
Ramai yang percaya mimpi itu hanya mainan tidur. Bagaimanapun ada juga mimpi yang sebenarnya sedang memberi petunjuk kepada kita terhadap sesuatu perkara.
Perkara ini dijelaskan oleh Ustaz Ustaz Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed yang memberitahu tak dinafikan ada juga mimpi yang kita alami itu adalah yang benar. Ini kerana ujarnya para ulama sebenarnya membahagikan mimpi kepada tiga bahagian iaitu:
1. Mimpi yang benar.
2. Mimpi mainan syaitan dengan tujuan untuk menakutkan atau menyedihkan anak Adam.
3. Mimpi yang terkesan daripada kehidupan nyata dan realiti manusia sehingga dibawa ke dalam tidur.
Mimpi yang benar merupakan khabar yang baik daripada ALLAH SWT, manakala mimpi daripada syaitan ialah mainan tidur yang didatangkan untuk tujuan menakut dan melemahkan iman anak Adam.
Pembahagian itu berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Mimpi terbahagi kepada tiga, berita gembira daripada ALLAH, bicara diri sendiri (benak fikiran) dan sesuatu yang menakutkan daripada syaitan. Jika seseorang bermimpi sesuatu yang disukai, maka ceritakanlah mimpi itu jika dia mahu dan apabila dia bermimpi sesuatu yang dibenci, maka jangan diceritakan, hendaklah dia bangun dan berdoa.” (Riwayat Ahmad).
Menurut riwayat yang lain, Rasulullah SAW menyarankan agar berta’awwuz (membaca A’uzubillah) apabila seseorang sedar daripada mimpi yang buruk.
5 tanda mimpi benar
Sementara itu, menerusi perkongsian oleh Ustaz Don Daniyal Don Biyajid pula menjelaskan bahawa tanda mimpi adalah benar sekiranya memenuhi 5 ciri-ciri ini.

1. Berwudhu sebelum tidur.
2. Tidak dalam keadaan berhadas, baik hadas kecil mahupun hadas besar.
3. Waktu berlaku diantara tengah malam hingga ke subuh yang paling afdhal. Iaitu antara pukul 12 tengah malam hingga masuk waktu subuh.
4. Habis mimpi terus terjaga.
5. Ingat mimpi dari awal sampai habis satu per satu.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber:Dakwah.fm, Sinar Harian
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Amalkan Doa Ini Di Hari Pertama Period, Insyallah Wanita Dapat Pahala Beribadah Sepanjang Haid

Isi Kandungan
ToggleAmalkan doa ini di hari pertama period, insyallah wanita dapat pahala beribadah sepanjang haid. Segelintir wanita memang mengalami stres dan murung bila haid menjelma.
Lagi-lagi wanita yang mengalami senggugut ketika datang bulan. Mood terus swing dan emosi jadi tak terkawal bila period.
Biarpun kita tidak boleh menunaikan solat lima waktu dan ada beberapa ibadat dilakukan ketika haid, tapi jangan lupa untuk amalkan doa ini di hari pertama period untuk memperoleh pahala di sepanjang datang bulan tersebut.

