Hubungan

Tak Tegur Berdosa, Kalau Tegur Masam Muka. Serba Salah, Apa Nak Buat?

Share

Hubungan sesama manusia memang pelik. Ada waktu tengah gelak ketawa ria, sekelip mata boleh bermasam muka semata-mata kita tegur dan berterus terang.

Tak kiralah sama ada dengan pasangan, kawan hatta anak sekali pun. Itu yang ada ketikanya kita sanggup tidak tegur seseorang walaupun nampak dia telah lakukan kesilapan kerana ingin jaga hati punya hal.

Kalau berterusan begini, jawabnya boleh makan hati juga pada kita yang asyik nak jaga hati orang. Boleh mengundang stress. Bagi atasi dilema ini, pakar motivasi terkenal, Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, ada menghuraikan perihal ini dalam buku tulisannya; Ingat Syaitan Pernah Ambil MC?

Pilih Yang Lebih Ringan Kesannya

Menurut beliau, berterus terang dan menjaga hati, kedua-duanya mempunyai kesan positif dan negatif.

Dalam kaedah fekah, ada menyebut bahawa, di antara dua mudarat, pilih yang lebih ringan. Ini bermakna, kita sendiri boleh fikir tindak balas orang yang kita nak tegur itu.

Mungkin boleh guna kaedah ini dalam menegur seseorang. Situasi ini memang buat kita serba salah. Kalau berterus-terang kepada kita, dia akan kecil hati. Tapi kalau ingin menjaga hati dan tidak berterus-terang, maka kita akan membiarkan dia terus hanyut dalam dosa. Sanggup kah?

Takut-takut, kita pun terpalit dosa

Kalau ikut keutamaan, maka berterus-terang adalah jalan paling baik. Ini kerana kalau dosa kecil pun diulang-ulang dan beterusan, ia boleh jadi kesalahan besar.

Takut-takut, kita pun ikut sama berdosa sebab tak mahu tegur sebab takut hubungan keruh! Kalau boleh jangan lah jadi seperti ini ya.

Lebih gerun lagi, andai salah seorang daripada kita meninggal dunia, maka kita akan rugi kerana tidak sempat untuk membetulkan sahabat atau pasangan kita itu dan tidak sempat berubah menjadi orang yang lebih baik.

Lagi pilu kalau orang itu adalah anak kita sendiri. Menangis tepi bucu katil 10 tahun pun tidak akan boleh ubah keadaan.

Satu pesanan penting, masa nak buat teguran, kita kena berhikmah, ya lah, takut-takut situasi akan menjadi lebih buruk dan teruk. Berhikmah dalam teguran itu bermaksud berusaha menggunakan kaedah terbaik dalam menyampaikan sesuatu teguran. Kita mahu yang ditegur dapat menerima teguran dan berubah menjadi baik. Dia happy kita pun lega.

Hal ini ada di nyatakan dalam al-Quran, Allah SWT berfirman:
“Serulah (manusia) kepada Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik serta bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (Surah al-Nahl:125)

 

Published by
Team Kashoorga