Dari segi ilmu fiqh, ibadah yang dilakukan dengan memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, ibadat itu dikira sah (gugur kewajipan dari pelakunya dan tidak perlu lagi diulangi). Namun ibadat yang sah dari segi fiqh, belum tentu diterima Allah (yakni diberi pahala), kerana di dalam al-Quran dan hadis ada disebutkan faktor-faktor luaran yang menyebabkan amalan ditolak (tidak diberi pahala).
Menurut Imam an-Nawawi; maksud ‘tidak diterima solatnya’ ialah; tidak ada pahala untuknya sekalipun solatnya dikira (iaitu gugur kefardhuan darinya dan tidak perlu lagi dia mengulanginya) (lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 14/227, hadis no. 2230/125).
Khusus berkaitan dengan orang yang meninggalkan solat, Nabi SAW bersabda;
مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ
“Sesiapa meninggalkan solat asar (dengan sengaja), sesungguhnya rosaklah amalannya” (Soheh al-Bukhari; 553. Dari Buraidah RA).
Menurut ulamak; maksud ‘rosaklah amalannya’; batal pahala amalannya (lihat; Minhatul Bari syarh Soheh al-Bukhari, Syeikh Zakaria al-Ansari, 2/268, hadis no. 553).
Jika meninggalkan satu solat sahaja amalan sudah binasa/rosak, bagaimana dengan meninggalkan kesemua solat. Maka hadis di atas perlu menjadi peringatan kepada orang yang melakukan kebaikan (termasuk puasa) namun enggan solat, kemungkinan besar kebaikan mereka ditolak oleh Allah selama mereka tidak bertaubat (dengan kembali mengerjakan solat).
Apatahlagi puasa diperintahkan Allah dengan tujuan agar orang yang berpuasa bertakwa kepada Allah (lihat; surah al-Baqarah, ayat 183). Tanda ketakwaan yang paling dasar –setelah syahadah- ialah mengerjakan solat lima waktu. Jika kita berpuasa kerana takwa, tidak akan tergamak kita meninggalkan solat kerana kewajipan solat lebih besar dari kewajipan puasa. Di awal surah al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertakwa ialah; ‘Orang-orang yang sentiasa mendirikan solat’ (lihat; ayat 3).
Sumber: Ustaz Ahmad Adnan Fadzil