Ramai yang percaya mimpi itu hanya mainan tidur. Bagaimanapun ada juga mimpi yang sebenarnya sedang memberi petunjuk kepada kita terhadap sesuatu perkara.
Perkara ini dijelaskan oleh Ustaz Ustaz Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed yang memberitahu tak dinafikan ada juga mimpi yang kita alami itu adalah yang benar. Ini kerana ujarnya para ulama sebenarnya membahagikan mimpi kepada tiga bahagian iaitu:
1. Mimpi yang benar.
2. Mimpi mainan syaitan dengan tujuan untuk menakutkan atau menyedihkan anak Adam.
3. Mimpi yang terkesan daripada kehidupan nyata dan realiti manusia sehingga dibawa ke dalam tidur.
Mimpi yang benar merupakan khabar yang baik daripada ALLAH SWT, manakala mimpi daripada syaitan ialah mainan tidur yang didatangkan untuk tujuan menakut dan melemahkan iman anak Adam.
Pembahagian itu berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Mimpi terbahagi kepada tiga, berita gembira daripada ALLAH, bicara diri sendiri (benak fikiran) dan sesuatu yang menakutkan daripada syaitan. Jika seseorang bermimpi sesuatu yang disukai, maka ceritakanlah mimpi itu jika dia mahu dan apabila dia bermimpi sesuatu yang dibenci, maka jangan diceritakan, hendaklah dia bangun dan berdoa.” (Riwayat Ahmad).
Menurut riwayat yang lain, Rasulullah SAW menyarankan agar berta’awwuz (membaca A’uzubillah) apabila seseorang sedar daripada mimpi yang buruk.
Sementara itu, menerusi perkongsian oleh Ustaz Don Daniyal Don Biyajid pula menjelaskan bahawa tanda mimpi adalah benar sekiranya memenuhi 5 ciri-ciri ini.
1. Berwudhu sebelum tidur.
2. Tidak dalam keadaan berhadas, baik hadas kecil mahupun hadas besar.
3. Waktu berlaku diantara tengah malam hingga ke subuh yang paling afdhal. Iaitu antara pukul 12 tengah malam hingga masuk waktu subuh.
4. Habis mimpi terus terjaga.
5. Ingat mimpi dari awal sampai habis satu per satu.
Semoga perkongsian ini bermanfaat.
Sumber:Dakwah.fm, Sinar Harian