Tidak lama lagi umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha dan seperti biasa akan melakukan ibadah korban.
Namun tular baru-baru ini mengenai korban daging lembu wagyu yang mencecah RM30,000 bagi satu bahagian.
Biarpun ia tidak menjadi satu kesalahan, namun nilainya sama bagi enam lembu biasa yang mana manfaatnya lebih luas dan ramai orang miskin boleh merasai daging korban ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, selaras konsep korban mengikut keutamaan berdasarkan situasi semasa penularan pandemik wabak Covid-19, maka ia perlulah diteliti dengan sebaiknya.
Beliau berkata, mengikut pengamatan, terlalu ramai individu yang memerlukan bantuan terutama untuk merasai daging yang nilainya sekarang ini melebihi RM30 sekilogram.
“Jika dilihat, dengan nilai RM30,000 itu, sekiranya dihitung menggunakan jumlah nilai semasa lembu iaitu kira-kira RM5,000 bagi seekor lembu, maka kita dapat memperoleh sekitar enam ekor lembu biasa.
“Daripada jumlah enam ekor lembu ini, sudah tentu ia dapat memberikan manfaat yang lebih besar dan ramai orang miskin akan dapat merasainya.
“Justeru, tidak salah untuk melakukan ibadah korban dengan lembu wagyu. Tetapi dari sudut perolehan manfaat yang lebih ramai dan besar, maka sudah tentu melakukan ibadah korban dengan lembu biasa adalah lebih utama dalam situasi seperti ini,” katanya menerusi Al-Bayan Siri 11 bertajuk Ibadah Korban Dengan Lembu Wagyu di Facebook (FB) beliau, hari ini.
Artikel Berkaitan: Lepas Dilantik Menteri Agama, Mufti Wilayah Kelihatan ‘Sempoi’ Tetap Sampaikan Kuliah Maghrib Seperti Biasa
Beliau difahamkan harga satu bahagian korban lembu wagyu baka Jepun itu boleh mencecah sehingga RM30,000 yang mana dagingnya bergred A5 dan berat hidup sekitar 800 kilogram (kg).
Menurutnya, manakala setiap peserta akan menerima 50 kg daging apabila selesai proses sembelihan dan justeru setiap peserta akan membayar dengan harga RM600 bagi satu kilogram daging wagyu.
“Adalah ditegaskan bahawa lebih aula (utama) dari sudut Fiqh Aulawiyyatnya untuk memberi makan seramai mungkin kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.
“Dengan cara ini (korban lembu biasa), jelas kita akan dapat membantu golongan masyarakat dalam bilangan yang lebih ramai. Faedah merasa daging lembu dan korban juga dapat dikongsi bersama dengan lebih meluas,” katanya lagi.
Takrif Lembu Wagyu
Istilah Wagyu berasal dari dua perkataan iaitu “Wa” bermakna Jepun dan “gyu” bermakna “daging lembu.” Justeru secara ringkasnya daging Wagyu bermaksud daging lembu Jepun. Di Jepun, terdapat empat jenis baka lembu yang menghasilkan daging wagyu iaitu Japanese Black, Japanese Brown, Japanese Shorthorn dan Japanese Polled.
Salah satu jenis wagyu yang paling mahal adalah daging Kobe. Ia merujuk kepada daging lembu Jepun yang datang dari wilayah Hyogo yang mana ibu negerinya adalah Kobe. Daging jenis ini berasal daripada baka lembu Japanese Black, dilahirkan dan dibesarkan di wilayah Hyogo, Jepun.
Artikel Berkaitan: Penting Kena Tahu Waktu Terbaik Buat Korban
Untuk layak mendapat label Wagyu, lembu-lembu perlu dibesarkan dan diberikan makanan berdasarkan garis-garis panduan terperinci. Mana-mana lembu yang sudah bersedia untuk diproses akan dipastikan mempunyai berat keseluruhan 780 hingga 800 kg dengan berat rangkanya selepas dilapah, kurang daripada 470kg.
Setelah dilapah, daging yang ada akan digredkan mengikut tahap kualiti kandungan lemak itu. Ada empat kategori diambil kira iaitu tahap lemak, warna, kepejalan dan kualiti lemak dalam daging itu. Semua daging akan diberikan gred A, B dan C, dengan markah 1 ke 5 akan menentukan tahap kualiti daging itu mengikut gred.
Selain itu, semua daging turut sama akan dinilai tahap yang digelarkan ‘Beef Marbling Score’ (BMS), yang akan menentukan tahap kecairan daging itu ketika dimakan, dengan skor 1 hingga 12. Kebanyakan daging Wagyu mempunyai pencapaian sekitar A4 – A5.[1]
SUMBER: HARIAN METRO & LAMAN WEB DR ZULKIFLI