Tak salah berbeza agama. ‘Berpeluk cium, tak tutup aurat secara terbuka itu membimbangkan’. Itu ulasan Ustazah Asma Harun tentang hubungan cinta Yazmin Aziz dengan jejaka berlainan agama.
Malahan tindakan warganet yang menyokong hubungan mereka membuatkan keadaan ini bertambah pelik kerana perbuatan pasangan ini dianggap seperti sesuatu yang normal. Masyallah!
“Ya, agama kami berbeza tetapi saya tak faham kenapa ramai yang stres tentang perbezaan tu?”
Baru-baru ini banyak disebutkan tentang isu perbezaan agama antara seorang influencer dan pasangannya yang bukan beragama Islam. Beliau ada kongsikan bahawa bapanya dulu juga seorang non-muslim dan ibunya seorang Muslim.
Namun yang membimbangkan apabila perbuatan mereka yang berpeluk cium, tidak menutup aurat secara terbuka itu sangat tidak menyenangkan kebanyakan mata yang melihat.
Bahkan ada segelintir masyarakat pula yang turut sokong hubungan mereka yang ditampilkan kepada khalayak awam dan secara terang. Ini akan menimbulkan salah faham bahawa perbuatan tidak senonoh tersebut seolah suatu kebiasaan.
Berbeza Agama
Hubungan antara orang Islam dan bukan Islam
Mudah-mudahan penulisan ini dapat memberi pencerahan kepada kita semua, insyaAllah. Saya bawakan beberapa situasi:
1. Hubungan orang Islam dengan sesama Islam.
Ini adalah situasi yang umum telah ketahui bahawa orang Islam boleh berkahwin dengan sesama Muslim, bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda:
تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ
Maksudnya: “Kahwinilah kamu akan wanita yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”
(HR Abu Daud, hadis sahih)
2. Hubungan orang Islam dengan bukan Islam
Islam merupakan agama yang sangat indah, menuntut kita berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan agama serta menjaga hubungan dengan baik. Namun untuk dijadikan pasangan hidup ada syaratnya iaitu mestilah kedua-duanya beragama islam.
Berpeluk Cium
Berikut adalah fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan :
Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 yang bersidang pada 14 Mei 1980 telah membincangkan Pernikahan Dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa,
Pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah (bukan asli) adalah tidak sah mengikut mazhab Shafie.
Pernikahan seperti itu (pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah bukan asli) yang telah dilakukan pada masa yang lalu harus mengikut pendapat setengah ulama’ dengan syarat jika pernikahan itu diakadkan mengikut Islam dan keluarga itu hendaklah hidup secara Islam termasuk pendidikan anak-anak. Jika tidak dilakukan demikian maka perkahwinan itu hendaklah dibatalkan.
Pernikahan suami/isteri Kristian kemudian si suami masuk Islam maka pernikahannya dikira sah dengan syarat kehidupannya mengikut cara Islam.
Maksudnya: “Apabila seseorang hamba masuk Islam, lalu Islamnya baik, dihapus darinya semua keburukan yang pernah dia lakukan.
Kemudian setelah itu ada balasan yang adil; satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda sampai 700 kali lipat. Adapun satu keburukan dibalas dengan sama, kecuali Allah mengampuninya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Tak Tutup Aurat
Subhanallah, besar ganjaran di sisi Allah apabila kita dapat membantu seseorang memeluk agama Islam. Sebenarnya apabila kita berjaya membawa seseorang kepada Islam, maka segala kebaikan yang dilakukan selepas keIslamannya akan turut diberikan pahala kepada kita.
Maka Rasulullah SAW pernah membimbing kita untuk mencari pasangan yang baik itu melalui empat perkara.
Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
3. Hubungan orang bukan Islam dengan bukan Islam.
Islam tidak melarang apa-apa hubungan sesama bukan Islam, namun di dalam negara yang majoritinya penganut agama Islam, tetap perlu ada batas dan hormat supaya perkara mungkar tidak dilakukan secara terangan, kerana ia memberi kesan yang buruk kepada orang Islam di negara ini.
Contohnya penganjuran konsert secara besar-besaran, pesta arak, berpakaian yang menjolok mata, zina yang dibuat secara terbuka, dan lain-lain perbuatan yang tidak bermoral.
Harus diingat, kita ada rukun negara yang sering diikrar bersama, antaranya kesopanan dan kesusilaan, di mana mesti dipatuhi oleh semua tanpa pengecualian mana-mana bangsa atau agama.
