Kerohanian

Tak Sempat Lengkapkan Puasa Enam, Bolehkah Sambung Selepas Syawal

Share

Hari Khamis nanti adalah hari terakhir bulan Syawal bagi mereka yang mahu menunaikan puasa enam.

Tapi mungkin ada yang bermula agak lewat dan tidak sempat menyempurnakan enam hari puasa sunat bulan Syawal ini.

Bagi yang tertanya bolehkah melengkapkan baki puasa pada bulan berikutnya menurut pandangan majoriti ulama dan pendapat mazhab Syafie kelompok ini dibenarkan berbuat demikian.

Namun meskipun dibenarkan Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob mengingatkan, kelebihan dan ganjaran puasa adalah tidak sama.

“Keistimewaan hanya diberikan kepada mereka yang melengkapkan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal sahaja.

“Para ulama berbeza pendapat tentang perkara (teruskan puasa bagi melengkapkan puasa enam hari pada bulan Syawal walaupun melewati Aidilfitri), namun Mazhab Syafie mensyaratkan, hanya (boleh dilakukan) untuk melengkapkan hari-hari yang tidak sempat dikerjakan dalam bulan Syawal,” demikian katanya memetik laporan dalam Sinar Islam Plus.

Tegas beliau lagi bukan semua orang boleh menggabungkan serentak antara puasa qada dan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal.

Ini kerana terdapat golongan yang tidak dibenarkan berbuat demikian. Mereka ialah individu yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa ada keuzuran syarak, katanya.

“Kelompok ini hendaklah menggantikan puasa Ramadan tersebut dengan segera bermula 2 Syawal dan dia juga tidak dibenarkan menghimpunkannya dengan puasa sunat enam dalam bulan Syawal.

“Bahkan, dia sama sekali tidak dibolehkan untuk mendahulukan puasa sunat Syawal daripada puasa ganti.

“Apa yang dimaksudkan dengan keuzuran syarak adalah keharusan yang diberikan untuk seseorang tidak berpuasa. Antaranya disebabkan kedatangan haid, sakit atau dalam keadaan musafir dan sebagainya,” terangnya.

Sumber: Sinar Islam Plus

 

Published by
Team Kashoorga