
Umat Islam yang ingin mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka yang beragama Kristian seringkali menimbulkan polemik dan salah faham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri.
Berikut pencerahan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan.
Melihat kepada situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan. Ini kerana,
Firman Allah SWT:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Maidah: 8)
Hak minoriti bukan Muslim. Ini kerana hak-hak golongan minoriti yang bukan Muslim juga perlu diraikan lebih-lebih lagi apabila mereka mengambil hak kewarganegaraan (muwatanah). Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat ada menekankan tentang keperluan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh minoriti bukan Muslim.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah
Oleh itu kesimpulannya umat Islam dibenarkan untuk mengucapkan ‘Merry Christmas.’ Perkara ini dibenarkan kerana ia disifatkan ungkapan tahniah kepada perayaan agama lain tanpa niat memuliakan agama mereka.
“Umat Islam boleh mengucapkan kepada orang Kristian (Merry Christmas), dengan syarat mereka tidak memuliakan agamanya. Adalah penting untuk mewujudkan kesedaran mengenai perkara ini supaya tidak timbul kekeliruan. Hiduplah dengan harmoni bersama orang-orang beragama lain,” katanya Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau memetik Majlis Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah dalam mesyuarat ke-78 dalam Hal Ehwal Islam pada 2007 yang menyimpulkan bahawa mengirim salam melalui kad, e-mel atau mesej teks kepada orang bukan Islam semasa musim perayaan mereka adalah dibenarkan, selagi ucapan itu tidak memuliakan agama lain atau menggunakan simbol agama.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Surah Al-Naml Bukti Betapa Hebatnya Semut!

Sungguh tak disangka apabila serangga yang dianggap selama ini sebagai ‘musuh’ telah menjadi antara ‘ikon’ utama dalam kitab suci Al-Quran! Mengapa agaknya semut (An-Naml) diangkat menjadi nama surah sedangkan kisahnya hanya setakat dua-tiga ayat sahaja?
Bukankah ada banyak lagi pilihan yang lebih menarik untuk ditonjolkan seperti surah AlBalkis, Al-Ifrit, atau untuk lebih anggun, ambil sahaja nama Nabinya, Surah Sulaiman? Nampaknya, itulah antara rahsia tersembunyi yang ingin Allah jelaskan kepada kita. Meskipun perkataan ‘Naml’ hanya sekali sahaja diulang dalam surah ini, namun banyak sekali budaya serta nilai-nilai kehidupan positif yang boleh kita pelajari dari dunia semut.
Ia merupakan serangga ber’otak’ kecil tetapi memiliki keupayaan berfikir dan bertindak yang begitu luar biasa. Seekor semut mungkin sahaja dilihat memiliki keupayaan terhad, paling hebat pun setakat mengangkat sebutir nasi sahaja, tetapi satu koloni semut boleh menghasilkan pelbagai kejutan yang tidak dapat dibayangkan. Rumah banglo agam boleh sahaja reput jika tidak berhati-hati dengan kuasa luar biasa ‘tentera semut’ ini.
Melihat kepada semua kelebihan di atas, apakah nilai positif terunggul yang boleh kita contohi dari koloni semut?
SEMUT MENGAJAR BUDAYA MEMENTINGKAN PERADABAN HIDUP
Busut kecil semut yang ‘tersergam’ di tepi pagar rumah pasti membuktikan betapa sistematik dan ‘canggih’nya dunia mereka. Komuniti semut memiliki segala ‘sistem’ yang kita miliki, bermula dari pembangunan gudang makanan, pengklasifikasian tentera, sistem aliran trafik keluar masuk canggih higga tidak memerlukan sebarang ‘traffic light’, sistem aliran alternatif kawalan banjir hinggalah sistem udara berpusat ala ‘penghawa dingin raksasa’ dalam sarang mereka.
Jika semut, haiwan yang sering kita remehkan begitu sistematik hidupnya serta amat menitikberatkan teknologi tinggi, apakah alasannya untuk kita, golongan bergelar ‘sebaik umat’ tetapi masih terpesong prioriti, saling bergaduh dan bersikap acuh tak acuh hingga membiarkan golongan bukan islam lebih terkehadapan dalam keteraturan hidup dan penguasaan teknologi?
SEMUT MENGAJAR KITA SIKAP POSITIF DALAM HIDUP YANG SEBENAR
Ayat 18 memaparkan saat genting koloni semut ketika berhadapan dengan tentera Nabi Sulaiman. Komander semut, yang walaupun sedang berada di ambang malapetaka, ia masih sempat untuk kekal tenang serta bersikap positif ketika menghadapi kesulitan. Arahan yang dikeluarkan bukanlah arahan kelam-kabut tetapi lebih kepada pertimbangan rasional. ‘Hai semut-semut, masuklah kedalam sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari’ (Naml, 18)
Betapa positifnya komander semut itu. Ia tidak kabur dalam memberikan arahan walaupun nyawanya saling tak ubah seperti ‘telur di hujung tanduk’ dari diinjak-injak tentera Sulaiman. Daya kepimpinannya yang begitu terserlah di saat krisis melalui arahan tepat itulah yang membuatkan Sulaiman memujinya. Contoh kecil ini amat indah untuk kita pelajari dari semut tentang maksud positif dalam hidup.
SEMUT MENGAJAR KITA BETAPA PENTINGNYA HUSNUZON
Husnuzon atau memandang baik sesuatu perkara amat penting untuk dijadikan antara ‘tiang seri utama’ cara kita berfikir dan bertindak. Dan komander semut tersebut telah menunjukkan teknik terbaik mengaplikasikannya melalui kata-kata akhirnya ‘sedangkan mereka tidak mengetahui’ (Naml 18).
Jika nak diikutkan, komander semut boleh sahaja berprasangka buruk dengan Sulaiman. Yelah, takkan nabi yang menguasai teknologi tercanggih ‘mengangkat bangunan beribu tan sekelip mata’ pun tidak tahu laluan tenteranya tepat menuju ke koloni semut? Sedangkan rahsia Ratu Balkis yang beribu kilometer jauhnya itupun dibongkar oleh ‘agen dan perisik’ baginda, inikan pula kedudukan komuniti semut yang berada dalam jajahan takluknya?
Cara fikir ‘suuk zonn’ sebegitu mungkin ada bagi mereka yang suka berfikiran negatif, tetapi tidak pada pandangan komander semut. Ia sangat tahu yang Nabi Sulaiman tidak mungkin sengaja menzalimi mereka, dan ia amat pasti jika itu yang Baginda putuskan (berjalan melewati koloni semut), tentu ada hikmah tersirat yang ingin Sulaiman ajarkan kepada mereka.
Sumber: Zahirahhafizan
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hadis Palsu Tentang Pakai Celak Pada Hari Asyura,’ Tidak Akan Sakit Mata Buat Selama-lamanya

Penyebaran hadis palsu, tidak sahih sudah menjadi satu fenomena dan trend yang biasa sejak beberapa kurun yang lalu hingga kini. Perkembangan buruk ini bertambah meluas dan pantas seiring dengan kecanggihan perkembangan teknologi maklumat serta dunia tidak bersempadan hari ini.
Hadis-hadis palsu semakin mudah tular melalui aplikasi seperti Facebook, WhatsApp, Twitter dan media sosial seumpamanya. Terlalu senang kita berkongsi sesuatu yang dikatakan hadis walhal kita tidak tahu kesahihannya.
Ketika hari Asyura’ berlegar-legar hadis tentang pemakaian celak di hari Asyura’.
Berikut hadis yang dimaksudkan.
مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ تَرْمَدْ عَيْنُهُ أَبَدًا
Maksudnya: “Barangsiapa yang bercelak mata dengan ithmid (sejenis celak) pada hari Asyura’, maka dia tidak akan sakit mata buat selama-lamanya”.
