Umat Islam yang ingin mengucapkan “Merry Christmas” kepada mereka yang beragama Kristian seringkali menimbulkan polemik dan salah faham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri.
Berikut pencerahan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan.
Melihat kepada situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan. Ini kerana,
Firman Allah SWT:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Maidah: 8)
Hak minoriti bukan Muslim. Ini kerana hak-hak golongan minoriti yang bukan Muslim juga perlu diraikan lebih-lebih lagi apabila mereka mengambil hak kewarganegaraan (muwatanah). Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat ada menekankan tentang keperluan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh minoriti bukan Muslim.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah
“Umat Islam boleh mengucapkan kepada orang Kristian (Merry Christmas), dengan syarat mereka tidak memuliakan agamanya. Adalah penting untuk mewujudkan kesedaran mengenai perkara ini supaya tidak timbul kekeliruan. Hiduplah dengan harmoni bersama orang-orang beragama lain,” katanya Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau memetik Majlis Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah dalam mesyuarat ke-78 dalam Hal Ehwal Islam pada 2007 yang menyimpulkan bahawa mengirim salam melalui kad, e-mel atau mesej teks kepada orang bukan Islam semasa musim perayaan mereka adalah dibenarkan, selagi ucapan itu tidak memuliakan agama lain atau menggunakan simbol agama.
Sumber kredit: Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri