Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan seperti biasa akan melakukan ibadah korban.
Namun tular baru-baru ini mengenai korban daging lembu wagyu yang mencecah RM30,000 bagi satu bahagian.
Biarpun ia tidak menjadi satu kesalahan, namun nilainya sama bagi enam lembu biasa yang mana manfaatnya lebih luas dan ramai orang miskin boleh merasai daging korban ini.
Nilai daging wagyu cecah RM30,000 seekor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selaras konsep korban mengikut keutamaan berdasarkan situasi semasa penularan pandemik wabak Covid-19, maka ia perlulah diteliti dengan sebaiknya.
Beliau berkata, mengikut pengamatan, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan terutama untuk merasai daging yang nilainya sekarang ini melebihi RM30 sekilogram.
“Jika dilihat, dengan nilai RM30,000 itu, sekiranya dihitung menggunakan jumlah nilai semasa lembu iaitu kira-kira RM5,000 bagi seekor lembu, maka kita dapat memperoleh sekitar enam ekor lembu biasa.
“Daripada jumlah enam ekor lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat yang lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya.
Ads
“Justeru, tidak salah untuk melakukan ibadah korban dengan lembu wagyu. Tetapi dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa adalah lebih utama dalam situasi seperti ini,” katanya menerusi Al-Bayan Siri 11 bertajuk Ibadah Korban Dengan Lembu Wagyu di Facebook (FB) beliau, hari ini.
Beliau difahamkan harga satu bahagian korban lembu wagyu baka Jepun itu boleh mencecah sehingga RM30,000 yang mana dagingnya bergred A5 dan berat hidup sekitar 800 kilogram (kg).
Menurutnya, manakala setiap peserta akan menerima 50 kg daging apabila selesai proses sembelihan dan justeru setiap peserta akan membayar dengan harga RM600 bagi satu kilogram daging wagyu.
Ads
“Adalah ditegaskan bahawa lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.
“Dengan cara ini (korban lembu biasa), jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan yang lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas,” katanya lagi.
Korban daging lembu biasa lebih diutamakan.
Takrif Lembu Wagyu
Istilah Wagyu berasal dari dua perkataan iaitu “Wa” bermakna Jepun dan “gyu” bermakna “daging lembu.” Justeru secara ringkasnya daging Wagyu bermaksud daging lembu Jepun. Di Jepun, terdapat empat jenis baka lembu yang menghasilkan daging wagyu iaitu Japanese Black, Japanese Brown, Japanese Shorthorn dan Japanese Polled.
Ads
Salah satu jenis wagyu yang paling mahal adalah daging Kobe. Ia merujuk kepada daging lembu Jepun yang datang dari wilayah Hyogo yang mana ibu negerinya adalah Kobe. Daging jenis ini berasal daripada baka lembu Japanese Black, dilahirkan dan dibesarkan di wilayah Hyogo, Jepun.
Untuk layak mendapat label Wagyu, lembu-lembu perlu dibesarkan dan diberikan makanan berdasarkan garis-garis panduan terperinci. Mana-mana lembu yang sudah bersedia untuk diproses akan dipastikan mempunyai berat keseluruhan 780 hingga 800 kg dengan berat rangkanya selepas dilapah, kurang daripada 470kg.
Setelah dilapah, daging yang ada akan digredkan mengikut tahap kualiti kandungan lemak itu. Ada empat kategori diambil kira iaitu tahap lemak, warna, kepejalan dan kualiti lemak dalam daging itu. Semua daging akan diberikan gred A, B dan C, dengan markah 1 ke 5 akan menentukan tahap kualiti daging itu mengikut gred.
Selain itu, semua daging turut sama akan dinilai tahap yang digelarkan ‘Beef Marbling Score’ (BMS), yang akan menentukan tahap kecairan daging itu ketika dimakan, dengan skor 1 hingga 12. Kebanyakan daging Wagyu mempunyai pencapaian sekitar A4 – A5.[1]
Rasanya yang enak menjadikan daging ini lain dari daging lembu biasa.
Entah apa ada dalam pemikiran seorang ibu tua yang sakit, atau mungkin menyedari ajalnya semakin mendekat hinggakan air matanya mengalir saat dibawa menaiki sebuah van jenazah kerana ketidakmampuan anaknya menyewa ambulan.