Terdapat dua pandangan berkaitan hadis memakai celak pada hari Asyura’:
Berkata Imam Ibn al-Qayyim (751 H):
وَمِنْهَا أَحَادِيثُ الاكْتِحَالِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَالتَّزَيُّنِ وَالتَّوْسِعَةِ وَالصَّلاةِ فِيهِ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ فَضَائِلَ لا يَصِحُّ مِنْهَا شَيْءٌ وَلا حَدِيثٌ وَاحِدٌ وَلا يَثْبُتُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِ شَيْءٌ غَيْرُ أَحَادِيثِ صِيَامِهِ وَمَا عَدَاهَا فَبَاطِلٌ.
Maksudnya: “Di antaranya hadith-hadith berkaitan penggunaan celak pada hari ‘Asyura’, mencantikkan diri, membelanja (ahli keluarga), bersolat padanya dan lain-lain yang mempunyai fadhilat maka tidak ada yang sahih mengenainya dan tidak ada satu hadith pun yang mana semua itu tidak datang daripada Nabi saw apa-apa darinya melainkan hadith-hadith berkaitan puasa padanya dan selain daripadanya adalah bathil (tidak sahih).”
Imam Ibn Rejab (795 H) berkata:
وكل ما روى في فضل الإكتحال في يوم عاشوراء والإختضاب والإغتسال فيه فموضوع لا يصح
Maksudnya: “Setiap yang diriwayatkan berkaitan hari Asyura’ ada menyatakan kelebihan bercelak, berhias dan mandi pada hari tersebut adalah tidak sahih.”
Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi turut mengkritik hadis memakai celak pada hari Asyura’ di dalam kitabnya Fiqh al-Siyam pada bab yang membicarakan berkaitan puasa pada hari Asyura’.
Walau bagaimanapun, memakai celak merupakan satu sunnah bagi lelaki dan juga wanita kerana Nabi SAW juga memakainya di mata Baginda SAW. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:
اكْتَحِلُوا بِالإِثْمِدِ فَإِنَّهُ يَجْلُو البَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ
Maksudnya: “Bercelaklah kamu dengan ihmid (sejenis celak) kerana sesungguhnya ia boleh menguatkan pandangan mata serta menumbuhkan bulu mata.”
Memakai celak adalah sunnah bagi lelaki dan wanita dan ia boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja bukan hanya pada 10 Muharram sahaja berdasarkan umum hadis Ibn Abbas R.anhuma. Akhirnya, marilah bersama-sama kita meningkatkan amalan kita terutama pada hari Asyura’ dengan berpuasa serta ditambah dengan amalan-amalan yang lain. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan serta menerima segala amal kebajikan yang kita telah lakukan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hadis Palsu? Selidik Dahulu Faktor Lahirnya Hadis Palsu

Di sini kita akan memperkatakan lagi beberapa faktor yang mendorong kepada terciptanya hadis palsu. Para ulama telah mengemukakan beberapa faktor pendorong kepada lahirnya hadis-hadis palsu antaranya ialah:
1. Akibat perpecahan di kalangan umat
Perpecahan ini terbahagi pula kepada beberapa faktor:
a) Politik
Perpecahan awal di kalangan umat Islam timbul sesudah wafatnya Rasulullah s.a.w. Ia berpunca daripada perbezaan pendapat mengenai jawatan Khilafah. Mereka mempersoalkan siapakah yang paling berhak menjawat jawatan yang penting tersebut.
Golongan Jumhur (majoriti) melantik Abu Bakar r.a sebagai khalifah, manakala pengikut-pengikut Ali r.a menegaskan yang Ali lebih layak memegang jawatan tersebut, lalu mereka mengadakan hadis yang menunjukkan keutamaan Ali r.a.
