel Berkaitan: Baca Berulang Kali Zikir Elak Diri Dari Maksiat, Manfaatnya Solat & Sedekah Confirm Tak Tinggal

Melihat kelembutannya, tapi beliau juga sebenarnya amat menggemari aktiviti hiking dan cycling dan akan melakukannya bersama rakan rapat di sana.

Ketika ditanya rahsianya mengekalkan kesihatan dan kecantikan diri walau sudah separuh abad, Normala memberitahu tiada rahsia atau ayat tertentu yang diamalkan.

“Apa yang kita baca setiap kali solat itulah yang saya amalkan. Cumanya saya juga kalau boleh setiap hari akan habiskan satu muka surat bacaan Al-Quran.

“Kalau tak dapat setiap hari, saya akan lakukannya setiap kali lepas solat Subuh, Maghrib atau Isyak.

“Dan antara ayat-ayat yang saya amalkan setiap masa dari pagi hingga ke malam, saya akan amalkan Al-Fatihah, ayat Kursi dan juga 3 Qul.

“Inilah amalan yang saya tak boleh tinggal. Saya juga turut berdoa agar segala urusan dipermudahkan Allah,” ujarnya yang turut mengamalkan solat jemaah terutama Maghrib dan Subuh bersama seluruh ahli keluarga di rumah.

Program Ratu Hijabista adalah hasil kerjasama di antara saluran Astro Prima dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., pencarian ini menerima hampir 550 penyertaan secara online semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Artikel Berkaitan: Bacalah Doa Pengasih Surah Al-Insyirah Lepas Solat, Supaya Diri Sentiasa Dicintai & Disayangi Suami

Seramai 12 finalis telah disenarai pendek menerusi sesi saringan yang ketat untuk diserap masuk bagi penyertaan penganjuran musim pertama ini.

Menurut pengurus saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh, pihak mereka menyambut baik penganjuran program ini bagi mengiktiraf potensi bakat luar biasa wanita di luar sana.

“Platform pencarian seumpama ini berupaya mewujudkan persekitaran positif sekaligus meningkatkan keyakinan setiap wanita,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media Ratu Hijabista yang bertempat di restoran My Elephant Thai, Kuala Lumpur.

Selain Normala sebagai juri tetap Ratu Hijabista, selebriti Uyaina Arshad dan Fikry Ibrahim akan bersama mengacarakan musim pertama program berkenaan.

Juara Ratu Hijabista akan membawa pulang wang tunai RM10,000, tiara dan selempang.

Ratu Hijabista akan bersiaran selama lapan episod di saluran Astro Prima (saluran 105) pada setiap Rabu bermula 12 Ogos ini pada jam 9 malam.

Kredit Foto: Foto Nu Ideaktiv & IG

Kashoorga: Sempurnakan diri menjadi Ratu di sini

 

Published by
Siti Zurina Mat Saman