Amalkan Doa Ini Di Hari Pertama Period
Malah, dikatakan wanita datang haid boleh amalkan doa ini untuk meraih pahala seperti 40 orang syahid.
DOA WANITA KETIKA HAID
Doa itu berbunyi, Alhamdulillahi ‘ala kulli halin, wa astaghfirullaha ‘ala kulli zambin (Segala puji bagi ALLAH atas segala perkara, aku mohon ampun dari-MU ya ALLAH atas segala dosaku).
Insyallah Wanita Dapat Pahala
Jika seseorang perempuan yang kedatangan haid dan dia membaca doa berikut pada hari pertama haidnya itu, maka dia akan:
1. Dihapuskan segala dosa-dosa yang telah lalu
2. Dimudahkan perjalanan darah haid.
3. Mendapat pahala beribadah sepanjang haid.
4. Meraih pahala 40 orang syahid.
5. Selamat dari azab neraka.
6. Dimudahkan melalui titian Sirat.
Beribadah Sepanjang Haid
Daripada Saiyidina Aishah r.a. :
“Tidak ada seorang perempuan pun yang kedatangan haid, melainkan haidnya itu menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu daripada segala dosa-dosanya dan sekiranya ia membaca doa (di atas) pada hari yang pertama, maka Allah سبحانه وتعالى akan menulis baginya supaya terlepas daripada api neraka dan dapat lalu di atas titian Sirat dengan selamat dan aman daripada azab dan meninggikan pangkatnya oleh Allah سبحانه وتعالى baginya dengan tiap satu hari dan satu malam akan empat puluh orang mati syahid. manakala perempuan itu dikira berzikir kepada Allah سبحانه وتعالى di dalam masa haidnya.”
(Petikan dari kitab ‘Durratun Nasihin Fil Wa’zi Wal Israr’ karangan Osman Bin Hasan Ahmad As Sakiril Khubuwi).
Artikel Berkaitan:
‘Apa Nak Buat Jika Datang Haid Di Mekah?’ Cari Pintu 79, Khas Untuk Wanita Uzur Bermunajat

Kashoorga: Datang period pun tetap dapat pahala, Alhamdulillah.
Sumber: Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli
Follow kami di Facebook, Website, Instagram dan YouTube Kashoorga untuk mendapatkan info dan artikel-artikel menarik.
.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Ini 8 Amalan Boleh Dilakukan Oleh Wanita Dalam Haid Ketika Ramadan, Untuk Kumpul Pahala

Ketika dalam haid, ramai wanita mengeluh kerana tidak dapat melakukan amal ibadah apatah lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
Ramadan merupakan peluang untuk mengumpul pahala sebanyak mungkin. Jangan kecewa jika anda berada dalam haid kerana beranggapan bahawa anda tidak berpeluang untuk mendapat pahala.
Sebenarnya anda masih boleh mengumpul pahala dengan melakukan beberapa perkara berikut:
MENYIAPKAN HIDANGAN SAHUR
Makan sahur sangat dianjurkan dalam Islam. Ia bagi memberikan tenaga sepanjang menjalani ibadah berpuasa di siang hari. Menyediakan makanan sahur ketika ahli keluarga anda bersahur juga memberikan ganjaran pahala buat anda. Walaupun anda tidak berpuasa kerana haid, anda tetap mendapat pahala kerana menyediakan juadah sahur.
MENYEDIAKAN HIDANGAN BERBUKA PUASA
Rasulullah SAW Bersabda:
“Barang siapa yang memberi ifthar (hidangan untuk berbuka) orang-orang yang shaum/berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang shaum/berpuasa tanpa dikurangi sedikitpun.” (H.R. Bukhari Muslim).
Selain menyediakan hidangan untuk bersahur, menyediakan hidangan berbuka puasa juga menyediakan pahala buat diri anda. Maka sebab itulah telah dijelaskan dalam hadis, bahawa mereka yang menyiapkan hidangan berbuka bagi orang yang berpuasa maka pahalanya akan setara dengan mereka yang berpuasa.
MEMELIHARA LIDAH
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa Tidak meninggalkan perkataan dusta dan ghibah maka tiada artinya di sisi Allah baginya shaum/puasa dari makan dan minum.” (HR Bukhari).
Elakkan daripada bercerita tentang orang lain. Bukan sahaja di bulan Ramadan tetapi pada waktu-waktu biasa. Sesungguhnya diam itu lebih baik daripada berkata-kata perkara yang buruk.
MEMPERBANYAKKAN DOA
Allah SWT Berfirman:
“Dan Rabbmu Berfirman: Berdoalah Kepada-Ku Niscaya akan Aku perkenankan bagimu.” (QS. Al-Mu’min: 60)
Memang ketika haid wanita tidak dapat menunaikan solat namun anda boleh berdoa. Berdoa menjadi salah satu alternatif amalan bagi wanita yang sedang haid untuk mengumpul pahala. . Tentunya fokuskan doa anda untuk kebaikan.
BANYAKKAN BERZIKIR
Dari Abu Hurairah r.a. Bahwa Rasulullah SAW Bersabda:
“Tidak ada kaum/seseorang yang Berdzikir kepada Allah kecuali mereka di kelilingi oleh malaikat-malaikat, di liputi oleh Rahmat, turun kepada mereka ketentraman, dan Allah menyebut mereka sebagai orang-orang yang di sisi-Nya.” (HR. Muslim)
Berzikir adalah salah satu bentuk amalan yang boleh diamalkan ketika wanita dalam haid. Ketika berzikir, pusatkan perhatian anda untuk mengingati Allah.
MELAKUKAN AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Kegiatan sosial seperti membersihkan perkarangan masjid/surau juga antara perkara yang dapat membantu anda menambah pahala. Aktiviti seperti ini merupakan cara untuk meraih pahala yang lebih besar. Sibukkan diri anda dengan aktiviti kemasyarakatan agar pengisian hari anda jadi lebih bermakna.
BERSELAWAT KE ATAS NABI
ALLAH Ta`ala menyuruh sekalian mukminin agar berselawat ke atas Nabi sallAllahu `alaihi wasallam melalui firmanNYA:
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-malaikatNYA bersolawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, bersolawatlah kamu sekalian ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” (Surah al-Ahzab, 33 : 56)
Berselawat ke atas Nabi boleh dilakukan meskipun dalam keadaan haid. Berselawatlah ke atas Nabi junjungan kita, Nabi Muhammadh SAW kerana ia merupakan salah satu bentuk amalan wanita ketika dalam haid di bulan Ramadan.
MENAMBAH ILMU
Rasulullah SAW Bersabda:
“Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut Ilmu, Niscaya Allah SWT menunjukkan jalan menuju Surga Baginya.” (H.R. Muslim)
Berada dalam keadaan haid tidak menjadi penghalang untuk anda untuk belajar. Anda boleh mengikuti kelas agama (yang bukan diadakan di dalam masjid) untuk mendalami tentang hukum hakam agama. Ini merupakan pilihan yang tepat sebagai bentuk amalan di bulan Ramadan.
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI
Hukum Suami Membiarkan Isteri Menanggung Nafkah Keluarga

Isteri itu amanah Allah kepada seorang suami. Ini menunjukkan bahawa suami wajib menjaga amanah yang telah diberikan oleh Allah kepadanya. Si suami juga hendaklah memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya mengikut kemampuannya. Namun apabila seorang suami culas menjalankan tanggungjawabnya kepada isterinya maka akan goyahlah sesebuah rumah tangga.
SOALAN:
Seorang wanita berkahwin dengan seorang lelaki. Kemudian rumahtangga menjadi kacau bilau sehingga si isteri yang terpaksa menjaga suami tersebut dengan menanggung nafkah keluarga. Tidak berapa lama kemudian, suami tersebut mula menjalankan perniagaan. Akhirnya dia berjaya dalam perniagaan tersebut dan menjadi kaya. Namun isteri masih tetap menanggung nafkah keluarga tanpa suami berusaha mengubah sistem tersebut.
JAWAPAN:
Jawapan
Firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf. Surah al-Nisa’ (19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Dan seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Para suami diwajibkan bergaul dengan isteri-isterinya secara baik. Oleh itu, bergaullah dengan mereka secara yang dapat menyenangkan tabiat mereka. Tetapi tidak pula bertentangan dengan syariat dan adat. Janganlah kamu bersikap bakhil dalam menafkahi mereka dan jangan pula kamu sakiti mereka dengan ucapan dan perbuatan atau kamu menghadapi mereka dengan wajah muram dan kening berkerut.
Kalimah mu’asyarah (bergaul) di sini menunjukkan pengertian kebersamaan dan perkongsian iaitu layanilah mereka dengan cara yang baik dan para isteri perlu melayani kamu seperti itu juga. Jadi, suami dan isteri diseru agar saling memberikan kebahagiaan serta menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan dalam melayari rumahtangga. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/1128)
NAFKAH BAPA KEPADA KELUARGA
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179) menyebut: Bapa dan datuk ke atas, wajib memberi nafkah anaknya, cucu dan ke bawah. Oleh itu, bapa bertanggungjawab memberi semua jenis nafkah kepada anak-anaknya sama ada lelaki atau perempuan. Jika mereka tidak mempunyai bapa, maka datuk wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut dan begitulah seterusnya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ
Maksudnya: …jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; Surah al-Talaq (6)
Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa.
Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.” Surah al-Baqarah (233)
Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafkah kepada anak-anak adalah lebih utama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/170-179)
Imam Ibn Kathir berkata ketika menafsirkan ayat di atas bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/479)
Para ulama menetapkan bahawa nafkah yang wajib diberikan kepada sesiapa yang berada di bawah tanggungannya itu ialah seperti:
Makanan
Barang-barang dapur
Pakaian
Tempat tinggal
Alat-alat untuk membersihkan diri
Pembantu bagi isteri jika sekiranya kebiasaan isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang mampu sahaja).
Imam al-Syaukani menyebut: Rasulullah SAW memberi nafkah dan keperluan secukupnya kepada ahli keluarganya mengikut kemampuan Baginda SAW. Rasulullah SAW menyediakan untuk isteri-isteri Baginda SAW tempat tinggal, makanan, pakaian dan semua keperluan dengan mencukupi dengan tidak berlebihan. Ini bersesuaian dengan kehidupan Rasulullah SAW yang memilih zuhud dan tidak bermewah-mewah. Dalam pemberian nafkah, Rasulullah SAW memberikan 20 wasaq gandum dan 80 wasaq kurma kepada isteri-isterinya pada setiap tahun. (Lihat Nail al-Autar, 5/221)
UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM
Undang-undang keluarga adalah termaktub di bawah undang-undang negeri. Jika di Wilayah Persekutuan, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada Seksyen 72 memperuntukkan:
“…adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.”[1]
Begitu juga pada Seksyen 73 antara lain menyebut:
Mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan seorang lelaki membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya—
(a) jika dia telah enggan atau cuai mengadakan peruntukan dengan munasabah bagi anaknya itu;