Bermula dari sinilah lahirnya golongan Syiah dan Khawarij di samping golongan Ahlus Sunnah yang sedia ada. Perpecahan di kalangan umat Islam sampai ke tahap yang paling serius setelah berlakunya peristiwa pembunuhan Khalifah ‘Usman bin ‘Affan sehingga berlakunya perang saudara di dua medan perang iaitu perang Jamal dan al-Siffin.
b) Fanatik Mazhab
Akibat daripada perbezaan pendapat mengenai hukum feqah telah menimbulkan fanatik mazhab yang yang melampau sehingga sanggup membuat hadis-hadis palsu. Masing-masing mengeluarkan hadis bagi mempertahankan fahaman mazhab mereka.
Imam Malik pernah ditanya tentang mereka, lalu dia berkata, “Jangan kamu memperkatakan tentang mereka dan jangan kamu lihat pun mereka, kerana mereka itu adalah pendusta.”
Ia juga berpunca daripada perselisihan pendapat mengenai sifat dan nama Allah, mengenai kerasulan, kitab, kebangkitan di hari akhirat, Qada’ dan Qadar dan lain-lain. Lahir kemudian beberapa mazhab seperti Qadariyyah, Murji’ah, Jahmiyyah, Mu’tazilah, Musyabihat di samping Ahlus Sunnah Wal Jama’ah.
c) ‘Asabiyyah (Perkauman)
Islam menentang golongan fanatik ‘Asabiyyah dan berjaya menyatukan umat Islam di atas keruntuhan ‘Asabiyyah dengan iman dan takwa. Setelah Rasulullah s.a.w wafat, penyakit ini menular kembali dan mengakibatkan perpecahan bermula daripada golongan yang menyelinap masuk ke dalam Islam untuk melagakan kaum Ansar dan Muhajirin, kemudian kabilah Amawiyyah dan Hasyimiyyah serta Abbasiyyah dan melarat sehingga bangsa Arab dan Parsi. Golongan-golongan ini masing-masing membuat hadis untuk kepentingan puak mereka.
2. Angkara golongan Zindik dan Munafik
Terdapat ramai yang berpura-pura memeluk Islam kerana takut, mengikut orang ramai atau kerana sesuatu kepentingan duniawi. Golongan ini terutamanya para zindik dan munafik memusuhi Islam secara diam-diam, lalu mereka berusaha merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak hadis-hadis palsu.
Golongan ini dikatakan telah membuat 14,000 hadis palsu. Salah seorangnya, Abdul Karim bin Auja’ sahaja telah mengaku membuat 4,000 hadis mengenai halal dan haram. Beliau telah dibunuh oleh Muhammad bin Sulaiman al-Abassiy, Amir Basrah dan sebelum dibunuh beliau mengaku:
“Aku telah mencipta untuk kamu 4,000 hadis yang mana aku haramkan yang halal dan aku halalkan yang haram.”
Zindik ialah golongan yang menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufuran atau tidak berpegang kepada ajaran agama, mereka melakukan ini untuk meringan-ringankan agama dan berselindung dengannya dari orang ramai.
Golongan ini telah menggunakan hadis untuk memporak-perandakan Islam, memecah-belah umatnya dan memasukkan penyelewengan dalam Syariatnya.
Di antara mereka adalah Haris al-Kazzab, Muhammad bin Said al-Maslub, Mughirah bin Said al-Kufiy dan Abdul Karim Auja’ yang disebut di atas.
3. Kecenderungan mengajak manusia kepada kebaikan, sehingga sanggup mereka hadis. Mereka juga terbahagi kepada beberapa golongan:
a) Ahli-ahli Bid’ah
Terdapat golongan yang sesat menyangka bahawa hadis boleh direka untuk menarik manusia kepada ibadat. Golongan para zuhud bertujuan mendorong dan merangsang umat supaya mendekatkan diri kepada Allah dan beribadat kepadanya telah mencipta hadis-hadis palsu bagi tujuan tersebut disebabkan kejahilan dan kecuaian mereka tentang Islam.
Ini termasuklah hadis-hadis mengenai kelebihan surah-surah tertentu dalam al-Quran, kelebihan ibadat seperti solat sempena hari tertentu (Asyura’) dan malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Syaaban, malam Eidul Fitri dan siangnya.