Di sebalik redha dengan perjalanan akhirnya, dengan kuasa Allah, beberapa jam selepas selamat tiba dari Hospital Sungai Buloh ke rumahnya di Rawang, ibu tua ini menghembuskan nafas terakhirnya di hadapan anak cucu.
Perkongsian sedih ini dikongsikan dari fb Mr Wan Chai Official yang mana pertubuhan NGO ini menubuhkan Skuad Pengurusan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) bagi membantu insan yang kurang berkemampuan.
Baca kisah dikongsinya.
IBU YANG MASIH BERNYAWA DIBAWA MENGGUNAKAN VAN JENAZAH
Saya nak minta pendapat dari semua. Hari ke hari saya berfikir tentang perkara ini. Rasa serba salah dibuatnya.
Baru baru ini kami ada menghulurkan bantuan untuk satu perempuan warga emas. Bantuan yang kami hulurkan itu bukan melibatkan pengurusan jenazah. Tetapi khidmat membawa warga emas itu pulang dari hospital ke rumah.
Pada mulanya kami agak keberatan. Membawa orang yang masih hidup menggunakan van jenazah tiada dalam perkhidmatan kami. Tetapi kami terpaksa akur. Anak kepada warga emas tersebut mengharap bantuan dari kami. Mereka terlalu mengharap. Mungkin caj perkhidmatan ambulan sangat tinggi. Mereka tidak mampu.
Ibu mereka perlu dibawa pulang kerumah atas nasihat dari pihak doktor. Sepertinya jangka hayat si ibu untuk hidup lebih lama tiada harapan lagi. Kami tetap membantu walau rasa berat dihati. Lalu satu team digerakkan ke Hospital Sungai Buloh.
Bayangkan bagaimana tubuh seorang ibu yang masih bernafas hendak kami angkat bawa masuk ke dalam van jenazah? Kami kuatkan semangat semata mata untuk membantu ibu tersebut. Perkara yang belum pernah kami lakukan akhirnya kami lakukan juga. Demi memudahkan urusan si ibu dan anak anaknya.
.
Allah… Tidak tergamak untuk kami melihat situasi tersebut. Bila tubuh si ibu dibawa masuk ke dalam van jenazah. Kami lihat air mata si ibu tiba tiba mengalir. Mungkin si ibu beranggapan kami dan anaknya mahu melihat beliau mati. Jika tidak masakan airmatanya mengalir.
Kami yang melihat terasa sebak pula. Walaupun situasi itu berlaku. Kami tetap meneruskan bantuan menghantar si ibu ke rumahnya di Rawang. Seorang anak perempuan juga ikut bersama menemani si ibu.Alhamdulillah si ibu selamat kami hantar pulang ke rumah.
Anda tahu selepas itu apa yang berlaku? Kami menerima pesanan whats app dari si anak. Ketika itu team yang bertugas dalam perjalanan pulang ke base. Katanya ibunya telah pulang kerahmatullah pada pukul 10.05 malam itu juga. Tidak lama selepas si ibu dibawa pulang.
Si ibu menghembuskan nafas terakhirnya dengan ditemani oleh anak anak. Sebenarnya Allah aturkan untuk si ibu meninggal dunia dirumah bukan di hospital. Cumanya cara membawa balik si ibu ketika masih hidup tidak sesuai.
Saya tidak mahu menyalahkan anak anak. Kos untuk menggunakan perkhidmatan ambulan swasta sememangnya tinggi. Waris terbeban dengan caj perkhidmatan yang dikenakan.Pihak hospital pula tidak menyediakan khidmat bagi membawa pulang pesakit ke rumah. Begitu juga sekiranya pesakit hendak mendapatkan rawatan susulan seperti dialisis.
Ramai waris yang mengeluh untuk mendapatkan khidmat ambulan. Sebab itu rakan rakan saya di Perlis dan Taipeng tubuhkan team ambulan. Jika anda perasan dalam gabungan kami sudah wujudkan ambulan atas inseatif sendiri.
Team VAPT di Perak dan team VAWP di Perlis. Tujuannya untuk membantu waris dan pesakit yang tidak mampu menyewa ambulan swasta. Berkaitan pengalaman yang saya kongsikan kepada anda seperti atas.
Perlukah UKVJ wujudkan perkhidmatan ambulan? Kami ada kekuatan untuk menyumbang tenaga. Untuk beli ambulan kami tidak berkemampuan. Bantu saya
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Hari ini kita digemparkan dengan isu sindiket kartel daging haram yang membawa masuk bekalan daging dari negara tidak diiktiraf. Sesuatu amat menakutkan, kartel daging haram ini membawa masuk bekalan dari negara-negara seperti Kanada, Brazil, Colombia, Ukraine, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong dan China.
Sedangkan negara yang diiktiraf pusat penyembelihannya oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ialah Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat.
Lebih menakutkan lagi, kartel daging haram ini bertindak memberi rasuah kepada pegawai agensi serendah RM150 hingga RM3,000 bagi melepaskan kontena daging dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf itu. Bahkan pegawai awam yang berada di lapangan turut menerima antara RM150 hingga RM500 bagi melepaskan setiap setiap kontena mengandungi 25 tan daging yang dipek semula serta dilekatkan cop halal sebelum banyak dijual di pasaraya dan pasar-pasar awam.
Ramai yang tahu tapi sengaja buat-buat lupa isu berkaitan rasuah. Kita sering didedahkan di media massa banyak anggota keselamatan terlibat dalam isu ini. Tapi ianya masih lagi berlaku.
KASHOORGA mengajak pembaca semua sedar dalam isu rasuah ini kerana rasuah bukan saja merosakkan diri tapi juga negara.
Menurut perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Rasulullah SAW menyebut perkataan laknat kepada pemberi rasuah, penerima dan juga orang perantara.
Dalam sebuah hadis, Abdullah ibn ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”
Riwayat Abu Daud (3580), al-Tirmizi (1337) dan Ibn Majah (2313)
Di sini jelas bagi kita bahawa pemberi dan penerima rasuah adalah dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Namun, bagaimana pula orang yang menjadi orang tengah bagi aktiviti tersebut?
Bagi menjawab persoalan, sebenarnya terdapat nas yang jelas daripada Rasulullah SAW melarang perkara tersebut.
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya” Riwayat Ahmad (22399), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (1415), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (5503) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (7068)
Kaedah fiqh juga menyatakan:
الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ Maksudnya: Menolong perbuatan maksiat juga adalah maksiat.
Jelas di sini menunjukkan yang mereka yang terlibat dengan rasuah termasuk orang yang menjadi pemudah cara adalah dilaknat. Para ulama’ sebahagiannya menafsirkan maksud dilaknat dengan makna ia termasuk dalam dosa besar. Dengan sebab itu, al-Imam al-Zahabi memasukkan rasuah ini dalam dosa-dosa besar melalui kitabnya, al-Kabair.
Kalau Nabi pemberi syafaat di akhirat kelak, dapatkah dibayangkan di mana kedudukan kita di akhirat kelak kalau kita antara orang dilaknat dan berdosa besar akibat menerima rasuah dan memberi rasuah ini jika tidak sempat bertaubat.
Percayalah, hidup ini sangat singkat. Kalau kita sebagai ketua keluarga sudah biasa memberi anak isteri makan benda-benda haram, bayangkan apa generasi kita boleh lakukan selepas kita meninggal nanti? Tepuk dada tanya selera. Biarlah hidup miskin atau seadanya di dunia tapi kita tak merana di akhirat kelak.
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Jodoh adalah rahsia Allah yang tersimpan kemas dan tidak diketahui makhlukNya. Jodoh adalah seorang yang memahami, mencintai dan menjaga anda. Bersama dirinya, anda tidak pernah rasa kekurangan.
Setiap orang ada impian untuk bertemu jodoh, bercinta dan berakhir dengan sebuah perkahwinan.
Boleh dikatakan setiap orang punya impian masing-masing memiliki jodoh yang serasi hingga kasih itu mampu kekal hingga ke syurga.
Berikut perkongsian Ameer Firdaus tentang jodoh.