“Teruskan hubungan kalian, yang penting bahagia dengan pasangan”
Allahu Akbar, sedar atau tidak inilah antara bentuk normalisasi ideologi liberal yang mula meracuni pemikiran orang Islam.
Cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat bahaya, apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam.
Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.
Renungilah sepotong hadis Nabi Muhammad SAW yang menggambarkan keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sampai jika orang-orang yang kalian ikuti itu masuk ke lubang dhob (yang sempit sekalipun), pasti kalian pun akan mengikutinya.”
Ads
Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab, “Lantas siapa lagi?”
(HR Muslim, hadis sahih)
*Dhob – biawak padang pasir
Sebelum ini kita pernah dikejutkan dengan beberapa berita perkahwinan antara seorang wanita muslim dan lelaki non-muslim yang berlangsung di dalam gereja. Allahuakbar.
Bukan maksud saya nak menyebut tentang mana-mana negara, tetapi lebih kepada ingin mengangkat bahawa salah faham dalam agama itu boleh berlaku dan membuatkan kita tergelincir dalam dosa yang berterusan. Astaghfirullah.
Itu Membimbangkan
Semoga perkara begitu tidak terjadi di negara kita. Sebab itu pentingnya kita memahami agama dengan baik agar tidak dikaburi dengan pemikiran bebas yang kononnya memperjuangkan hak manusia, namun hakikatnya merupakan punca barah kepada masyarakat. Na’uzubillah.
Islam itu agama yang melindung, bukan mengongkong.
Tujuan syariat Islam yang sempurna diturunkan untuk memelihara maruah diri dan ummah, bukan untuk menyekat kebebasan.
Bahkan jika kita faham erti kebebasan yang sebenar ialah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT supaya kita bebas memperoleh nikmat di Syurga tanpa batasan kelak. Subhanallah.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Maksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir”.
(HR Muslim, hadis sahih)
Begitulah hakikat kita sebagai orang Islam di atas bumi ini, dipenjara oleh hawa nafsu dan syaitan yang sentiasa menghalang, ditambah lagi dengan tanggungjawab melakukan ketaatan kepada Allah serta larangan yang pelbagai. Namun semua itu pasti baik kerana Allah Maha Mengetahui segalanya.
Semoga kita semua sentiasa dalam taufiq dan hidayah-Nya agar sentiasa dalam melakukan ketaatan dan terhindar daripada kesesatan.
Doa supaya dapat membezakan antara hak dan batil
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepadaku kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan aku untuk mengikutinya, serta tunjukkanlah kepadaku kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan pula aku untuk menjauhinya.”
Semoga dengan kita memohon bersungguh-sungguh supaya ditunjukkan kebenaran, Allah SWT menyelamatkan kita daripada terjatuh ke lembah dosa maksiat yang hitam dan melemaskan.
Semoga bermanfaat buat semua.
Saudaramu,
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
Rujukan:
1. Al-Kafi #484: Perkahwinan Dengan Perempuan Ahli Kitab.
2. Irsyad Al-Fatwa #223: Terlanjur Dengan Wanita Bukan Islam, Apa Perlu Dibuat? #UAHSahabatDuniaAkhirat
Kashoorga : Islam tak pernah larang berkawan dengan orang berbeza agama dan bangsa, namun kenalah ikut syariat yang betul.
Selain wabak coronavirus yang viral minggu ini, isu transgender seorang usahawan, Muhammad Sajjad juga turut menjadi trending di laman sosial.
Rata-rata mengecam tindakannya berpakaian seperti wanita Muslimah di tanah suci walaupun hakikatnya jantina dirinya adalah sebaliknya.
Usahawan ini dikatakan tidak menghormati dan mempersenda agama Islam di tanah suci dan menganggap perbuatan ktu sebagai biadap dan tidak boleh diterima akal yang waras.
Perlakuan di Tanah Haram yang mendapat kecaman netizen.
Ramai yang memberi komen berhubung isu ini dan terbaru penjelasan dari Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Dalam postingnya di laman sosial Facebook, Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan secara panjang lebar berhubungan isu ini.
Menurut beliau, wajib bagi transgender melakukan ibadah umrah itu dengan mengikut jantina asalnya.
Dan beliau turut menasihat agar Sajjad agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh disamping mengisi masa dengan acara-acara ibadat.
Mufti juga turut mendoakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada Sajjad bin Kamaruz Zaman dan menjadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupaannya.
INGATAN UNTUK SAJAT DAN SEMUA UMAT ISLAM
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Saya doakan saudara Sajat berada dalam taufiq, hidayah dan ‘afiah sentiasa. Isu ini menjadi hangat sehingga tempiasnya kena juga kepada Mufti Wilayah Persekutuan. Jika dijawab, akan ada yang bertanya, “Kenapa begitu, kenapa tidak begini?”. Jika tidak dijawab, akan ada yang bertanya, “Mengapa berdiam diri?”. Itulah kelazimannya.
Berhubung isu berkaitan Transgender, kami telah mengulasnya dengan panjang lebar dalam beberapa buah artikel di laman web sejak tahun 2015:
1. QALAM MUFTI SIRI KE-29: WASPADA ANCAMAN NORMALISASI LGBT .
2. AL-KAFI SIRI KE-578 : BUDAYA LGBT, HADAPILAH DENGAN ILMU
3. BAYAN LINNAS SIRI KE-5: ISU TRANSGENDER, TASYABBUH ATAU PENYERUPAAN
4. IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-202: HUKUM HAKAM BERKAITAN KHUNSA
Disamping memberikan penjelasan melalui penulisan, saya juga mengadakan lawatan berkala untuk bertemu komuniti Transgender bagi menyampaikan mesej dakwah dan rahmah Islam. Dalam masa yang sama, kami juga tidak lupa untuk menegaskan kewajipan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.
Saya mengambil maklum isu yang sedang berlaku berhubung Sajat pada sebelum, semasa menunaikan umrah di Mekah dan kini di Madinah. Untuk makluman, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) tidak pernah terlibat dalam pengesahan identiti jantina beliau yang diuruskan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2018. Justeru, jika berhubung pengesahan jantina melibatkan pakar perubatan, ianya berada di bawah urusan pihak JAKIM.
Nasihat
Saya nasihatkan seperti berikut:
1. Fahamilah maksud sebenar ibadah umrah.
• Imam al-Nawawi pada awal mukadimah kitabnya menyeru kepada bakal haji dan umrah supaya bertaubat daripada segala maksiat dan segala perkara yang makruh serta berusaha mengislahkan diri. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-Umrah, hlm. 48)
• Apakah niat kita menunaikan umrah? Ambil waktu yang sunyi, hening di tengah malam semasa bermunajat kepada Allah SWT untuk bertanya kepada diri kita soalan tersebut. Saya amat pasti, tidak ada yang menunaikan umrah hanya untuk melancong dan berseronok. Umrah adalah pengembaraan rohani seseorang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.
2. Fikir terlebih dahulu sebelum bertindak.
Adakah tindakan itu menguntungkan diri, keluarga dan negara atau sebaliknya? Dalam urusan ibadah, kita wajib mengikut syarak, bukannya mengikut hati dan perasaan. Apatah lagi jika seseorang itu dikenali ramai, sudah tentu apa jua bentuk tindakannya akan diperhatikan. Yahya bin Sa’id al-Ansari berkata: لا تفعل فإنك إمام منظور إليك Maksudnya: “Jangan berbuat sesuatu tanpa berfikir terlebih dahulu, kerana anda di hadapan mereka yang memerhati anda.” (Lihat Tarikh Dimasyq, 50/357)
Mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mereka mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat. Sepatutnya sentiasa memberi panduan dan peringatan kepada jemaah seliaan mereka agar menepati kehendak ibadat itu sendiri.
4. Allah SWT Maha Kuasa
Allah SWT tidak perlu tunduk kepada kehendak sesiapa untuk memberikan dosa atau pahala. Dia boleh melaksanakannya pada bila-bila masa, tempat dan keadaan yang dikehendaki-Nya. Sedikit firman-Nya untuk renungan kita:
وَلَوْ يُؤَاخِذُ اللَّـهُ النَّاسَ بِمَا كَسَبُوا مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَابَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِعِبَادِهِ بَصِيرًا Maksudnya: “Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah la tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Ia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.” (Surah Fatir: 45)
5. Jujurlah kepada diri sendiri.
Seseorang itu lebih tahu hakikat dirinya. Justeru, jadilah kita sebagai diri kita yang hakiki, bukan dibuat-buat. Allah SWT berfirman:
إِنْ أَحْسَنتُمْ أَحْسَنتُمْ لِأَنفُسِكُمْ ۖ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا Maksudnya: “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga.” (Surah al-Isra’: 7)
6. Jangan mudah memberi komen.
Hal ini saya tujukan kepada semua termasuk diri ini terutamanya netizen supaya memahami latarbelakang isu terlebih dahulu disamping meraikan adab, tabayyun (selidik) dan uslub (gaya) dakwah yang akan memberi banyak kesan samada positif atau negatif. Gunakan bahasa yang baik atau teguran yang membina. Budayakan dan amalkan prinsip al-din al-nasihah (agama itu adalah nasihat) mengikut kehendak Nabi SAW.
Pendirian (Mauqif) Dalam Isu Jantina
Atas rasa amanah dan tanggungjawab, PMWP mengambil inisiatif untuk bertemu pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 3 Februari 2020 bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap beliau yang tersebar di media sosial.
Berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman. Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.
Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita. Berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil. 9/2007 perenggan 5.7.1., pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah. Dokumen yang diperlukan adalah:
• Perintah mahkamah yang mengandungi butir-butir pengisytiharan jantina baru pemohon. • Surat pengesahan doktor kerajaan (jika ada) • Surat pengesahan pembedahan penukaran jantina yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan • Sijil lahir (asal dan salinan)
Sila rujuk keputusan Nanthan Balan Tan vs Jabatan Pendaftaran Negara.
Terdapat kaedah fiqh yang masyhur menyatakan:
نحن نَحْكُم بالظواهر والله يتولى السرائر Maksudnya: “Kita menghukum berdasarkan apa yang terzahir, dan Allah menguruskan apa yang tersembunyi.”
Selain itu, saya juga berpegang dengan kaedah berikut: الأصل بقاء ما كان على ما كان Maksudnya: “Asal kepada sesuatu perkara kekal seperti sebelumnya”
Maka, pendirian PMWP berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki.
Hukum Umrah Transgender
Saya nyatakan seperti berikut:
• Wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya. Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatannya tetap haram dan dikira berdosa. Malah, dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut oleh para fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian).
• Ini juga bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke 28 Musim Haji 1433H pada kertas kerja bertajuk Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji. Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semulajadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya. Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur’an dan Hadith untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.
Hormatilah Negara dan Undang-Undang Kita
Seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik. Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara. Sebarang tindakan yang dilakukan oleh jemaah haji dan umrah, boleh memberi impak kepada hubungan baik dan kerjasama Malaysia – Arab Saudi. Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan yang buruk kepada Malaysia.
Peruntukan undang-undang syariah berhubung kesalahan wanita menyerupai lelaki (pengkid) dan hukum lelaki menyerupai perempuan (pondan dan mak nyah) telah sedia diperuntukkan di dalam akta dan enakmen negeri-negeri. Maka, menjadi tanggungjawab pihak berautoriti untuk melaksanakannya dengan penuh amanah, berhemah dan bijaksana.
Ambillah Peluang
Sementara saudara Muhammad Sajjad berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, saya syorkan agar zahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh disamping mengisi masa dengan acara-acara ibadat seperti berikut:
• Banyakkan bertaubat dan beristighfar • Banyakkan berselawat ke atas Nabi SAW • Banyakkan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi
Saya doakan semoga Allah SWT kurniakan kebaikan, taufiq dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman dan jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupaan anda, amin. Bak kata HAMKA, “Hidup hanya sekali, justeru biarlah bererti.”
Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Ya Allah tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikan kepada kami untuk menjauhinya.
Sahibus Samahah Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri Mufti Wilayah Persekutuan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Jabatan Perdana Menteri
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Islam memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang mulia. Mereka yang berkahwin dianggap sebagai telah menjalankan ibadah. Bahkan dalam hadis juga ada menyebutkan bahawa berkahwin itu menyempurnakan sebahagian agama.
Sebelum mengatakan bahawa benar-benar sudah bersedia untuk berkahwin, ketahui serba sedikit tentang cinta dari kisah Ali bin Abu Thalib dan Fatimah Az- Zahra.
Sebuah kisah yang datangnya dari puteri Rasulullah, Fatimah Az-Zahra, dan Ali Bin Abi Talib, pintu hati Ali ‘diusik’ buat pertama kali saat Fatimah mengubati luka ayahnya, Muhammad SAW yang luka parah kerana berperang.
Dari situ, dia bertekad untuk melamar puteri Nabi. Lantas dengan tekun dia mengumpul wang untuk membeli mahar untuk menyunting Fatimah. Malangnya belum cukup wang Ali untuk mahar, sahabat Nabi, Abu Bakar sudah pun melamar Fatimah.
Hancur hati Ali, namun dia sedar diri kerana saingannya punya kualiti Iman dan Islam yang jauh lebih tinggi dari dirinya. Walau dikenal sebagai pahlawan Islam yang gagah berani, Ali dikenali sebagai orang yang miskin. Hidupnya dihabiskan untuk berdakwah di jalan Allah.
Gambar sekadar hiasan.
Namun seakan mendung berarak lalu, keyakinan Ali kembali menyinar tatkala Fatimah menolak lamaran Abu Bakar. Namun sekali lagi keceriaan Ali hanya sementara apabila Umar bin Khatab meminang Fatimah.
Ali hanya mampu pasrah kerana saingannya bukan calang-calang orang. Tapi takdir kembali berpihak kepadanya. Umar mengalami nasib serupa dengan Abu Bakar.
Tapi saat itu Ali belum berani untuk melamar Fatimah. Dia sedar dia hanya pemuda miskin. Bahkan harta yang dia miliki hanya ada satu set baju besi.
Kepada Abu Bakar As-Siddiq, Ali mengatakan, “Wahai Abu Bakar, anda telah membuat hatiku goncang yang sebelumnya tenang. Anda telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah, aku memang menghendaki Fatimah, tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”
Abu Bakar terharu dan mengatakan, “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan Rasul-Nya, dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu-debu bertaburan belaka!”
Mendengar jawaban Abu Bakar, kepercayaan diri Ali kembali muncul untuk melamar gadis pujaannya saat teman-temannya sudah mendorong agar Ali berani melamar Fatimah.
Dengan ragu-ragu dia menghadap Rasulullah. Dari hadis riwayat Ummu Salamah diceritakan bagaimana proses lamaran tersebut.
“Ketika itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Talib, ‘Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kawin?”
“Demi Allah,” jawab Ali bin Abi Talib dengan terus terang, “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku, tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi, sebilah pedang dan seekor unta.”
“Tentang pedangmu itu, engkau tetap memerlukannya untuk meneruskan perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu untuk keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu, aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kawin sebuah baju besi sahaja. Aku menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali, engkau wajib bergembira, sebab Allah sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi”. Demikianlah riwayat yang diceritakan Ummu Salamah r.a.
Setelah segala-galanya siap, dengan perasaan puas dan hati gembira, dan disaksikan oleh para sahabat, Rasulullah mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya,
“Bahwasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas mas kawin 400 dirham (nilai sebuah baju besi). Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”
Maka berkahwinlah Ali dengan Fatimah. Perkahwinan mereka penuh dengan hikmah walau diharungi kemiskinan. Bahkan disebutkan Rasulullah sangat terharu melihat tangan Fatimah yang kasar kerana menepung gandum untuk membantu suaminya.
Inilah yang dinamakan takdir dan juga jodoh. Kita sendiri tidak tahu dengan siapa kita akan menempuh kehidupan bersama.
Sesungguhnya jodohmu cerminan dari dirimu. Berkahwin juga tidak semudah yang disangka. Ia memerlukan kesediaan yang ‘total’ demi mengharungi alam rumah tangga yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Setiap hari kita mendengar perkembangan terkini virus pandemik yang kini melanda seluruh negara.
Malah disebabkan wabak ini juga Masjidil Haram masih belum dibuka kepada orang ramai.
Para saintis juga turut bertungkus lumus membuatkan kajian bagi mencari penawar terbaik untuk kesembuhan pesakit yang positif.
Dan kita juga sebagai umat islam tidak putus-putus berdoa agar Tuhan melenyapkan segera COVID-19 ini yang sudah membunuh ribuan manusia. Juga amalan solat sunat dan zikir yang diamalkan bagi melindungi diri dari wabak ini.
Pendakwah, Muhadir Joll, berkata orang yang beriman meyakini manfaat dan kemudaratan hakikatnya datang daripada Allah SWT.
“Orang beriman akan menempuhi ujian ini dengan bersabar dan menginsafi kelemahan serta kelekaan diri.
“Oleh itu, mereka berusaha menegah dan merawat serta menjauhinya dengan langkah kesihatan tertentu, termasuk mengikut garis panduan dan arahan kerajaan,” katanya kepada Ibrah.
Menurut Muhadir, antara amalan baik untuk diamalkan ketika menghadapi wabak COVID-19 ini adalah memohon perlindungan daripada Allah SWT dengan membaca Ratib al-Attas.
“Ratib berasal daripada perkataan rattaba yang bermaksud menyusun atau mengatur. Oleh itu, ratib sesuatu tersusun dan teratur dengan rapi.
“Ratib Al-Attas ialah amalan bacaan yang mengandungi ayat al-Quran, hadis Rasulullah SAW, zikir dan doa yang disusun Al-Habib Umar Abdul Rahman al-Attas.
“Di Hadramawt, Yaman, istilah ratib merujuk kepada bacaan ringkas yang dibaca dengan bilangan sedikit umpamanya 3, 7, 10, 11 dan 40 kali,” katanya.
Menurut Muhadir, membaca Ratib al-Attas bererti membaca rangkaian ayat, hadis, selawat, tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan doa yang ada di dalamnya dengan kesemuanya mempunyai pahala dan fadilat tersendiri seperti disebutkan dalam banyak hadis.
Katanya, Ratib al-Attas amat baik sekiranya dijadikan amalan rutin dan dibaca setiap hari. Justeru, tidak semestinya dibaca hanya ketika berlaku sesuatu bencana atau ujian.
“Melalui pembacaan Ratib al-Attas, akidah menjadi lebih mantap dengan syarat mesti difahami isi kandungan dan tujuan membacanya.
“Banyak kelebihan membacanya, termasuk sebagai pelindung diri, keluarga dan harta benda, selain diampunkan dosa serta kesalahan.
“Selain itu, antara kelebihannya termasuk ditunai dan dimudahkan hajat, dipanjangkan umur dan dikurniakan husnul khatimah (pengakhiran baik),” katanya.
Firman Allah SWT: “(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan berzikir (mengingat) kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan berzikir (mengingat) kepada Allah, hati akan menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
Muhadir turut menjelaskan tafsiran ayat itu oleh Imam Ibnu Katsir seperti tercatat dalam Tafsir al-Quran al-Azhim.
“Menurut Imam Ibnu Katsir, ayat itu bermaksud hati akan menjadi baik dan mudah menuju Allah SWT.
“Hati menjadi tenang ketika ingat kepada Allah SWT dan puas ketika menyakini hanya Dia sebagai pelindung dan penolong,” katanya.
Muhadir berkata, membaca Ratib al-Attas menunjukkan isyarat keyakinan hamba kepada kasih sayang Allah SWT terhadap makhluk, di samping kekuasaan dan kekuatan-Nya dalam memberi perlindungan kepada setiap hamba ketika mereka meminta.
“Keyakinan dengan keesaan, kasih sayang, keagungan, kekuasaan dan kekuatan hanya milik mutlak Allah SWT.
“Membaca rangkaian ayat, hadis, selawat, tasbih, tahmid, takbir, tahlil dan doa yang ada dalam Ratib al-Attas ini khususnya dan di dalam ratib, wirid dan hizib yang lain umumnya, menjadikan hati tenteram,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai kaedah bacaannya, Muhadir berkata, Ratib al-Attas khusus dibaca selepas waktu Isyak.
“Bagaimanapun, tidak mengapa jika dibaca pada waktu pagi dan petang, terutama sekali ketika menghadapi wabak virus sebegini.
“Ia boleh dibaca berseorangan, tetapi lebih baik jika dibaca secara berjemaah. Jika dibaca berseorangan, ia dibaca dengan suara perlahan atau tanpa suara untuk lebih merasakan kesan bacaannya di dalam hati, di samping lebih ikhlas,” katanya.
Muhadir turut memberitahu, jika ia dibaca dalam kumpulan atau secara berjemaah, maka hendaklah dibaca dengan suara sederhana, tidak terlalu kuat mahupun terlalu perlahan.
Katanya, amat rugi sekiranya keberkatan amalan Ratib Al-Attas ini tidak diamalkan oleh umat Islam yang sarat dengan pelbagai kelebihan ini tidak diamalkan secara istiqamah dan bersungguh-sungguh.
“Disebabkan kemasyhuran dan keberkatan Ratib al-Attas ini, ia dibaca oleh hampir semua umat Islam di dunia termasuk di negara kita.
“Begitu banyak majlis pengajian atau acara keagamaan yang dimulakan dengan membaca Ratib al-Attas ini kerana keberkatan dan kemujaraban yang ada padanya,” katanya.
INFO Ratib Al-Attas
Ia turut disebut dengan nama ‘Aziz al-Manal wa Fath Bab al-Wishal
Amalan ini sudah diamalkan sejak 369 tahun dahulu
Ia disusun ulama besar di Hadramawt, Yaman, iaitu Al-Habib al-Imam Umar Abdur Rahman al-Attas yang juga guru kepada Al-Habib al-Imam Abdullah bin Alawi al-Haddad, penyusun Ratib Al-Haddad yang juga masyhur.