Juga hadis-hadis yang mendorong manusia melakukan amal ketaatan, zuhud, berakhlak mulia serta amalan-amalan terpuji.
Antara yang masyhur ialah hadis-hadis berkaitan doa seperti doa ‘Ukkasyah, Kanzul ‘Arasy, doa nisfu syaaban, doa awal dan akhir tahun.
Begitu juga banyak buku-buku aliran sufi, kisah para nabi, tafsir al-Quran, kitab Targhib dan Tarhib yang memuatkan hadis-hadis palsu.
Antara Kitab-kitab tersebut ialah Qasasul Anbiya (Al-Tha’labi); Kitab-kitab karangan Al-Hakim at-Tirmizi; Durratun Nasihin (al-Khubawi); Kitab-kitab karangan al-Waqidi; Wasoya Imam Ali; Tanbihul Ghafilin dan Qurratul Uyun (Abu al-Lays al-Samarkandi), Kitab Tafsir yang disandarkan kepada Ibnu Abbas dari riwayat al-Kalbi, as-Suddi dan Muqatil; Kitab-Kitab tafsir al-Tha’labi, al-Wahidi, al- Zamakhsyari, al-Baidhawi dan beberapa buah kitab yang lain.
b) Ahli Sufi yang keliru dan sesat.
Golongan sufi banyak terlibat dengan perbuatan dan pengamalan hadis-hadis palsu mengenai keutamaan surah-surah al-Quran satu persatu seperti yang diriwayatkan oleh Ubai bin Ka’ab.
Ibnu As-Solah mencatatkan tentang kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin Ismail berkenaan satu hadis yang diriwayatkan oleh beberapa orang syeikh.
Beliau akhirnya menemui syeikh dari sekumpulan sufi bertanyakan siapakah yang meriwayatkan hadis tersebut lalu syeikh itu menjawab: “Tiada sesiapa pun yang meriwayatkan hadis ini kepadaku, tetapi kami telah melihat manusia telah jauh daripada al-Quran lantas kami buatlah hadis ini untuk mereka bagi memalingkan hati mereka kepada al-Quran”. [As-Suyuti, Al-Itqan 2/370]
4. Kepentingan Duniawi. Faktor ini juga merangkumi beberapa golongan dengan kepentingan dunia yang dikejar masing-masing:
a) Ulama’ yang melobi para Pemerintah
Iaitu ulama ingin mengambil hati pemerintah dan mendekatkan diri dengan penguasa. Ulama seperti ini dipanggil ulama as-Su’ iaitu ulama jahat atau ulama duniawi yang menjual agama dengan dunia dengan harga yang murah.
Sebagai contoh, Ghias bin Ibrahim al-Nakhai’e al-Kufi ketika masuk menemui khalifah al-Mahdi yang ketika itu sedang bermain dengan burung merpati, beliau diarahkan oleh baginda membacakan hadis daripada Rasulullah. Lalu dia membaca daripada si fulan meriwayatkan daripada si fulan bahawa Rasulullah bersabda, “Tidak boleh dipertandingkan melainkan panah memanah (bermain senjata) dan burung merpati.” Lalu Khalifah menghadiahkannya 1,000 dirham. Kemudian Khalifah berkata, “Aku bersaksi bahawa anda telah berbohong kepada Rasulullah.” Kemudian beliau mengarahkan supaya merpati itu disembelih dan meninggalkan hobi tersebut. Hadis yang diriwayatkan adalah benar tetapi ditambah dengan perkataan “burung merpati”.
b) Tukang Cerita, penceramah atau Qussas.
Para penglipur lara yang mencari rezeki melalui bercerita dengan menyandarkan cerita mereka kepada Rasulullah. Contohnya seperti hadis, “Sesiapa yang mengucapkan kalimah Lailahaillallah, maka Allah akan menciptakan untuknya bagi setiap perkataan seekor burung yang mempunyai muncung daripada emas dan bulunya daripada permata mutiara.”
Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Maisarah bin Abd Rabbah. Beliau ditanyakan dari manakah diambil hadis ini? Jawabnya: “Aku menciptakannya untuk menggalakkan manusia kepadanya.”
c) Orang-orang yang mencari rezeki
Hatta hari ini hadis-hadis palsu dan tidak sahih bercambah pengunaannya. Walaupun bukan baru menciptanya, mereka mengambilnya daripada hadis-hadis yang telah dicipta untuk tujuan yang sama ini.
Demi melariskan jualan barangan, para peniaga sanggup mencipta hadis palsu menunjukkan kebaikan barang tersebut seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Hajjaj al-Lakhamiy mencipta hadis menunjukkan keistimewaan sejenis bubur yang kononnya diriwayatkan oleh Huzaifah dengan Rasulullah s.a.w bersabda:
“Jibril telah memberikan saya bubur harisah untuk menguatkan dengannya belakang saya untuk mengerjakan qiyamulail.”
Diviralkan juga ditempat kita ini hadis kelebihan tembikai atau ais krim dll.
d) Kepentingan Peribadi.
Terdapat juga mereka yang mencipta hadis palsu khas dan semata-mata untuk kepentingan dirinya.
Muhammad bin Abd Malik al-Ansari seorang yang buta telah mencipta sebuah hadis demi kepentingan peribadinya dengan menonjolkan kelebihan memandu orang buta.
Beberapa pereka hadis berbentuk ini termasuklah Sa’ad bin Tariq al-Iskaf dan Nafi’ bin al-Haris Daud al-A’ma.
e) Mematahkan hujah lawan dan menguatkan alasan sendiri dalam debat dan diskusi. Ini adalah satu fenomena yang biasa juga untuk kepentingan diri.
Ada di kalangan yang mendakwa berilmu, telah dengan berani sekali mencipta hadis palsu bertujuan mempertahankan penadapatnya. Ini berlaku dalam majlis-majlis ilmu dan perdebatan.
f) Orang-orang yang mencari nama dan kemasyhuran. ]
Keghairahan mencari kemasyhuran sebagai perawi hadis yang banyak meriwayatkan hadis mendorong mereka membuat hadis-hadis palsu tanpa memikirkan implikasi yang akan menimpa Islam dan umatnya. Imam al-Hafiz Ibn al-Jauzi menyenaraikan tidak kurang daripada 30 orang tokoh utama golongan ini.
Al-Imam an-Nasa’i menyebut 4 orang pembohong yang masyhur pembuat hadis iaitu, Ibn Abi Yahya di Madinah, al-Waqidi di Baghdad, Muqatil bin Sulaiman di Khurasan dan Muhammad bin Sa’id al-Maslub di Syam. Para ahli hadis mengatakan al-Juwaibari, Ibn ‘Ukkasyah dan Muhammad bin Tamim al-Faryabi masing-masing telah membuat 10,000 hadis maudhu’.
Secara umumnya terdapat tiga cara bagaimana mereka membuat hadis palsu iaitu:
1) Membuat hadis dengan lafaz sendiri seperti, contohnya hadis yang bermaksud, cintakan tanah air sebahagian daripada iman.
2) Mengambil perkataan salafus soleh dan hukama’ disandarkan kepada nabi.
3) Perawi mengambil hadis daif sanadnya lalu dibuat sanad yang lain yang sahih supaya yang daif itu kelihatan sahih.
Semoga rahmat dan jagaan Allah SWT sentiasa menaungi kita semua dan menjadikan kita dari kalangan mereka yang sentiasa menjaga sunnah Rasulullah s.a.w, golongan ahli sunnah, golongan yang selamat, golongan yang mengikuti Rasulullah s.a.w di dunia dan akhirat.
Rujukan & Sumber :
Drs. Abdul Ghani Azmi bin Hj Idris.(1996). Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’, Kuala Lumpur : Pustaka alhidayah.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI