‘Tak putus buat solat hajat, baca yasin.’ Sebulan jemaah umrah hilang, 2 beradik ikhtiar ke makkah cari ayah. Selagi ayah mereka tak ditemui, usaha untuk mencarinya tetap diterusnya.
Kejadian sebegini bukanlah pertama kali berlaku, dan akhirnya jemaah yang hilang itu ditemui selamat. Semoga ayah kepada anak-anak ini akan segera ditemui dan kembali ke pangkuan keluarga tersayang.
Artikel Berkaitan:
Dua anak lelaki Musthafa Kamal Abdullah jemaah umrah yang hilang di Tanah Suci Makkah sejak sebulan lalu akan berangkat menunaikan umrah Jumaat depan sekali gus berikhtiar mencari bapa mereka.
Menurut anak sulungnya, Muhammad Nabil Musthafa Kamal, 26, dia akan ke Tanah Suci bersama adiknya, Muaz, 17.
“Kebetulan ada tarikh sesuai dan slot kosong serta perbelanjaan hasil bantuan keluarga dan saudara mara juga mencukupi, jadi kami akan berangkat menunaikan umrah.
“Sudah pasti peluang ini juga akan kami gunakan untuk mencari ayah termasuk mungkin mengedarkan risalah dan gambar ayah di sana dan ini antara ikhtiar paling besar kami sebagai waris.
“Sebagai anak, naluri saya kuat mengatakan ayah masih hidup,” katanya.
Jelasnya lagi, sejak ayahnya hilang, 12 Disember lalu, mereka sekeluarga melakukan pelbagai ikhtiar termasuk merujuk pakar perubatan Islam, solat hajat serta bacaan Yassin untuk mempermudahkan urusan penemuan ayahnya.
“Kami tidak putus-putus berikhtiar antaranya buat solat hajat di masjid Batu Pahat serta bacaan Yassin di sekolah tempat ayah mengajar, setiap Khamis.
“Ada juga keluarga kami merujuk beberapa pakar perubatan Islam termasuk dari Darussyifa’ untuk membantu mengesan ayah.
“Saya juga sentiasa berhubung dengan seorang rakyat Malaysia yang menetap di sana yang tampil secara sukarela mencari ayah,” katanya.
Tambah Muhammad Nabil, sehingga kini masih tiada sebarang petunjuk mahupun perkembangan terbaharu mengenai status ayahnya, namun keluarga mengharapkan ayahnya ditemukan dalam keadaan selamat.
“Sejak awal kehilangan ayah, kami sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Johor; Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Arab Saudi.
“Saya juga dimaklumkan Wisma Putra, mereka sudah membuat laporan kepada Kedutaan Malaysia di Arab Saudi manakala Konsulat pula mengeluarkan surat kepada Kementerian Luar Negeri Arab Saudi untuk bantu mencari ayah.
“Kami mohon pihak agensi kerajaan Malaysia bertindak agresif termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi supaya keberadaan ayah segera diketahui.
“Kami juga memohon doa semua rakyat Malaysia dan bantuan orang ramai yang menetap di Makkah, dalam usaha mengesan ayah saya,” katanya.
Cari Ayah
Pada 6 Disember lalu, Musthafa berangkat menunaikan umrah bersama anaknya, Muaz dan dua beranak itu dijangka pulang ke tanah air, 18 Disember lalu.
Bagaimanapun guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab itu dilaporkan hilang pada 12 Disember selepas Muaz menyedari bapanya tiada di bilik hotel di Makkah.
Media turut melaporkan, seorang mutawwif, Mansor Khalid, mendedahkan, beg milik Musthafa ditemukan di kaunter penyambut tetamu hotel selepas tiga hari kehilangannya dilaporkan.
Baca Di Sini:
Pakej Umrah Naik Harga, Travel Agency Diminta Cari Kaedah Terbaik Tidak Bebankan Jemaah
Kashoorga: Semoga jemaah ini segera ditemui, tentu saja ahli keluarganya resah memikirkan kehilangannya.
Sumber: myMetro