(b) jika dia telah meninggalkan langsung isterinya dan anaknya itu adalah dalam jagaan isterinya;[2]
KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulan, kami nyatakan seperti berikut:
*Menurut kitab-kitab fiqh, semua tanggungan nafkah adalah di bawah tanggungjawab suami. Walaupun berlaku keredhaan dari pihak isteri, tetapi untuk menenangkan hati, berilah ganjaran yang setimpal kepada isteri yang telah memulakan rumahtangga dengan berjaya.
*Alangkah baik sekiranya suami tersebut memberikan kredit dan penghargaan di atas pengorbanan isteri yang besar selama ini. Sifat isteri yang sentiasa membantu suami adalah sangat terpuji. Berilah hadiah kepada isteri tersebut.
*Suami janganlah mengambil kesempatan sehingga tugas hakiki beralih kepada si isteri sedangkan ia pada hakikatnya adalah berada pada tangan suami.
*Tanggungjawab yang sebenarnya tidak berpindah kepada isteri. Isteri hanya bersifat menolong dan membantu. Jika isteri tidak mahu membantu pun tidak mengapa.
*Suami wajib mengambil alih tanggungjawab tersebut daripada isteri dan inilah yang sebenarnya.
Semoga rumahtangga kita menjadi seperti apa yang disebut Baiti Jannati dan marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kehidupan kita diberkati dan dikurniakan kebahagiaan.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” Surah al-Furqan (74)
Sumber kredit: Mufti Wilayah
VIDEO KASHOORGA:
Insya-Allah, kita download seeNI sekarang ya?
KLIK DI SEENI