“Saya nak sangat bawa awak ke sini”
Saya tahu, kenapa Allah masih belum temukan saya dengan awak (isteri). Saya tahu semua kekecewaan yang saya lalui selama saya mencari awak adalah bersebab. Dan kerana itu saya yakin yang Allah sedang aturkan pertemuan yang lebih indah buat kita..
Awak tahu, bila mana Allah masih tidak menemukan kita, saya sedar sebenarnya Allah sedang beri ruang pada saya untuk lebih meneliti pada rezeki saya yang lainnya. Dari situ, saya dapat tumpukan pada karier saya walaupun tidak seberapa. Dengan peluang yang Allah beri itu, dapat saya berbakti untuk ibu dan bapa. Alhamdulillah, mereka redha dengan apa yang saya buat. Semoga bila berjumpa dengan awak nanti, ibu bapa kita masih dan sentiasa redha dengan kita…
PELENGKAP HIDUP
Ketika Allah masih tidak menemukan kita, ketika itu saya sentiasa tahu yang semua ini membuatkan saya lebih menghargai insan-insan di sekeliling saya. Baik dari ahli keluarga, sahabat-sahabat, mahupun seluruh kenalan saya. Mereka inilah sebagai pelengkap hidup saya sebelum saya jumpa awak, dan mereka jugalah yang banyak membantu saya dalam urusan hidup saya.
Mungkin orang lain nampak saya kuat dalam berhadapan dengan segala hal. Tetapi ada hal-hal tertentu yang saya perlukan awak berada di sisi saya untuk saya hadapinya. Jujur saya beritahu, saya yang kecik manja ni memang tak kuat bila seorang diri. Semoga bila awak berada dengan saya nanti, akan membuatkan saya lebih kuat dan lebih menghargai segala insan di sekeliling saya…
Saya pernah mengeluh, mengapa bila saya cuba mencari awak untuk berada dekat dengan awak, pada masa yang sama saya rasa awak jauh sangat dari saya. Rupa-rupanya itu adalah ujian Allah buat saya supaya saya lebih dekat pada Dia. Kerana saya adalah seorang pendosa, dan setiap dosa yang saya lakukan mungkin menjadi asbab kepada jauhnya jodoh antara kita. Begitu baiknya Allah yang memberi kesempatan ini dan menyedarkan saya untuk memperbaiki diri sebelum saya berjumpa awak. Semoga nanti bila awak berasa disisi saya, membuatkan saya lebih dekat lagi dengan Allah…
MASIH MENANTI JODOH
Selama saya mencari awak, banyak ujian yang saya lalui. Mungkin semua itu Allah hadirkan sebagai wadah untuk saya menjadi lebih matang. Atau mungkin ianya adalah cara bagaimana Allah mahu saya mempersiapkan diri saya sebelum berjumpa awak. Agar saya lebih menghargai awak dan agar nanti awak lebih tenang dan gembira disisi saya…
Saya nak sangat tahu awak siapa. Tapi awak masih lagi dalam rahsia Allah. Ya, walau siapa pun awak, saya doakan agar awak ditetapkan hati supaya sentiasa sabar dan setia menanti untuk saya. Semoga awak sentiasa sihat, dilapangkan hati, dimurahkan rezeki, dipermudahkan segala urusan, dijauhkan dari segala kejahatan dan sentiasa berada di dalam rahmat kasih sayang Allah…
Saya selalu menantikan kehadiran awak. Andai sempat nanti kita berjodohan di dunia, saya nak bawa awak ke sini. Di Jabal Rahmah (bukit kasih sayang) ini nanti, kita sama-sama singkap kembali sejarah pertemuan semula Nabi Adam AS dan Siti Hawa. Dan semoga detik itu nanti juga menjadi titik permulaan pahit manis hidup kita berdua…
Saya nak sangat bawa awak ke sini.? -Ameer Firdaus-
*Seluruh ayat yang aku karang hari ni sangat berat bagi aku.
Sumber Kredit: Ameer Firdaus
Isian rohani buat semua peringkat umur, semoga kita KASHOORGA bersama. Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
Solat tarawih adalah peluang untuk umat menggandakan ibadah dan ganjaran pada bulan Ramadan. Ramai yang bersemangat untuk melakukan solat ini secara berjemaah di masjid...